Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Pekerja mahir teknologi dapat permintaan tinggi

by

 

Sektor pekerjaan dalam industri yang disokong teknologi seperti e-dagang, teknologi kewangan (fintech), logistik & rantaian bekalan, pembuatan, penyelidikan & pembangunan (R&D) selain teknologi perubatan dan bioteknologi akan terus berkembang kukuh tahun ini.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass, berkata ketersediaan teknologi organisasi yang menjadi aspek tumpuan kritikal pada tahun lalu, dijangka berterusan bagi tahun-tahun akan datang, sekali gus bakal membentuk pekerjaan dan permintaan kepada bakat tempatan tahun ini.

"Akan wujud permintaan terhadap bakat berkemahiran tinggi termasuk dalam aspek internet untuk segalanya (IoT), pembangunan perisian, perkomputeran awam, kecerdasan buatan (AI), teknologi blockchain, robotik, migrasi projek dan perubahan pengurusan.

"COVID-19 dijangka terus memberi impak kepada perniagan serta tahap keyakinan pengguna dan pertumbuhan Malaysia juga akan bergantung kepada kedua-dua faktor iaitu pemulihan global dan prestasi pasaran domestik.

"Dengan perubahan dan inovasi yang berterusan, syarikat perlu kekal berdaya saing dan meneroka pertumbuhan perniagaan baharu pada tahun ini," katanya dalam laporan Unjuran Pasaran dan Penggajian 2021.

Randstad adalah agensi pengambilan pekerja global yang menyediakan perkhidmatan termasuk padanan pekerjaan.

Dass berkata, memandangkan pengambilan agensi bakat global memberi tumpuan kukuh kepada pasaran tempatan, adalah penting bagi Malaysia mula mencipta pekerjaan bagi membolehkan negara mencapai pemulihan dan pertumbuhan bersama.

Katanya, bagi meningkatkan peranan teknologi yang semakin meningkat, wujud keperluan untuk kemahiran digital dalam semua aspek fungsi organisasi termasuk kewangan dan perakaunan, sumber manusia, jualan dan pemasaran, penyelidikan dan pembangunan serta risiko dan pematuhan.

"Pengangguran berstruktur negara dan penstrukturan semula perniagaan domestik menyebabkan peningkatan kadar pengangguran. Bagaimanapun, kita melihat peluang yang penting sering wujud dalam masa-masa penuh mencabar ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata selaras dengan unjuran organisasi itu berhubung pertumbuhan pasaran, bakat berpengalaman dalam keselamatan siber, pengembangan aplikasi dan pemasaran digital adalah sangat diperlukan tahun ini.

"Walaupun objektif pekerjaan sama, caranya berfungsi sangat berbeza dari masa lalu. Sebagai contoh, pegawai pengalaman pelanggan kini diminta untuk merancang aliran sembang dan mengembangkan kandungan untuk 'chatbots' dan bukannya berinteraksi dengan pelanggan sendiri.

"Banyak majikan mencari calon yang memiliki kemahiran komunikasi yang terbaik (dalam semua peranan teknologi). Ini adalah keperluan yang semakin meningkat bagi ahli teknologi untuk menyampaikan kemajuan, keperluan dan hasil yang berkesan terhadap perniagaan, pengurusan kanan serta pelabur," katanya.

Sumber : Berita Harian

Telefon pintar lama tidak lagi boleh guna WhatsApp

by


Aplikasi mesej, WhatsApp mengumumkan bahawa pihaknya akan menamatkan perkhidmatan melibatkan beberapa sistem operasi telefon pintar lama menjelang akhir tahun ini.

Langkah itu melibatkan telefon bimbit yang menggunakan sistem operasi BlackBerry OS termasuk BlackBerry 10, Nokia S40 dan Symbian S60, Android 2.1 (Eclair) serta 2.2 (Froyo) di samping platform Windows 7.1.

Pengguna sistem operasi itu tidak akan dapat menggunakan WhatsApp melainkan mereka bertukar kepada platform lebih baharu menjelang hujung tahun ini.

Bagaimanapun, versi lebih baharu Android termasuk pemprosesan 2.3 (Gingerbread) atau lebih tinggi masih boleh digunakan untuk menghantar dan menerima mesej WhatsApp.

