Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label cuaca panas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cuaca panas. Papar semua catatan

Kenapa strok haba bahaya dan boleh membawa maut

by


Berita kematian dua kanak-kanak masing-masing berumur 11 tahun dan setahun tujuh bulan di Bachok dan Kota Bahru, Kelantan, Selasa lalu, yang dikaitkan dengan strok haba, mengejutkan ramai pihak.

Ia dipercayai ada kaitan dengan cuaca panas berpanjangan yang dialami negara, terutama negeri di Utara Semenanjung sehingga Ogos ini susulan peralihan Monsun Timur Laut.

Di beberapa negeri seperti Kedah, MetMalaysia mengeluarkan amaran bahawa gelombang panas dengan suhu dijangka meningkat sehingga 37 darjah celcius.

Ibu bapa perlu tahu bahawa punca strok haba yang sebenar adalah peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40 darjah celsius atau lebih tinggi lagi berbanding suhu badan individu normal hanya 37 darjah celcius.

Menurut ciapan pakar kesihatan awam, Dr Ahmad Samhan Awang di Twitter, kondisi itu dikenali sebagai hipertermia.

Strok haba bukan sahaja boleh berlaku kepada manusia tetapi juga kepada haiwan.

Golongan yang berisiko terkena strok haba ialah kanak-kanak, warga emas terutamanya yang mengalami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubatan.

Atlet terutamanya yang selalu berada di padang atau gelanggang terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari

Pekerja yang bekerja di kawasan terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari, seperti petani, nelayan atau buruh kasar.

Individu yang berada di dalam kenderaan tertutup tanpa penyaman udara dalam tempoh masa yang agak lama.

Gejala strok haba:

- Suhu badan meningkat sehingga 40 darjah celsius atau lebih tinggi lagi
- ️Peluh keluar banyak
- ️Muka berubah merah
- ️Sakit kepala
- ️Mual-mual
- ️Muntah-muntah
- ️Rasa haus yang berlebihan
- ️Air kencing berwarna keruh
- Kekejangan otot pada kaki, lengan atau perut
- ️Jantung berdegup dengan lebih kencang
- ️Ruam merah timbul pada kulit
- ️Pengsan atau tidak sedarkan diri

Cara ibu bapa elak anak terkena strok haba

- Pastikan rumah anda mempunyai aliran udara yang baik bagi mengelakkan anak tersedut karbon dioksida terlalu banyak

- Laraskan suhu penyaman udara kepada 24°C kerana ia sudah mampu mengoptimumkan suhu badan kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas

- Elakkan dari membiarkan anak anda tidur dengan berselimut

- Sekiranya anak anda mengadu kepanasan, segera bantu anak untuk turunkan suhu dengan mengelap muka dan badan mereka dengan kain lap yang basah.

Sumber : Berita Harian

Gelombang haba ekstrem melanda Asia

by


 Gelombang haba teruk yang menyebabkan kematian melanda sebahagian besar rantau Asia dengan sekolah-sekolah di India ditutup, manakala suhu melampau direkodkan di negara jirannya, China, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Ahli klimatologi dan sejarah cuaca, Maximiliano Herrera menyifatkan suhu tinggi luar itu sebagai gelombang haba April paling buruk dalam sejarah Asia.

Di China, media tempatan melaporkan bahawa rekod suhu panas untuk April itu dicatat di kebanyakan lokasi termasuk Chengdu, Zhejiang, Nanjing, Hangzhou dan banyak kawasan lain di rantau Lembangan Sungai Yangtze.

Suhu panas luar biasa juga dilaporkan di rantau Asia Tenggara sejak beberapa minggu lalu termasuk di Luang Prabang yang mencatatkan bacaan 42.7 darjah Celcius minggu ini, dipercayai tertinggi dalam sejarah negara Laos, kata Herrera.

Vientiane pula merekodkan bacaan 41.4 darjah Celsius Sabtu lalu sekali gus hari paling panas yang pernah berlaku di ibu negara Laos tersebut.

Sementara itu, stesen pemantau kerajaan di Tak, barat laut Thailand mencatat suhu 45.4 darjah Celsius Sabtu lalu. Bacaan itu melepasi paras tertinggi sebelum ini di Thailand iaitu 44.6 darjah Celsius di Mae Hong Son pada 28 April 2016.

