Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label lhdn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lhdn. Papar semua catatan

Program Pengakuan Sukarela cukai LHDN bermula 6 Jun 2023

by


 
      Kerajaan akan melaksanakan semula Program Pengakuan Sukarela (PKS) bermula 6 Jun ini, demikian kata Kementerian Kewangan.

Ia berkata, pela

ksanaan program yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 itu adalah sebagai salah satu inisiatif bagi memperluaskan bilangan pembayar cukai, meningkatkan tahap pematuhan cukai dan meningkatkan hasil negara.

Katanya, PKS memberi peluang kepada orang ramai untuk secara sukarela membayar cukai yang bertanggungan tanpa sebarang penalti atau pada kadar sifar peratus.

"Ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024," katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Kewangan berkata, butiran lanjut dan terperinci mengenai pelaksanaan PKS boleh didapati melalui laman sesawang rasmi JKDM dan LHDNM.

Sumber : Berita Harian

LHDN sekat individu ke luar negara, gagal bayar cukai

by

 


Seramai 180,216 individu dikenakan tindakan sekatan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kerana gagal membayar cukai berjumlah RM7.93 bilion.

Larangan ke luar negara itu dikenakan, sekali pun individu terbabit mempunyai tunggakan cukai kurang daripada RM100.

BH dimaklumkan, daripada seramai 180,216 individu yang dikenakan sekatan itu, seorang daripadanya mempunyai tunggakan cukai tertinggi, iaitu sebanyak RM1.884 bilion.

Jumlah individu dikenakan sekatan dan cukai tertunggak itu berkurangan berbanding 2022, yang mana 197,190 individu, termasuk pengarah syarikat dikenakan sekatan perjalanan, dengan tunggakan cukai berjumlah RM12.41 bilion.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, mereka yang dikenakan tindakan itu adalah individu warganegara Malaysia dan warganegara asing serta pengarah syarikat dengan pegangan saham lebih 20 peratus, yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah dan cukai syarikat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan itu bukan bertujuan untuk menghukum pembayar cukai, tetapi untuk meningkatkan pematuhan pembayaran cukai secara sukarela.

"Kita mengambil tindakan sekatan ini bagi memastikan setiap individu memenuhi tanggungjawab dan menghalang mereka daripada meninggalkan negara atau ke luar dari Malaysia tanpa membayar cukai terlebih dahulu," katanya kepada BH.

Beliau menjelaskan, pihaknya menghantar pemakluman tindakan itu kepada pembayar cukai menerusi alamat terakhir yang dikemas kini dengan LHDN.

 Disekat angkara tunggakan hanya RM100 

Terdahulu, BH menerima aduan daripada seorang individu yang mendakwa disekat ke luar negara hanya kerana tunggakan cukai di bawah RM100.

Lim Swee Hong, 53, yang berasal dari Perak mendakwa, disebabkan jumlah tunggakan cukai yang kecil itu, beliau disekat daripada meneruskan perjalanan ke luar negara ketika berada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau mendakwa, tunggakan cukai itu berlaku bukan kerana beliau tidak membayar cukai, tetapi berikutan kegagalan LHDN memproses dan mengemas kini rekod pembayaran ketika musim cuti.

"Saya membuat pembayaran cukai dalam talian, namun pihak LHDN tidak dapat mengemas kini status kerana ketika itu musim cuti.

"Akibat kejadian itu, saya dihalang keluar dari Malaysia dan menanggung kerugian besar.

"Saya terpaksa membeli semula tiket penerbangan dan mengubah tempahan hotel, selain perlu membayar denda.

"Saya berharap LHDN boleh menambah baik sistem kemas kini mereka supaya perkara sama tidak terjadi kepada orang lain.

"Mungkin ada kesilapan teknikal, tetapi kesilapan itu menyebabkan saya menanggung kerugian besar," katanya yang kini sudah berhijrah ke Kanada.

Mengulas lanjut, Ranjeet berkata, mereka mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan sekatan itu perlu membuat pembayaran atau menghubungi pejabat LHDN untuk rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

Katanya, LHDN komited menjadi pemudah cara perkhidmatan percukaian menerusi tiga pendekatan utama iaitu Awareness (Kesedaran), Education (Pendidikan), Services (Perkhidmatan), sebagai rakan strategik yang erat mendekati rakyat.

Pembayar cukai boleh membuat semakan status tunggakan cukai melalui portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/.

Semakan sekatan perjalanan pula boleh dibuat menerusi laman web Jabatan Imigresen Malaysia di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

Ranjeet berkata, pembayaran cukai atau tunggakan boleh dibuat menerusi portal MyTax atau atau portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan LHDN.

Bayaran juga boleh dibuat melalui mesin deposit tunai, mesin juruwang automatik atau di kaunter bank terpilih.

"Pembayar cukai juga boleh membuat permohonan bayaran secara ansuran. Namun, setiap permohonan akan diproses dan kelulusan diberi mengikut merit kes," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada penalti dikenakan jika tampil membuat pengakuan cukai – LHDN

by

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan mengenakan penalti terhadap individu yang tampil membuat pengakuan cukai menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bermula 1 Jun ini hingga 31 Mei tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata inisiatif itu adalah usaha kerajaan membantu individu yang ingin membuat pengakuan cukai.

