Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label muhyiddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhyiddin. Papar semua catatan

Muhyiddin umum tidak pertahan jawatan Presiden Bersatu

by


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti, yang dijangka berlangsung sebelum hujung 2024.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, masanya telah tiba untuk beliau mewariskan kepimpinan parti kepada pemimpin seterusnya demi terus mengangkat Bersatu sebagai parti pembela Melayu dan Bumiputera.
Selain itu Muhyiddin turut mencadangkan barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh parti mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan yang baharu nanti.
“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, pada Jumaat.
Dalam sidang media susulan, Muhyiddin berkata, beliau mengambil maklum tentang bantahan pimpinan kanan parti atas keputusan mengejutnya itu, tetapi katanya, parti tidak boleh terus bergantung kepada individu semata-mata.
“Ketika ini saya masih Presiden, tetapi saya memberi notis awal (untuk tidak bertanding). Saya berpandangan pimpinan kanan parti perlu duduk dan berbincang, supaya pemilihan parti kelak tidak akan menimbulkan perpecahan.
“Selagi saya masih seorang Presiden, saya masih mempunyai tanggungjawab dan saya akan melakukan perkara yang perlu kerana saya berada di dalam parti sejak penubuhannya.
"Mungkin dalam tempoh setahun ada pemimpin lain yang boleh menjalankan tugas saya, tetapi ketika ini saya masih di sini dan tidak akan berhenti sehingga tahun hadapan,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan dasarnya, Muhyiddin berkata, beliau percaya Bersatu mempunyai barisan kepimpinan pelapis yang amat berpengalaman dan hebat semuanya.
“Sebahagian besar ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti kita adalah bekas menteri termasuk dua menteri kanan, tiga bekas menteri besar dan ramai lagi bekas timbalan menteri yang mempunyai pengalaman luas dalam mengurus parti dan mentadbir kerajaan.
“Saya percaya apabila tiba masanya saya mengundurkan diri sebagai presiden parti, Bersatu akan dipimpin oleh sepasukan pemimpin yang hebat dan berpengalaman luas untuk memacu parti ke mercu yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Sementara itu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan yang diumumkan Muhyiddin itu sangat mengejutkan kerana beliau dan pimpinan kanan lain mendengarnya buat pertama kali.
“Kita akan berbincang dan akan mencari jalan yang terbaik kerana kami akan mendapatkan pandangan kelangsungan daripada perwakilan.
"Jadi, kepentingan ahli suara akar umbi akan dipertimbangkan. Rasa cinta ini akan beri pertimbangan tentunya terhadap ucapan beliau petang ini sehingga esok, dan suara akar umbi akan dibawa ke para jurucakap,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau mempunyai hasrat untuk bertanding sebagai Presiden pada pemilihan seterusnya, Ahmad Faizal berkata beliau enggan memikirkan mengenai perkara tersebut ketika ini.
Sumber dari Astro Awani 

Agong perkenan peletakan jawatan, lantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara

by

 


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

"Ini selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

"Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

"Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sesi menghadap oleh Presiden BERSATU itu berlangsung di Istana Negara itu selama 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada jam 11 pagi.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 484 atau 79 peratus daripada 613 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah zon merah COVID-19.

Katanya, Seri Paduka turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

"Justeru pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat," katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID 19.

"Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Perutusan Khas Perletakan Jawatan Tan Sri Muhyiddin

by

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera

Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sekalian sihat wal'afiat.

1.Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari tadi di Istana Negara. 

2.Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan.

3.Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun lima belas Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang. Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen. 

4.Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

5.Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut "jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri". Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

6.Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

7.Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

8.Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

9.Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah s.w.t. yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

10.Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

11.Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi.

12.Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

13.Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

14.Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

16.Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini. Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf.

17.Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa. Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

18.Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

19.Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian.

20.To all my fellow Malaysians, you don't have to worry. My cabinet has ordered more than enough vaccines for all of you. If the vaccination programme goes well, all of you will get vaccinated by end of October.

21.I hope the new government which takes over the administration of this country will take a good care of all of you because it is the only thing that I care about. I care for you always.

22.Saya senantiasa prihatin dengan nasib saudara dan saudari sekalian kerana saya anggap saudara dan saudari sebagai anak-anak saya sendiri. Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat.

23.Saya optimis bahawa negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat. Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan. Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

24.Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya buat semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.

