Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label automobil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label automobil. Papar semua catatan

Ducati Scrambler 800 lebih retro dan sporty

by



Pada tahun lalu, Ducati memperkenalkan barisan Scrambler 800, model motosikal retro popularnya dengan pelbagai kemas kini, meskipun tidak semua perubahan kelihatan, iaitu rangka, transmisi, elektronik, dan gaya.

-ADVERTISEMENT-

Terdapat tiga model Scrambler iaitu pilihan antara Icon, Full Throttle, dan Nightshift yang mana ketiga-tiga model berkongsi platform yang sama dengan spesifikasi hampir serupa.

Secara keseluruhannya, model Ducati Scrambler 800 edisi terkini mendapat rangka baru yang lebih ringan, meskipun masih menggunakan reka bentuk trellis, Ducati telah mengurangkan hampir 4.0 kilogram berbanding model terdahulu.

Ia turut dilengkapi lengan hayun baharu berserta kedudukan berbeza bagi suspensi KYB. Subrangka belakang kini boleh dikeluarkan, justeru menyenangkan pengubahsuaian atau pembinaan secara kustom.

Rangka baru telah mengubah sudut pengendalian sedikit. Sudut condong bahagian hadapan tetap sama, namun sudut trail dikurangkan. Ia ditambah dengan gabungan roda 18-/17-inci yang bergaya kembali dengan tayar Pirelli MT 60 RS.

Walaupun enjin 'Desmodue' tidak berubah, transmisinya telah dikemaskini. Enjin dua injap yang dengan pendingin udara/minyak masih menghasilkan 73 kuasa kuda (hp) pada 8250 rpm, namun terdapat perubahan kecil dalam penghasilan tork.

Klac direka bentuk semula sepenuhnya, jurutera Ducati mengecilkan saiz klac dan mereka bentuk semula penutupnya untuk memberikan penunggang lebih ruang pada kaki. Ia kini reka bentuk lapan cakera yang mana 2.5 kg lebih ringan dan mempunyai tarikan yang lebih selesa. Ia juga mudah ditukar kepada gear neutral ketika berhenti.

Drum anjakan untuk transmisi dipasang dengan galas tindak balas lebih baik. Akhirnya, penutup kotak engkol atau crankcase pula adalah baharu.

Respons pendikit kini mengguna sistem ride-by-wire, pemodenan yang membolehkan penyepaduan kawalan traksi (TC) ke dalam dua mod tunggangan baharu iaitu 'Sport' dan 'Road', yang mana mod 'Road' memperlahankan tindak balas pendikit dan meningkatkan kawalan traksi. Sistem Cornering-ABS turut dilengkapi pada model terkini ini.

Ia juga dilengkapi penukar pantas gear atau Ducati Quick Shifter (DQS) yang menjadi peralatan standard untuk varian Full Throttle, dan pilihan untuk Icon dan Nightshift.

Model terkini ini disertakan dengan paparan TFT 4.3-inci yang baru, skrin eka bentuk HMI (Antara Muka Manusia-Mesin) yang memberikan maklumat dengan lebih efektif. Sistem Multimedia Ducati, yang boleh menghubungkan telefon pintar ke paparan, kini menjadi pilihan pada Scrambler 800 ini.

Ducati Scrambler Icon mendapat beberapa kemas kini sendiri. Terdapat tiga warna - Kuning; Hitam dan Merah - bersama dengan enam kit aksesori dengan penutup tangki, pembalut fender, penutup lampu hadapan, dan penanda roda untuk penampilan yang berbeza. Tempat duduknya pula lebih tirus, dan handel baru yang kedudukannya lebih rendah dan lebih dekat kepada penunggang. Selain itu, terdapat panel tepi baru. Icon adalah Scrambler yang paling mampu milik daripada harganya iaitu RM65,900 seunit.

Ducati Scrambler Full Throttle pula yang paling 'sporty' antara ketiga-tiganya. Anda tentu tidak akan terlepas pandang pada muffler Termignoni. Walau bagaimanapun, Full Throttle juga memiliki kedudukan tuggangan yang lebih sporty, fender hadapan lebih menarik, tiada fender dipasang sub-rangka belakang, plat skid, lampu isyarat LED, roda bertanda cat merah, dan terpahat nombor #62 di bahagian tepi, sebagai tanda ingatan kemunculan sulung Ducati Scrambler iaitu pada tahun 1962. Harga jualan bagi Full Throttle adalah RM76,900 seunit, dan ia tersedia dalam warna Merah GP19 / Hitam Stealth Gelap.

Ducati Scrambler Nightshift pula meletakkan kedudukannya dengan gaya tersendiri. Rim beranting adalah paling menonjol, bersama dengan cermin pada hujung bar hendal dan lampu isyarat LED.

Nightshift berkongsi bentuk fender yang sama dengan Full Throttle. Nightshift juga ditawarkan pada harga yang sama dengan Full Throttle. Sesuai dengan namanya, Nightshift hanya tersedia dengan warna Nebula Blue.

