Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pekerjaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pekerjaan. Papar semua catatan

Kadar pengangguran kekal 3.4%, bilangan penganggur berkurang pada Oktober 2023

by

 



Kadar pengangguran kekal 3.4%, bilangan penganggur berkurang pada Oktober

Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 3.4 peratus pada Oktober, dengan bilangan penganggur mencatatkan penurunan kepada kira-kira 570,900 orang berbanding kira-kira 573,700 orang pada September 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.1 peratus daripada jumlah penganggur pada Oktober.


Kata beliau, kategori tersebut menurun sebanyak 0.4 peratus, merekodkan kira-kira 457,200 orang.

“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.6 peratus sementara mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.2 peratus.


“Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 0.9 peratus, mencatatkan kira-kira 113,800 orang,” katanya dalam kenyataan pada 8 Disember.


Menurut Mohd. Uzir, pada Oktober, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 10.7 peratus, mencatatkan jumlah kira-kira 313,300 orang. 


Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula menurun 0.1 mata peratus kepada 6.6 peratus, merekodkan bilangan kira-kira 439,600 orang.


“Bilangan luar tenaga buruh pula menurun sedikit, iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang. 


“Komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga (42.6 peratus) dan kategori bersekolah atau latihan (40.9 peratus),” katanya.


Jelas Mohd. Uzir, pasaran buruh pada Oktober terus mengukuh berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan. Ini dapat dilihat dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurang.


Sehubungan itu, kata beliau, bilangan tenaga buruh berada pada trend meningkat dengan pertambahan 0.1 peratus bulan ke bulan, mencatatkan 16.97 juta orang berbanding 16.95 juta pada September.


“Bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus, mencatatkan 16.40 juta orang,” katanya.


Berkenaan situasi guna tenaga, kategori pekerja merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Oktober, mencatatkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.35 juta orang.


Malah, menurut Mohd. Uzir, kategori penduduk bekerja juga terus meningkat dengan pertambahan 0.4 peratus kepada 2.99 juta orang.


“Mengikut sektor ekonomi, terdapat peningkatan yang konsisten dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.


“Pada masa sama, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada Oktober,” jelasnya. 


Sumber : Relevan

Pasaran pekerjaan di Malaysia akan semakin pulih

by

 



Pasaran pekerjaan di Malaysia dijangka terus mengukuh pada separuh kedua 2022 didorong oleh momentum memberangsangkan ekonomi domestik dan pertumbuhan stabil sektor luaran, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangguran di negara ini diunjurkan lebih rendah pada 3.8 peratus pada 2022 berbanding 4.5 peratus pada tahun lalu.

"Bagi tinjauan separuh kedua 2022, kami percaya ekonomi Malaysia akan kekal dalam trajektori meningkat disokong oleh permintaan domestik yang mantap, pembukaan semula sempadan antarabangsa, pelaksanaan semula projek-projek pembinaan, pertumbuhan sektor utama di tengah-tengah peningkatan harga komoditi global dan aktiviti perdagangan luar yang stabil.

"Walaupun pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dijangka diadakan pada November ini, kami melihat ia akan mengurangkan ketidaktentuan politik domestik dan kerajaan baharu akan membentangkan dasar fiskal mengembang bagi 2023.

"Kami percaya rangsangan bagi pasaran pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi domestik adalah antara elemen utama pada Bajet 2023 selepas PRU-15," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bilangan penganggur pada Ogos 2022 terus berkurang kepada 612,000 orang berbanding dengan 620,700 orang pada Julai 2022, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.7 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, baru-baru ini berkata berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Ogos 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

"Aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat," katanya.

Mustapa berkata, bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang.

Justeru, katanya kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan berkenaan.

Sementara itu, MIDF Research berkata, jumlah kekosongan jawatan turun kepada 374,500 pada Julai 2022 berbanding kemuncak 508,000 pada bulan sebelumnya.

Ia berkata, walaupun berada pada paras terendah sejak Februari 2022, purata kekosongan jawatan bulanan bagi 2022 kekal paling tinggi pada 448,700.

"Ini mencerminkan pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik didorong oleh permintaan domestik yang mantap dan pertumbuhan berterusan dalam sektor luaran," katanya sambil menambah kadar pengambilan yang lebih baik dicatatkan bagi pekerjaan berkemahiran tinggi seperti penggubal undang-undang, profesional dan profesional bersekutu.