25.Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat kepada rakyat.

26.Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yg telah berkorban masa dan tenaga bersama saya selama ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Anda semua telah banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini.

27.Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini.

28.Terima kasih juga kepada kepimpinan BERSATU, pimpinan tertinggi Perikatan Nasional dari parti PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan kepada saya hingga ke saat akhir.

29.Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua.

30.Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

31.Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memelihara keselamatan dan keamanan negara kita dan mengekalkan perpaduan seluruh rakyat.

بسم الله الرحمن الرحيم

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami

Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami

Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami

Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Engkaulah yang mempunyai segala kepujian

Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran

Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan

Di tangan Engkau segala kebajikan

Kepada Engkaulah kembali segala urusan

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Amin ya rabbal alamin.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.



 

 

Muhyiddin kemuka cadangan persefahaman rentas parti

by

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, sekali gus kerajaan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri berkata, beliau sudah berunding dengan anggota Kabinet dan pimpinan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan peribadi serta rakan-rakan lain.

"Kami mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Ini akan membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan taya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

"Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat," katanya dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung.

Beliau juga membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

"Pertamanya ialah mengenai peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen. Baru-baru ini saya telah mengumumkan pemberian peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.

"Atas semangat kerjasama bipartisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

"Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki," katanya.

Cadangan kedua, katanya, bagi mendokong prinsip "Whole of Government" dan "Whole of Society" dalam memerangi pandemik COVID-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang diutarakan.

"Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

"Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

"Dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif," katanya.

Kerajaan juga, katanya, akan mengukuhkan sistem kesihatan terutama dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad unit rawatan rapi (ICU), termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta selaras dengan pendekatan "Whole of Nation".

"Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua 2021. Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada 2022, bukan sahaja untuk B40 tetapi juga bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan," katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.

"Ketiga, sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

"Keempat, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang. Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

"Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

"Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen," katanya.

Kelima, katanya, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa dan bagi tujuan itu, RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen.

"Saya berharap, dengan adanya kerjasama bipartisan di Parlimen, RUU ini akan dapat diluluskan. Keenam, RUU termasuk RUU perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.

"Suatu RUU hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Akhirnya yang Ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara Menteri Kanan.

Perdana Menteri juga membuat akujanji bahawa PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun hadapan, untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi pada waktu pandemik dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Sementara itu, katanya, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif, dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang lebih efektif dan menyeluruh.

"Kestabilan politik amat penting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dan Memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu perkara mudah. Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

"Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Kerajaan umum PEMULIH bantu rakyat

by

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri ketika membentangkan PEMULIH berkata, pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Walaupun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.

"Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini.

Menerusi PEMULIH, kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, dengan pengeluaran sehingga RM5,000, yang akan memberi manfaat kepada 12.6 juta ahli KWSP.

Pelaksanaan i-Citra akan menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, yang mana permohonannya akan dibuka pada 15 Julai ini, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.

Selain itu, moratorium automatik selama enam bulan akan turut diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro, yang mana permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

Permohonan moratorium berkenaan tidak mengenakan syarat seperti pemohon mesti mengalami pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan mengemukakan dokumentasi untuk permohonan.

Melalui fokus Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, kerajaan antara lain akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini, merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) danBantuan Kehilangan Pendapatan.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Selain itu, sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Di bawah fokus Menyokong Perniagaan, beberapa pendekatan akan ditambah baik termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Kerajaan akan menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, membabitkan bayaran RM500 kepada penerima yang layak, masing-masing pada September dan November ini yang diharap akan memanfaatkan satu juta usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Selain itu, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 akan dilaksanakan dengan peruntukan RM3.8 bilion, yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar RM600 setiap pekerja selama empat bulan tanpa syarat had gaji ditetapkan.

Di bawah fokus Meningkatkan Vaksinasi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa, antara lain melalui tambahan bekalan vaksin dengan peruntukan RM400 juta bagi menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

Kerajaan juga akan membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, tambahan kepada 341 PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-toHome dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

Sumber : Berita Harian

 

 

PM sihat, tiada alami gejala selepas terima vaksin

by

 

Sehari selepas menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 satu dos Pfizer-BioNTech di negara ini, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam memaklumkan dirinya sihat dan tidak mengalami gejala demam atau kesan sampingan lain.