Warranti tiga tahun tanpa had perjalanan

Dalam pada itu, turut menarik perhatian adalah apabila Next Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia) sebagai pengedar utama motosikal Ducati di negara ini menawarkan waranti kilang selama tiga tahun untuk barisan model motosikalnya dan Scrambler 2024 yang dibeli bermula 1 Mac lalu.

Program 'Waranti Kilang Ever Red' itu untuk memastikan pelanggan menikmati pemilikan motosikal premium ini tanpa kebimbangan, selain menawarkan kelegaan minda ketika melakukan tunggangan sama ada harian atau pengembaraan jarak jauh.

Waranti Kilang Ever Red datang dengan perjalanan tanpa had, membenarkan pemilik untuk meneroka jalan raya tanpa batasan.

Spesifikasi Ducati Scrambler Icon, Full Throttle, dan Nightshift

ENJIN

Jenis: L-Twin 90 darjah Desmodue

Isipadu: 803cc

Bore x stroke: 88 x 66mm

Kuasa maksimum: 73 kuasa kuda pada 8250 rpm

Tork maksimum: 48 ft-lbs pada 7000 rpm

Nisbah mampatan: 11:1

Valvetrain: Desmodromic; 2 injap setiap kepala silinder

Pengabutan: EFI dengan badan throttle 50mm

Penyejukan: Udara dan minyak

Transmisi: 6-kelajuan

Clutch: Basah bertindak hidraulik multiplate dengan fungsi bantu dan slip

Pemacu akhir: Rantai

RANGKA

Rangka: Trellis

Suspensi depan; jarak hentakan: Tidak boleh diselaraskan KYB terbalik (USD) 41mm; 9 inci

Suspensi belakang; jarak hentakan: Monoshock KYB yang boleh laras ; 9 inci

Roda: Aluminium 10-silinder

Roda depan: 18 x 3.00

Roda belakang: 17 x 5.50

Tayar: Pirelli MT 60 RS

Tayar depan: 110/80 x 18

Tayar belakang: 180/55 x 17

Brek depan: Cakera 330mm, kaliper Brembo 4-piston radial

Brek belakang: Cakera 245mm, kaliper Brembo terapung piston tunggal

ABS: Peka Selekoh

KEUPAYAAN dan DIMENSI

Jarak roda: 1,449 mmi

Rake: 24 darjah

Trail: 108 mm

Tinggi tempat duduk: 795 mm

Kapasiti tangki: 13.5 liter

Berat kerb: 191 kg

Anggaran penggunaan bahan api: 19.1 km/l

WARNA

Ducati Scrambler Icon : '62 Kuning; Hitam Thrilling; Merah Ducati

Ducati Scrambler Full Throttle : Merah GP19 / Gelap Stealth

Ducati Scrambler Nightshift : Nebula Blue

HARGA

Ducati Scrambler Icon : RM65,900

Ducati Scrambler Full Throttle : RM76,900

Ducati Scrambler Nightshift : RM76,900

Honda perkenal Civic generasi ke-11

by

 

Honda memperkenalkan reka bentuk baharu model Civic generasi ke-11 yang lebih matang dan eksklusif minggu lalu melalui video pratonton di saluran Youtube rasminya.

Model yang digelar sebagai Honda Civic 2022 itu menampilkan reka bentuk yang moden dan berteknologi tinggi selain rekaan dalaman yang berpusatkan manusia dan sistem keselamatan canggih.

Model tersebut pertama kali didedahkan kepada umum pada November lalu dalam versi prototaip dan rupa baharunya ternyata tidak banyak berbeza dengan versi tersebut.

Portal Overdrive memuji peningkatan tumpuan terhadap ciri minimalis dalam reka bentuk baharu tersebut.

Menurut portal tersebut, papan pemuka model itu dilihat kalis cap jari, mempunyai kawalan iklim fizikal baharu, set didik hibur 9 inci, paparan pemandu digital 10.2 inci, pengecasan tanpa wayar, tempat duduk baharu dan lohong pendingin udara yang tersorok di belakang jejaring di sepanjang papan pemuka.

Honda berkata, model terbaharu tersebut akan mengandungi ciri-ciri termasuk enjin bercas turbo 180-hp; sistem pemanduan tiga mod dengan mod sport; penanjak pedal; dan sistem bunyi Bose Premium.

Menambahkan keistimewaan model tersebut, ia turut mempunyai Apple CarPlay tanpa wayar; integrasi Android Auto; penggayaan potongan sport dan sistem maklumat titil buta dengan pengawasan lintas trafik.

Model itu turut dilengkapi teknologi Standard Honda Sensing yang dilengkapi Sistem Brek Cegah Langgar (CMBS) dan Sistem Cegah Keluar Lorong (RDM).

