Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Komputer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komputer. Papar semua catatan

Inisiatif pemberian komputer riba, tablet mula Februari 2021

by

 

Inisiatif Cerdik yang akan menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan bermula Februari 2021 ini.

Inisiatif itu membabitkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Petronas.

Yayasan Hasanah dalam kenyataan hari ini berkata, langkah ini dilaksanakan bagi membantu pelajar mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah.

Pemilihan pelajar dan sekolah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), yang juga akan meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan yang lebih mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh GLC dan GLIC.

Katanya, projek itu akan diselia Yayasan Hasanah adalah bagi tujuan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.

Sumber : Harian Metro

Acer Aspire S5

by

KETEBALAN komputer notebook yang ditawarkan di pasaran adalah antara faktor penting yang dititik beratkan pengguna ketika memilih model pilihan mereka.

Kriteria itu perlu diberikan pertimbangan khususnya di kalangan pengguna yang sentiasa bergerak dalam melaksanakan tugasan harian sama ada di pejabat mahupun untuk kegunaan peribadi. Menyedari hakikat itu, Acer Inc memperkenalkan model terbarunya Aspire S5 yang mana produk komputer mudah alih setebal 11 milimeter yang disasarkan untuk semua segmen pengguna.

Lebih menarik lagi, Acer Aspire S5 berjaya menggondol anugerah Produk Terbaik pada Pameran Elektronik Pengguna 2012 yang diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat, Januari lalu.

Reka bentuk anggun S5 yang diperkenalkan bagi menyokong ciri nipis adalah komputer notebook moden yang mempunyai nilai pasaran menyeluruh, fungsi menepati kehendak pengguna dan inovasi terkini.

Pengurus Besar Acer Sales & Services Sdn Bhd, Ricky Tan berkata, S5 adalah produk notebook yang dihasilkan dengan menitik beratkan aspek prestasi dan reka bentuk canggih.

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan notebook Acer sentiasa memenuhi kehendak pelanggan, penyelidikan dan pembangunan produk yang berasaskan inovasi serta reka bentuk pintar akan dilakukan secara berterusan.
Sementara itu, apabila dinilai berdasarkan prestasinya, S5 didatangkan dengan Teknologi Pantas Thunderbolt iaitu komponen utama yang diketengahkan untuk menyokong kepantasan operasinya.

Dalam erti kata mudah, S5 adalah notebook yang mampu menepati keperluan produktiviti membanggakan.

Untuk kegunaan di pejabat dan di rumah, S5 adalah produk paling sesuai dimiliki berdasarkan teknologi sokongan internet dan pelbagai fungsi yang stabil.

SPESIFIKASI:

Pengeluar: Acer
Model: Aspire S5
CPU: Intel Core i5-3317U (Ivy Bridge)
Kelajuan CPU: 1700 Mhz
Grafik: Intel HD 4000
Sistem operasi: Windows 7
Saiz paparan: 13.3 inci (1,366 X 768)

Jenis skrin: LED
RAM: 4,096 MB
Flash: 128 GB
Berat: 1,200gm
Dimenasi: 324 x 15 x 227 mm

Virus W32.Shadesrat

by
Virus atau cecacing W32.Shadesrat merupakan satu program komputer berniat jahat yang dicipta oleh penjenayah siber dengan tujuan merosakkan sesebuah komputer yang dijangkitinya.

Ia menyerang sistem komputer tanpa disedari dan tanpa kebenaran yang empunya.

Ia mempunyai keupayaan untuk sabotaj fail audio dan video sedia ada yang terdapat dalam komputer yang dijangkitinya.

Cecacing itu juga akan menjangkiti fail-fail tertentu untuk melemahkan beberapa fungsi yang terdapat dalam sistem sesebuah komputer.

Cecacing tersebut akan membuka laluan tanpa kebenaran atau backdoor pada komputer yang dijangkiti. Ini membolehkan penceroboh menyerang komputer tersebut dari jarak jauh.

Sekiranya berjaya ditemui, sangat digalakkan dihapuskan terus cecacing itu.

Ia berupaya mereplikasikan dirinya ke kuantiti yang banyak dan disebarkan menerusi rangkaian komputer. Ini boleh menyebabkan masalah serangan DDoS.

Simptom Jangkitan Virus W32.Shadesrat

1. Ia akan menjangkiti dan memusnahkan fail-fail yang ada dalam komputer.

2.Membina fail-fail kontang atau junk files yang akan menghalang perjalanan operasi beberapa aplikasi komputer.

