Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label astro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label astro. Papar semua catatan

Saham Astro jatuh ke paras terendah dalam sejarah

by


 Harga saham Astro Malaysia Holdings Bhd jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah kepada 40 sen dalam dagangan petang tadi.

Ia susulan prestasi kewangan yang tidak memberangsangkan yang dicatatkan pengendali televisyen berbayar itu baru-baru ini.

Kaunter Astro kemudian meningkat sedikit 1.5 sen kepada 41.5 sen setakat jam 4.20 petang, bagaimanapun ia masih rendah 2.5 sen atau 5.68 peratus daripada harga pembukaan pagi tadi.

Pada harga 41.5 sen sesaham menjadikan permodalan pasaran syarikat itu kepada RM2.349 bilion.

Harga sahamnya mulai jatuh pada 26 September lalu selepas melaporkan keputusan kewangan yang mengecewakan sehari sebelumnya.

Keuntungan bersih Astro Malaysia susut mendadak kepada RM23.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2023, daripada RM98.47 juta dalam tempoh sama setahun lalu.

Hasilnya merosot sebanyak 5.6 peratus kepada RM869.82 juta daripada RM921.12 juta, terutamanya berpunca daripada penurunan pendapatan langganan dan jualan barang dagangan.

Penganalisis Kenanga Research, Kylie Chan Sze Zan, berkata pendapatan Astro Malaysia pada separuh pertama tahun kewangan 2024 menguncup sebanyak tujuh peratus berikutan sumbangan lebih rendah daripada langganan televisyen dan hasil iklan radio.

Katanya, penurunan lebih besar 45 peratus keuntungan bersih teras Astro pula berpunca daripada kenaikan kos pembiayaan, selain kos kandungan dan susut nilai yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, kemerosotan keuntungan sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan iklan lebih tinggi, kerugian beli-belah di rumah yang lebih kecil, sumbangan daripada segmen radio yang lebih baik dan cukai lebih rendah," katanya dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini.

Penyedia perkhidmatan televisyen berbayar terbesar tempatan itu turut mengumumkan akan menghentikan operasi Astro GS Shop Sdn Bhd (AGSS) yang mengendalikan perniagaan beli belah di rumah di bawah jenama 'Go Shop' pada 11 Oktober 2023.

Langkah yang diputuskan bersama rakan usaha sama dari Korea, GS Retail Co Ltd (GSR) itu berikutan landskap ekonomi keseluruhan yang mencabar dan perubahan dalam tingkah laku membeli-belah pengguna.

AGSS ialah usaha sama yang ditubuhkan antara Astro Retail Ventures Sdn Bhd (ARV), anak syarikat milik penuh Astro yang memegang 60 peratus kepentingan ekuiti dan GSR memegang baki 40 peratus.

Sumber : Berita Harian


Lima faktor punca langganan Astro merosot

by

 


Penurunan jumlah langganan yang menyebabkan harga saham Astro Malaysia Holdings Bhd menunjukkan trend penurunan sejak suku ketiga tahun kewangan 2018 adalah berpunca daripada lima faktor, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

Ia berkata, faktor pertama yang menyumbang kepada penurunan langganan stesen televisyen (TV) berbayar itu adalah peningkatan penggunaan kotak TV haram yang membolehkan pengguna menstrim kandungan berbayar secara percuma.

Firma penyelidikan itu berkata, ia turut didorong oleh meningkatnya persaingan daripada Unifi TV yang disertakan dengan perkhidmatan Telekom Malaysia (TM) lain seperti internet dan telefon, selain persaingan daripada penyedia perkhidmatan penstriman lain.

"Pendapatan isi rumah lebih rendah dan sekatan operasi berpunca daripada pandemik menyebabkan penurunan langganan isi rumah, selain sekatan sosial daripada pandemik yang secara negatif memberikan kesan kepada langganan komersial," kata HLIB Research dalam nota penyelidikan yang disediakan oleh Tan Kai Shuen dan Tan Je Jyne.

