Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

UMNO bergerak sendirian

by

 


UMNO akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), susulan keputusan PAS memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutunya.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan PAS itu sudah dijangka.

"Hakikatnya, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid berkata, susulan itu UMNO dan Barisan Nasional memutuskan untuk bergerak sendiri dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan.

Beliau juga menyuarakan keyakinan UMNO mampu menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu, bagi menghadapi PRU-15 dengan keputusan itu berpaksikan prinsip penyatuan ummah.

Sebelum ini, Ahmad Zahid meminta PAS menyatakan pendirian sama ada mahu bekersama dengan BN dan memberikan beberapa syarat, termasuk memutuskan hubungan dengan PN.

Sumber : Berita Harian

MKT UMNO putuskan PRU-15 tahun ini

by

 


Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang tamat sebentar tadi, membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

"Justeru, semua jentera parti pada setiap peringkat diarah memuktamadkan segala persiapan dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran hinggalah tarikh PRU-15," katanya ketika membacakan kenyataan media sejurus selesai mesyuarat itu, di sini, hari ini.

Mesyuarat bermula jam 8.30 malam dan berlangsung hampir dua jam itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan dihadiri semua ahli MKT.

Ahmad berkata, UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat, membolehkan mandat sebenar diperoleh dan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk.

Katanya, ia penting bagi memulihkan negara, terutama dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup rakyat, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus lebih baik untuk Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat MKT menyambut baik keputusan Kabinet mengarahkan siasatan lanjut serta tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan berhubung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Katanya, mesyuarat juga menggesa supaya Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness', segera didedahkan kepada umum.

"Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh dalam muka surat 342 buku itu yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

"UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor pada 15 Mei lalu, yang mahu laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih segera dibentang dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah serta kedaulatan negara," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Pontian itu memaklumkan, mesyuarat MKT menerima peletakan jawatan Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmatnya.

"Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baharu.

"Seterusnya, adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO, berkuat kuasa serta-merta, mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO," katanya.

Mengenai pertemuan antara Ahmad Zahid dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula, Ahmad sekadar berkata, mesyuarat MKT mengambil maklum mengenai perkara itu.

Sumber : Berita Harian

UMNO tarik serta-merta sokongan terhadap Muhyiddin

by

 

Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut mengenai mana-mana kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin selama ini.

Malah Zahid juga tidak menyebut mengenai parti pakatan lain termasuklah kedudukan gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS.

"Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.

"Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad," katanya ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat itu.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat MKT yang berlangsung mulai jam 8.30 malam.

Zahid mendakwa, kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 secara berkesan mencetuskan keresahan dan kemurungan serius dalam kalangan rakyat menjadi antara tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional.

"Kedua, katanya kegagalan kerajaan dengan menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara UMNO yang sejak dari awal membantah keras proklamasi terbabit.

"Malah Ordinan Darurat yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat 'dwi-standard' dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat, dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban dengan isu-isu survival dan kelangsungan hidup.

"(Ketiga) kegagalan kerajaan untuk mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, keempat kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.

"Ini termasuklah tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir dan terpaksa melalui karenah birokrasi yang membebankan," katanya.

Kelima katanya, kegagalan kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri serta gerakan #BenderaPutih adalah satu contoh manifestasi kekecewaan dan protes rakyat terhadap kegagalan kerajaan.

"(Keenam) kegagalan kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian COVID-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama," katanya.

Sementara terakhir, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan kegagalan kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

"Selaku parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan terhadap institusi raja," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Bersaing dalam muafakat sukarkan laluan PN

by

 

Oleh Dr Ilyas Abdullah

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, 

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub

 

Umum menyedari politik Malaysia didominasi Barisan Nasional (BN) sejak awal merdeka. Namun, kemenangan luar jangka Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuka lembaran baharu dalam lipatan sejarah politik negara.

Kejayaan PH juga membuka jalan kepada permuafakatan politik secara formal dan serius antara dua parti Melayu terbesar, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebelum disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum PRU-14, sebahagian besar penganalisis politik Malaysia berpandangan sistem demokrasi negara bersifat permuafakatan.

Justeru, wawasan dan personaliti Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO selalunya banyak membentuk corak dan rupa bentuk politik Malaysia.

Gagasan BN dilihat satu formula sangat berkesan dalam membendung gejala kebencian dan persaingan politik berlatarkan isu perkauman.

Konsep perkongsian kuasa antara kaum dalam parti komponen diurus dengan baik melalui pembahagian jawatan menteri dan keanggotaan dalam Kabinet.