Menurut syarikat berkenaan, sistem operasi lama itu tidak lagi sesuai dengan pembangunan aplikasi WhatsApp yang semakin canggih.

WhatsApp juga mahu memberi tumpuan kepada versi baharu Android, iOS dan Windows yang kini digunakan oleh sebahagian besar pemilik telefon pintar.

Apabila aplikasi mesej itu dilancarkan pada 2009, lebih 70 peratus telefon pintar masih menggunakan sistem operasi BlackBerry dan Nokia.

- Kosmo!

PRIMAX 95 lebih cekap untuk kereta

by

 


PETRONAS PRIMAX 95, yang direka dengan Advanced Energy Formula telah diperkenalkan kepada pengguna untuk memberikan kecekapan petrol yang lebih tinggi untuk memberikan anda kilometer yang lebih jauh.

PETRONAS PRIMAX 95 baharu dengan Advanced Energy Formula dihasilkan menerusi kejayaan kejuruteraan PETRONAS dalam membangunkan teknologi bendalir automotif yang membawakan kejayaan berturut-turut kepada pasukan MERCEDES AMG PETRONAS Formula One™ dalam perlumbaan Formula One™ tahun ini.

Petrol baharu ini sememangnya direka untuk memberikan kecekapan yang lebih tinggi dan prestasi yang optimum untuk kilometer yang lebih jauh.

PETRONAS PRIMAX 95 baharu dengan Advanced Energy Formula membersihkan enjin untuk mengoptimumkan penghantaran petrol, menghasilkan semburan petrol yang lebih halus bagi menambahbaikkan pembakaran dan pelepasan tenaga.

Ia juga me ngu rangkan ge seran untuk meminimun kan kehilangan tenaga dan seterusnya meng hasilkan penjimatan petrol yang lebih baik. Ketiga-tiga fungsi ini bergabung untuk memberikan kecekapan petrol yang lebih hebat untuk penggunaan kenderaan setiap hari.

Kejayaan penghasilan PETRONAS PRIMAX 95 baharu dengan Advanced Energy Formula adalah melalui kerjasama Perunding Prestasi Teknikal PETRONAS PRIMAX dan pemandu pasukan MERCEDES AMG PETRONAS Formula One™ iaitu Lewis Hamilton, dan kumpulan jurutera dan ahli kimia PETRONAS di pusat penapisan dan penyelidikan serta makmal-makmal enjin dan kenderaan di Asia dan Eropah.

Setiap perlumbaan ditamatkan dengan menggunakan petrol kurang 30 peratus berbanding perlumbaan pada tahun lalu.

Pengetahuan dan kepintaran kejuruteraan dari litar lumba telah dipindahkan kepada petrol baharu ini melalui PETRONAS Fluid Technology Solutions™, satu kaedah pintar yang memaksimumkan prestasi kenderaan anda melalui penawaran produk yang khusus dan perkhidmatan pakar.

Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen berterusan PETRONAS terhadap kejuruteraan. Ia menjadi bukti kejayaan perkongsian strategik antara jurutera PETRONAS dengan pasukan MERCEDES AMG PETRONAS Formula One™.

Tentang teknologi di sebalik petrol baharu ini, Hamilton mengakui penjimatan petrol penting bagi dirinya apabila kecekapan petrol menjadi penentu kejuaraan Formula One™. Dengan jumlah petrol yang dihadkan, pasukannya perlu memastikan setiap titik PETRONAS PRIMAX yang diisi ke dalam kereta memberikan prestasi yang optimum.

Malahan pelumba Formula One™ ini memuji PETRONAS melakukan usaha yang terbaik dengan menghasilkan rumusan yang lebih hebat bagi PETRONAS PRIMAX yang telah membawa kejayaan untuk pasukannya.

PETRONAS sebagai rakan teknikal pasukan akan terus mencipta dan membekalkan petrol serta minyak pelincir terunggul untuk pasukan MERCEDES AMG PETRONAS Formula One™.

Sememangnya, inovasi diakui adalah sebahagian daripada DNA PETRONAS.