HLIB Research berkata, kemerosotan pendapatan pengiklanan pula adalah berpunca daripada pengiklanan digital seperti Facebook dan Google yang menenggelamkan penguasaan pasaran saluran iklan tradisional, selain penurunan asas pelanggan Astro dalam aset TV dan radio.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa perkembangan penting yang kami percaya akan membantu memulihkan Astro," katanya.

HLIB Research berkata, ia termasuk Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 akan membanti mengurangkan bilangan kotak TV haram yang digunakan dan dijual kerana ia membolehkan Astro mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual serta pengedar kandungannya secara tidak sah.

Selain itu, ia berkata Astro dapat menangani persaingan daripada Unifi TV dan penyedia perkhidmatan penstriman lain dengan melancarkan jalur lebar fiber sendiri serta menjadi aggregator perkhidmatan penstriman.

"Dengan pelancaran perkhidmatan jalur lebarnya sendiri, Astro mampu memberikan nilai yang sama seperti TM kepada pelanggan dengan menyediakan kemudahan satu bil di samping penjimatan kos.

"Selain itu, daripada bersaing secara terus dengan penyedia perkhidmatan penstriman untuk tontonan, Astro menggunakan strategi menjadi 'aggregator' perkhidmatan penstriman dan memberikan lebih nilai kepada tawaran kandungan," katanya.

HLIB berkata, ketika Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik dan jaminan pekerjaan lebih kukuh, ia percaya ini akan memulihkan penurunan langganan isi rumah serta komersial yang berpunca daripada pandemik.

"Akhir sekali, dengan pelbagai halangan yang dihadapi oleh syarikat pengiklanan digital seperti Facebook dan Google, selain jurang pulangan ke atas pelaburan (ROI) yang semakin kecil bagi perbelanjaan iklan berbanding Astro, kami percaya lebih banyak pengiklan akan kembali ke saluran tradisional seperti TV dan radio, terutama dengan pelancaran pengiklanan khusus oleh Astro," katanya.

HLIB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Astro dengan harga sasaran tidak berubah RM1.34.

Sumber : Berita Harian

Astro boleh ambil tindakan terhadap penjual 'android box'

by

 


Astro Malaysia Holdings Bhd boleh mengambil tindakan undang-undang kepada vendor atau penjual kotak android yang memiliki kandungan cetak rompak, khususnya milik syarikat itu.

Penganalisis Maybank IB Research, Yin Shao Yang berkata, Astro boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 51B kerana ia adalah pemilik hak cipta asal kandungan berdasarkan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.

Beliau berkata, syarikat media itu juga boleh 'menguji' pembelian kotak android bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran hak ciptanya dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah yang disyaki.

"Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 membayangkan kepada kami bahawa ia berpotensi menangani masalah kandungan cetak rompak yang telah membelenggu Astro sejak enam tahun lalu.

"Akta ini jelas mengiktiraf penstriman teknologi sebagai jalan untuk melanggar hak cipta. Bacaan Seksyen 43AA membayangkan bahawa paltform e-dagang dan media sosial yang secara terbuka menjual peranti penstriman haram atau kotak android ini berkemungkinan bersalah kerana melanggar hak cipta.

"Tinjauan YouGov February 2019 mendapati bahawa 87 peratus pemilik kotak android membelinya daripada platform e-dagang dan media sosial," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Astro sebelum ini dilaporkan mula mendekati platform media sosial dan e-dagang untuk menamatkan penjualan kotak android yang memiliki kandungan cetak rompak.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei 2021 bahawa penjualan set kotak dengan kandungan cetak rompak adalah diharamkan.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Astro mengharapkan pengguna yang menamatkan langganan akaun untuk beralih ke kotak android, akan kembali menjadi pelanggannya.

Shao Yang bagaimanapun berkata, disebabkan akta itu baharu dan belum diuji di mahkamah, anggaran pendapatan dan harga sasaran (TP) bagi saham Astro adalah tidak berubah.