Perdana Menteri menerusi video dimuat naik di Facebook hari ini, turut melahirkan keyakinan vaksin diterima itu selamat dan berkesan.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) hari kedua selepas semalam (kelmarin) saya dapat suntikan vaksin COVID-19, semuanya berjalan dengan baik.

"Saya yakin ini adalah vaksin selamat, berkesan. Ramai tanya saya hari ini bagaimana keadaan saya? Alhamdulillah saya berasa sihat, tiada rasa demam dan luar biasa.

"Makan dan selera macam biasa. Bagi saya vaksin yang saya terima ini agak baik," katanya.

Muhyiddin menegaskan masih mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka walaupun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Masih teruskan amalan SOP digunakan, saya di rumah tidak pakai pelitup muka, tetapi biasa (di luar) saya pakai.

"Cuci tangan macam biasa, penjarakan fizikal macam biasa dan jangan pergi tempat orang ramai-ramai (sesak), ini harus kita teruskan," katanya.

Perdana Menteri sekali lagi memohon semua rakyat mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, tindakan menyokong usaha kerajaan itu dapat menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.

"Kita perlu ramai-ramai mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera. Saya sudah ada (aplikasi itu) dalam telefon (pintar). Semua data, maklumat yang terima semalam, saya terima dos pertama dan dapat tarikh untuk dos kedua.

"Dia bagi saya janji temu 17 Mac ini, Insya-Allah selepas itu baru dapat sijil selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Saya mengucap syukur terhadap Allah SWT kerana keadaan (kesihatan) masih baik dan sihat. Saya doakan anda semua sentiasa dalam keadaan sihat," katanya.

Semalam, Muhyiddin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Sumber : Berita Harian

Muhyiddin Yassin digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO

by


Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada memegang jawatan Timbalan Presiden Umno berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di sini, petang Jumaat.

“Keputusan telah dibuat pada 26 Februari bahawa MT telah bersetuju sebulat suara untuk menggantung jawatan yang disandang Tan Sri Muhyiddin berkuatkuasa serta-merta.

“Tempoh penggantungan adalah sehingga pemilihan MT Umno yang akan datang dan jawatan-jawatan lain yang disandang masih dikekalkan,” katanya ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertindak sebagai ‘pengerusi sementara’ selepas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil sikap berkecuali dalam isu itu.

Keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi Umno itu juga menyaksikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas timbalan presiden parti.

Tengku Adnan berkata, usul tersebut telah dibincangkan secara konsensus dan keputusan dibuat secara bersama.

Ditanya siapa yang telah bertindak mengemukakan usul tersebut, beliau menjawab ia konsensus.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan berkata, keputusan itu dibuat selepas setiap ahli MT diberi ruang dan peluang untuk mengemukakan pandangan dalam perbincangan usul yang berlangsung selama lebih dua jam.

Katanya, mengikut Fasal 9.8.2.1 Perlembagaan parti, tugas seorang timbalan presiden adalah membantu presiden.

“Tapi dalam kes Muhyiddin beliau dilihat tidak menjalankan kewajipan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“MT memandang serius mana-mana pemegang jawatan utama Umno yang tidak mendokong dasar dan aspirasi parti,” katanya.

Beliau menambah, adalah tidak wajar jika Muhyiddin dianggap tidak diberikan hak untuk membela diri kerana beliau telah dimaklumkan tentang mesyuarat ini.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dimaklumkan tentang mesyuarat ini namun beliau memaklumkan melalui faks bahawa beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat ini, begitu juga dengan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Tindakan ketidakhadiran Muhyiddin tidaklah boleh dianggap sebagai tidak diberi hak untuk membela diri,” katanya.

Tambah beliau lagi, segala keputusan yang dibuat MT adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan mengambil kira suasana politik semasa.

“Perilaku Tan Sri Muhyiddin tidak mencerminkan tanggungjawab beliau sebagai timbalan presiden untuk membantu presiden mengukuhkan parti,” katanya.

Selain Hishammuddin, hadir sama di sidang media itu adalah Bendahari Umno Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri Mas Ermieyati Samsudin.

Muhyiddin yang tidak hadir kerana berada di luar negara menjadi perhatian pada mesyuarat kali ini selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya beliau digantung sebagai timbalan presiden.

Ia susulan tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapannya pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana Muhyiddin mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.

- mSTAR




Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90