Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label kadar pengangguran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kadar pengangguran. Papar semua catatan

Kadar pengangguran menurun kepada 3.6 peratus pada September 2022

by

 


Kadar pengangguran di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan kepada 3.6 peratus pada September lalu, menurun 0.1 peratus berbanding 3.7 peratus pada Ogos.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui kenyataan memaklumkan bilangan penganggur turut mengekalkan trend menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang pada bulan sebelumnya.

Bagi suku ketiga tahun ini, kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus, mencatatkan 611,800 orang, kadar terendah sejak pandemik COVID-19 pada suku kedua 2020.

Bilangan penganggur aktif mencatatkan penurunan 2.1 peratus bulan ke bulan kepada 496,600 orang pada September (Ogos - 507,300 orang), manakala penganggur tidak aktif meningkat 3.5 peratus kepada 108,400 orang berbanding 104,700 orang.

Menurut DOSM, jumlah tenaga buruh dalam negara meningkat 0.2 peratus kepada 16.66 juta orang pada September berbanding 16.63 juta orang pada Ogos dengan kadar penyertaan buruh kekal pada 69.7 peratus.

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja di negara ini terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.05 juta orang pada September berbanding 16.02 juta orang pada bulan sebelumnya.

Komposisi penduduk terbesar bekerja adalah dalam kategori pekerja dengan peratus sumbangan sebanyak 75.9 peratus, bekerja sendiri (17.6 peratus), majikan (3.4 peratus) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1 peratus).

Bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.04 peratus kepada 7.24 juta orang dengan 42.9 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.5 peratus dalam kategori sekolah atau latihan. 

Sumber : BERNAMA

Kadar pengangguran November 2020 pada paras 4.8 peratus

by

 


Kadar pengangguran meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya, yang mana jumlah penganggur setakat bulan berkenaan adalah 764,400 individu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berikutan gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi

membendung peningkatan drastik kes COVID-19 dan seterusnya mengimbangi keperluan di antara sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pelaksanaan PKPB yang bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Oktober 2020 telah diperluaskan ke seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. 

"Semasa PKPB, perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Oleh itu, pada November 2020 menyaksikan penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

"Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu," katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, November 2020, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan dengan 16,200 orang, merekodkan 764,400 penganggur (Oktober 2020: 748,200 orang).

Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637,700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang), katanya.

"Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang)."

"Mengenai situasi guna tenaga, pada November, bilangan penduduk bekerja turun sebanyak 11,000 orang kepada 15.2 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

"Pada bulan berkenaan, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19.6 ribu orang) kepada 11.78 juta orang. Sebaliknya, golongan yang bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.41 juta orang. Kumpulan ini sebahagian besar adalah terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai; freelancers; dan pekebun kecil," katanya.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, dalam bulan terakhir tahun 2020, kes baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan di mana secara purata melebihi 1,500 kes sehari.

"Namun, aktiviti ekonomi terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat. Pada bulan itu juga, didapati lebih banyak aktiviti perjalanan domestik berikutan perayaan Krismas, cuti sekolah dan cuti akhir tahun.

"Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020. Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90