Beliau berkata, ia berdasarkan hasil langganan TV Astro yang meningkat satu hingga dua peratus selepas jatuh 30 peratus sepanjang enam tahun yang lalu.

"Kami juga berpendapat operasi jualan mungkin kekal tidak stabil bukan hanya disebabkan kandungan cetak rompak kandungan, tetapi sentimen pengguna yang rapuh ketika ini. Ini kerana kuasa membeli semakin terhakis akibat kenaikan inflasi.

"Bagaimanapun, ia boleh menjadi titik perubahan yang sangat positif untuk Astro," katanya.

Sumber : Harian Metro

Aliff Aziz juara Gegar Vaganza 8

by

 

Pertarungan pentas akhir musim kelapan Gegar Vaganza (GV8) menyaksikan Aliff Aziz muncul juara dalam program realiti yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Mempersembahkan tiga tugasan merangkumi solo, duet dan 'battle', Aliff menumpaskan lima peserta lain dan meraih hadiah wang tunai RM100,000.

Bagi lagu solo, penyanyi kelahiran Singapura ini menyampaikan lagu Sampai Syurga yang pernah dipopularkan Faizal Tahir.

Segmen duet pula menyaksikan penyanyi bervokal mantap itu berpadu suara dengan Hafiz Suip mendendangkan lagu Dealova. Aliff kemudian dipertemukan dengan Aweera untuk menyanyikan lagu Bangun dalam segmen 'battle'. 

Persembahan penuh bertenaga dan konsisten yang ditunjukkan suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ini mencuri tumpuan penonton dan mendapat komen positif juri.

Pada konsert akhir itu, Nikki Palikat menduduki tempat kedua dan memenangi wang tunai RM50,000.

Nikki mempertaruhkan lagu solo berjudul Terasing dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, single Mengapa yang disampaikan secara duet bersama Idayu dan Gangnam Style untuk segmen 'battle' bersama Suki Low.

Suki menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM30,000. Tempat keempat diraih Adibah Noor yang membawa pulang wang tunai RM20,000.

Biarpun berada pada kedudukan kelima dan keenam, Azan Scan dan Aweera masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong.

Azan Scan membawa pulang hadiah wang tunai RM15, 000 manakala Aweera beroleh RM10,000.

Pentas akhir GV8 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS; bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang; pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi hip-hop tersohor, Joe Flizzow sebagai juri undangan.

Program realiti nyanyian dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama 10 minggu itu turut disertai kumpulan Shidee, Nico G, Datuk Fazley Yaakob, Upiak, Bandi Amuk, Saiful Apek & Yassin (SA.YA) dan Ani Mayuni.

 

 

Astro dijangka mula tawar khidmat jalur lebar pada 2023

by

 

Astro Malaysia Holdings Bhd dijangka boleh mula menawarkan perkhidmatan jalur lebar baharu kepada pelanggannya menerusi kerjasamanya dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) seawal tahun kewangan 2023.

Menurut penganalisis HLIB Research, Tan Kai Shuen, kerjasama itu membolehkan Astro untuk menawarkan khidmat jalur lebar kepada pelanggan yang berada dalam liputan TM, iaitu membabitkan 5.0 juta kediaman dan perniagaan.

Katanya, pengumuman kerjasama Astro dengan TM baru-baru ini adalah amat positif kerana pertamanya, ia mencipta sumber pendapatan baharu kepada Astro dengan penawaran khidmat baharu tanpa perlu mengeluarkan pelaburan besar bagi membina infrastruktur.

"Ia juga dapat bersinergi dengan segmen TV berbayarnya di mana Astro dapat menggabungkan perkhidmatan jalur lebar baharu ini dengan pakej TV berbayarnya.

"Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pengalaman pelanggan kerana penggabungan akan menghasilkan cadangan nilai yang lebih menarik termasuk kemudahan (pembayaran di bawah satu bil), menghilangkan masalah siaran ketika hujan dari satelit, kandungan mengikut permintaan di TV dan juga penjimatan kos berbanding melanggan perkhidmatan TV dan jalur lebar secara berasingan," katanya dalam nota kajian baru-baru ini.