Di Bangladesh yang berdepan krisis iklim, suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius di ibu negaranya, Dhaka pada Sabtu lepas. Ia merupakan hari paling panas dalam tempoh 58 tahun sehingga menyebabkan permukaan jalan raya mencair.

Seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim Bangladesh berkata, jika cuaca panas tidak reda, darurat suhu akan diisytiharkan di kawasan tertentu.

Dalam pada itu, jirannya, India menjadi sangat terdedah kepada haba melampau sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan pakar-pakar bimbang suhu ekstrem menjadi lebih teruk pada 2023.

Gelombang haba pada bulan ini melanda beberapa negeri di India dengan jabatan meteorologinya mengeluarkan amaran jingga mengenai cuaca panas ekstrem di negeri Bihar, Jharkhand, Odisha, Andhra Pradesh dan Bengal Barat.

Semua negeri itu mempunyai jumlah pekerja dan buruh luar bandar yang ramai. Mereka terpaksa bekerja di luar rumah walaupun ketika suhu serta kelembapan melonjak.

Enam bandar di utara dan timur India merekodkan suhu melebihi 44 darjah Celsius, manakala suhu di ibu kotanya, New Delhi mencatat angka 40.4 darjah Celsius Selasa lalu. Gelombang panas itu dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya hari ini.

Cuaca panas luar biasa juga mencetuskan amaran kesihatan di Thailand. Jabatan Kesihatan Thailand memberi amaran tentang risiko strok haba terutama bagi mereka yang bersenam atau bekerja berjam-jam di luar bangunan seperti pekerja binaan dan petani.

Terdapat kebimbangan bahawa suhu tinggi akan berterusan di Thailand selama berbulan-bulan sehingga menyebabkan kemarau dan kegagalan tanaman.

“Beratus-ratus stesen cuaca merentasi lebih 12 negara mencatat bacaan suhu panas tertinggi masing-masing,” kata Herrera.

Ia termasuk suhu panas 44 darjah Celsius di Kalewa, barat laut Myanmar dan Son La di barat laut Vietnam yang mencatat bacaan 38 darjah Celsius.

Suhu meningkat melebihi 30 darjah Celsius di Jepun dengan Minamata dalam wilayah Kumamoto merekodkan suhu 30.2 darjah Celsius sekali gus rekod baharu untuk bulan April.

Suhu yang sangat luar biasa pada bulan ini juga direkodkan di Asia Tengah termasuk di Kazakhstan yang mencatat bacaan 33.6 darjah Celsius. 

Sumber : AGENSI

Cuaca panas hingga April 2021

by

 

Fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas yang dijangka hingga April 2021 ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ia merupakan satu fonemena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.

Kata kenyataan itu lagi, MetMalaysia tidak menjangka keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.

Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.

Suhu tertinggi bagi bulan Februari tahun ini adalah lebih rendah iaitu 36.2 darjah Celsius berbanding 37.4 darjah Celsius pada tahun lalu yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.

Tambahnya, keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan di negara ini dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April ini.

“Semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya.

“MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial Met Malaysia,” kata kenyataan itu 

Sumber : UTUSAN

Malaysia alami cuaca panas hingga Oktober

by

Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata selain Malaysia, negara jiran Singapura dan Sumatera, Indonesia dijangka turut mengalami cuaca yang sama.

"Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering...tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober," katanya ketika ditanya mengenai intipati Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan beliau berkata kelima-lima negara yang terlibat telah membentangkan tindakan yang telah diambil untuk menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

"Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiap-siagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran," katanya.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan empat negara Asean lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

Inisiatif untuk menangani masalah jerebu di peringkat Asean telah dimulakan selepas episod pencemaran yang serius pada 1997 yang telah membawa kepada termeterainya penjanjian Asean Mengenai Jerebu merentasi sempadan yang ditandatangani oleh 10 negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.

- BERNAMA

Malaysia Diramal Akan Kerap Alami El Nino

by


Malaysia bakal mengalami fenomena El Nino lebih kerap iaitu dua tahun sekali dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan faktor pemanasan global yang semakin serius.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr Nurul Nadrah Aqilah Tukimat keadaan itu berlaku berikutan peningkatan suhu dunia yang semakin drastik, antaranya disebabkan oleh peningkatan gas karbon dioksida ke udara.

