Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label covid19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label covid19. Papar semua catatan

Ancaman Covid-19 kembali

by

 


Pakar Klinikal Penyakit Berjangkit Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM), Dr Bushra Megat Johari ketika dihubungi berkata, ramai dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menyangka pada mulanya hanya mengalami demam biasa.

Katanya, situasi ini berlaku berikutan simptom demam biasa dan jangkitan Covid-19 hampir sama termasuk sakit kepala, sakit tekak dan selesema.

"Lebih membimbangkan, dalam tempoh itu (demam) mereka menjalani kehidupan seperti biasa dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain tanpa mereka sedari.

"Mereka hanya membuat pemeriksaan apabila masih tidak sembuh sepenuhnya dalam tempoh yang lama," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami demam untuk terus membuat pemeriksaan kendiri untuk mencegah jangkitan tersebar kepada orang lain.

"Pemeriksaan boleh dibuat pada hari pertama anda diserang demam kerana ketika itu, antigen masih banyak dan jangkitan dapat dikesan dengan lebih cepat.

"Malah pemeriksaan awal ini penting supaya kita dapat mengambil langkah awal untuk menjalani kuarantin kendiri sekurang-kurangnya lima hari di kediaman," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa, jangkitan Covid-19 masih lagi terkawal di negara ini.

"Daripada segi statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini sememangnya berlaku peningkatan pada November dan Disember, namun ia masih terkawal," katanya.

Biarpun begitu, Dr Bushra berkata, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana jangkitan Covid-19 boleh menjadi lebih serius kepada mereka yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis.

"Peningkatan kes ini berkemungkinan berlaku disebabkan masyarakat yang mula mengambil mudah terhadap langkah pencegahan.

"Saya berharap dengan peningkatan kes ini, orang ramai lebih sedar dengan keperluan mengambil langkah pencegahan termasuk kembali memakai pelitup muka, sentiasa membasuh tangan (air, sabun atau pencuci tangan berasaskan alkohol) dan elakkan berada di lokasi tumpuan orang ramai

"Pada masa sama, bagi sesiapa yang belum mengambil vaksin atau dos penggalak, saya nasihatkan anda berbuat demikian untuk elakkan terkena jangkitan Covid-19 yang lebih serius," katanya.

Terdahulu KKM dalam satu kenyataan mengesahkan kes Covid-19 dalam negara meningkat kepada 6,796 kes pada Minggu Epidemiologi ke-48 (ME48/2023) iaitu dari 26 November hingga 2 Disember lalu berbanding 3,626 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk pesakit yang disyaki Covid-19 ke fasiliti kesihatan adalah 3.5 bagi setiap 100,000 penduduk dan 1.0 bagi setiap 100,000 penduduk adalah bergejala ringan.

Dr Muhammad Radzi berkata, hingga ME48/2023, 72.9 peratus daripada varian membimbangkan (VOC) yang dikesan adalah varian Omicron diikuti dengan 26.2 peratus varian Delta dan selebihnya varian Beta dan Alpha.

"Hingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia dan tiada petunjuk varian yang beredar secara tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih teruk," katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, secara keseluruhan keadaan di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Sumber : Harian Metro

Malaysia terima ubat antiviral COVID-19

by

 


Malaysia menerima sebanyak 48,000 stok ubat antiviral, Paxlovid keluaran Pfizer, bagi merawat penyakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ubat berkenaan tiba di Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd.

Katanya, ubat itu disyorkan bagi rawatan pesakit COVID-19 dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.

"Ia (ubat) juga sesuai untuk golongan usia berkenaan yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk.

"Ubat ini juga bukan bertujuan sebagai pengganti vaksin COVID-19 atau pengganti kepada tindakan kesihatan awam bagi mengelakkan dijangkiti virus berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata bagi melawan COVID-19 sebagai ubat antiviral untuk aspek rawatan wabak itu.

"Ubat ini akan diberikan segera selepas seseorang individu dikesan positif COVID-19 dan dalam tempoh lima hari gejala bermula untuk keberkesanan optimum," katanya.

Sumber dari Berita Harian


Pesakit Covid-19 boleh sebarkan virus selama enam hari

by

 


Satu kajian yang disiarkan di medRxiv menunjukkan pesakit dijangkiti Covid-19 varian Omicron boleh menyebarkan virus itu selama sekurang-kurangnya enam hari.

Daya jangkitan kumpulan pesakit itu sama seperti pesakit yang dijangkiti varian Covid-19 sebelum ini.

Kumpulan penyelidik mengambil sampel darah daripada 56 pesakit yang baru disahkan positif Covid-19, termasuk 37 orang yang dijangkiti varian Delta manakala 19 lagi terkena varian Omicron.