Saham Astro di Bursa Malaysia meningkat pada dagangan baru-baru ini susulan berita kerjasama antara anak syarikat milik penuh kumpulan, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd dan TM.

Menerusi kerjasama strategik ini, TM menerusi TM WHOLESALE akan menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses Internet kepada Astro.

Infrastruktur rangkaian fiber yang meluas dan mantap ini akan membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.

Sementara itu AmBank Research dalam nota kajiannya, berkata kerjasama itu menawarkan Astro peluang untuk melancarkan perkhidmatan jalur lebar fiber sendiri dengan kompetitif berbanding unifi dan fiber rumah Maxis.

"Bagi TM, tawaran kandungan Astro, yang menawarkan rancangan tempatan dan pilihan penyedia 'over-the-top' seperti saluran Netflix, Disney+Hotstar serta Fox berupaya memacu permintaan data borong kumpulan selain menyokong peningkatan trajektori pendapatan segmen itu," katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro dan TM dengan nilai wajar berdasarkan aliran tunai terdiskaun (DCF) tidak berubah masing-masing pada RM1.83 dan RM7.10.

Sumber : Berita Harian

 

 

Astro lancar Ultra Plug & Play Box

by

 

Astro melancarkan kotak televisyen baharu, Astro Ultra Plug & Play Box yang membolehkan pelanggan mengakses semua kandungan yang ditawarkan Astro menerusi sambungan internet.

Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad berkata, fungsi dan reka bentuk kotak tersebut hampir sama seperti kotak Ultra dan Ulti yang diperkenalkan hampir dua tahun lalu dan apa yang membezakannya ialah Astro Ultra Plug & Play Box boleh dipasang sendiri secara mudah oleh pengguna.

“Produk ini memberikan anjakan baharu dalam penawaran servis kami kerana selama hampir 25 tahun, pelanggan baharu Astro perlu menunggu kakitangan perkhidmatan kami datang dan memasang peralatan di rumah.

“Namun dengan Astro Ultra Plug & Play Box baharu ini, pengguna hanya memerlukan sekitar 15 minit untuk memasangnya sendiri di kediaman masing-masing dan hal ini lebih menepati persekitaran norma baharu yang mana masyarakat sekarang agak gusar membenarkan orang luar masuk ke rumah,” katanya pada sesi pelancaran yang diadakan secara maya.

Perkhidmatan Astro Ultra Plug & Play Box ditawarkan pada harga bermula dari RM49.06 sebulan menerusi pakej Starter Pack dengan kontrak selama 24 bulan.

Menurut Azlin, pelanggan Astro sedia ada dengan purata pendapatan per unit (ARPU) melebihi RM100 sebulan boleh mendapatkan kotak baharu itu secara percuma.

“Pelanggan hanya perlu memesan kotak ini menerusi laman web Astro atau pelbagai saluran lain dan ia akan dihantar ke kediaman pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier dalam tempoh 72 jam, namun kami cuba sedaya upaya supaya pelanggan dapat menerimanya pada keesokan harinya selepas membuat tempahan.

“Buat masa ini servis ini ditawarkan di Semenanjung namun ia akan diperluaskan tidak lama lagi ke seluruh negara,” katanya.

Maklumat lanjut, layari : https://product.astro.com.my/tv

Sumber : Kosmo!

 

ASTRO banteras penjualan kotak android

by

 

Astro Malaysia Holdings Bhd (ASTRO) mula mendekati platform media sosial dan e-dagang untuk menamatkan penjualan kotak android yang memiliki kandungan cetak rompak, khususnya milik syarikat itu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu bahawa penjualan set kotak dengan kandungan cetak rompak adalah diharamkan.

Penganalisis Maybank IB Research, Yin Shao Yang, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, ASTRO mengharapkan pengguna yang menamatkan langganan akaun untuk beralih ke kotak android akan kembali menjadi pelanggannya.