Dalam rangka hubungan kaum bersifat terpisah, aspek persaingan tidak dapat dielakkan. Justeru, hubungan yang wujud lebih bersifat 'memampas'.

Aspek pampasan ini mampu mengendurkan semangat persaingan berlebihan. Kuasa politik didominasi Melayu menerusi UMNO melalui instrumen paksaan negara seperti polis dan tentera berhasil membentuk kestabilan politik.

Taburan kerusi pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga ditentukan pucuk pimpinan tertinggi BN dikuasai UMNO.

Bagi elit politik daripada parti komponen bukan Melayu, mereka menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mengagihkan sumber bagi menaungi kaum masing-masing.

Selepas enam dekad, keputusan PRU-14 menyaksikan UMNO tidak lagi menjadi parti dominan dalam Kerajaan Persekutuan.

Hari ini, UMNO bersama beberapa parti lain sekali lagi membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan dan kali ini dengan majoriti sangat tipis di Dewan Rakyat, iaitu 113 kerusi berbanding 109 kerusi yang dikuasai PH.

Kedudukan ini mendatangkan masalah dalam soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya seterusnya.

Jika mana-mana parti komponen menarik diri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), maka negara berkemungkinan berhadapan pilihan raya dan kerajaan sekali lagi berada dalam keadaan tergantung.

Gabungan PN tidak mempunyai parti yang benar-benar dominan. Justeru, sesetengah penganalisis mengatakan pembentukan PN hanya semata-mata untuk kestabilan politik negara.

Hubungan terbentuk adalah persefahaman menstabilkan politik negara susulan kemelut politik dicetuskan kelompok elit tertentu daripada dalam dan luar PH.

UMNO turut bertegas, bahawa ia tidak mempunyai sebarang ikat janji dengan mana-mana parti lain dalam PN, termasuklah BERSATU dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, UMNO mempunyai kerjasama teratur dengan PAS untuk membentuk gabungan mantap bagi memenangi pilihan raya. Dua parti ini mempunyai kekuatan seimbang di negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Cabaran mungkin berlaku dalam soal pembahagian kerusi menjelang pilihan raya. PAS turut membuat perkiraan untuk bertanding di 40 kawasan Parlimen merangkumi negeri majoriti Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tiada ruang diberikan kepada parti itu disebabkan faktor landskap politik yang dikira tidak begitu mesra kepada parti itu.

PAS turut bertegas supaya rakan komponen PN turut bertolak ansur soal pembahagian kerusi dalam PRU-15 nanti.

UMNO, PAS dan BERSATU mempunyai segmen pengundi sama, iaitu Melayu-Islam. Justeru, kemungkinan untuk berlaku bibit konflik pasti wujud.

PN masih gabungan yang rapuh. Ternyata, kejayaan mengurus ancaman pandemik COVID-19 menyelamatkan gabungan ini buat sementara waktu.

Ada kemungkinan akan berlakunya konflik antara parti gabungan selepas berakhirnya COVID-19 khususnya hal berkait perebutan kuasa.

Memandangkan setiap parti ada kekuatan hampir setara, elemen 'memampas' tidak lagi berkesan bagi meredakan persaingan sesama rakan komponen.

Sekiranya terdapat mana-mana parti memilih jalan keluar daripada gabungan, maka PN mungkin runtuh seperti runtuhnya PH.

Pembentukan kerajaan PN dirasakan masih gagal menyelesaikan krisis perebutan kuasa antara elit politik.

Lantas, perjalanan PN tidak mudah kerana terpaksa berkongsi kuasa tanpa ada suatu pun parti dominan.

Setiap parti cuba menuntut keistimewaan dan hak lebih khususnya membabitkan pelantikan menteri dalam Kabinet.

Hal ini berbeza sama sekali dengan formula BN selama enam dekad lalu yang menyaksikan bagaimana UMNO begitu dominan dalam menyusun atur pecahan kerusi dalam pilihan raya dan jawatan Kabinet secara pampasan dengan parti komponen lebih kecil, sekali gus berjaya mengelakkan persaingan. 

- Berita Harian

 

 

Mustapa Mohamed keluar Umno

by



Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar parti.

Dalam satu kenyataan, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata keputusan itu diambil selepas berpendapat hala tuju Umno tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

"Pada pandangan saya, hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini dan tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

"Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini," katanya di Twitter, Selasa.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu, beliau telah membuat beberapa pemerhatian tentang lanskap politik Malaysia, hala tuju Umno dan Barisan Nasional (BN) serta masa depan negara.

"Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

"Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini," katanya.

Susulan itu, beliau menegaskan untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, yang mana Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.