Semua pesakit mengalami gejala ringan seperti selesema, bagaimanapun tidak ada yang dimasukkan ke hospital.

Namun, tidak kira jenis varian Covid-19 yang dijangkiti atau sama ada mereka sudah lengkap divaksin atau menerima dos penggalak, peserta kajian itu didapati "menyebarkan virus hidup secara purata enam hari selepas mula mengalami gejala dengan seorang daripada setiap empat pesakit menyebarkan virus hidup selama lebih lapan hari," kata pengarang bersama kajian dari Hospital Besar Massachusetts di Boston, Dr Amy Barczak dalam laporan yang diterbitkan di medRxiv.

"Meskipun tidak diketahui dengan tepat jumlah virus yang diperlukan untuk menyebarkan koronavirus kepada orang lain, data menunjukkan bahawa individu dengan jangkitan Covid-19 ringan mungkin menyebarkan virus itu secara purata selama enam hari dan kadangkala lebih lama," katanya.

Keputusan mengenai pengasingan dan pemakaian pelitup harus mengambil kira maklumat sedemikian, tanpa mengira jenis varian atau status vaksinasi sebelumnya," katanya.

Sumber dari Reuters

KKM cadang rentas negeri sambut Aidilfitri ditangguh

by

 

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan merentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, ditangguhkan susulan situasi penularan COVID-19 masih membimbangkan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia berikutan rungutan dan rayuan pelbagai pihak supaya kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

"Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 28 April ini.

"Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan.

"Program vaksinasi (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku 'Malaysia Health Sector Response to COVID-19: Perspectives From The Field', di pejabatnya, hari ini.

Malaysia mencatat 1,889 jangkitan baharu COVID-19, semalam, meningkat berbanding 1,767 kes, kelmarin.

Ditanya kemungkinan mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 dibenarkan untuk merentas negeri pula, Dr Adham berkata, pihaknya masih menunggu dapatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebelum keputusan berkaitan dibuat.

"Kita masih menunggu dapatan itu untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikesan di beberapa lokasi bazar Ramadan seluruh negara.

Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius perkara itu dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan akan ditutup jika wujud kluster baharu yang dipercayai daripada aktiviti bazar.

"Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan melakukan siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan punca yang tepat. Mudah bagi kita mengesan punca atau tempat bermula jangkitan.

"Jika penganjur didapati tidak bertanggungjawab, kita tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun," katanya.

Mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun terhadap individu yang gagal mematuhi SOP, beliau berkata, lantikan bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu bertujuan memastikan tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah tinggi.

Berkuat kuasa semalam, KKM menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan bawah Akta 342, termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Semburan hidung mampu bunuh 99.99 peratus virus Covid-19

by

 

Semburan hidung didakwa terbukti membunuh 99.99 peratus virus COVID-19, menurut satu laporan penyelidikan di Kanada.

Semburan itu dikatakan dapat mencegah penularan coronavirus dengan berkesan dan memendekkan tempoh jangkitan.

Bagi mereka yang sudah dijangkiti virus berkenaan, semburan itu juga boleh mengurangkan tahap kemudaratan gejala yang dialami.

Semburan yang dikembangkan sebuah syarikat Kanada, SaNOtize, berupaya membunuh kuman dalam saluran udara di bahagian atas hidung.

Ia juga menghalangnya daripada menetas dan masuk ke dalam paru-paru, berdasarkan keputusan ujian makmal di Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Pesakit yang dirawat dengan semburan itu juga menunjukkan penurunan purata kadar virus dalam badan sebanyak 1.362 dalam tempoh 24 jam pertama iaitu sekitar 95 peratus.

Dalam tempoh 72 jam, pengumpulan virus dalam badan didapati berkurangan lebih daripada 99 peratus.

Ketua Penyelidikan Ujian Klinikal Britain, Dr Stephen Winchester, berkata beliau amat berharap semburan hidung akan menjadi senjata terbaru dalam melawan COVID-19.

"Ini adalah satu revolusi dalam sejarah perubatan COVID-19 yang saya harap akan membantu perang masyarakat dunia melawan pandemik coronavirus," katanya. 

Sumber : AGENSI

 

Lima strategi putuskan rantaian jangkitan COVID-19

by

 

Pelaksanaan lima strategi utama dalam Pelan Strategik Kementerian Kesihatan (KKM) Menangani Pandemik COVID-19 Semasa Tempoh Darurat bakal meningkatkan tindakan pencegahan dan kawalan jangkitan wabak itu di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam perlu terus dipertingkatkan dan dilaksanakan walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sudah dimulakan.