3. Melemahkan sistem keselamatan dan prestasi larian bagi sesebuah sistem komputer yang dijangkiti.

4. Mencuri maklumat privasi mangsa dan menembusi sistem keselamatan komputer yang dijangkiti.

5. Tidak membenarkan untuk melayari laman-laman web tertentu terutama laman-laman web antivirus dan lain-lain.

Bagaimana untuk menghapuskannya?

Sekiranya komputer kita dijangkiti cecacing W32.Shadesrat, hapuskannya secara manual atau menggunakan perisian antivirus atau sekuriti.

Namun begitu, sekiranya sudah dijangkiti, perisian sekuriti atau antivirus tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Ia juga akan menghalang untuk membuka pelayar web untuk dapatkan kemas kini fail keselamatan di Internet. Jadi, penyelesaian yang terbaik hapus dan buang cecacing itu secara manual.

Sebelum itu, pastikan ditutup fungsi aplikasi System Restore yang terdapat dalam Windows. Sila buka Task Manager dan berhentikan larian fail cecacing itu dalam sistem iaitu seperti Slide Show.exe.

Seterusnya, nyah sambung segala sambungan rangkaian yang terdapat pada komputer yang dijangkiti termasuk sambungan Internet. Seterusnya, larikan komputer yang dijangkiti itu dalam mod selamat atau Safe Mode.

Hapuskan cecacing W32.Shadesrat secara manual

1. Fail-fail yang bersangkutan dengan cecacing itu boleh didapati di %CurrentFolder%\[Nama_Cecacing].exe

Contoh: data.dat, Slide Show.exe, W32.Shadesrat

2. Kemasukan ke Windows Registry boleh diperoleh di beberapa kemungkinan laluan yang berikut dan ia perlu dihapuskan:

HKEY_CURRENT_USER\Software\VB and VBA Program Settings\SrvID\ID\[8 hingga 10 aksara secara rawak]

HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\

CurrentControlSet\Services\

SharedAccess\Parameters\

FirewallPolicy\StandardProfile\

AuthorizedApplications\List\

"%CurrentFolder%\[NamaCecacing].exe"

> "%CurrentFolder%\[THREAT FILE NAME].exe:*:Enabled:Windows Messanger"

HKEY_LOCAL_MACHINE\SOFTWARE\

Microsoft\Windows\CurrentVersion\

policies\Explorer

HKEY_LOCAL_MACHINE\SOFTWARE\

Microsoft\Windows\CurrentVersion\

policies\Explorer\run

HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\

ControlSet001\Control\MediaResources

\msvideo

HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\

CurrentControlSet\Control\

MediaResources\msvideo

HKEY_LOCAL_MACHINE\Software\

W32.Shadesrat

Penghapusan cecacing secara manual perlu dilakukan dengan berhati-hati dan betul.

Sebelum melakukannya, buat salinan pendua kepada Windows Registry dan data yang tertentu. Setelah itu pastikan juga, dikemas kini keselamatan Windows dan perisian anti-virus yang digunakan.

Lakukan imbasan dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini untuk pastikan virus cecacing itu sudah tiada dalam komputer yang telah didijangkiti itu.

- UTUSAN

Apa itu mod selamat komputer?

by
Safe mode atau mod selamat adalah satu keadaan pelancaran untuk membuka sistem komputer Windows dalam keadaan pelarian sistem komputer yang paling minimum operasinya.

Mod selamat ini tidak akan melarikan program-program komputer yang tidak penting dalam sistem Windows bagi membolehkannya beroperasi pada tahap minimum.

Begitu juga dengan penggunaan sumber-sumber komputer seperti memori, pemproses, cakera keras dan sebagainya adalah pada tahap yang minimum.

Banyak aplikasi-aplikasi komputer yang lain seperti Mozilla Firefox ada menyediakan mod selamat ini untuk larian aplikasi pada tahap minimum.

Ini diperlukan apabila aplikasi komputer tersebut bermasalah untuk dibuka atau digunakan.

Kenapa perlunya mod selamat?

Apabila sesebuah sistem komputer dijangkiti oleh virus, kebiasaannya ia akan menyebabkan sistem komputer tersebut beroperasi secara tidak keruan dan bermasalah.

Ia juga berkemungkinan akan meningkatkan penggunaan aplikasi dan program komputer yang tidak penting pada tahap yang maksimum.

Ini menyebabkan komputer tersebut juga akan berada pada tahap maksimum dari segi penggunaan sumber-sumbernya seperti memori, pemproses, cakera keras dan sebagainya.

