Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan

Nampak ‘hantu jerangkung’ di bangunan terbengkalai

by

 

Rakaman entiti seram dipercayai hantu yang muncul semasa proses meruntuhkan sebuah bangunan terbengkalai di Hull, England  hampir sedekad lalu terus menimbulkan tanda tanya penduduk tempatan, lapor akhbar Daily Star kelmarin. 

Milldane Tower Blocks (Milldane) adalah salah satu daripada dua buah bangunan di Orchard Park Estate yang diruntuhkan menggunakan bahan letupan pada 11 Ogos 2013 dalam usaha untuk membangunkan semula kawasan tersebut.

Ketika ledakan berlaku di sekitar Milldane, seorang pekerja merakam kelibat entiti itu di tingkat 18 yang mendorong orang ramai tertanya-tanya sama ada blok tersebut berhantu.

Rakaman itu jelas memaparkan entiti tersebut tergantung di tepi balkoni bangunan itu.

Ramai menyangka mereka telah melihat hantu jerangkung, manakala rakaman itu menjadi tular di media sosial pada ketika itu.

Menurut sejarah, pada tahun 1997, satu blok menara Milldane mengalami dua kebakaran serius yang dipercayai dicetuskan dengan sengaja.

Menerusi laporan berita, Milldane adalah blok pangsapuri yang tidak mendapat sambutan masyarakat dan pemilik-pemilik apartmen sangat terdesak untuk mencari penyewa. 

Sumber : Agensi

 

Misteri wanita berkebaya di tepi lebuh raya

by

 

Sekitar awal Februari hingga April 2009, kejadian kemalangan di sepanjang laluan Lebuh Raya Utara-Selatan antara Sungai Petani ke Gurun, Kedah kerap dikaitkan dengan gangguan wanita yang memakai kebaya merah.

Kelibat wanita cantik, muda, ramping serta berambut panjang itu dikatakan tiba-tiba muncul di tepi lebuh raya sebelum melintas di hadapan kenderaan.

Pemandu yang terkejut dan ketakutan dikatakan menjadi punca kenderaan dipandu hilang kawalan sehingga terlibat kemalangan.

Difahamkan, kemalangan yang didakwa berlaku selepas melihat sosok tubuh wanita kebaya merah itu tidak pernah mengakibatkan kematian.

Pada 5 Februari 2009, seorang lelaki mendakwa melihat satu ‘lembaga’ menyerupai wanita berkebaya merah berdiri bersebelahan isterinya semasa mereka berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Gurun.

Lelaki itu mendakwa, wanita misteri itu turut dirakam dalam gambar yang diambilnya pada pukul 5.30 pagi, sedangkan ketika itu tiada sesiapa di kawasan berkenaan.

Lebih mengejutkan katanya, selepas melihat semula rakaman itu, didapati tiada wanita cantik berkebaya merah yang dirakam, sebaliknya wajah lembaga itu bertukar mengerikan dengan muka seperti beruk, pipi lebar dan mulut muncung panjang.

Selepas kejadian itu, kisah misteri hantu wanita berkebaya merah itu sudah tidak lagi kedengaran.

Bagaimanapun, dua pengguna laluan itu mendakwa mengalami kejadian pelik di lokasi tersebut, baru-baru ini.

Kejadian pertama dialami seorang jurukimpal dari Taman Ria Jaya, Gurun lebih sebulan lalu semasa dia dalam perjalanan pulang menjenguk ibunya di Perlis.

Menurut Sitanor Salim, 53, sebaik melepasi plaza tol kira-kira pukul 6 petang, dia yang memandu berseorangan berasa seram sejuk sebelum tangan dan dahinya berpeluh secara tiba-tiba.

“Ketika itu hujan renyai dan cuaca sejuk tetapi sebaliknya suasana di dalam kereta saya terasa begitu panas sekali walaupun sistem pendingin hawa kereta berfungsi dengan baik.

“Semasa melalui kawasan sebuah kolej, saya terpandang dari jauh seorang wanita memakai pakaian berwarna merah berdiri berseorangan di bahu jalan,” katanya.