PETRONAS secara konsisten telah berusaha untuk mewujudkan standard baharu untuk industri dan akan terus mencipta penyelesaian bendalir yang inovatif untuk para pelanggan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PETRONAS PRIMAX 95 baharu dengan Advanced Energy Formula, sila layari www.mymesra.com.my

Satelit keenam MEASAT - 3b dilancar Mei 2014

by

Cyberjaya: Measat Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) akan melancarkan satelit keenamnya, MEASAT-3b pada pertengahan Mei ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pelancaran itu mampu meningkatkan keupayaan sistem telekomunikasi dan jalur lebar di negara ini terutama di luar bandar.


“Jumlah keseluruhan kos membina satelit ini membabitkan RM1.25 bilion dan akan dilancarkan dari pangkalan angkasa Eropah di Kourou, French Guinea.

“Apabila ia mula beroperasi kelak, satelit berkenaan akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan penyampaian dan perkhidmatan data serta penyiaran.

“Kemudahan ini akan disalurkan menerusi empat negara iaitu Malaysia, India, Indonesia dan Australia,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Bilik Kawalan dan Operasi MEASAT, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah MEASAT, Tun Dr Hanif Omar.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku Communications Satellite Fundamentals From Design To Launch and Operation yang ditulis oleh Naib Presiden Kanan Pembangunan Sistem Angkasa, Dr Ali R Ebadi, mengenai satelit yang pernah dilancarkan sejak 1996.
Tingkat kadar jalur lebar

Ahmad Shabery berkata, pelancaran satelit itu dijangka dapat meningkatkan kadar penembusan jalur lebar yang kini berada pada tahap 67 peratus di negara ini, kepada 77 atau 87 peratus.

Sementara itu, Hanif berkata, MEASAT dijangka turut melancarkan satelit ketujuh miliknya, MEASAT-3c pada hujung tahun depan.

“Lebih banyak satelit perlu dilancarkan berikutan keperluan masyarakat masa kini terhadap kepesatan teknologi,” katanya.

INFO: MEASAT-3b:
# Direka untuk mempunyai jisim pelancaran 5.8 tan.
# Kuasa elektrik 16 kilowatt (kW).
# Dirancang beroperasi lebih 15 tahun.
# Dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 (kapal angkasa jenis Astrium Eurostar E3000).
# Lokasi orbit 91.5 darjah Barat.
# Mula dibina pada Jun 2011.

- BERITA HARIAN
 

Facebook mula merosot dan ditinggalkan

by

 


Golongan remaja kini dikatakan semakin melupakan Facebook (FB) dan beralih menggunakan laman sosial lain seperti Instagram, Twitter serta WhatsApp.

Kajian Global Social Media menunjukkan hasil yang tidak begitu menggembirakan bagi Facebook. Populariti jejaring sosial terbesar dunia itu mulai mengalami penurunan.

Menurunnya populariti Facebook dalam kalangan remaja kerana mereka tidak mahu diawasi lagi terutamanya oleh keluarga. Kajian juga mendapati remaja merasa kurang selesa menggunakan FB kerana boleh dipantau dan dijadikan rakan secara bebas.

Kajian membabitkan remaja berusia 16 hingga 18 tahun di lapan negara Eropah ini mendapati remaja enggan menggunakan FB dan beralih ke jejaring sosial lain seperti Twitter, Instagram, WhatsApp ataupun SnapChat.

Fenomena ini tidak hanya menunjukkan penurunan populariti FB, bahkan boleh dikatakan FB sudah tidak relevan dan tidak mampu bersaing dengan laman sosial yang lain.

- BERITA HARIAN

Google Malaysia nafi perkhidmatan digodam

by

 


Google Malaysia nafi perkhidmatan digodam

Google Malaysia menafikan enjin carian internet itu telah diceroboh oleh penggodam selama beberapa jam kelmarin.

Google Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, sebaliknya pengguna yang melayari domain google.com.my itu hanya dibawa ke sebuah laman web yang lain.

Katanya, masalah tersebut tidak berlarutan terlalu lama dan hanya mengambil masa beberapa jam untuk pulih seperti sedia kala.

"Kita telah berhubung dengan organisasi yang bertanggungjawab menguruskan domain tersebut bagi menyelesaikan isu berkenaan," katanya di sini semalam.

Kelmarin, enjin carian internet itu digodam selama beberapa jam oleh satu kumpulan dari Pakistan yang dikenali 'Pasukan Madleets.'

