1. Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada
24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah 1,228 kes). Bermula penghujung November
2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap
hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari
2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.
2. Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September 2020,
sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari 2021
melibatkan 259 kluster (54.41%) tempat kerja. Data ini menunjukkan
peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam gelombang ketiga
berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan semasa gelombang kedua
dengan 25 kluster (22.72%) melibatkan tempat kerja.
3. Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan
sehingga 10 Januari 2021 dengan 48.46% daripadanya merupakan kluster
yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga, sebanyak 254
kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah pun diisytiharkan
tamat.
4. Sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan COVID-19 di
Malaysia, trend kes import didapati adalah terkawal tetapi kes-kes
penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara
dan warganegara.
5. Pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020, kes-kes
lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63% dan
hanya 37% melibatkan warganegara. Namun perkembangan semasa menunjukkan
jangkitan dalam kalangan warganegara semakin meningkat. Sehingga 11
Januari 2021, sebanyak 70% kes positif COVID-19 di Malaysia adalah
melibatkan warganegara dan hanya 30% bagi bukan warganegara.
6. Berdasarkan nilai R semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar
kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini
dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua
bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu
keempat bulan Mei 2021.
7. Semakin tinggi nilai R, semakin sukar untuk mengawal penularan
kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya menurunkan nilai R kepada
0.335, sekaligus mengurangkan kes jangkitan COVID-19 kepada angka satu
(1) hingga dua (2) digit sehari.
8. Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa
pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian
penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan bilangan kes
positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan
lebih berkesan.
9. Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat seluruhnya
yang amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes kebelakangan ini.
Kerajaan juga sangat memahami beban tugas yang dihadapi oleh
petugas-petugas kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak.
Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat.
Saudari saudari yang saya kasihi,
10. Pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu
setiap hari. Our healthcare system is at breaking point. Saya ingin
jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi
sekarang:
I. Lima belas (15) buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.
II. Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19
di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah
mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah
mencapai 83 peratus. Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk
pesakit COVID-19 di lima (5) buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka,
Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus.
III. Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan
di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa
menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.
IV. Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521
kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia mencatatkan
lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020
berbanding dua (2) hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga
September 2020.
V. Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas
kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke
hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).
VI. Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga
menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara
negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit
kritikal.
Saudara dan saudari sekalian,
11. Dalam menangani pandemik COVID-19 ini, amat penting bagi
mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak
dalam tempoh masa yang singkat.
12. Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan
kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi
mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes
kematian akan terus meningkat.
13. Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti
yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita
hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau
intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.
14. The situation today is indeed very alarming. Our healthcare
system is under tremendous pressure now than at any other time since the
start of the pandemic. As I have said before, unprecedented situations
call for unprecedented measures.
15. Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan
Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara,
Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas
perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus
COVID-19.
16. Untuk itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah
malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. Perintah ini
melibatkan tiga peringkat pelaksanaan seperti berikut:
a. Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang,
Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan),
Melaka, Johor dan Sabah.
b. Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu
Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
c. Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri
Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
17. Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko
tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan
kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat
penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan
PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu
berkenaan tamat.
Saudara dan saudari sekalian,
18. Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian
COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai
seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk
Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK
DIBENARKAN sama sekali. Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah
pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada
pematuhan SOP yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK
DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan
rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.
19. Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini,
operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01
tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP,
pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi
tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang
berdekatan, HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk
keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu yang
melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.
20. Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5)
sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor
ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan
pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta
perladangan dan komoditi.
21. Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong
kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan
barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti
perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan
antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong
infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.
22. Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan
yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam
kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa
akan ditentukan oleh majikan masing-masing. Ingin saya ingatkan, jumlah
pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang
ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu
berada di tempat kerja. Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan
menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja,
tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup
premis berkenaan.
23. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan
memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai
essential economic sector. MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan
memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.
24. Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai
essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan
berkuatkuasa. Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan
pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan
tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko
jangkitan COVID-19 di tempat kerja.
25. Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja
dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away manakala bagi
kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti
biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Perkhidmatan penghantaran
makanan dibenarkan beroperasi.
26. Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan
farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap
berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti
memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap
gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau
mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home.
27. Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor
peruncitan adalah mencukupi. Pemantauan terhadap barangan keperluan
pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih,
susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan
pelitup muka akan dilakukan setiap hari.
Saudara dan saudari sekalian,
28. Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di
negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon
peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.
Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini.
29. Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau
rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan
jumlah maksimum 5 orang. Bagi negeri yang dikenakan PKP-P dan PKP-B,
aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum
yang ditetapkan di dalam SOP. Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk
memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran
yang dibenarkan.
30. Saya juga sedar bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh yang
lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental. Justeru bagi
memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan
meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja.
Pastikan jarak anda dari orang lain adalah dua (2) meter setiap masa.
Kalau hendak berjogging, jangan lebih daripada dua (2) orang dan kalau
berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja.
Saudara dan saudari yang sangat saya sayangi,
31. Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk
bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh Negara. Semua kebebasan yang
kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di
dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk melakukan aktiviti social di
luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua.
32. Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama
kita. Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan
langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti
kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul,
jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.
33. Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau community
leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada
menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19. Anda semua adalah
frontliners di dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini.
Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik
kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti
anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah
jangkitan COVID-19 ini.
34. Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti,
satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua
Setiausaha Negara dan Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk
memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih
berkesan.
35. Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita agar
kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP yang
ditetapkan. Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan keluarga,
tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas kesihatan kita
yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa bersama keluarga dan mengeluh
bersendirian untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini.
Saudara saudari sekalian,
36. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa
Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari 2021
di sembilan (9) buah Hospital KKM di bawah kelolaan Pusat Kajian
Klinikal (Clinical Research Centre - CRC) masing-masing.
37. Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka
akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi
negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin
inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese
Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini. Kesemua keperluan
regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics
Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL)
dari NPRA telah diperolehi pada 8 Januari 2021.
38. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian
Kesihatan (KKM) juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang
dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer. Justeru, Malaysia dijangka
akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung
Februari ini insya'Allah. Sebagai persediaan awal bagi memastikan
pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat Negara ini berjalan lancar
apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
39. Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60-70 peratus atau 20-23
juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19. Buat masa ini,
kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax,
syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk
mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi.
Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac,
CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah
melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.
40. Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri
keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di
Malaysia. Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak
Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19
tersebut boleh digunakan di Malaysia.
Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,
41. Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya sendiri
untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Ya betul kita
akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan
satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.
42. Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan
amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand
sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka
ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari
bersentuhan.
43. Bersama, kita berpeluang untuk membendung dan memutuskan rantaian
penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk. Saya sangat
berharap agar segala nasihat dan peringatan yang saya sampaikan hari ini
akan dipatuhi sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat.
44. Saya beri jaminan bahawa Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk
memberi perlindungan kepada seluruh rakyat. Dan saya juga memohon
kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri
masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan
virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah.
Sumber : BERNAMA