Menurut Sitanor, dia memperlahankan keretanya dengan niat untuk membantu tetapi sebaik menghampiri kawasan berkenaan kelibat wanita muda itu tiba-tiba hilang daripada pandangannya.

“Pada waktu itus seluruh badan saya mula berpeluh dan terasa kereta Proton Perdana yang dipandu menjadi berat dan bergerak perlahan.

“Saya kemudian membaca ayat Kursi berulang kali dan sejurus selepas itu kereta kembali lancar, manakala peluh di badan kering serta-merta.

“Sambil memandu saya menjeling melalui cermin pandang belakang tetapi kelibat wanita itu tidak lagi kelihatan dan apa yang bermain di fikiran ketika itu adalah mungkin ia usikan wanita berkebaya merah,” katanya.

Sementara itu seorang pengguna lebuh raya, Zulkifli Yaakob, 45, pula mengalami gangguan aneh kira-kira sebulan lalu sekitar pukul 1.50 pagi ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani dari rumah bapanya di Pendang.

“Ketika melalui kawasan berdekatan R&R Gurun, saya terkejut selepas melihat seorang wanita berselimut kain putih sedang melintas jalan kira-kira 50 meter di hadapan.

“Bagi melihat lebih jelas saya menggunakan lampu tinggi tetapi lebih mengejutkan sebaik dilimpahi cahaya lampu kereta, selimut yang membaluti tubuh wanita itu bertukar kepada warna merah.

“Dalam keadaan tergamam dengan kejadian itu, saya mula membaca beberapa ayat al-Quran yang pendek dan objek itu kemudian hilang secara perlahan-lahan daripada pandangan.

“Ini merupakan pengalaman aneh kali pertama yang ditempuhi dan pada saya, itu mungkin usikan hantu wanita berkebaya merah seperti yang pernah didengari 11 tahun lalu itu,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Jelmaan misteri di Bukit Salbiah

by

 

Wanita berpakaian putih dilihat berjalan perlahan-lahan sambil mengendong bayi. Dia kemudian berhenti di tepi selekoh tajam seolah-olah menunggu seseorang sambil memerhatikan gaung curam di laluan itu.

Kadang-kadang wanita itu dilihat melambai-lambai pengguna jalan raya di tepi gaung pada waktu malam, meminta mereka menumpangkannya untuk mencari kekasih hati yang dikatakan menjadi peragut nyawanya.

Wanita berkenaan hanya dapat dilihat pengguna jalan raya yang ‘bertuah’ apabila melalui Jalan Bukit Fettes, Tanjung Bungah selepas waktu senja hingga tengah malam.

Kelibat wanita dikenali sebagai Salbiah dikatakan mula menghantui pengguna jalan raya di Jalan Bukit Fettes selepas mayatnya ditemui di dalam gaung di laluan berkenaan pada 15 November 1980.

Sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an terdapat peringatan supaya pengguna jalan raya berhati-hati jika melalui laluan alternatif berkenaan yang menghubungkan Jalan Tanjong Tokong ke Batu Feringghi itu.

Ketika itu, Jalan Bukit Fettes digeruni bukan sahaja kerana laluannya yang berbukit dan mempunyai selekoh sempit yang tajam, namun namanya turut dikenali sebagai Bukit Salbiah menyimpan misteri pembunuhan membabitkan seorang wanita.

Bukit Salbiah mendapat namanya apabila mayat seorang pekerja kilang, Salbiah Yeop Abdul Rahman, 27, ditemui di dalam gaung di Jalan Bukit Fettes itu.

Salbiah, seorang pekerja kilang di Bayan Lepas dikatakan dibunuh kekasihnya, seorang anggota polis dan mayatnya dibuang di dalam gaung di situ bagi menghapuskan bukti percintaan terlarang mereka.

Dia dikatakan menjadi mangsa selepas terlibat dalam cinta tiga segi. Kekasihnya membunuh wanita cantik itu bagi mengelakkan hubungan mereka diketahui tunangnya yang tinggal di Melaka.

Pembunuh Salbiah akhirnya ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 1984 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan lelaki berkenaan membunuh Salbiah dan bukannya mati akibat membunuh diri seperti didakwa.