Malah, beliau berpendapat, Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

"Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

"Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya sepanjang berkhidmat untuk Umno.

"Insya-Allah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan sebuah negara Malaysia yang terbilang.

"Saya mendoakan agar negara kita akan terus aman, makmur dan disegani di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau turut berharap agar lembaran baharu Malaysia ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan.

"Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. Kepada Allah SWT jua kita berserah," katanya.

Muhyiddin Yassin digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO

by


Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada memegang jawatan Timbalan Presiden Umno berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di sini, petang Jumaat.

“Keputusan telah dibuat pada 26 Februari bahawa MT telah bersetuju sebulat suara untuk menggantung jawatan yang disandang Tan Sri Muhyiddin berkuatkuasa serta-merta.

“Tempoh penggantungan adalah sehingga pemilihan MT Umno yang akan datang dan jawatan-jawatan lain yang disandang masih dikekalkan,” katanya ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertindak sebagai ‘pengerusi sementara’ selepas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil sikap berkecuali dalam isu itu.

Keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi Umno itu juga menyaksikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas timbalan presiden parti.

Tengku Adnan berkata, usul tersebut telah dibincangkan secara konsensus dan keputusan dibuat secara bersama.

Ditanya siapa yang telah bertindak mengemukakan usul tersebut, beliau menjawab ia konsensus.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan berkata, keputusan itu dibuat selepas setiap ahli MT diberi ruang dan peluang untuk mengemukakan pandangan dalam perbincangan usul yang berlangsung selama lebih dua jam.

Katanya, mengikut Fasal 9.8.2.1 Perlembagaan parti, tugas seorang timbalan presiden adalah membantu presiden.

“Tapi dalam kes Muhyiddin beliau dilihat tidak menjalankan kewajipan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“MT memandang serius mana-mana pemegang jawatan utama Umno yang tidak mendokong dasar dan aspirasi parti,” katanya.

Beliau menambah, adalah tidak wajar jika Muhyiddin dianggap tidak diberikan hak untuk membela diri kerana beliau telah dimaklumkan tentang mesyuarat ini.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dimaklumkan tentang mesyuarat ini namun beliau memaklumkan melalui faks bahawa beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat ini, begitu juga dengan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Tindakan ketidakhadiran Muhyiddin tidaklah boleh dianggap sebagai tidak diberi hak untuk membela diri,” katanya.

Tambah beliau lagi, segala keputusan yang dibuat MT adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan mengambil kira suasana politik semasa.

“Perilaku Tan Sri Muhyiddin tidak mencerminkan tanggungjawab beliau sebagai timbalan presiden untuk membantu presiden mengukuhkan parti,” katanya.

Selain Hishammuddin, hadir sama di sidang media itu adalah Bendahari Umno Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri Mas Ermieyati Samsudin.

Muhyiddin yang tidak hadir kerana berada di luar negara menjadi perhatian pada mesyuarat kali ini selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya beliau digantung sebagai timbalan presiden.

Ia susulan tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapannya pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana Muhyiddin mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.

- mSTAR



PRU13 : Kita sudah bersedia - Kata Najib di Perhimpunan UMNO ke-66

by

KUALA LUMPUR 11 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita malam ini apabila seakan-akan telah membuat keputusan mahu membubarkan Parlimen.

Ketika menyifatkan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 itu begitu hebat dengan kehadiran kira-kira 120,000 orang dan akan diingati dalam lipatan sejarah negara, Presiden UMNO itu berkata, beliau seperti merasakan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Ketika hadirin yang terdiri daripada ahli UMNO termasuk ketua-ketua parti komponen, badan-badan bukan kerajaan serta para perwakilan asing dan wakil media bersorak mendengar ungkapan beliau, Najib kemudian ‘meredakan’ keadaan dengan menarik perhatian hadirin supaya menafsir tujuh sebab sama ada Pilihan Raya Umum ke-13 perlu diadakan dalam waktu terdekat atau tidak.

“Baik...nak ada pilihan raya esok, bulan Jun ke...bila-bila bulan...tahun depan...tak boleh (tahun depan)? kita dah bersedia! kita dah bersedia! kita dah bersedia!, boleh menang! boleh menang! boleh menang!.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya bagi tujuh sebab...sebab tujuh dekad UMNO dah berjasa pada negara.

“Kalau kita nak pilihan raya nanti bila sampai masanya, kita perlu buat perhitungan. Ada tujuh prinsip yang kita boleh buat pertimbangan," kata beliau ketika berucap menyempurnakan majlis sambutan tersebut.

Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan veteran parti termasuk bekas Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, Najib mengungkapkan satu persatu tujuh prinsip berkenaan yang perlu direnung oleh rakyat Malaysia sebelum Parlimen boleh dibubarkan, iaitu:

1) Antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang boleh dipercayai dan janjinya ditepati. Siapa sudah bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Baucar Buku 1Malaysia kepada mana-mana sekolah, siapa sudah beri (bonus atau durian runtuh) kepada peneroka Felda.

Siapa sudah buat Klinik Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, jalan luar bandar dan dalam bandar, siapa sudah buat sekolah. Siapa sudah buat segala-galanya...bukankah BN.

Namun, sebelum saya (Perdana Menteri) pergi ke prinsip kedua, saya nak tuan-tuan nyatakan siapa yang ‘pegang kepala’ Kampung Buah Pala (di Pulau Pinang) yang janji pakatan pembangkang, kalau mereka menang, mahu kekalkan kampung berkenaan.


Siapa pula buat 22 janji di Selangor tetapi sebahagian besarnya gagal ditunaikan. Siapa yang gagal uruskan soal air?

2) Yang kedua, kalau tentu (parti itu) nak dipilih, tentukan kita pilih hari esok lebih baik dari hari ini. Siapa yang boleh beritahu ini?

3) Siapa boleh pelihara kedaulatan undang-undang, kesucian Islam, keluhuran Perlembagaan, institusi raja-raja serta hak-hak kaum lain.

4) Siapa boleh uruskan ekonomi kita yang sangat baik ini serta membawa pertumbuhan yang memberangsangkan?

5) Siapa yang boleh menjamin keharmonian dan perpaduan (kaum) berkekalan?

6) Siapa yang boleh membuat pembaharuan secara tersusun. Siapa yang membawa transformasi kepada negara ini?

7) Siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara sehingga hari ini dengan izin Allah boleh menjadi negara yang berpendapatan tinggi?

Dalam hal ini, Presiden UMNO itu menarik perhatian hadirin pada sambutan itu supaya menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai saksi di mana semua mereka berkumpul untuk bersama-sama memupuk keyakinan menghadapi pilihan raya umum.

“Siapa kata dokongan orang Melayu pada UMNO sudah menurun sedangkan hari ini kita menyaksikan sokongan kepada kita semakin meningkat.

“Saya nak tanya, apabila kedudukan orang Melayu dipersoal, Islam diasak, bila institusi raja-raja diketepikan, siapa yang pertahankannya.

“Sesungguhnya UMNO sudah berjalan begitu jauh, setiap inci tanah sudah dimakmurkan. Jangan sesekali kita biarkan kita dibinasakan. Biar putih tulang, jangan biar rakyat dan bangsa dibinasakan, kelak anak cucu terbangsat hidup mereka,’’ katanya.

Kepada hadirin dan ahli UMNO seluruhnya, Najib berpesan: “Jangan terpalit damak beracun, sandiwara lawan yang tempah kegagalan.

“Ayuhlah, jangankan gerimis, hujan pun kita akan redah, ribut taufan kita akan harungi, jangankan air bah, gelombang pun kita akan harungi... jangankan gerhana, gelap gelita pun kita harungi. Biar berdentum guruh di langit, hidup UMNO untuk Barisan (Nasional)," tegasnya.

- UTUSAN

Teks Ucapan Penggulungan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2011

by
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga perhimpunan agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung. Bukan saja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini, tetapi yang paling penting persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita ini. Tentu sekali ucapan terima kasih kepada Datuk Pengerusi Tetap yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan baik, berselang lawak yang sungguh lucu hingga perwakilan tidak kering gusi dibuatnya.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang membantu dengan cekap. Saya juga ingin melahirkan penghargaan kepada ibu pejabat, kepada Setiausaha Agung kita, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat, pihak media, pihak keselamatan dan semua yang telah membantu agar persidangan UMNO kita berjalan dengan licin.
Saya memanjat rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif. Saya amat menghargai Yang Amat Berhormat, Timbalan Presiden yang memberi sokongan padu kepada ucapan saya.

Saya juga berasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan UMNO kali ini, semua perwakilan memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah dua mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang saya bentangkan dalam ucapan itu berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO adalah parti rasis.

Saya juga hendak merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Bahagia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru orang UMNO supaya terus memberi sokongan kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
Kelmarin saya telah menyenarai beberapa tokoh tersohor yang banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tidak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan besar kepada parti. Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti.

Namun saya telah menerima beberapa SMS yang meminta saya memberi pengiktirafan kepada Tun (Datu) Mustafa (Datu Harun) kerana beliau telah membubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya harapan saya kepada persidangan agung UMNO kali ke-62 ini. Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti meletakkan beberapa sasaran sama ada sasaran itu tersurat atau tersirat.

