Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label kahwin warga asing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kahwin warga asing. Papar semua catatan

Buruh asing boleh diusir jika kahwin warga tempatan

by

 


Buruh asing dilarang mengahwini rakyat tempatan sepanjang tempoh mereka memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia.

Kegagalan mematuhi peraturan itu menyebabkan permit pekerjaan mereka terbatal secara automatik dan diusir dari negara ini serta-merta seperti termaktub mengikut Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155).

Keadaan itu menyebabkan rakyat tempatan, terutama wanita berisiko ditinggalkan pasangan masing-masing jika bertegas mahu berkahwin dengan pemegang PLKS kerana perbuatan itu melanggar undang-undang imigresen negara.

PLKS ialah permit kerja untuk warga asing bekerja secara sah di negara ini diberi kepada tujuh sektor bagi tempoh satu hingga 10 tahun yang ditetapkan kerajaan, selain ciri khas dipamerkan pada pasport individu terbabit.

Namun, status perkahwinan pasangan Muslim terbabit adalah sah, jika pernikahan memenuhi syarat sah nikah dan perceraian pula hanya boleh berlaku jika permohonan cerai dikemukakan ke Mahkamah Syariah.

Bagi pasangan bukan Islam pula, mereka turut berdepan risiko sama, tetapi Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa membubarkan pendaftaran perkahwinan terbabit.

Pemegang PLKS yang mahu berkahwin dengan pasangan warga asing yang menetap atau bekerja di Malaysia pula perlu merujuknya kepada kedutaan masing-masing.

Justeru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya mahu mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri berhubung syarat perkahwinan rakyat tempatan dan warga asing, terutama pemegang PLKS.

Katanya, terdapat dakwaan berlaku ketidakseragaman, menyebabkan syarat dan peraturan ketat ditetapkan imigresen berhubung urusan perkahwinan rakyat tempatan dan warga asing terutama pemegang PLKS dibolosi.

"Sesi libat urus ini bertujuan mewujudkan garis panduan dan prosedur operasi standard jelas bagi permohonan perkahwinan membabitkan pasangan warga asing dan rakyat tempatan.

"Secara dasarnya, urusan perkahwinan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri dan imigresen hanya boleh menyatakan bantahan bagi sesuatu permohonan perkahwinan jika ia melanggar akta ditetapkan.

"Imigresen juga tidak memiliki kuasa untuk membubarkan perkahwinan, termasuk bagi pasangan rakyat tempatan dan pemegang PLKS.

"Apa yang kita boleh lakukan jika melanggar Akta Imigresen ialah menamatkan permit diberi dengan serta-merta dan mengusir warga asing terbabit pulang ke negara asalnya," katanya kepada BH.

Perguna wanita tempatan

Baru-baru ini, BH melaporkan lelaki warga asing, terutama Pakistan sanggup 'membutakan mata', memilih wanita tempatan sebagai pasangan hidup termasuk yang sudah berusia, semata-mata mahu tinggal di negara ini dan membuka perniagaan menggunakan nama isteri.

Tahun lalu, Pengarah Imigresen Kelantan, Azhar Abdul Hamid, dipetik berkata, 15 permohonan dibuat warga asing dibatalkan kerana mereka hanya menggunakan isteri yang juga penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.

BH pada September 2019 mendedahkan, mengahwini wanita tempatan antara taktik diguna lelaki warga Pakistan untuk menjalankan perniagaan dengan lokasi tumpuan di pinggir bandar dan penempatan setinggan yang jarang digempur pihak berkuasa.

Taktik lain, mereka menggunakan nama warga tempatan atau mengambil alih perniagaan sedia ada milik penduduk dengan membayar sewa tertentu, tanpa menukarkan penama pada lesen perniagaan.

Ada juga pasangan lelaki Pakistan dan wanita tempatan berasal dari Sabah, berkahwin di Semenanjung sebelum memohon pas lawatan sosial suami asing kepada warga negara di negeri bawah bayu itu.

Laporan eksklusif BH pada Mei 2017 pula mendedahkan, Jabatan Agama Islam Selangor dan Pahang gagal mematuhi undang-undang imigresen, menyebabkan buruh asing mudah berkahwin dengan rakyat tempatan.

Malah, wanita tempatan mengahwini buruh asing yang tidak mematuhi syarat dan prosedur perkahwinan ditetapkan imigresen, boleh dikenakan tindakan kerana melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

Tindakan menyembunyi atau melindungi PATI menyalahi Seksyen 55E(1) Akta 155 (Pindaan 2002) dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan enam sebatan.