Kadar pengangguran di luar negara turut mencatatkan pemulihan dengan Amerika Syarikat (AS) berada di paras paling rendah dalam tempoh 29 bulan iaitu 3.5 peratus Ogos lalu, menunjukkan tahap penggunaan tenaga kerja penuh dalam ekonominya.

Di sebalik krisis tenaga dan tekanan inflasi, kadar pengangguran di zon euro berada pada rekod terendah 6.6 peratus dua bulan berturut-turut.

Di tempat lain, kadar pengangguran di China jatuh ke paras terendah tujuh bulan pada 5.3 peratus, disokong oleh momentum pemulihan ekonomi yang mantap, manakala ekonomi Asia lain seperti Korea Selatan dan Hong Kong turut mencatatkan penurunan serta kadar pengangguran rendah.

Sumber : Berita Harian

Shell Malaysia dipilih majikan paling menarik

by

 

Shell Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia 2021 oleh Randstad, agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia.

Pencapaian Shell Malaysia dalam anugerah itu adalah kali ketiga selepas meraih pengiktirafan sama pada 2016 dan 2017.

Pengarah Urusan Randstad bagi Singapura dan Malaysia, Jaya Dass, berkata pencapaian Shell Malaysia dikecapi hasil usahanya mengekalkan jenama majikan yang kukuh ketika COVID-19.

"2020 menjadi satu lagi tahun paling mencabar kepada semua majikan di Malaysia di mana krisis ini menggariskan betapa pentingnya kejayaan mengukuhkan jenama majikan dan kemampuan organisasi muncul lebih kukuh daripada wabak ini.

"Banyak majikan luar biasa bekerja keras selama 12 bulan terakhir bagi memastikan keselamatan pekerja selain menguruskan kesan ekonomi yang serius.

"Walaupun Malaysia terkesan, kami yakin ekonomi akan kembali pulih pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan

Pemenang Anugerah Jenama Majikan Randstad bagi 2021 dipilih daripada kalangan 75 syarikat komersial paling menarik untuk bekerja di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Selain Shell Malaysia, Nestlé Malaysia dan Intel Malaysia menjadi tiga majikan paling menarik tahun ini.

Anugerah itu mengiktiraf tiga syarikat komersial utama yang meraih skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan.

Penyelidikan Jenama Majikan 2021 Randstad mengkaji persepsi pencari kerja dan pekerja terhadap jenama majikan.

Ia menawarkan pemahaman yang tepat mengenai faktor dan pendorong nilai pekerja.

"Edisi kali ini unik kerana menjadi satu-satunya penyelidikan global yang bebas menyelidik perubahan sentimen tenaga kerja sebelum dan selepas wabak COVID19.

"Tahun ini, sejumlah 2,523 pekerja dan pencari kerja tempatan menyertai tinjauan di Malaysia pada Januari 2021.

"Kami berharap dapat melihat majikan tempatan terus menjalin hubungan yang bermakna dengan pekerja mereka dan berusaha untuk menjadi pilihan untuk bekerja," tambah Dass.

Sementara itu, Pengurus Negara Sumber Manusia Malaysia Shell, Shazmi Ali, berkata pengiktirafan itu membuktikan pekerja kami telah menjadikan Shell sebagai tempat terbaik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada pelanggan, masyarakat dan negara di sebalik cabaran pendemik.

"Kami benar-benar berterima kasih di atas pengiktirafan ini dan memahami tanggungjawab yang dipikul.

"Shell komited untuk menjadi pusat tenaga mahir berbakat dengan memperkemaskan kakitangan kami dengan kemahiran terkini ke arah masa depan emisi sifar kepada Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Dass berkata, sebagai bukti pencapaian yang konsisten dan cemerlang dalam penjenamaan majikan, agensi itu telah memasukkan PETRONAS ke Hall of Fame Randstad sejak 2020.

"PETRONAS telah membawa pulang penghargaan majikan yang paling menarik tiga kali berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

"Hall of Fame adalah penghargaan tertinggi dan paling berprestij yang diberikan dalam Anugerah Jenama Majikan Randstad yang dikhaskan hanya untuk majikan yang telah memenangi anugerah tiga kali dalam lima tahun," katanya.