"Tiada penalti, apa yang sudah berlalu (tidak membayar cukai) itu tidak apa. Hanya laporkan saja berdasarkan apa yang diketahui, hasil terima secara baik dan tidak akan buka lagi tahun-tahun berkenaan untuk diaudit.

"LHDN akan berikan panduan apa yang patut dibuat supaya tidak lagi berlaku kekurangan atau tidak lapor bila ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa LHDN dan Apresiasi Media Sabah 2023 di sebuah hotel di bandar raya ini, semalam.

Sementara itu, Mohd Nizom berkata pihaknya menganggarkan kira-kira 50,000 pembayar cukai baharu dan sedia ada tampil untuk membuat pengakuan cukai secara sukarela menerusi program berkenaan.

"Berdasarkan data LHDN, kita menganggarkan bilangan yang akan tampil membuat pengakuan sukarela ini untuk melaporkan yang terkurang atau tertinggal sebelum ini dianggarkan kira-kira 50,000 dan hasil itu kita tak fokus sangat, tetapi kita buat anggaran secara realistik iaitu RM1 bilion," katanya.

Ketika diminta mengulas langkah yang akan diambil LHDN dalam mendekati golongan pembayar cukai untuk menyertai program PKPS, Mohd Nizom berkata, pihaknya sedang menyediakan satu garis panduan cara untuk menyertai program itu.

"Mungkin kita akan bermula dengan soalan lazim, macam mana mahu sertai.

"Kemudian kita akan keluarkan garis panduan yang lebih teliti bagaimana hendak ambil bahagian atau tampil ke hadapan dalam program pengakuan sukarela," katanya.

Sumber : Berita Harian

LHDN perkenal e-invois ganti resit untuk pelepasan cukai

by

 


Kesulitan dihadapi pembayar cukai, termasuk syarikat dan individu untuk menyimpan invois dan resit sehingga tujuh tahun sebagai bukti untuk pelepasan cukai akan selesai akhir tahun ini.

Ia berikutan, bermula tahun depan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata e-invois akan membantu simpanan rekod kewangan pembayar cukai yang dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya mulai awal tahun depan.

Beliau berkata, inisiatif itu dirangka selepas LHDN mengambil kira kesukaran pembayar cukai menyimpan rekod kewangan masing-masing bagi tempoh tujuh tahun seperti ditetapkan ketika ini.

"Melalui inisiatif e-invois pembayar cukai tidak perlu lagi risau untuk mengemukakan resit ketika memohon pelepasan cukai.

"Inisiatif e-invois ini nanti insya-Allah boleh mengubah perkara ini (dokumen berkaitan pelepasan cukai hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi).

"Pada dasarnya jika sudah dilaksanakan sepenuhnya, e-invois ini akan dapat membantu dari segi mengurangkan bebanan rekod simpanan dokumen pembayar cukai.

"Ini kerana, kebanyakan maklumat (berkaitan rekod kewangan pembayar cukai) sudah berada pada LHDN. Justeru, kita harap semua pihak dapat menyokong e-invois ini apabila dilaksanakan kelak," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas.

Mohd Nizom berkata, ketika ini, pihaknya belum bercadang untuk meminda akta berkaitan (yang memperuntukkan dokumen mengenai kewangan pembayar cukai perlu disimpan selama tujuh tahun).

Mohd Nizom berkata, ketika ini pihaknya sedang menyediakan infrastruktur berkaitan untuk melaksanakan sistem e-invois yang akan disediakan percuma.

Mengikut Seksyen 82A Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana individu yang perlu memberikan butiran pendapatan bagi tahun taksiran di bawah akta berkenaan, perlu menyimpan dan mengekalkan dengan selamat dokumen-dokumen yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dari akhir tahun taksiran berkenaan bagi tujuan memastikan pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan cukai yang perlu dibayar.

Dokumen bermaksud penyata pendapatan dan perbelanjaan, invois, baucar, resit dan dokumen-dokumen lain yang diperlukan untuk mengesahkan pulangan cukai.

Sebelum ini, kerajaan dilapor bercadang memperkenal e-invois yang akan menyokong penggunaan nombor pengenalan cukai (TIN) untuk diwajibkan bagi semua dokumen dan instrumen membabitkan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Inisiatif itu dilapor bakal memperluaskan kutipan cukai pendapatan selain memperkukuh perolehan hasil kepada negara.

Sumber : Berita Harian

31,598 entiti tidak lapor pendapatan sebenar - LHDN

by

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan sebanyak 31,598 entiti terdiri individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain yang masih tidak melaporkan pendapatan sebenar.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini, berkata amaun ketirisan cukai langsung dialami oleh negara dianggarkan bernilai RM665 juta dan nilai anggaran ketirisan itu adalah satu amaun yang signifikan dan mampu memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara jika ia tidak segera dibendung.