"Jika kita lihat pada 1980 sehingga 1988, fenomena ini berlaku empat tahun sekali. Tetapi dalam tempoh 1998 hingga 2015, keadaan ini boleh dikatakan berlaku lebih kerap iaitu tiga tahun sekali tidak kiralah dalam keadaan lemah, sederhana, mahu pun kuat.

"Contohnya pada 2012, kita lihat pembentukan fenomena ini telah ada walaupun ia tidak sampai ke Malaysia, dan pada 2014 ia berada dalam keadaan lemah dan kemudiannya menjadi kuat tahun ini, menyebabkan kita mengalami cuaca panas yang melampau.

"Berdasarkan pola itu, jelas kita lihat pembentukan El Nino dua tahun sekali semakin hampir berlaku," katanya kepada Bernama di sini.

Nurul Nadrah Aqilah berkata fenomena El Nino atau 'the boy' pada masa kini berkait rapat dengan pemanasan global akibat pelbagai faktor seperti pembangunan, pembebasan gas karbon dioksida oleh peningkatan penggunaan kenderaan selain kesan rumah hijau.

"Jika kita lihat suhu global pada Disember tahun lepas, ia mencatatkan kenaikan paling drastik dalam tempoh 120 tahun iaitu satu darjah celcius berbanding hanya 0.2 darjah celcius hingga 0.6 darjah celcius sebelum ini.

"Malah pada Februari lepas, Global Average Temperature (GAT) yang dikeluarkan oleh sebuah badan mengkaji cuaca di Amerika Syarikat iaitu National Oceanic and Atmmospheric Administration (NOAA) turut merekodkan peningkatan suhu dunia +1.2 darjah celcius.

"Sebab itu, Monsun Timur Laut yang sepatutnya membawa kuantiti hujan yang banyak ke negara ini pada Disember dan Januari lepas, menjadi lemah akibat pembentukan El Nino," katanya.

Selain itu, katanya, kajian yang dijalankan oleh GAT juga mendapati suhu normal negara pada akhir abad 21 nanti dijangka boleh mencecah di antara 35 darjah celcius hingga 38 darjah celcius yang menyamai suhu Malaysia ketika mengalami El Nino ketika ini.

Mengikut kelazimannya, katanya fenomena El Nino sebelum ini berlaku empat hingga tujuh tahun sekali dan ia terjadi apabila arus laut panas menggantikan arus laut sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan.

Nurul Nadrah Aqilah berkata penduduk di kawasan-kawasan bandar terutamanya amat terasa dengan bahang El Nino kerana tiupan angin yang terhalang dengan ketidakaturan binaan bangunan selain ketiadaan pokok dan kawasan hijau yang dapat menyerap haba panas.

"Mungkin banyak pihak tertanya-tanya mengapa negara terpaksa berhadapan dengan cuaca panas yang melampau sedangkan Malaysia adalah negara yang terletak di garisan Khaltulistiwa yang sepatutnya mengalami panas dan lembab sepanjang tahun.

"Secara normalnya, negara-negara Asean adalah kawasan bertekanan rendah berbanding Amerika. Namun disebabkan El Nino ini, keadaan telah berubah menyebabkan angin sejuk dari kawasan Papua New Guinea telah pergi ke Amerika dan angin panas pula ke kawasan Asean menyebabkan kita mengalami cuaca panas.

"Keadaan inilah menyebabkan kita mengalami impak kekurangan hujan mengakibatkan masalah kekurangan bekalan air seperti yang dialami negeri-negeri di utara Malaysia," jelas beliau.

Mengenai masalah bekalan air, beliau mencadangkan pihak berkenaan memperkemaskan lagi sistem pengurusan air termasuk dengan membina empangan sekunder bagi menampung lebihan air semasa musim tengkujuh.

Beliau berkata kebiasaannya, air yang berlebihan yang tidak dapat ditampung oleh empangan semasa keadaan hujan lebat berterusan, hanya dilepaskan ke sungai-sungai sedangkan ia sewajarnya disimpan di empangan sekunder untuk menampung keperluan semasa musim kemarau.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan perlu mempertimbangkan penggunaan 'evaloc' yang telah digunakan secara meluas di India untuk mengurangkan kadar pengewapan yang tinggi di empangan-empangan di negara ini.

- Bernama

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90