INFO

Senarai 10 teratas majikan paling menarik di Malaysia

1. Shell Malaysia

2. Nestlé Malaysia

3. Intel Malaysia

4. Samsung

5. Sime Darby Bhd

6. General Electric

7. HP Enterprise Services

8. Sunway Bhd

9. IBM

10. Tenaga Nasional Bhd

Sumber : Berita Harian

 

 

Separuh pekerjaan di Malaysia bakal 'pupus'

by

 

Bank Dunia menjangkakan separuh daripada pekerjaan di Malaysia bakal digantikan dengan automasi dalam jangka masa panjang.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Achim Schmillen, berkata perubahan dalam sektor pekerjaan ketika ini tidak dapat dielakkan kerana digital dan automasi akan menjadi elemen penting dalam pekerjaan.

Ini kerana menerusi tinjauan yang dijalankan Bank Dunia ia memberikan gambaran sektor tenaga kerja berisiko tinggi untuk digantikan dengan automasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Malah, tegasnya, sudah terdapat teknologi yang membuktikan mampu menggantikan pekerjaan yang sebelum ini dilaksanakan oleh manusia.

"Namun, jika ditanya adakah ini bermaksud 50 peratus pekerjaan di Malaysia akan segera hilang dalam jangka masa pendek, jawapannya adalah mungkin tidak.

"Ini kerana, terdapat pelbagai faktor yang sekurang-kurangnya akan mengambil masa sederhana dan panjang untuk menuju ke arah perubahan teknologi.

"Kita mungkin mempunyai beberapa teknologi yang sudah tersedia di beberapa firma pekerjaan tetapi itu tidak bermaksud semua firma dapat menggunakan teknologi terbabit," katanya pada webinar Bank Dunia bertajuk 'Meningkat Daya Saing dan Mewujudkan Pekerjaan', semalam.

Antara pekerjaan yang berisiko tinggi untuk beralih kepada automasi sepenuhnya adalah akauntan, operator mesin dan perkilangan, juruteknik kejuruteraan elektronik, juruteknik penerbangan dan juruteknik kejuruteraan elektrik.

Schmillen berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia juga dilihat tidak mampu melakukan peralihan itu dalam kadar segera dan ini akan melambatkan perubahan teknologi.

Katanya, perubahan ke arah automasi memerlukan kos yang tinggi dan hanya beberapa bidang pekerjaan yang mungkin dapat dilakukan oleh teknologi.

"Namun, masalah utama ketika ini adalah kos peralihan ke arah teknologi sangat tinggi dan lantaran itu kami tidak menjangkakan teknologi ini akan digunakan secara keseluruhan.

"Selain itu, terdapat juga rintangan dari segi perundangan, peraturan atau normatif yang menghalang pengambilalihan pekerjaan oleh teknologi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kebanyakan majikan kini meningkatkan keperluan untuk mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam digital.

Elemen lain yang perlu dipertingkatkan oleh pekerja adalah beberapa kemahiran lain seperti sosio-emosi, kemahiran berfikir kreatif selain mampu berdikari untuk melaksanakan pekerjaan.

Beliau berkata, modal insan menjadi elemen penting kepada Malaysia dalam pengekalan pekerjaan untuk generasi akan datang.

"Cabaran paling utama adalah bagaimana kita ingin memastikan generasi masa depan terpelihara dan tidak berdepan dengan kesukaran disebabkan peralihan teknologi ini.

"Jadi apakah faktor tepat modal insan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan? Faktor asas yang ingin saya ketengahkan ini sangat penting dan harus menjadi perhatian utama pembuat dasar.

"Yang pertama adalah kualiti pendidikan. Malaysia telah membuat kemajuan besar dalam meningkatkan akses pendidikan sejak beberapa puluh tahun lalu.

"Namun pembelajaran tetap menjadi satu cabaran besar. Secara dasarnya pelajar Malaysia menghabiskan 12 tahun untuk pendidikan rendah dan menengah.

"Ia adalah tempoh yang tidak efektif kerana hanya sembilan tahun pembelajaran yang disifatkan benar-benar digunakan sepenuhnya manakala baki tiga tahun lagi tidak digunakan dengan produktif," katanya.

Sumber : Berita Harian

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90