Oleh demikian, operasi sistem komputer Windows tersebut perlu dijalankan pada tahap yang minimum operasinya.

Ini perlu bagi membolehkan perisian antivirus berupaya membuat pengimbasan keselamatan pada sesebuah sistem komputer yang dijangkiti virus pada tahap yang optimum.

Contoh fail atau program yang tidak dilarikan oleh Windows ketika mod selamat adalah seperti autoexec.bat, config.sys, fail drivers dan lain-lain. Malah, fail-fail sistem ini banyak menjadi sasaran serangan oleh virus yang dijangkiti.

Jadi, mod selamat pada sistem komputer Windows merupakan keadaan yang sesuai dan selamat untuk melarikan perisian antivirus dalam sistem komputer Windows yang dijangkiti virus.

Malah ia juga merupakan keadaan yang sesuai untuk melarikan sistem komputer Windows bermasalah yang disebabkan oleh pelbagai perkara seperti terbuang fail sistem, kerosakan fail sistem, perkakasan dalaman komputer bermasalah dan sebagainya.

Namun begitu, ia bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.

Bagaimana untuk capai mod selamat ini?

Terdapat dua kaedah untuk larikan sistem komputer Windows dalam mod selamat .iaitu dengan menekan butang tertentu ketika but sistem komputer atau melakukan konfigurasi but pada sistem komputer Windows.

Kaedah pertama

l Restart atau boot semula komputer.

l Tekan butang F8 secara berulang kali ketika komputer sedang but.masuk ke Windows.

l Guna butang anak panah untuk memilih menu Safe Mode dan tekan butang Enter.

l Kaedah ini kadang kala tidak sama bagi semua jenis pengeluar komputer atau versi Windows yang digunakan. Sila semak manual pengguna.

Sebagai contoh, ada sistem komputer yang memerlukan tekan secara terus butang Ctrl ketika komputer sedang but untuk masuk ke pilihan mod selamat ini.

Kaedah kedua

- Klik butang Start > Run. Taip perkataan msconfig dalam ruang kekotak yang keluar dan tekan butang OK.

- Seterusnya tetingkap program System Configuration Utility akan dipaparkan.

- Klik pada tab General dan klik pada pilihan Selective Startup.

- Klik pada tab BOOT.INI dan pada ruangan Boot options, klik pada /SAFEBOOT.

- Klik butang Apply dan OK. Klik butang YES untuk Restart komputer.

- Bagi Windows versi lama seperti Windows98 dan lain-lain, pada tab General, setelah klik pilihan Selective Startup, klik butang Advanced > Enable Startup Menu. Klik OK dan but semula komputer seperti biasa.

- UTUSNA

Soal Jawab Komputer : Masalah fail tidak dijumpai

by
SOALAN:

SETIAP kali saya membuka PC, akan keluar pop up Problem starting C:/Users/user/cnmss. The specified module could not be found. Apa yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN:

KENAPA ia berlaku?

Secara umumnya, masalah ini berlaku kerana fail atau direktori (folder) tersebut tidak dijumpai oleh sistem komputer atau ia tidak wujud dalam komputer.

Sekiranya ia wujud, fail atau direktori tersebut tidak boleh dibuang kerana ia sedang digunakan oleh sistem komputer.

Jadi, ketika program Windows mula dilarikan dan ia mencari fail atau direktori tersebut tetapi tidak menemuinya.

Simptomnya adalah seperti yang terdapat dalam gambar rajah.

Antara simptom-simptom yang lain adalah terdapat mesej ralat yang mempunyai ayat-ayat berikut iaitu "Cannot find...", "Cannot start...", "Cannot load...", "Could not run...", Cannot run", "Error loading..." atau "specific module could not be found".

Perkara ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara iaitu;

Proses pembuangan sesebuah program komputer dibuat secara tidak lengkap atau proses pembuangannya bermasalah.

Fail tersebut berada dalam senarai fungsi Startup Windows tetapi ia sudah tiada dalam komputer.

Berlaku masalah gangguan terhadap sistem komputer Windows yang normal disebabkan oleh ada fail sistem Windows yang dibuang atau dijangkiti virus dan Malware.

Biasanya fail yang berkaitan dengan nama cnmss adalah kepunyaan sesebuah program komputer yang dihasilkan oleh pihak Canon seperti program pemacu pencetak Canon dan sebagainya.

Cara untuk mengatasinya?