Cerita misteri mengenai entiti jelmaan Salbiah turut terkenal dalam kalangan pelajar sebuah sekolah menengah yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan gaung lokasi mayat wanita itu dibuang.

Berkongsi pengalaman, bekas pelajar sekolah berkenaan, Azmi Ibrahim, 38, menceritakan, dia mempunyai pengalaman seram yang sukar dilupakan.

Azmi yang kini menetap di Kulim, Kedah menceritakan, sekitar tahun 1998 dia pernah tersesat di kawasan hutan dan gaung di situ.

Semuanya gara-gara seorang rakannya celupar mempersendakan kisah Salbiah yang menjadi buah mulut di sekolah itu.

“Ketika itu saya menjadi Ketua Pengawas, tugas saya mencari pelajar ponteng di dalam hutan di belakang sekolah.

“Kami berpecah kepada beberapa kumpulan untuk menjejaki pelajar yang sering ponteng, namun tersesat hingga lebih lima jam di gaung berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Azmi berkata, ketika itu kawasan hutan yang kecil dan biasa dimasuki terasa begitu gelap, sunyi serta menyeramkan.

“Sebelum masuk ke dalam hutan pada pukul 8 pagi, ada rakan saya yang mempermainkan nama Salbiah. Dia kata nanti masuk mesti jumpa hantu Salbiah.

“Kami yang mendengar hanya mendiamkan diri dan akhirnya gagal mencari jalan keluar dari gaung tersebut walaupun jaraknya dengan jalan utama hanya 500 meter. Hanya selepas lima jam dan pelbagai surah al-Quran dibaca, baru dapat mencari jalan keluar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Azim Mohd. Naim, 29, berkata, dia baru dua bulan bekerja di kawasan berhampiran Bukit Salbiah itu.

“Sebelum ini, memang saya tahu mengenai kisah Salbiah daripada rakan-rakan tetapi sejak bekerja di situ tidak pula saya berjumpa dengan entiti yang pelik dan menyeramkan.

“Ada yang kata Salbiah akan tunggu di selekoh, tepi gaung dan sebagainya, namun apabila saya jalankan rondaan pada waktu malam tidak pula saya diganggu,” katanya.

Azim berkata, kawasan Bukit Salbiah itu yang dahulunya digeruni tidak lagi sunyi apabila kawasan itu kini menjadi kawasan perumahan mewah.

“Ramai yang telah melupakan kisah Salbiah, kawasan ini juga telah dihuni ramai dan tidak sunyi seperti dahulu.

“Kisah Salbiah telah dilupakan, namun Bukit Salbiah akan tetap diingati penduduk setempat sebagai salah satu lokasi paling menyeramkan di negeri ini,’’ katanya.

 - Kosmo!

Tempayan Misteri Berisi Tengkorak Manusia Ditemui Di Perak

by


Empat tempayan misteri berisi empat tengkorak manusia ditemui di atas bukit di sebuah kawasan peninggalan lombong bijih timah di Kampung Baru Nalla, Tronoh, Batu Gajah, Perak.

Kejadian sekitar pukul 1.30 petang itu disedari seorang kontraktor rintis Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan kerja penyelenggaraan pencawang di lokasi berhampiran.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati, tempayan berkenaan tersusun rapat dengan tiga daripadanya dalam keadaan tertutup.

"Kita dapati, tulang-tulang yang berada dalam tempayan itu bercampur, ada empat tengkorak dan beberapa tulang lagi bertaburan atas tanah.

"Semua tulang ini tidak diusik dan akan dirujuk ke pakar patologi esok bagi pengesahan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan penemuan tengkorak itu ada kaitan dengan aktiviti pemindahan tulang nenek moyang kaum Cina yang telah meninggal dunia.

Katanya, berdasarkan temubual orang kampung, dahulu terdapat aktiviti pemindahan tulang nenek moyang dan saudara yang telah lama meninggal dunia untuk ditempatkan di tempat yang mempunyai fengshui yang baik.

"Siasatan awal terhadap penduduk kampung juga tidak dapat mengaitkan dengan sebarang aktiviti pemujaan atau jenayah."Siasatan akan diteruskan dari pelbagai sudut, buat masa ini siasatan dijalankan di bawah Kertas Enkuari Polis (KEP)," katanya.