Mereka berjaya mendapatkan akses Pusat Rangkaian Maklumat Malaysia dan menukar alamat sistem nama domain DNS laman web Google kepada pelayan Madleets.

Gangguan itu berlaku mulai pukul 12 tengah malam pada Jumaat, 11 Oktober 2013.

- KOSMO!




Blackberry perkenal model Z30

by

Blackberry perkenal model Z30

Syarikat pengeluar telefon pintar Blackberry memperkenalkan model terbarunya Z30 untuk kembali bersaing dalam pasaran peranti mudah alih.

Pengurus Besar Blackberry Malaysia, Annamalai Muthu berkata, model yang menyusuli Blackberry Z10 yang akan mula dijual pada RM1,998 pada 5 Oktober lalu turut membawakan beberapa penambahbaikan yang dihasilkan daripada kajian serta pemahaman terhadap kehendak terkini kumpulan sasar segmen itu.

Jelas Annamalai, Z30 yang dikuasakan oleh prosesor 1.7Ghz dua teras kembar dan sistem operasi Blackberry 10 itu turut akan di datangkan dengan teknologi antena yang baharu.

"Teknologi antena terbaharu ini membolehkan pengguna untuk menerima isyarat komunikasi dari tempat terpencil seperti tempat letak kereta bawah tanah dengan lebih baik.

"Penambahbaikan ini juga akan mengurangkan kadar drop calls dan dengan fungsi Blackberry Natural Sound kami, kualiti audio juga dipertingkatkan," katanya dalam majlis pelancaran yang diadakan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, penambahbaikan lain yang turut dimasukkan ke dalam peranti dengan skrin 5 inci Super Amoled ini ialah bateri berkuasa 2800 mAh yang akan memberikan masa guna selama hampur 25 jam.

Z30 akan mula dipasarkan di pasaran negara pada 5 Oktober depan oleh Celcom dan oleh penjual lain dua minggu selepas itu.

Sementara itu, sebagai promosi pengenalan, 200 pelanggan pertama Z30 Celcom akan mendapat telefon Z10 percuma.

Z30, peranti yang memang dinanti-nanti pasaran, akan menjadi peranti premium terbaru daripada BlackBerry menggantikan Z10 yang lebih kecil dan dilancarkan pada awal tahun ini.

Peranti terbaru itu ditampilkan dengan skrin sesentuh lima inci, digerakkan pemproses 1.7 gigahertz, akan bersaing dengan model baru Apple Inc, iaitu iPhone 5S dan Galaxy S4 daripada Samsung Electronics Co serta pelbagai peranti lain dikuasakan platform Android Google.

- UTUSAN
 


Maxis lancar pelan prabayar baharu #Hotlink

by

Maxis lancar pelan prabayar baharu #Hotlink

Maxis Bhd. (Maxis), melancarkan pelan prabayar terbaharu #Hotlink, disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sambungan internet sepanjang masa.

Pelan #Hotlink menawarkan pelanggan perkhidmatan internet asas berterusan dengan percuma pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ketua Perniagaan Pengguna Maxis, Dushyan Vaithiyanathan (gambar) berkata, pelan prabayar baharu itu amat bersesuaian dengan persekitaran internet mudah alih hari ini yang mana sambungan berterusan bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan.

"Ini adalah satu pelan mudah, fleksibel dan relevan kepada keperluan masyarakat prabayar kami," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran pelan prabayar #Hotlink di sini hari ini.

Jelasnya, pelan itu merupakan satu kategori baharu penggunaan internet mudah alih untuk menghapuskan halangan kemasukan yang tinggi kerana tiada caj setiap kali penggunaan.

#Hotlink menawarkan pramuat kredit sebanyak RM5 dan beberapa faedah dengan harga RM8.80.

Antara faedahnya ialah internet asas percuma pada 64 Kilobait sesaat (Kbps) selagi pelan prabayar pelanggan kekal aktif, kadar rata rendah sebanyak 12 sen setiap 30 saat untuk panggilan suara dan 7 sen untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) ke semua rangkaian.

Untuk mendapatkan pelan baharu #Hotlink, pelanggan hanya perlu melawat kedai Hotlink atau Maxis. Pelanggan sedia ada Hotlink juga boleh mendapatkan pelan baru ini.

- UTUSAN


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90