Saya hendak berkongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai maka persidangan ini boleh dianggap sebagai amat berjaya.

Sasaran pertama saya agar persidangan ini menggambarkan UMNO adalah parti bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan saja orang di dalam dewan ini mempunyai gambaran itu tetapi juga berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen dan yang ada di dalam ruang luar PWTC.

Pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga. UMNO sebagai satu organisasi politik, sebagai teras kepada politik tanah air kita ini berada dalam keadaan kukuh dan padu.

Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini sebab ramai menyebut kemungkinan persidangan ini terakhir sebelum pilihan raya. Orang yang menyebutnya - menggambarkan bahawa kita berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang amat baik, bersedia untuk turun ke medan bakti berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan untuk membawa perubahan yang besar kepada negara yang kita telah menggagaskan sebagai pelan transformasi nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat saya inginkan segala-gala yang menjadi perisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia seramai 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat keseluruhannya meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Mereka tidak akan kecewa kalau diletakkan pengharapan di atas bahu dan jemala UMNO.

Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi saya cuba membuat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI (Indeks Prestasi Utama). Wakil Sabah telah memberi KPI kepada saya tetapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini. Mungkin orang kata saya bias, saya presiden kepada parti, tentulah saya akan memberi markah yang tinggi. Tetapi saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga adalah persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah (sesuatu yang) lebih kuat daripada ikrar dari perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian, ikrar itu mencatat satu sejarah baru dalam perjuangan parti kita.

Mari kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya bertanya kepada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang bertanya ke arah mana kita nak membawa negara kita.

Kalau orang bertanya dalam tahun-tahun mendatang apakah di bawah kepemimpinan yang sedia ada ini apakah yang boleh mereka harapkan. Sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita. Secara senyap mahupun secara terbuka tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua objektif dan ini ada sangkut paut dengan UMNO, dengan keinginan UMNO dengan perjuangan roh yang kita bawa ini. Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, insya-Allah, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Itu pertama. Yang kedua dalam konteks negara maju itu kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi siapa kata kita tak ada agenda Melayu? Atau pun agenda Bumiputera memang kita ada. Apabila saya melaksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak menyatakan ketepikan agenda Melayu Bumiputera. Apabila saya turun ke bawah, ke ladang estet ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Saya melakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan orang lain.

Sebab itulah saudara sekalian kita melaksanakan bermacam-macam perkara untuk mencapai status negara maju. Kita ada pelan transformasi ekonomi. Kita mengunjurkan kira-kira RM1.3 trilion pelaburan dalam
masa 10 tahun dan kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi 5-6 peratus setahun.

Kita sudah tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju dan Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian apabila ekonomi Eropah merudum, apabila Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan dan
stabil dan menunjuk pertumbuhan yang baik.

Di Amerika Syarikat, apabila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam pemikiran beliau paras pengangguran di negaranya sudah melebihi 9 peratus.
Saya boleh memaklumkan kepada beliau, kita ada full employment di Malaysia Mr President.

Kalau Amerika pertumbuhannya 1-2 peratus, saya boleh cakap, Mr President kita ada pertumbuhan 5.8 percent last quarter.

Saya bangga sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara ini. Ini bukan kejayaan saya secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi ia membuktikan bahawa ke atas UMNO dalam apa juga keadaan rakyat boleh meletakkan harapan mereka. Saya setuju dengan apa yang dikatakan Datuk Shafie, rakyat boleh trust in us to lead this nation sebab kita tidak pernah mengecewakan rakyat, tidak pernah membohongi rakyat.

Apa yang menjadi masalah ialah puak di sana (pembangkang). Mereka ini bukan kuat sangat, tetapi pandai berkokok, dia berkokok kuat macam ayam, tetapi telurnya satu saja, kadang-kadang tak bertelur pun.

Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, bohong tak berhenti bohong.

Lepas itu dia kata kamilah juara sedangkan parti mereka sendiri kucar-kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu apa dia perwakilan sebut, kuat sikit 16 September, dia nak berarak ke Putrajaya.

Dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu mengangkat sumpah dia sebagai Perdana Menteri. Saya bersama Pak Lah (Tun Abdullah) masa itu, kita pun geleng kepala daripada mana dia bercakap ini.

Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala, lepas itu dia kata 30 orang kita bersedia menyeberang sebelah sana, kita pun seperti kata orang nak play safe. Kepung dia (wakil rakyat), jaga dia. Tawaran ada tetapi tiada seorang pun Ahli Parlimen kita yang menyeberang belah sana.

