Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Vaksinasi Fasa 2. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Vaksinasi Fasa 2. Papar semua catatan

Fasa kedua program imunisasi COVID-19 diawalkan 17 April 2021

by

 

Pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sepatutnya diadakan pada 19 April, diawalkan dua hari sebelum itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Susulan itu, beliau berkata, kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi hanya 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

"Kita perlu giatkan kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program badan bukan kerajaan (NGO) yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan serta pendatang tanpa izin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) yang menguruskan vaksin COVID-19 jenis CanSino dari China.

Dr Adham berkata, sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi.

Beliau berkata, program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata, ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal sudah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan COVAX pula dari Korea Selatan.

"Perkara ini semua dijamin, jadi isu kelewatan bekalan vaksin daripada pembekal tidak berlaku pada Malaysia. Kita dapat laksanakan semua jadual dan penghantaran dalam waktu ditetapkan, tetapi kita harap penghantaran dapat dipercepatkan jika boleh," katanya.

Dilaporkan India menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi vaksin AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di negara itu.

Langkah itu seperti dilaporkan, akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaksin COVAX yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing. 

Sumber : BERNAMA

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90