Tinjauan ke lokasi mendapati, lokasi penemuan terletak lebih tiga kilometer dari pekan Tronoh dan dalam jarak 10 kilometer terdapat jirat Cina.

Penduduk kampung memaklumkan, lombong lama itu sudah lebih 17 tahun tidak beroperasi dan jarang dikunjungi orang kecuali jika ada projek pengambilan pasir.

Seorang penduduk dikenali Sulaiman, 35, berkata, sekitar tahun 90 an, kawasan itu memang terkenal sebagai lokasi penempatan tempayan menyimpan tulang nenek moyang masyarakat Cina yang meninggal dunia.

Bagaimanapun menurutnya, setelah projek pengambilan pasir dan kelapa sawit bermula,  tempayan berkenaan dibawa keluar.

"Aktiviti itu sudah lama dan kita tak pernah dengar lagi ada tempayan diletakkan di situ sehinggalah hari ini," katanya. 

- Sinar Online

Di Amerika Syarikat angka 13 dianggap malang

by

Di Amerika Syarikat angka 13 dianggap malang

Apabila kerja-kerja pembinaan di 56 Leonard Street di Manhattan, New York, Amerika Syarikat (AS) siap sepenuhnya dua tahun lagi, bangunan pencakar langit itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang berkeluasan kira-kira 22.8 meter persegi dan ruang perpustakaan.

Bagaimanapun, menurut portal berita The Wall Street Journal, apa yang tidak dimiliki oleh bangunan mewah setinggi 60 tingkat itu ialah tingkat 13.

Situasi tersebut amat menghairankan tetapi itulah satu fenomena pelik yang terdapat di kebanyakan bangunan khususnya di negara-negara Eropah.

Satu kajian mendapati hanya lima peratus daripada 1,500 buah kondominium di Manhattan dan Brooklyn mempunyai tingkat 13.

Selebihnya menggelarkan tingkat dengan nombor ‘berhantu’ itu sebagai tingkat 14 supaya tiada penduduk yang terbeban kerana beralamatkan nombor malang itu.

Kajian mengenai fobia terhadap angka 13 itu digelar 'Triskaidekaphobia' manakala fobia terhadap tarikh 13 hari bulan yang jatuh pada hari Jumaat pula dikenali sebagai ‘paraskavedekatriaphobia’ atau ‘friggatriskaidekaphobia’.

Satu penyelidikan dalam Jurnal Perubatan British yang diterbitkan pada 1993, mendapati kadar kemalangan jalan raya meningkat pada hari Jumaat bertarikh 13 hari bulan berbanding hari Jumaat lain.

Menerusi jurnal tersebut, penulisnya membandingkan nisbah jumlah trafik kepada bilangan kemalangan kereta pada dua hari yang berbeza iaitu Jumaat keenam dan Jumaat ke-13 sepanjang tahun itu.

Salah seorang penulisnya, Scanlon TJ mendakwa kadar kemasukan ke hospital meningkat sebanyak 52 peratus pada hari Jumaat ke-13 berbanding hari-hari Jumaat lain.

“Jumaat ke-13 ialah hari malang bagi sesetengah individu. Risiko kemasukan ke hospital akibat kemalangan juga meningkat. Kami mengesyorkan adalah lebih baik untuk tinggal di rumah sahaja,” katanya.

Mitos Norse

Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai nombor malang dikatakan berasal daripada mitos Norse yang bercerita tentang kisah 13 dewa menghadiri majlis santapan di Valhalla – sebuah tempat di mana roh pahlawan berani ‘pergi’ selepas mereka meninggal dunia.

Dikisahkan bahawa ketika 12 dewa lain sedang makan, datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis berkenaan.

Loki dianggap tetamu ke-13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Balder iaitu dewa kegembiraan.

Kematian Balder dipercayai menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan terjadinya musim sejuk pertama di dunia.

Fobia itu turut diperkuatkan lagi dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan hari Jumaat yang jatuh pada tarikh hari tersebut.

Antaranya ialah penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam Perang Salib yang berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307 dan pemerintahan King Saxon Harold II berakhir selepas dia dibunuh oleh Duke of Normandy, William pada Jumaat, 13 Oktober 1066.