Dia janji bermacam-macam jawatan, tetapi dia pandai, dia gunakan orang ketiga, orang kata third party untuk menyampaikan berita, satu proses yang tidak demokratik, lepas itu dia berkata tentera Malaysia berada di belakang dia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ketika itu), (Jeneral) Tan Sri Aziz Zainal menyokong dia, saya kawan baik dia. Saya tahu dia setia dan taat kepada kerajaan. Ini pembohongan terbesar dalam sejarah. Lagi apa, banyak lagi, dia serang saya, fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia serang, isteri saya yang duduk diam-diam itu pun kena serang juga.

Saya sudah bersumpah di atas nama Allah di masjid. Sebanyak empat kali saya bersumpah. Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah? Ada dia bersumpah dalam masjid, ada dia bersumpah di luar masjid, ada dia junjung al-Quran, di mahkamah pun dia tak berani bersumpah, masuk dalam kandang orang bersalah tak berani bersumpah, buat kenyataan politik tapi ini bukan soal politik.

Ini bukan kes kita lawan dia, ini kes (Ahmad) Saiful (Bukhari Azlan) lawan dia, itu saja. Tidak ada kena-mengena dengan UMNO. Siapa pilih Saiful? Lain itu dot..., dot..., dot..., banyak lagi cerita sebenarnya, Datuk Pengerusi banyak lagi.

Ini saya kata, macam ini ke orang nak jadi Perdana Menteri, banyak lagi bab lain boleh cerita. Kita tengok parti itu, dahlah parti anak-beranak yang sudah saya sentuh perkara itu.

Lepas itu, parti ini dia mencatat sejarah dunia saya rasa, sebab parti yang ramai sekali keluar daripada parti. Saya sudah buat semakan enam Ahli Parlimen, lima ADUN, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ahli majlis tertinggi, tak cukup dengan itu peguam peribadi pun sudah keluar jadi Bebas.

Pengerusi DAP jadi peguam dia sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak? Peguam tentu tahu segala-galanya. Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut demokrasi. Ada demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau ada demokrasi takkan Datuk Zaid Ibrahim nak bertanding kata tak boleh. Dia tidak tak tahan lagi sebab apabila bilang undi, undi itu lebih daripada perwakilan.

Selepas itu tak tebal muka ini, dia apa nama, pilihan raya kita pun dia kata tak betul. Bila masa mengundi itu, pembangkang ada dalam tempat mengundi. Dia ada kita pun ada. Kalau kita boleh manipulasi peti undi (sudah tentu keputusannya) seperti zaman Hosni Mubarak di Mesir yang boleh mendapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi ini, tuan-tuan dan puan-puan, adakah kita nak melepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak biarkan negeri-negeri lain lepas ke tangan mereka, ingat kita nak biarkan Kelantan 21 tahun di bawah PAS? Tentu tidak.

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur tetapi mereka menganjurkan BERSIH 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium sebab apa, sebab skrip dah ada dah. Skrip sudah ada, skrip Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) sudah ada, skrip dia masuk apa nama hospital sudah ada.

Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood, sudah siap skrip itu, siap diatur masuk ke dalam hospital terlentang dengan memakai baju kuning. Kalau masuk hospital gantilah baju tetapi tidak. Ini semua penipuan. Sebenarnya dia tidak kena apa-apa pun.

Saya memberitahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) jangan usik dia. Polis tak usik dia pun, tapi dia buat macam sudah kena belasah. Tak kena pun, orang tak jentik dia pun, tapi skripnya sudah siap. Dimasukkan dalam Youtube nak tayang kepada seluruh dunia kononnya kita mempunyai polis state (pemerintahan polis) di Malaysia.

Selepas itu Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar curb (pembendung jalan), kata polis langgar. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan perwakilan iaitu lagi banyak Mat Sabu bercakap. lagi untung kita.

Ini parti PAS ini. Saya nak berkata parti PAS ini apa perkataannya, tahun sudah saya kata bangang. Saya nak kata perkataan kedolai. Kedolai ini bahasa orang Pekan dia tahulah, sebab dia tahu dia diperkudakan oleh DAP. Betul tak? Diperalatkan oleh DAP.

Kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada menjadi rakan kepada parti DAP. Tetapi kerana nak kerusi (dia sanggup) berpakat. Ini sebabnya saudara sekalian, 12 juta lebih pengundi yakinlah kalau ada pakatan yang rapuh seperti ini yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian bertentangan antara satu sama lain, kita tidak boleh menyerahkan negara yang tercinta kepada mereka.