Perkara pertama sekali yang perlu dilakukan adalah, sila kemas kini program Windows dan perisian anti-virus yang digunakan. Kemudian, boleh laksanakan mana-mana cara yang akan dibincangkan seterusnya.

Imbas keseluruhan komputer dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini. Sekiranya ada virus, sila kenal pasti jenis virus dan ikuti langkah-langkah pembuangannya atau baik pulih.

Sila membuat pembuangan program atau aplikasi komputer yang berkaitan secara bersih dan teratur.

Sekiranya perlu, boleh dimuat turun aplikasi komputer yang digunakan untuk membuang mana-mana program komputer secara teratur dan bersih.

Seterusnya, larikan program komputer tersebut dalam komputer.

Fail atau direktori yang dikatakan hilang itu boleh dibuang secara manual dengan membuangnya dalam persekitaran mod selamat Windows atau Safe Mode.

Ini sekiranya fail atau direktori tersebut masih ada dalam komputer.

Sila buang fail atau direktori tersebut daripada konfigurasi senarai fail dalam Startup Windows.

Ia boleh dilakukan secara manual dalam program msconfig pada tab Startup atau secara automatik dengan menggunakan aplikasi komputer tertentu seperti Autoruns dan lain-lain.

Ia juga boleh dibuang secara manual menerusi program Regedit dengan melaksanakan pencarian fail terlebih dahulu.

Pastikan program Regedit itu dibuat salinan pendua terlebih dahulu.

Program Autoruns dihasilkan secara percuma oleh pihak Microsoft. Ia boleh dimuat turun menerusi alamat URL, HYPERLINK "http://technet.microsoft.com/en-us/sysinternals/bb963902.aspx" \t "_blank"http://technet.microsoft.com/en-us/sysinternals/bb963902.aspx.

Sekiranya ia disebabkan oleh virus atau malware, proses pengimbasan komputer boleh dilaksanakan dalam mod selamat. Pastikan juga komputer tersebut bebas daripada rangkaian dan internet.

Akhir sekali, sila kemas kini sekali lagi program Windows dan perisian anti-virus yang digunakan. Seterusnya, imbas kembali komputer yang bermasalah itu dengan perisian anti-virus.

- UTUSAN

Apa yang perlu dibuat apabila komputer diserang Malware?

by
Apabila berlakunya masalah jangkitan atau serangan Malware terhadap sesebuah komputer, sudah tentulah ia perlu dipulihkan kembali dengan memelihara keselamatan dan keadaan data yang ada di dalamnya.

Namun begitu, ada beberapa cara yang baik dalam mengendalikan masalah ini supaya proses baik pulih akan berjalan dengan lancar dan jayanya. Berikut adalah cara-cara yang boleh diguna pakai dalam mengendalikan masalah ini.

1. Kenal pasti tahap ancaman Malware tersebut sama ada ia dikategorikan sebagai ancaman pada tahap rendah, sederhana atau tinggi.

Pada tahap ancaman yang rendah, kesan buruknya adalah jelas tetapi mudah untuk dibersihkan. Pada tahap ancaman yang sederhana, kesan buruknya juga adalah jelas tetapi memerlukan usaha yang lebih untuk membersihkannya.

Pada tahap ancaman tinggi, kesannya agak sukar untuk dilihat atau dikesan tetapi ia akan mencuri data yang terdapat dalam komputer tersebut.

Jadi, fokus haruslah diberikan kepada tanda-tanda ancaman Malware tersebut dan bagaimana langkah yang seterusnya perlu diambil untuk menanganinya.

2. Lakukan analisis terhadap fail-fail log bagi kesemua perisian keselamatan yang ada seperti Firewall, antivirus dan sebagainya.

Ini adalah untuk melihat sama ada berlaku perkaitan masalah Malware sedia ada dengan masalah-masalah Malware yang lepas.

3. Buat soal selidik kepada pengguna komputer tersebut atau kepada diri sendiri berkenaan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan terhadap komputer tersebut sebelum terjadinya masalah jangkitan Malware ini.

Sila catit kesemuanya jika perlu. Ini penting untuk melihat perkaitannya dengan masalah Malware yang dihadapi. Boleh juga melihat fail log komputer sekiranya ada.

4. Laksanakan baik pulih komputer yang dijangkiti dengan program-program tertentu dan sekiranya tidak boleh mencapainya, gunakanlah media lain seperti pemacu storan USB, CD, disket atau DVD.