“Piawaian untuk semua sedan Civic, suit Honda Sensing bagi keselamatan dan teknologi bantuan pemandu direka untuk memberi amaran tentang perkara yang mungkin anda terleka ketika memandu.

“CMBS boleh menghentikan kenderaan anda dengan mengenakan tekanan brek secara automatik apabila sistem menentukan bahawa pelanggaran hadapan tidak dapat dielakkan.

“RDM boleh menentukan jika akan melintasi laluan yang dikenal pasti tanpa memberi isyarat, memberikan bantuan kemudi untuk mengembalikan anda ke laluan asal atau memberikan bantuan brek bagi mengelakkan anda terkeluar dari lorong sepenuhnya,” katanya.

Model tersebut dijangka berada di pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

Almera Turbo baharu kemas, selesa

by

 

Nissan Al­mera Turbo serba baharu yang dilancarkan baru-baru ini sememang­nya kenderaan yang cukup menyerlah lebih-lebih lagi menggabungkan reka bentuk kemas, keselesaan dan ruang luas bagi pemiliknya.

Menurut Tan Chong Motor Holdings Berhad iaitu pengedar Nissan di Malaysia, Almera baharu dilengkapi teknologi Nissan Intelligent Mobility dan Safety Shield 360 yang menawarkan pemantauan keselamatan serta tindak balas pada bahagian hadapan, sisi dan belakang.

Hadir dengan tiga varian iaitu VL pada harga atas jalan de­ngan pengecualian cukai jualan tidak termasuk insurans adalah RM79,906; VLP (RM85,715) dan VLT pada harga RM91,310.

Selain itu, kata Tan Chong Motor, Almera baharu turut mempunyai sistem amaran pe­langgaran hadapan pintar (IFCW) dan brek kecemasan hadapan pintar (IFEB) yang memantau jarak dan kelajuan ken­deraan di samping mengeluarkan tanda berhenti kecemasan serta menekan brek secara automatik untuk membantu mengelak pe­langgaran hadapan.

Almera Turbo tersebut turut dilengkapi sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

“Ketika memandu pada kelajuan melebihi 32 kilometer sejam (km/j), sistem BSW membantu memantau kawasan titik buta dalam jarak 3X3 meter menerusi sensor radar pada bahagian bampar belakang.

“Ia akan memberi amaran kepada pemandu tentang kewujudan kenderaan lain yang berada berhampiran apabila hendak menukar haluan,” katanya dalam kenyataan.

Edaran Tan Chong Sdn. Bhd. (ETCM) iaitu anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor turut menawarkan promosi pembiayaan flexi istimewa iaitu bermula RM688 sebulan bagi va­rian VL, RM738 sebulan bagi varian VLP dan RM788 sebulan bagi VLT.

“Pelanggan yang membeli insurans dengan Tan Chong Insu­rance Business Stream (TCIBS) untuk Nissan Almera Turbo akan menerima perlindungan kemalangan peribadi (PA) secara percuma,” katanya.

Sumber : Utusan

Nombor plat kereta J4 dijual lebih RM2 juta

by

 

Sekeping nombor plat kenderaan di Pulau Jersey, dalam jajahan Britain yang menampilkan dua karakter iaitu J4, mencatatkan harga jualan £380,000 (RM2.03 juta)  dan dibeli oleh seorang pembida misteri baru-baru ini, lapor portal berita Solent News.

Nombor plat J4 itu merupakan nombor pendaftaran bagi kenderaan jenis Chrysler Vo­yager milik Leftenan Gabenor Jersey, Sir Stephen Dalton yang mewakili Ratu Elizabeth II.

Ia juga merupakan nombor plat satu angka pertama yang dikeluarkan oleh pulau tersebut.

Meskipun nombor plat berharga lebih RM2 juta itu sudah dijual, namun mengikut undang-undang pendaftaran di Kepulauan Channel, semua plat yang bermula dengan huruf J adalah hak milik kerajaan.

Jersey merupakan salah sebuah pulau di Kepulauan Channel dan terletak dalam jajahan Britain.

Pembeli nombor plat tersebut hanya mendapat hak untuk mengunakan nombor pendaftaran berkenaan pada kereta milik persendirian.

Menurut pelelong bertanggungjawab menganjurkan acara lelongan tersebut, Simon Drieu, harga nombor plat kereta bergantung kepada bilangan angka yang tertera.

“Angka lebih kecil pada nombor plat menyebabkan nilainya bertambah mahal,” kata Drieu lagi.

Harga nombor plat tersebut juga berjaya memasuki carta 10 nombor plat harga paling mahal di Britain.

Pemegang ‘takhta’ carta tersebut adalah nombor plat 25 O yang dijual pada harga £518,480 (RM2.77 juta) dalam 2014.

Nombor plat termahal dunia ialah D5 yang didaftarkan di Dubai berharga £7,324,207 (RM39.17 juta)

Sumber : Agensi

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90