Ia menambah pengesanan entiti itu dibuat berdasarkan maklumat melalui pemilikan aset dan kemampuan entiti terbabit mengambil pinjaman/sekuriti melebihi RM500,000 dan ke atas.

"Bagi tujuan itu, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama sebulan iaitu bermula dari 15 Jun hingga 15 Julai 2022," katanya.

Selepas tempoh sebulan itu tamat, LHDN akan mengambil tindakan penguatkuasaan cukai seperti audit, siasatan sivil dan siasatan jenayah terhadap entiti dan individu berkenaan yang masih gagal patuh menghantar Borang Nyata Cukai bagi sesuatu Tahun Taksiran, mengemukakan penyata yang salah, dan mengelakkan diri daripada dikenakan cukai.

"Tindakan siasatan jenayah akan memberi implikasi pendakwaan di mahkamah. Ketidakpatuhan dan pelarian cukai ini dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya. 

Sumber : BERNAMA

Semak dulu status sekatan perjalanan sebelum rancang ke luar negara - LHDN

by

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menyarankan semua pembayar cukai agar membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara bagi sebarang tujuan. 

Sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan yang dikenakan kepada individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dan cukai syarikat. 

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan, pemakluman mengenai tindakan terbabit akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemaskini oleh pembayar cukai kepada agensi berkenaan melalui data percukaian terkini yang direkodkan.

Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/ atau laman web Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/sspi/

"Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka bagi tindakan sewajarnya," katanya.

Pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh disalurkan melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 / 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

 

 

LHDN yakin kutipan cukai akan lebihi sasaran RM132 bilion

by

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkeyakinan jumlah kutipan cukai tahun ini akan melebihi RM132 bilion yang disasarkan oleh kerajaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Mohd Jaafar Embong berkeyakinan jumlah itu akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pencapaian dicatat LHDN itu dilihat positif berikutan kutipan cukai terus meningkat walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19, selain beberapa negeri berdepan bencana banjir ketika ini.

"Saya tiada statistik terperinci ketika ini, namun (jumlah kutipan cukai semasa) sudah melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Memang kita ada memberi beberapa kelonggaran kepada pembayar cukai, namun Alhamdulillah, Malaysia ini negara makmur. Tidak semua industri terjejas.

"Setakat ini, sasaran yang diberi kerajaan berjaya dicapai oleh LHDN, dan pembayar cukai masih menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Perincian dari segi jumlah kutipan dan peratusan melebihi sasaran, belum ada kerana perlu tunggu selepas hujung tahun. Namun yang penting, sasaran berjaya dicapai," katanya pada sidang media Program Kasih PRIHATIN-MAIWP di Dewan Komuniti Sentul Perdana, di sini, hari ini.

Awal tahun ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan sasaran kutipan cukai tahun ini adalah RM143.9 bilion, namun ia disemak semula kepada RM132 bilion susulan situasi ekonomi yang masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

Sementara itu ditanya mengenai kebimbangan pembayar cukai berhubung pindaan undang-undang yang membolehkan LHDN mengakses maklumat akaun bank mereka pula, Mohd Jaafar menegaskan perkara berkenaan tidak perlu dikhuatiri.

"Jangan bimbang kerana kita perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

"Kita tidak sewenang-wenang boleh mengakses maklumat akaun bank pembayar cukai dengan sesuka hati. Ia mesti mendapat kebenaran mahkamah. Maknanya, jangan bimbang," katanya.

Awal bulan ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 yang merangkumi cadangan pindaan terhadap Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan.

Pindaan Seksyen 106A itu memberi kuasa kepada LHDN supaya tidak lagi perlu memaklumkan kepada pembayar cukai untuk memohon butiran akaun bank mereka daripada pihak bank bagi tujuan semakan atau penyiasatan.

Terdahulu, Mohd Jaafar merasmikan Program Kasih PRIHATIN-MAIWP yang menyaksikan sejumlah 35,719 asnaf terkesan pandemik, menerima bantuan bawah pelaksanaan inisiatif itu sejak Oktober lalu.

Program itu adalah hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, untuk menyalurkan sumbangan berbentuk barang keperluan asas, penjagaan diri dan seumpamanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

LHDN longgar bayaran cukai, penalti bagi pembayar terjejas

by

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti kepada individu yang pendapatan mereka terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

LHDN dalam kenyataan hari ini, berkata ia bagi meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.

Katanya, kelonggaran ditawarkan kepada pembayar cukai itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa kriteria.

"Pertama, penangguhan pembayaran penalti berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022 dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar. 

"Penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.

"Kedua, pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan PKP," katanya.

Selain itu, LHDN turut mempertimbangkan penyemakan semula penalti dikenakan jika pembayar cukai mempunyai alasan kukuh.

Katanya, pembayar cukai perlu membuat rayuan ke atas penalti dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes.

"Pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.

"Bagaimanapun, pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti dikehendaki undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

LHDN turut menyediakan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP 3.0 berkaitan perkara ini, selain menyentuh isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.

FAQ itu boleh dicapai melalui pautanhttp://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf bagi versi bahasa Melayu, manakala untuk Bahasa Inggeris menerusi http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90