Selain itu, ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menggunakan nombor 13 selain diterbangkan pada pukul 1.13 petang pada 11 April 1970.

Malah, fobia terhadap angka berkenaan turut melanda golongan profesional dan intelektual.

Akibatnya, ada pengusaha syarikat penerbangan yang tidak menyediakan kerusi penumpang bernombor 13, syarikat pembinaan yang tidak membina bangunan yang memiliki tingkat 13, pintu ke-13 atau premis bernombor 13.

Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menyatakan bahawa pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 hingga AS$900 juta pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan berikutan ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu.

- KOSMO!




Pontianak - Benar-benar wujud atau sekadar mitos?

by


Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.

Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.

Halia

Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.

Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.

Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.

Mitos

Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.

Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

- KOSMO!

Misteri kejadian histeria

by
Seringkali kita tertanya-tanya, apakah sebenarnya histeria dan mengapa pula hanya terjadi kepada kaum wanita? Mengapa pula histeria terjadi kepada sekumpulan orang dan berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.

Hakikat yang perlu diketahui, histeria juga boleh berlaku kepada kaum lelaki. Kajian-kajian awal mengenai histeria sebenarnya melibatkan kaum lelaki, khususnya tentera yang terlibat dengan Perang Dunia Pertama.

Kebanyakan tentera ini mengalami trauma dalam peperangan. Histeria juga tidak semestinya berlaku kepada banyak orang. Ia juga boleh berlaku kepada individu.

Walaupun terdapat banyak tanggapan berdasarkan disiplin ilmu masing-masing, ilmu psikologi cuba menerangkan hal ini dari perspektif yang lain. Ia tidak disebabkan oleh makhluk asing seperti dalam perspektif perubatan tradisional. Sebaliknya ia dianggap sebagai perpindahan emosi manusia, atau dalam istilah bahasa Inggeris sebagai contagion effects. Emosi ini dikatakan boleh berpindah daripada satu individu kepada individu lain.

Pengaruh persekitaran

Proses contagion effects atau perpindahan emosi ini sering terjadi kepada kita semua. Misalnya, apabila kita menziarahi orang sakit di hospital, atau seseorang yang meninggal dunia, kita akan berasa sedih.

Kesedihan ini adakalanya bukanlah disebabkan melihat mangsa yang sakit atau orang yang mati tadi, tetapi kita bersedih kerana melihat orang di sekelilingnya juga bersedih. Inilah yang dikatakan perpindahan emosi.

Pada Julai 1518, di Strasbourg, Perancis, orang ramai tiba-tiba menari tanpa henti dan tanpa rehat selama sebulan. Ia bermula dengan seorang wanita sebelum merebak kepada 34 orang. Kemudian, jumlah itu bertambah kepada 400 orang. Beberapa orang telah mati kerana kepenatan dan sakit jantung. Sampai sekarang, punca histeria itu masih menjadi misteri.

Di India, pada tahun 2001 telah berlaku histeria yang besar. Ia melibatkan lebih 397 orang. Ia bermula di negeri Uttar Pradesh dan kemudian merebak hingga ke kawasan Delhi Timur. Mangsa melaporkan kononnya telah melihat 'monyet jelmaan'.

Berita sensasi itu mencetus ketakutan kepada orang ramai. Mereka yang tahu tentang berita itu dilaporkan terus diserang histeria dan ramai daripada mangsanya ialah lelaki.

Pada akhir tahun 1970-an pula, telah berlaku lebih 40 kali kes 'histeria' di sebuah kilang di Melaka. Semua mangsanya ialah pekerja wanita Melayu. Seperti dalam banyak kes, apabila seorang dirasuk histeria, ia merebak kepada orang lain.

Punca histeria

Ada dua pandangan. Dalam kalangan pakar perubatan, puncanya disebabkan oleh sistem saraf. Sebab itulah, pada masa silam, pesakit histeria dikenakan kejutan elektrik, atau disuntik dengan ubat tertentu.

Dalam kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal. Bagi tentera yang berperang misalnya, trauma perang itu dianggap puncanya.