Beliau berkata, lima strategi utama itu adalah untuk memutuskan rantaian transmisi dengan menurunkan kes harian kepada kurang daripada 500 kes sehari dan mengurangkan kes sporadik; mengurangkan morbiditi dan mortaliti dengan mengela kes kematian dalam kalangan golongan berisiko tinggi dan memastikan semua perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lancar.

Selain itu, memperkukuh diagnostik dan pemantauan COVID-19 dengan meningkatkan keupayaan untuk menjalankan aktivirti pencegahan dan kawalan COVID-19 mengikut ketetapan garis panduan; mencapai imuniti kelompok melalui pemberian vaksin kepada 70 peratus penduduk di Malaysia.

Strategi kelima ialah meningkatkan kesedaran orang awam dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

"Sehubungan itu, KKM perlu mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes dan kontak bagi mengelak penularan berterusan dalam komuniti dan seterusnya melandaikan keluk pandemik COVID-19 di Malaysia.

"Antara strategi dalam melandaikan keluk pandemik COVID-19 adalah dengan pengesanan dan pengasingan kes dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya pada sidang media perkembangan program berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, bagi meningkatkan aktiviti saringan dalam pengesanan kes, Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan kapasiti makmal menjalankan ujian RT-PCR terhadap sampel harian dengan penyumberan luar makmal swasta selain makmal kesihatan awam, universiti, hospital kerajaan dan klinik kesihatan.

Beliau berkata, ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK-Ag dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta serta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang berdaftar atau berlesen bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"Saringan COVID-19 terhadap kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) juga diperluaskan dengan menggunakan RTK-ag.

"Pengesanan jangkitan COVID-19 turut dijalankan di fasiliti kesihatan kerajaan terhadap kumpulan dan komuniti berisiko mendapat jangkitan yang bergejala COVID-19.

"Kumpulan ini termasuk petugas kesihatan, pesakit dengan penyakit kronik, pesakit dengan sistem imuniti rendah, warga emas berusia 60 tahun ke atas, rumah kebajikan warga emas dan lain-lain," katanya.

Dr Adham berkata, bagi mengelak penularan jangkitan kepada kontak rapat, semua kes yang disahkan perlu segera disiasat untuk memastikan kes diasingkan daripada ahli rumah atau rakan sekerja, sama ada dirawat di hospital atau pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) atau pengasingan di kediaman.

Pada masa sama, katanya, penilaian klinikal dan risiko dijalankan terhadap kluster yang membabitkan tempat kerja serta penginapan pekerja bagi menentukan kesesuaian tempat kuarantin.

"Ia bertujuan melaksanakan aktiviti pengawasan dan pemerhatian selama tempoh ditetapkan manakala pengambilan sampel, kuarantin dan pemberian arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah (HSO) diuruskan mengikut pekeliling dan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, majikan juga diminta mematuhi SOP dikeluarkan KKM dan agensi berkaitan, termasuk menjalankan saringan gejala dan memastikan tiada pekerja yang positif COVID-19 hadir di tempat kerja.

Sumber : Berita Harian

 

 

Pendaftaran sebagai penerima vaksin mulai Mac 2021

by

 

Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai boleh berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya tiada MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada minggu depan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh berbuat demikian menerust talian hotline (nombor ditetapkan kemudian) dan pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam semalam bertajuk ‘Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap Covid-19.’

Mengulas lanjut, beliau berkata, kaedah kelima ialah melalui kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas sekiranya mereka berada di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa program vaksinasi akan dimulakan dengan petugas barisan hadapan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan mulai bulan ini hingga April depan.

Menurutnya, fasa kedua melibatkan 9.4 juta orang terdiri daripada kumpulan berisiko tinggi  yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos depan.

“Baki penerima vaksin dalam fasa ketiga merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan bermula dari bulan Mei depan hingga Februari 2022,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Boleh tamatkan PKP tetapi ketatkan SOP - Pakar perubatan

by

 

"PKP tetapi macam tak PKP." Itulah persepsi dan tanggapan rata-rata masyarakat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Isu itu timbul apabila 'PKP 2.0' dikatakan tidak begitu berjaya melandaikan kes penularan COVID-19 yang mencecah empat angka setiap hari dengan penguatkuasaannya dilihat amat longgar, dan kerana itu ada rasa bimbang jika PKP kali ini ditamatkan, situasi jangkitan COVID-19 dalam negara akan menjadi lebih teruk.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, apa yang lebih penting adalah prosedur operasi standard (SOP) diketatkan agar penularan pandemik itu tidak menjadi lebih parah dan matlamat untuk menurunkan angka kes semaksimum yang mungkin akan dapat dicapai.

