Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label covid 19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label covid 19. Papar semua catatan

COVID-19: IMR kaji sampel alternatif untuk RTK-Antigen

by

 


Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengkaji sampel alternatif untuk RTK-Antigen, selain kaedah semasa yang mana kedua-dua ujian RT-PCR dan RTK-Antigen menggunakan sampel yang diambil hasil calitan pada bahagian hidung dan tekak.

Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit IMR, Dr T Ravindran, berkata pihaknya sudah membuat pemantauan terhadap penggunaan air liur pada awal pagi dan kahak dalaman sebagai sampel alternatif untuk ujian RT-PCR.

"Keputusan ujian mendapati sampel berkenaan sama baik dengan sampel hidung dan tekak yang digunakan ketika ini.

"Penemuan ini bakal mengurangkan penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE). Ketika ini, IMR melihat untuk penggunaan sampel ini bagi ujian RTK-Antigen," katanya pada sesi taklimat pada Libat Urus Darurat COVID-19 bersama media secara maya, hari ini.

Libat urus itu disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) KKM, Dr Hani Mat Hussin; Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Amalan Perubatan, KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail manakala Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, setiap ujian yang diperkenalkan dengan cara baharu perlu melalui ujian ketepatan oleh IMR.

Mengenai penggunaan kahak dalaman sebagai sampel untuk ujian RT-PCR dan RTK-Antigen, beliau berkata, ia akan dilakukan oleh petugas kesihatan.

"Mereka perlu dilatih untuk mengambil sampel," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Teks Perutusan YAB PM

by

 


1. Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah 1,228 kes). Bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

2. Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September 2020, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari 2021 melibatkan 259 kluster (54.41%) tempat kerja. Data ini menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan semasa gelombang kedua dengan 25 kluster (22.72%) melibatkan tempat kerja.

3. Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan sehingga 10 Januari 2021 dengan 48.46% daripadanya merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga, sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah pun diisytiharkan tamat.

4. Sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia, trend kes import didapati adalah terkawal tetapi kes-kes penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara dan warganegara.

5. Pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020, kes-kes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63% dan hanya 37% melibatkan warganegara. Namun perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan warganegara semakin meningkat. Sehingga 11 Januari 2021, sebanyak 70% kes positif COVID-19 di Malaysia adalah melibatkan warganegara dan hanya 30% bagi bukan warganegara.

6. Berdasarkan nilai R semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

7. Semakin tinggi nilai R, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes jangkitan COVID-19 kepada angka satu (1) hingga dua (2) digit sehari.

8. Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan lebih berkesan.

9. Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat seluruhnya yang amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes kebelakangan ini. Kerajaan juga sangat memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak. Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat.

Saudari saudari yang saya kasihi,

10. Pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari. Our healthcare system is at breaking point. Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang:

I. Lima belas (15) buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

II. Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus. Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima (5) buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus.

III. Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

IV. Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua (2) hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

V. Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

VI. Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.

Saudara dan saudari sekalian,

11. Dalam menangani pandemik COVID-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

12. Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

13. Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.

14. The situation today is indeed very alarming. Our healthcare system is under tremendous pressure now than at any other time since the start of the pandemic. As I have said before, unprecedented situations call for unprecedented measures.

15. Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19.

16. Untuk itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan seperti berikut:

a. Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

b. Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

c. Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

17. Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Saudara dan saudari sekalian,

18. Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali. Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

19. Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

20. Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5) sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

21. Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

22. Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing. Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja. Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

23. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector. MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

24. Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan berkuatkuasa. Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja.

25. Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

26. Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home.

27. Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi. Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari.

Saudara dan saudari sekalian,

28. Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021. Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini.

29. Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum 5 orang. Bagi negeri yang dikenakan PKP-P dan PKP-B, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP. Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan.

30. Saya juga sedar bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental. Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja. Pastikan jarak anda dari orang lain adalah dua (2) meter setiap masa. Kalau hendak berjogging, jangan lebih daripada dua (2) orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja.

Saudara dan saudari yang sangat saya sayangi,

31. Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh Negara. Semua kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk melakukan aktiviti social di luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua.

32. Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama kita. Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

33. Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19. Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19 ini.

34. Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.

35. Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita agar kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan keluarga, tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas kesihatan kita yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa bersama keluarga dan mengeluh bersendirian untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini.

Saudara saudari sekalian,

36. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari 2021 di sembilan (9) buah Hospital KKM di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (Clinical Research Centre - CRC) masing-masing.

37. Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini. Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA telah diperolehi pada 8 Januari 2021.

38. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer. Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini insya'Allah. Sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat Negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

39. Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60-70 peratus atau 20-23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19. Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi. Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

40. Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia. Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

41. Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya sendiri untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Ya betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

42. Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

43. Bersama, kita berpeluang untuk membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk. Saya sangat berharap agar segala nasihat dan peringatan yang saya sampaikan hari ini akan dipatuhi sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat.

44. Saya beri jaminan bahawa Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat. Dan saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah.

Sumber : BERNAMA

Mutasi virus COVID-19 tidak akan terus cepat merebak

by

 

Kajian saintis mendakwa tiada fakta konkrit yang menyatakan bahawa mutasi virus COVID-19 yang menjangkiti individu di seluruh dunia ketika ini, akan terus merebak dengan cepat.

Dalam kajian yang menggunakan kumpulan data genom virus global ke atas 46,723 orang yang dijangkiti COVID-19 dari 99 negara, penyelidik mengenal pasti lebih daripada 12,700 mutasi, atau perubahan berlaku pada virus SARS-CoV-2, lapor agensi berita CNA.

"Kita bernasib baik, kerana pada masa ini tidak ada mutasi ini yang menjadikan COVID-19 boleh merebak dengan lebih pantas

"Kita perlu terus berwaspada dan memantau mutasi baru, terutama ketika vaksin terus merebak."

"Virus itu didapati bermutasi sepanjang masa, dan ada di antaranya seperti virus selesema - berubah lebih kerap daripada yang lain," kata Profesor di Institut Genetik University College London (UCL), Lucy van Dorp yang juga seorang penyelidik utama kajian itu, semalam.

Sebilangan besar mutasi virus COVID-19 bersifat neutral, tetapi ada juga lebih kuat atau memudaratkan virus, dan ada juga vaksin kurang berkesan terhadap virus itu.

Ketika virus bemutasi, vaksin terhadapnya harus disesuaikan secara teratur untuk memastikan virus itu mencapai sasaran yang tepat.

Dengan virus SARS-CoV-2, vaksin pertama yang menunjukkan keberkesanan terhadap penyakit ini serta mendapat kelulusan pihak kawal selia dijangka akan digunakan untuk imunisasi sebelum akhir tahun ini.

Seorang lagi Profesor UCL, Francois Balloux memberitahu hasil kajiannya mendapati buat masa ini, mutasi itu tidak menimbulkan ancaman terhadap keberkesanan vaksin COVID-19, namun memberi amaran bahawa pengenalan vaksin secara tergesa akan memberi tekanan selektif baharu kepada virus untuk bermutasi dalam sistem imunisasi manusia.

"Berita mengenai masa depan vaksin ini kelihatan hebat.

"Mutasi virus ini mungkin mampu mengatasi vaksin yang dihasilkan pada masa hadapan, tetapi kami yakin akan dapat mempercepatkan usaha meningkatkan keberkesanan vaksin sesuai pada masa berkenaan," katanya

Kajian awam mutasi virus itu diumumkan Mei lalu, sebagai pelan induk saja sebelum beberapa saintis mengambil alih meneruskan kajian itu yang sudah diterbitkan semalam dalam jurnal Nature Communications.

Pasukan penyelidik dari UCL Britain dan Universiti Oxford, France Cirad dan Université de la Réunion dari Perancis, menganalisis genom virus dari 46,723 orang yang dijangkiti COVID-19 dari 99 negara, dikumpulkan hingga akhir Julai lalu.

"Daripada jumlah itu, 12,706 mutasi yang dikenal pasti, kira-kira 398 kes diuji berulang dan secara bebas," kata penyelidik.

Daripada jumlah itu, saintis memfokuskan pada 185 mutasi yang mereka dapati terjadi sekurang-kurangnya tiga kali secara bebas semasa wabak itu.

Namun, penyelidik tidak menemui bukti bahawa mana-mana mutasi biasa meningkatkan penyebaran virus, sebaliknya, ia bersifat neutral. 

 Sumber : AGENSI

 

COVID-19: Jangan tekan sekolah jika kehadiran murid kurang

by

 

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bersikap lebih terbuka termasuk tidak menekan pengurusan sekolah jika peratusan kehadiran murid menurun sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata peratusan kehadiran murid ke sekolah tidak sewajarnya dijadikan isu kerana kebanyakan ibu bapa kini panik dan bimbang dengan keselamatan anak mereka.

"Isu sekarang adalah kesihatan dan keselamatan bukan lagi peratusan kehadiran ke sekolah. Sebab itu NUTP minta JPN atau PPD jangan lagi memberi tekanan kepada guru, guru besar mahupun pengetua jika peratusan kehadiran menurun ketika ini.