Dalam kejadian di Melaka tersebut, ramai pesakit kemudiannya mengadu bahawa mereka mengalami tekanan kerja kerana layanan buruk majikan dan gaji yang rendah. Dalam kes di India itu pula, ia berlaku dalam kalangan mereka yang miskin, berpendapatan rendah dan hidup di kawasan padat penduduk.

Kajian-kajian yang dilakukan di Barat mendapati beberapa pesakit yang kerap diserang histeria ini bermula dengan alam anak-anak yang tidak membahagiakan, ibu bapa bercerai dan insiden tragis lain.

Dalam masyarakat kita pula, kita percaya remaja wanita yang haid lebih mudah diserang kerana makhluk halus suka dengan darah haid. Hakikatnya mungkin berbeza dari perspektif psikologi. Mereka yang haid mungkin berada dalam emosi yang tidak stabil, menyebabkan fikiran mereka lebih mudah terganggu.

Individu yang tertekan secara psikologinya lebih mudah dilanda halusinasi dengan melihat 'makhluk' yang menakutkan. Ketakutan yang melampau ini kemudiannya dipindahkan pula kepada orang lain.

Contagion effects ini berlaku kerana orang yang melihat pesakit histeria turut panik. Ia kemudiannya merebak kepada individu lain di sekitarnya. Biasanya terhadap rakan-rakan karib yang berkongsi pengalaman dan emosi dalam aktiviti seharian. Disebabkan semua orang menjerit ketakutan, ia telah menyebabkan orang yang berada di sekelilingnya turut kerasukan.

Kajian mendapati, gambaran yang menakutkan oleh pesakit tidak sama antara satu sama lain walaupun mereka semuanya mengalami kerasukan tersebut.

- KOSMO!

Seekers ntv7 Musim Keenam Lebih Seram

by

Program paranormal kegemaran ramai, Seekers musim keenam akan dikendalikan oleh tiga pengacara baru iaitu Bil Azali, Syai dan Ixora Chern.

Ia bersiaran pada setiap Khamis mulai 5 Januari ini, pukul 9 malam menerusi saluran ntv7.

Menurut penerbitnya, Aeizul Reeza Ismail, Seekerskali ini tampil penuh kejutan, seram dan suspens dengan pelbagai perkara aneh yang terpaksa dilalui oleh tiga pengacara tersebut untuk mencari jawapan kepada misteri paranormal yang ditampilkan.

“Saya pasti penonton berminat melihat sesuatu yang jarang boleh ditemui terutama apabila berjaya dirakam secara visual ataupun bunyi.

"Inilah kelainan yang kami cuba sampaikan melalui rancangan ini iaitu sejauh mana perkara paranormal boleh diterima akal atau mungkin kami boleh membuktikan sesuatu di sebalik semua peristiwa aneh," katanya.

Tambah Aeizul, program tersebut turut dilengkapi dengan teknologi terkini seperti kamera infra merah, alat pandangan malam, pengesan bunyi dan haba sensitif, medan pengesan elektronik serta lampu suluh.

Bagi musim ini, kru dan ahli penyiasat Seekers akan ke Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan bagi membongkar beberapa lagi aktiviti paranormal sepanjang 19 episod ia disiarkan.

Bukan itu sahaja, selebriti tempatan seperti Black (Mentor), Danny (X-Factor), Kanchana Devi, Belle Ngasri, Hamdan dan ramai lagi turut bersama penyiasat Seekers untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dan mencabar perasaan takut dalam diri mereka masing-masing.

Sebelum menyelongkar misteri di lokasi yang mereka singgah, Bil Azali, Syai dan Ixora Chern akan melakukan kajian dengan menemu bual saksi di tempat kejadian yang dikatakan aneh.

Mereka juga akan mengumpul data-data yang boleh dikaitkan dengan peristiwa ganjil itu sebelum membuat persediaan dan berjaga malam untuk cuba berhubung dengan sebarang kebarangkalian aktiviti paranormal.

Rancangan itu juga akan lebih interaktif dengan memberi peluang kepada para penonton untuk berkomunikasi menerusi ruang forum dengan cara berkongsi pengalaman masing-masing, bercerita tentang lokasi mistik yang mereka ketahui selain memberi maklum balas mengenai rancangan tersebut.

- MSTAR

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90