Ruslin berkata, warga asing yang mahu berkahwin dengan warga tempatan perlu mengisi borang khas dengan lengkap termasuk maklumat majikan dan kaedah ini antara lain dapat mengesan sama ada warga asing terbabit dibenar berbuat demikian.

Beliau berkata, pihak berkuasa agama yang menerima maklumat awal permohonan perkahwinan itu sepatutnya merujuk kepada imigresen jika mendapati wujud pertentangan akta yang tidak membenarkan perkahwinan itu berlaku.

"Sebenarnya kemasukan warga asing ke negara ini secara sah hanya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mengikut sektor yang ditetapkan dan bukannya untuk berkahwin," katanya.

Sumber : Berita Harian

Prosedur Perkahwinan Rakyat Malaysia dengan Warganegara Asing

by

 


Perkahwinan Rakyat Malaysia Dengan Warganegara Asing

Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara dua warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia. Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing, prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.

Selain syarat-syarat yang diperuntukkan seperti persetujuan wanita yang akan dikahwini, pemberian mas kahwin dan lain-lain, syarat-syarat yang diperuntukkan oleh pemerintah juga harus dipatuhi. (Perlu diingatkan bahawa syarat-syarat ini adalah bertujuan untuk melindungi hak-hak pasangan yang akan berkahwin). Prosedur yang berlainan ini juga bergantung kepada situasi warga tersebut.

Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin, mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama. Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen berikut :-

- Salinan pasport atau salinan kad pengenalan (lelaki dan perempuan)
- Surat kebenaran dari kedutaan/konsulat negara pemohon
- Surat pengesahan pasport daripada Jabatan Imigresen Malaysia
- Surat Akuan Cerai atau surat Akuan Kematian (jika pernah berkahwin atau kematian pasangan sebelumnya)
- Surat Kebenaran Poligami dari Mahkamah Syariah di Malaysia (jika berpoligami)
- Surat wakalah wali bagi perempuan (jika wali tidak dapat hadir)
- Salinan Sijil Kursus Perkahwinan

Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana wanita tersebut bermastautin. Ini adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah. Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang.

Adalah baik sekiranya ia dilakukan dengan awal bagi mengelakkan penundaan perkahwinan. Sekiranya bakal isteri adalah penduduk tetap negara ini atau pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus disertakan.

Pemohon juga mestilah mengemukakan salinan Kad Pengenalan Merah dan permit masuk, Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen. Kedua-dua situasi di atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau perniagaan.

Situasi adalah berbeza bagi warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.

Perlu dimaklumkan bahawa pekerja asing yang memegang permit kerja adalah tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi undang-undang maka ia akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi kepadanya.

Hanya warganegara asing yang mempunyai kelayakan masuk secara sosial atau perniagaan sahaja yang boleh membuat permohonan tersebut. Pindaan Peraturan Imigresen yang tidak mendiskriminasi terhadap wanita Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing mulai 1 September 2001:

Lelaki warganegara asing yang berkahwin dengan wanita Malaysia dibenarkan memperbaharui pas lawatan sosial secara tahunan (annual basis).

Wanita warganegara asing yang bercerai atau berpisah dari suami rakyat Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan pas lawatan sosial secara tahunan (annual basis).


Pendaftaran Perkahwinan Dan Pengupacaraan Perkahwinan Di Luar Negara

Perkahwinan bagi rakyat Malaysia diluar negara boleh didaftarkan jika salah seorang pasangan mestilah warganegara Malaysia. Pendaftaran perkahwinan perlu dibuat dalam tempoh masa 6 bulan dari tarikh perkahwinan. Alamat dan nombor telefon Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara boleh didapati melalui laman web Kementerian Luar Negeri dibawah topik “Perwakilan Malaysia Di Luar Negeri”.

Antara dokumen-dokumen sokongan yang perlu dibawa bersama adalah :

- Pasport untuk kedua-dua pasangan (asal dan salinan)
- Kad Pengenalan
- Surat Nikah
- Bukti Perkahwinan (spt. Gambar perkahwinan atau kad undangan, jika ada)
- Dua orang saksi yang menyaksikan perkahwinan tersebut.
- Pendaftaran akan diproses oleh Perwakilan Malaysia dan dua (2) salinan Sijil Perkahwinan Malaysia (asal dan salinan) akan dikeluarkan kepada pasangan berkenaan.

Bagi rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, pengupacaraan perkahwinan boleh dilakukan oleh Pegawai Konsul yang telah dilantik oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Surat perakuan bujang/duda/janda (bagi kedua-dua belah pihak) adalah diperlukan bagi tujuan tersebut.


Nota - Warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing harus mendaftarkan status perkahwinan mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setelah perkahwinan mereka selesai supaya anak mereka mendapat status kewarganegaraan. 


Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia




Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90