"Orang jadi marah sekarang ini kerana walaupun PKP, tetapi SOP tidak tentu hala, seperti tiada PKP. Sebenarnya, kalau tiada PKP tidak apa tetapi SOP dan pematuhannya adalah yang paling penting bagi melandaikan lengkung penularan," katanya kepada Bernama.

Pada 25 Januari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaannya.

Namun keesokannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia hanyalah bayangan yang dibuat oleh Dr Noor Hisham, dan keputusan sama ada pelaksanaan PKP lebih ketat atau kembali kepada PKP Bersyarat (PKPB), bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dr Zainal Ariffin berkata, jika PKP ditamatkan dan PKPB diperkenalkan kembali, perlunya larangan menjalankan perjumpaan sosial beramai-ramai atau apa jua perhimpunan yang melibatkan ramai orang, selain larangan rentas negeri.

"Mana-mana majlis tertutup khususnya seperti makan-makan, kenduri-kendara, sambutan hari jadi yang melibatkan ramai orang tidak seharusnya dibenarkan. Buat seperti negara lain contohnya di Singapura, hanya lima orang sahaja maksimum boleh berkumpul untuk majlis sosial.

"Selain itu, jadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori iaitu apabila keluar rumah sahaja automatik pakai atau dikenakan tindakan. Penjarakan fizikal juga perlu diutamakan, kalau nampak ramai berkerumun di kedai atau pejabat, ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap industri perkilangan dengan menutup kilang terbabit apabila terdapat laporan bahawa pekerja mereka positif COVID-19.

"Kilang mencatatkan kes yang sangat tinggi, jadi kerajaan perlu lebih bertegas...kalau dahulu bila kes ribu-ribu baru diarahkan tutup, tetapi sekarang ini jika kilang catatkan satu atau dua kes sahaja ia perlu diarahkan tutup sampailah keadaan bertambah baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sepatutnya menyedia dan menunjukkan kepada rakyat segala strategi mereka untuk melawan COVID-19, sepertimana Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengeluarkan 200 muka surat strategi untuk memerangi COVID-19 pada hari pertama menjadi presiden.

Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan juga boleh melaksanakan PKP bersasar dengan 'menutup' negeri yang mencatatkan kes tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Beliau turut mengingatkan, meskipun PKP ditamatkan dan diganti dengan kaedah yang lain, namun angka positif diramal tidak akan menurun untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari, berikutan tempoh pengeraman COVID-19.

Senada dengan Dr Zainal Ariffin, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata negara lebih memerlukan PKP secara bersasar, berbanding secara menyeluruh, yang boleh dilaksanakan terhadap sektor 'panas' sudah dikenal pasti.

"Kita sedia maklum akan kesan pelaksanaan PKP terhadap masyarakat, terutamanya dari segi sektor ekonomi dan pada masa sama juga, kita perlu menangani wabak COVID-19 dengan bilangan kes empat angka...mengimbangi kedua-dua perkara ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa sektor yang menjadi 'hotspot' kepada kes COVID-19, maka mungkin boleh PKP disasarkan kepada sektor-sektor ini," katanya sambil menambah, tempoh 14 hari mungkin boleh dijadikan asas untuk PKP bersasar.

Beliau berkata sama ada PKP, PKPB atau PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan atau SOP diperketatkan sekalipun, jika kesedaran masyarakat adalah rendah, ia juga tidak akan membantu menurunkan bilangan kes dan seterusnya menyekat penularan wabak COVID-19.

Katanya, PKP adalah usaha fizikal dalam menghalang usaha virus untuk mencari 'perumah' (manusia), maka sebab itu ketika PKP kerajaan mengehadkan pergerakan dan interaksi rapat 'perumah' agar jangkitan terhadap 'perumah' baharu dapat dihalang.

"Kesedaran masyarakat sangat penting dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dan ini adalah cabaran yang sangat besar.

"Kita perlu mengambil contoh masyarakat New Zealand dalam mematuhi SOP dan kita lihat kepada kejayaan mereka. Majoriti masyarakat faham akan peri pentingnya dalam mematuhi SOP tetapi ada juga sebahagian yang tidak, mereka inilah akan mendatangkan masalah," katanya.

Dr Yahya berkata, oleh itu vaksin adalah cara untuk menghadapi masalah COVID-19 dalam masyarakat iaitu dengan mewujudkan imuniti kelompok, negara akan mempunyai peluang lebih baik dalam menyekat penularan COVID-19. 

Sumber : BERNAMA

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90