Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label anti rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label anti rasuah. Papar semua catatan

JPA diarah laksana pusingan kerja pegawai di jawatan sensitif

by

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah.

Dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket kartel tender kerajaan, Mohd Zaki menyatakan kekesalannya terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.

"Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah," katanya.

Mohd Zuki berkata, pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

Menurutnya, kes itu mula dikesan sejak 2014 dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan bernilai RM3.8 bilion dengan penahanan tujuh individu, termasuk ketua sindiket pada Ahad lalu.

Ketua sindiket berusia 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit.

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada 'orang dalam' untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Mohd Zuki berkata, beliau menyokong penuh usaha untuk membanteras apa juga bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

"Saya sudah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP)," katanya. 

Sumber : BERNAMA

 

SPRM Sasar Tiga Tahun Bersihkan Rasuah Penjawat Awam

by


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa, badan pengawal, pihak berkuasa negeri dan tempatan.

"Tempoh tiga tahun dipilih kerana pada 2020 Malaysia seharusnya sudah mencapai status negara maju," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.

Beliau berkata sebanyak 665 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun 2016 hingga Februari tahun ini (2017) melibatkan penjawat awam.

"Ini menunjukkan betapa seriusnya rasuah dalam kalangan penjawat awam dan kita (SPRM) khuatir jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang," katanya pada majlis Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Bersama SPRM di KKLW.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada 665 kertas siasatan itu, seramai 548 penjawat awam telah ditangkap dan sebanyak 63 kes dituduh di mahkamah, katanya.

Azam turut merujuk kepada kes rasuah Jabatan Air Sabah sebagai indikator yang tidak baik apabila seorang penjawat awam boleh 'tidur' dengan wang sebanyak lebih RM50 juta di rumahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Azam berkata sasaran membersihkan rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam masa tiga tahun merupakan faktor utama SPRM lebih agresif menjalankan operasi sejak tahun lepas.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata keadaan negara yang semakin membangun dan banyak transaksi ekonomi berlaku membuka banyak peluang untuk rasuah.

"Dalam keadaan ini apabila seorang diberi kuasa, dia mudah terjebak dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Kalau tidak ada duit, orang tidak akan melakukan rasuah, mereka akan melakukan jenayah lain seperti merompak, jual dadah dan sebagainya," katanya.

- Bernama

Tan Sri Abu Kassim - Personaliti pencegahan rasuah yang disegani

by


Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos ini, merupakan seorang personaliti yang disegani di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Menerajui kepimpinan SPRM pada 1 Jan 2010, Abu Kassim telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.

Abu Kassim, 55, memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu, meniti pelayaran kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Jan 2009.

Bermula sebagai seorang pegawai penyiasat, beliau kemudiannya menaiki tangga korporat agensi berkenaan sehingga memegang jawatan sekarang.

Pada tahun 1990, beliau dilantik sebagai Ketua Badan Pencegah Rasuah cawangan Sibu, Sarawak dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi dan Penyelarasan, BPR pada tahun 1999.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengarah BPR negeri Perak (2000) dan Pulau Pinang (2003) dan Pengarah Akademi Latihan Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2005.    

Abu Kassim kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Integriti di Amanah Raya Malaysia dan pada tahun 2007, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya 1 SPRM.

Nama Abu Kassim juga tidak asing di peringkat antarabangsa kerana beliau merupakan wakil Asia dalam Kumpulan Pakar-pakar Interpol mengenai Rasuah yang diadakan di Lyon, Perancis serta ahli dalam Interpol of Experts on Corruption  (IGEC) sejak 1997.

Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan Kod Etika bagi Penguatkuasaan Undang-undang-Panduan Amalan Terbaik bagi Anggota Interpol dan Piawaian Global bagi Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Polis.     

Abu Kassim juga adalah Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) dan pada 2012, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa, yang berpusat di Vienna.

Pada 30 November 2012, beliau dilantik sebagai Anggota Lembaga Gabenor Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi penggal selama enam tahun.

Pada Februari 2011, Abu Kassim dinamakan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan bagi 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York.

Beliau yang menduduki tempat keempat dalam senarai tokoh terkemuka itu, dihakimi daripada peranannya dalam kategori kerajaan dan amalan peraturan, termasuk kepimpinan pemikir, kepimpinan perniagaan, budaya korporat serta pelaburan dan penyelidikan.

Setelah tamat jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos, Abu Kassim akan meneruskan kariernya seabgai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020. 

- Bernama

Program Anti Rasuah Sebelum Tamat Pengajian Universiti

by

Program Anti Rasuah Sebelum Tamat Pengajian Di Universiti

Semua pelajar mungkin perlu menghabiskan penggal terakhir mereka di universiti dengan menyertai program anti rasuah sebelum memulakan karier masing-masing.

Di bawah program yang dirancang untuk semua institusi pengajian tinggi, pelajar akan diperkenalkan kepada senario dunia sebenar yang mungkin dihadapi mereka di alam pekerjaan.

Program kesedaran ini adalah antara langkah-langkah yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pengarah bahagian Komunikasi Strategik SPRM Abdul Samat Kasah berkata pengenalan modul anti-rasuah bagi kursus-kursus tertentu, seperti kewangan atau kejuruteraan, di mana pelajar lebih cenderung untuk menghadapi cabaran itu juga sedang dalam perancangan.

"Modul ini akan ditanda aras dengan apa yang telah dilakukan di negara-negara lain," katanya kepada The Star.

Beliau menegaskan bahawa universiti tertentu, termasuk University of Sheffield di Britain mewajibkan subjek profesionalisme dalam kejuruteraan untuk pelajar tahun akhirnya.

Subjek itu menggabungkan kod etika, tadbir urus yang baik dan undang-undang mengenai rasuah.

Abdul Samat berkata ia juga termasuk kerja kursus, peperiksaan dan kelas selama satu jam untuk keseluruhan semester.

Sekolah kejuruteraan siswazah University of Sheffield  juga mempunyai modul Tingkah Laku Profesional dan Kelakuan Beretika.

Abdul Samat berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah untuk membendung rasuah dalam masyarakat.

Beliau berkata, SPRM juga sedang bekerjasama dengan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk mewujudkan manual pengajaran anti-rasuah bagi membantu guru-guru menyampaikan mesej.

"Manual ini hampir siap dan akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan untuk kelulusan," katanya.

Pendekatan yang lebih halus sedang diambil untuk memupuk asas anti-rasuah di kalangan pelajar di peringkat sekolah rendah.

Abdul Samat berkata, SPRM, bersama-sama dengan bahagian buku teks Kementerian Pendidikan, turut melakukan tambah baik dalam buku teks untuk menyampaikan mesej di mana-mana bahagian yang sesuai.

"Ini termasuklah buku teks baharu untuk subjek moral, bahasa dan pengajian agama," katanya.

Langkah itu telah disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

"Ibu bapa perlu menjadi contoh. Mengajar generasi untuk tidak bertoleransi dalam rasuah perlu bermula dari rumah, "katanya.

Low mendakwa bahawa kaedah moden ibu bapa kini yang berorientasikan wang ringgit menyebabkan kanak-kanak mahu dihargai dengan wang dan material.

- mSTAR

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90