"Jangan juga ambil tindakan terhadap sekolah terbabit sebab kita tahu kebiasaannya PPD atau JPN akan melihat peratusan kehadiran murid dan apabila (peratusan) rendah, guru ditekan, guru besar ditekan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Aminuddin berkata, JPN atau PPD sepatutnya bekerjasama dengan pengurusan sekolah mencari alternatif membantu golongan ibu bapa yang bimbang menghantar anak mereka ke sekolah.

Jelasnya, antara kaedah yang boleh dilaksanakan adalah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan kawasan berisiko.

"Jangan lagi ada JPN atau PPD menekan sekolah mengenai isu kehadiran sebab sekarang semua tengah bimbang," katanya.

Ditanya sama ada pihak sekolah mengenakan tindakan terhadap murid yang tidak hadir kerana bimbang dijangkiti wabak itu, Aminuddin berkata, berdasarkan maklumat, kebanyakan sekolah memahami kebimbangan ibu bapa berkenaan.

"Buat masa ini tiada sebarang masalah sebab sekolah pun faham dan ramai ibu bapa juga memaklumkan kepada pengurusan sekolah terlebih dahulu sebab mereka tidak menghantar anak ke sekolah," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

COVID-19: Kita lebih bersedia kali ini

by

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sistem kesihatan negara lebih bersedia untuk menangani penularan wabak COVID-19 sekarang, berbanding sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, negara juga lebih bersedia dari segi pengalaman dan jumlah tenaga kerja serta mengetahui pola coronavirus.

Bagaimanapun, katanya, orang-ramai perlu memutuskan rantaian virus itu dan cara terbaik ialah duduk di rumah, terutama di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Bersasar.

"Kita harus melandaikan lengkuk. Kita pernah berjaya melakukannya sebelum ini dan saya yakin kita mampu mengulanginya," katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ketersediaan sistem kesihatan negara dapat dilihat menerusi kemudahan dan peralatan mencukupi untuk menangani penularan wabak itu.

"Saya diberitahu oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bahawa kita mempunyai ventilator, peralatan kelengkapan peribadi (PPE), peralatan dan ubat-ubatan yang mencukupi.

"Jumlah katil di hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 juga mencukupi dengan kapasiti penggunaan pada masa ini sekitar 29 peratus," katanya

- Berita Harian

 

Kematian akibat COVID-19 Amerika hampiri 200,000 orang

by

 

Amerika Syarikat (AS) berdepan jumlah kematian mencecah 200,000 akibat COVID-19 pada 19 September 2020, lapan bulan selepas wabak itu dikesan di negara itu.

AS yang merangkumi empat peratus penduduk dunia kini menyumbang 21 peratus kematian akibat virus itu.

Negara itu juga dilihat gagal untuk membendung penularan seperti di Texas, Florida dan California, yang sebelum ini dikatakan akan turun akibat cuaca yang lebih panas.

Pada 27 Mei lalu, AS yang mempunyai populasi 330 juta penduduk, sudah mencecah kematian berjumlah 100,000 orang, empat bulan selepas kes pertama direkodkan.

Empat bulan kemudian, ia mencecah ke angka 197,633 pada malam Khamis lalu berdasarkan perangkaan Johns Hopkins University. Jumlah itu menyamai populasi di New York atau Huntsville, Alabama.

Ketika ini negara Brazil berada di kedudukan kedua dengan lebih 135,000 kematian.

Berdepan dengan pilihan raya Presiden pada 3 November ini, tindak balas terhadap virus itu turut dilihat sebagai isu penting kepada pengundi, termasuklah ehwal ekonomi.

Presiden Donald Trump pula menyatakan, situasi terburuk sudah berlalu dan yakin vaksin akan tiba dalam tempoh beberapa minggu ini.

Namun, ia dikritik calon presiden Parti Demokrat, Joseph Biden terhadap cara Trump mengendalikan pandemik itu dan menggesa sainstis untuk mengejar kalender pilihan raya.

Data kematian di AS mendapati ia tidak seimbang dalam kalangan kategori yang berbahaya termasuklah individu berusia 65 tahun ke atas, mereka yang selain kulit putih dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain.

Kematian di negara itu dilihat bertumpu di sesetengah kawasan dengan lebih 70 peratus kes berlaku di 12 negeri termasuklah di New York, New Jersey, Texas, California dan Florida.

Josh Michaud, pengarah bersekutu sebuah badan kesihatan, Kaiser Family Foundation, berkata kematian yang mencecah 200,000 menunjukkan bagaimana seriusnya jangkitan itu di negara terbabit dan ketidakcekapan pengendalian kesihatan awam membendung dan menghentikan penyebaran wabak itu.

"Kita cuma berharap ia akan berada dalam situasi baik semula namun kita tidak berusaha untuk melakukan sebaiknya," katanya. 

 Sumber : Bloomberg

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90