Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label influenza. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label influenza. Papar semua catatan

Influenza: Ibu bapa jangan terlalu risau

by

 


Ibu bapa diminta tidak terlalu risau atau panik dengan penularan jangkitan Influenza Like-Illness (ILI) susulan beberapa kluster dikesan membabitkan pelajar di sekolah berasrama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kluster influenza berkenaan adalah situasi normal bagi penyakit berjangkit yang wujud dari semasa ke semasa dan bermusim.

"Terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah asrama dan ia dalam perhatian Kementerian Kesiahatan (KKM).

"Kluster influenza ini adalah perkara biasa yang akan timbul dari semasa ke semasa dan buat masa ini dalam kes kluster terbabit semuanya terkawal dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan," katanya pada sidang media.

Khairy terdahulu hadir ke Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.

Beliau berkata, kes penyakit berjangkit akan bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka mula dilonggarkan.

"Kes infuenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila kita dah tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita mula mengurangkan langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal, tak perlu pakai pelitup muka ketika berada di luar dan sebagainya.

"Ini sudah pasti akan meningkatkan (kes) penyakit berjangkit sebab mungkin selama dua tahun lepas penyakit berjangkit influenza menurun sebab itu kita sama ada terpaksa duduk di rumah atau mengambil langkah kesihatan awam tertentu yang kita ikuti.

"Jadi memang kalau lihat dari segi influenza serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ia akan meningkat," katanya.

Khairy berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membuat penilaian mengenai kluster yang wujud di sekolah berasrama dan sekiranya mencapai tahap merisaukan maka langkah yang sepatutnya akan dilaksanakan.

"Saya harap ibu bapa tidak terlalu risau lebih-lebih lagi kes ini kes yang terkawal dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Penyakit seperti influenza meningkat

by


Kejadian wabak penyakit seperti influenza (ILI) ketika ini dalam keadaan terkawal walaupun wujud peningkatan di 10 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, sejak hujung tahun lalu.

Negeri dikesan berlaku peningkatan ILI ialah Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ILI dikesan menerusi analisis semasa bagi pola aktiviti influenza membabitkan kadar perundingan kes ILI dan kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) daripada pelbagai lokasi sentinel di seluruh negara.

“Pengawasan influenza makmal dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan pola aktiviti virus influenza dalam persekitaran.

“Tiada sebarang kelainan, perubahan atau mutasi pada penularan influenza ketika ini, sebaliknya ia sama seperti virus dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di pelbagai negara tropika lain di Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mencadangkan mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza supaya berehat di rumah dan tidak mengunjungi tempat tumpuan awam atau bertemu orang lain.

Beliau berkata, jika perlu mengadakan pertemuan dengan orang lain, mereka dinasihat memakai penutup mulut dan hidung seperti ‘penutup mulut untuk pembedahan’ atau ‘penutup tiga lapis’.

Katanya, pemakaian penutup mulut dan hidung dengan cara betul memadai untuk mengelak penularan virus, malah orang ramai dinasihat mendapat rawatan segera di kemudahan kesihatan jika gejala berterusan atau bertambah teruk.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan jangkitan influenza di sekolah serta pusat jagaan kanak-kanak berupaya dicegah serta dikawal.

“Sesi perjumpaan ‘townhall’ (perbincangan umum) sedang dirancang bagi memastikan kesedaran jangkitan influenza dan langkah kawalan serta pencegahan dapat diambil secara berkesan.

“Perkongsian maklumat antara agensi juga diperkukuhkan. Orang ramai dan media dinasihat sentiasa mendapatkan maklumat terkini serta sahih mengenai situasi jangkitan influenza melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan,” katanya.

Bekalan tambahan vaksin influenza

Bekalan tambahan vaksin influenza sebanyak 99,470 dos akan dibawa masuk, bulan ini, untuk memenuhi peningkatan permintaan yang mendadak sejak akhir tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, 40,000 dos vaksin influenza terdahulu sudah diagihkan ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari lalu, menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan ketika ini, ada enam produk vaksin influenza berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan kuantiti dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun lalu bagi keenam-enam produk vaksin itu ialah 638,388 dos dan hanya 10 peratus daripadanya adalah bekalan ke kemudahan kesihatan KKM.

“Vaksin influenza hanya ditawarkan di kemudahan KKM sebagai sebahagian daripada regimen rawatan golongan pesakit berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan, termasuk kematian apabila dijangkiti virus influenza, dan pemberiannya adalah berdasarkan penilaian klinikal daripada pakar.

“Vaksin ini juga diberikan kepada anggota barisan hadapan kementerian yang terdedah kepada jangkitan ketika mengendalikan pesakit. Orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkannya di kemudahan kesihatan swasta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai Oseltamivir atau antiviral bagi merawat influenza pula, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tiada masalah untuk menampung bekalan ubat itu di kemudahan KKM walaupun wujud peningkatan permintaan empat kali ganda pada Disember tahun lalu, kerana syarikat konsesi diarahkan menyimpan stok yang mencukupi.

Bagaimanapun, kementerian memberi kelulusan khas mendapatkan stok daripada pembekal alternatif bagi menampung peningkatan keperluan secara mendadak di kemudahan kesihatan swasta berikutan lima syarikat berdaftar tidak dapat memenuhi permintaan sedia ada.

“KKM memberi kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif. Setakat ini, kementerian meluluskan hampir 1.1 juta kapsul atau tablet bagi tempoh Disember tahun lalu hingga bulan ini.

“Ia untuk memenuhi permintaan kemudahan kesihatan swasta dan kuantiti ini dianggarkan dapat merawat 110,000 pesakit. KKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90