Antara program komputer yang penting untuk buat baik pulih ini adalah seperti USB Dummy Protect (fungsi write protect), Super Anti-Spyware (Buang Malware) Malware Bytes AntiMalware (Buang Malware), SysInternals (Masalah Malware), EXEFIX_XP (Pulihkan masalah fail .exe dan shortcut), Sophos Rootkit Revealer (Masalah Malware), aswMBR (Masalah Malware), Kaspersky Rescue CD (Pakej lengkap untuk masalah Malware) dan lain-lain tools atau program baik pulih.

Perkara yang paling penting setelah itu adalah kemas kini perisian-perisian yang sedia ada dalam komputer itu termasuk sistem pengoperasian.

5. Buat pengrekodan terhadap semua dapatan yang telah diperolehi sama ada ia datang daripada soal selidik atau perlarian program komputer seperti masalah virus atau Malware, masalah vulnerability atau kelemahan pada sistem komputer, risiko-risiko yang berpotensi berlaku, perimeter-perimeter ancaman dan lain-lain.

Bagi melengkapkan pengrekodan ini, boleh rujuk kepada buku-buku panduan atau laman-laman web keselamatan seperti Microsoft Malware Protection Center, McAfee Threat Intelligence dan lain-lain. Biasanya laman web perisian anti virus yang utama ada menyediakan maklumat-maklumat ini.

6. Akhir sekali, bolehlah dirangkakan atau membuat tambahan kepada panduan keselamatan dan polisi keselamatan terhadap penggunaan komputer bagi mencegah berlakunya masalah jangkitan Malware ini sekali lagi di masa hadapan. Ini dapat mendidik sesiapa sahaja untuk penggunaan komputer yang selamat dan betul.

Proses pencegahan perlu dibuat tetapi ia tidak dapat menghalang secara total masalah jangkitan Malware ini. Perkara yang penting adalah persediaan perlu ada untuk menangani masalah ini dan ia perlu dikongsi untuk pertahanan di masa akan datang.

Berlakunya masalah ini membolehkan beberapa kajian dapat dibuat terhadap tahap rangka keselamatan digital sedia ada dengan membuat profil risiko-risiko jangkaan, menganaliasa fail-fail log, kecerdikan sistem dalam menangani ancaman dan lain-lain.

- UTUSAN

Kata laluan Mozilla Firefox

by
SECARA umumnya kebanyakan pelayar web seperti Mozilla Firefox tidak mempunyai fungsi yang membolehkan kata laluan dikonfigurasikan untuk penggunaannya. Namun begitu terdapat cara yang boleh digunakan untuk membolehkan sesebuah pelayar web itu mempunyai kata laluan.

Kebanyakan pengguna memerlukan kata laluan tersebut untuk mengawal penggunaan pelayar web dalam melayari Internet. Ia juga digunakan untuk menjaga kerahsiaan privacy dalam penggunaan sesebuah program pelayar web tersebut. Dengan adanya kata laluan penggunaannya terkawal dan rahsia.

Bagi membolehkan sesebuah pelayar web mempunyai fungsi kata laluan, ia memerlukan pemasangan program komputer tertentu kepada pelayar web tersebut yang di kenali sebagai add on program. Di sini akan saya bincangkan beberapa pelayar web utama yang popular digunakan.

Bagi pelayar web Mozilla Firefox, boleh dipasang kepadanya program tambahan Master Password+. Ia boleh dimuat turun di alamat URL, https://addons.mozilla.org/en-US/firefox/addon/master-password/.

Bagi pelayar web Google Chrome pula, boleh dipasang kepadanya program tambahan Simple Startup Password.

Ia boleh dimuat turun di alamat URL, https://chrome.google.com/webstore/detail/ojoalkffommhmdmbohjphohoejjmgepc.

Mungkin ada program tambahan lain yang boleh digunakan untuk fungsi kata laluan seperti Internet Lock dan lain-lain. Cara yang sama juga bagi program-program pelayar web yang lain.

Bagi pelayar web Internet Explorer pula, ia boleh dikonfigurasikan dengan kata laluan dengan pergi ke Tools > Internet Option > Content > Content Advisor > General. Seterusnya pergi ke ruangan Supervisor Password dan klik butang create. Seterusnya masukan kata laluan yang dikehendaki dan klik OK.

Sekiranya sesebuah komputer digunakan dalam persekitaran rangkaian dan Windows, boleh digunakan program untuk polisi komputer seperti Group Policy untuk mengawal penggunaan sesebuah pelayar web dengan menggunakan kata laluan.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90