"Pendapatan langganan televisyen (TV) ASTRO mencapai kemuncak untuk mencecah RM4.4 bilion pada 2016, tetapi merosot sebanyak 26 peratus kepada RM3.2 bilion lima tahun kemudian.

"ASTRO bernasib baik kerana keuntungan bersih teras mengecil 20 peratus disebabkan langkah rasionalisasi kos yang agresif dengan sebahagian besarnya disebabkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli kotak android dengan kandungan cetak rompak semasa menamatkan akaun ASTRO.

"Kotak android dengan kandungan cetak rompak dijual secara terbuka di plaktform e-dagang dan media sosial," katanya.

Shao Yang berkata, Maybank IB Reseach menganggarkan setiap RM100 juta pendapatan langganan diperoleh ASTRO, mewakili RM51 juta anggaran pendapatan bersih teras dan 10 sen kepada harga sasaran (TP) berdasarkan diskaun aliran tunai (DCF) kepada RM1.10.

"Sekiranya ASTRO memperoleh semua pendapatan langganan TV RM1.1 bilion yang hilang lima tahun lalu, walaupun ia agak mustahil, kami menjangkakan keuntungan bersih teras menjadi RM550 juta dan pertambahan TP berdasarkan DCF menjadi RM1.10," katanya.

Dalam aspek lain, Shao Yang berkata, kemasukan semula pelanggan TV berbayar memerlukan enam hingga 12 bulan untuk mencapai pulangan modal, namun ia memberi pertumbuhan jangka panjang kepada ASTRO.

"Lebih ramai pelanggan bagi produk berdefinisi tinggi (HD) mendorong pertumbuhan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) disebabkan bayaran langganan bulanan yang tinggi yang mana menterjemahkan kepada margin yang lebih baik," katanya.

Namun, jelasnya, kos kandungan lebih tinggi menyebabkan kenaikan 30 peratus daripada jumlah perbelanjaan tunai dan terdedah kepada ketidaktentuan dalam kadar pertukaran asing.

"Kadar pertukaran ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang tinggi memberi kesan kepada kos kandungan yang mewakili dua pertiga, transponder satelit selain Set Top Box (STB) yang dalam dominasi dolar AS," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Gangguan perkhidmatan telekomunikasi dan satelit MEASAT-3 pulih - SKMM

by

 

Gangguan perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran menggunakan satelit MEASAT-3 sejak 21 Jun lepas telah dipulihkan, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

MCMC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan gangguan itu berlaku apabila posisi satelit MEASAT-3 terjejas disebabkan oleh masalah teknikal, namun satelit tersebut kini diletakkan kepada mod operasi biasa selepas kerja baik pulih dijalankan.

“Transponder juga telah dihidupkan kembali sejak jam 9.30 pagi tadi bagi membolehkan pelanggan menyambung semula perkhidmatan mereka dan proses ini dijangka mengambil masa selama beberapa jam.

“Walaupun punca kejadian sebenar masih belum diketahui, namun siasatan awal mendapati berlakunya kegagalan penujah. Oleh itu, penujah sokongan telah digunakan untuk mengawal satelit berkenaan tanpa sebarang impak kepada operasi dan jangka hayat satelit yang dimaksudkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, insiden itu telah mengakibatkan gangguan ke atas pelbagai perkhidmatan seperti terus ke rumah (DTH), pengagihan saluran video, perkhidmatan telefon mudah alih oleh pihak penyedia perkhidmatan dan juga perkhidmatan Satelit Bukaan Amat Kecil (VSAT).

Dianggarkan seramai 14,000 pelanggan telah terkesan akibat insiden itu dan SKMM meminta orang awam menghubungi MEASAT sekiranya perkhidmatan yang dilanggani masih terjejas.

Pada 21 Jun lepas, penyedia satelit Astro Malaysia Holdings Bhd iaitu MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd memaklumkan saluran perkhidmatan televisyen satelit itu telah mengalami gangguan siaran. - 

Sumber : Bernama


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90