Saya nak menyentuh mengenai parti yang kita kasih ini. Transformasi yang paling besar adalah transformasi pada diri kita. Peristiwa Hijrah sudah berakhir, tetapi perubahan besar yang perlu kita lakukan sekarang adalah pada diri kita sendiri.

Ujian terbesarnya adalah sejauh mana apa yang kita perkatakan (pada perhimpunan ini), kita bawa ke kawasan. Kita sudah berikrar. Kita balik ke kawasan, janganlah pula kita bersengketa. Kita lihat muka ketua bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah terhadapnya. Kalau kita tengok ketua, tengok pada timbalan, jangan pula kata dia ini nak jawatan saya.

Berilah kerjasama, berilah kasih sayang yang sejati kepada parti. Kita mesti mempunyai semangat seperti Timbalan Presiden sebutkan tadi. Semangat sepasukan! Sebab apabila kita buat seperti yang dulu, kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati perjuangan parti.

Kalau semuanya taat dan setia insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa.
Jadi selepas ini, apabila kita pulang, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita berdepan dengan ujian yang paling getir.

Beringatlah bahawa pilihan akan datang raya ini adalah paling getir dalam sejarah tanah air.

Pilihan yang dihadapkan pada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah, benderang. Menyaksikan sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional ataupun menempa jalan tragik, penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan bakal dibuat kali ini bukan saja tentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi kemuncak pada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan lagi. Kesimpulannya UMNO kini telah kembali berada landasan yang betul.

Buktinya, kebangkitan kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Inilah petanda bahawa transformasi parti secara besar-besaran telah pun bermula.

Lalu, pada detik, saat dan ketika yang bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini, kita mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang ada.

Perlengkapkanlah diri masing-masing. Kita akan turun dan berangkat ke medan juang sebagai satu saf yang padu. Sebagai satu pasukan kukuh. Sebagai satu barisan kuat dan semangat yang ampuh.

Sejak berdekad-dekad lamanya, berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang membina nasib dan maruah umat Melayu, mendorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa sebagai juragan intai penyelamat dunia.

Setelah mendaki, setelah baiah dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama saya.

Pada saat dan detik ini, insaflah saudara saudari. Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan bakal tiba di muka pintu, tunggulah kehancuran. Maka terpampanglah Melayu merempat di tanah sendiri.

Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya melumpuhkan bangsa-bangsa.

Sekiranya perjalanan kita menempuh rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita pasti merempuh dengan penuh kecekalan.

Wahai orang UMNO, dengan Allah kita berlindung, kepada Allah kita memohon, semoga bala dan musibah ini tidak menimpa, semoga kita terus terpelihara, selagi UMNO terus di persada, selagi semangat terus marak dan menyala.

Wahai orang UMNO, benteng parti ini tetap perkukuh perjuangan ini, walau apa aral yang melintang, sekali-kali kamu tinggalkan Bukit Uhud-Uhud ini, panji-panji mari kita kibarkan.

Alah undur berpantang ajal, pertahankanlah ia, kendonglah ia, hingga kudrat yang terakhir.

Ayuh! ayuh! ayuh!.. semua ke medan tarung. Insya-Allah kemenangan pasti milik kita. Demi Islam! Demi Melayu! Demi Malaysia! Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

- BERITA HARIAN

Teks Ucapan Pembukaan
http://myadha.blogspot.com/2011/12/teks-ucapan-presiden-umno-pada.html

Teks Ucapan Presiden UMNO pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2011

by
TEKS UCAPAN PENUH PRESIDEN UMNO PADA PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG 2011

MUKADDIMAH

Saudara dan Saudari sekalian,

Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu' dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung Umno kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi.

Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan.

Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi.

Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan Umno, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.

Tahun ini, Umno menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita.

Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri..., bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria Umno, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini.

Marilah..., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya. Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Datuk Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini.

Saudara dan Saudari,

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni Umno yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni Umno, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui Umno. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu.

Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula Umno sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang Umno. Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli Umno.

Sebaliknya, kita perlu menjadi orang Umno. Makna kata, orang Umno yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang Umno itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang Umno tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti. Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang Umno harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa', apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang Umno.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang Umno itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya; itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang Umno itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang Umno wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang Umno wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang Umno harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang Umno sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang Umno wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak...enggak bisa Pak.

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang Umno itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang Umno. Bersandarkan prinsip persalingan, orang Umno harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat. Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka.

Disudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang Umno perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah? Mahu tidak mahu, orang Umno harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan Umno menang, biar dilintang apapun dugaan, orang Umno mesti terus berdamping dengan rakyat.

Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

1946

Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar Umno adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

Jangan dilupa juga, termusta'id dalam lembaran sejarah bahawa, Umnolah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu.

Sekaligus, ditanda dengan episod itu, Umno telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari

1951

Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh Umno apabila Datuk Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertua dan keluar dari parti.

Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap Umno kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, Umno akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan "Hidup Melayu" telah diubah kepada "Merdeka".

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Datuk Onn untuk membuka pintu Umno kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan Umno, MCA dan MIC.

Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu. Saudara dan Saudari,

1955

Menyentuh usaha tersebut, iltizam Umno bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan Umno apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2.

Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India.

Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang Umno, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.

Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang Umno untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

Terbukti, sejak dari dulu lagi, Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis. Umno sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

1957

Umno juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong.

Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955.

Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, Felda ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan Felda menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan.

Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,

Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi Umno dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948.

Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini.

Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

Oleh yang demikian, Umno mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya.

Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran.

Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,

1969

Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, Umno dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman.

Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

1970

Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, Risda, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan Kejora, Ketengah, Perda, Keda, Kesedar, Dara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, Uda, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

1988

Umno menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun Umno berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan Umno lama, Umno baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

Saudara dan Saudari,

1990

Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000.

DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera.

Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Saudara dan Saudari,

Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

1999

Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data.

Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,

2011

Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Saudara dan Saudari,

Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial.

Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1,300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1,700 lagi masih dalam proses.

Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,

Begitu juga bermula tahun 90-an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud. Saudara dan Saudari sekalian,

Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, Umno perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun. Saudara dan Saudari,

Umno sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

Dalam sejarahnya, Umno adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan Umno yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini.

Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi "game changer" kepada Umno menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, Umno sentiasa mengulungi idea atau "supremacy of ideas" dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

Keempat, Umno perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.

Kelimanya, kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,

Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi Umno, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang Umno diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. Umno bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah Umno adalah parti yang mendakap demokrasi.

Kata pepatah Inggeris "the proof of the pudding is in the eating".

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari presiden parti.

Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala...., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari presiden.

Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak.....hrmm...tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,

Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika Umno masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi "game changer" atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula "game plan" yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika Umno tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana Umno dan BN mahu berjaya? Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, Umno harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

Ia berupaya mendatarkan "the playing field" atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang Umno wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, Umno selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, Umno juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. Umno tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,

Selama hampir enam dekad, Umno telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma' dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata "kita tukar jadi negara kebajikan". Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan Umno, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional.

Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,

Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia.

Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

Saudara dan Saudari,

Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam.

Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah...ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang Umno, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, Umno, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, Umno langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,

Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,

Inilah nasib yang akan melanda, jika Umno sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

Saudara dan Saudari,

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya. Saudara dan Saudari,

Akhir kalam, selaku presiden Umno, saya bersyukur kerana mempunyai timbalan presiden yang setia, barisan naib presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang Umno sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba.

Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti. Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup Umno! Hidup Umno! Hidup Umno! Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

- MSTAR

Sekalipun darurat, hak Melayu tetap terpelihara - Najib

by


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib yang juga Presiden Umno berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Katanya, polemik berhubung isu kerakyatan selepas merdeka dan hak istimewa orang Melayu sudah menjadi perdebatan akademik kerana ia sudah terpateri kemas.

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-raja Melayu," katanya.

"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekali pun darurat diisyhtiharkan ia tetap tidak boleh disinggung."

Menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno pagi ini, perdana menteri berkata, sama ada suka ataupun tidak, peruntukan tersebut diletakkan di luar forum perbincangan.

"Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan primordial instinct atau nalusi asal wujud antara etnik," katanya.

Tambahnya, berdasarkan perjalanan sejarah, tidak kira berapa maju pun ekonomi sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia, betapa tinggi tahap toleransi, sekiranya naluri asal itu wujud dan tidak diurus dengan baik, mungkin kezaliman yang sangat dahsyat akan terjelma.

"Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi Holocoust di benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.

Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini."

Malah, Najib berkata, di zaman ini ia akan lebih pantas mereba, terutama dalam dunia tanpa sempadan ekoran kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang.

"Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus," jelasnya.

Sebelum itu, menyentuh soal tanggungjawab moral dalam hubungan kaum, presiden Umno juga menyatakan kegusarannya terhadap pihak yang mula mempersoalkan kedudukan bangsa Melayu yang menimbulkan rasa tidak puas hati.

"Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu," katanya.

- MALAYSIAKINI

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90