Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label penipuan internet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penipuan internet. Papar semua catatan

Bank tidak minta maklumat sensitif pengguna melalui telefon

by

 


Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) mengulangi bahawa bank anggotanya tidak akan meminta maklumat sensitif penggunanya melalui panggilan telefon.

Tegasnya, bank tidak akan meminta pelanggan untuk maklumat nombor kad kredit/debit dan nombor nilai pengesahan kad (CVV); nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor OTP/ TAC.

Sebaliknya, ia menjelaskan, dalam senario tertentu, seperti bagi menentukan kesahihan transaksi yang mencurigakan atau tidak teratur, bank boleh menghubungi pelanggan untuk mendapatkan penjelasan.

Katanya, semasa panggilan itu, bank boleh melakukan semakan pengesahan menggunakan maklumat peribadi separa seperti meminta empat angka terakhir nombor Kad Pengenalan bagi memastikan identiti pelanggan.

"Langkah ini diambil untuk melindungi akaun pelanggan dan memastikan keselamatan maklumat kewangan mereka yang berterusan.

"Pelanggan yang mengesyaki bahawa mereka mungkin menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai bank hendaklah segera menutup telefon dan menghubungi talian hotline perkhidmatan pelanggan rasmi bank," katanya ABM dan AIBIM dalam satu kenyataan bersama.

ABM dan AIBIM berkata, dalam usaha berterusan untuk melindungi kesejahteraan kewangan pelanggan, industri perbankan bekerjasama rapat dengan pengawal selia dan agensi penguatkuasaan untuk memastikan keselamatan sistem perbankan dan platform digital, meningkatkan langkah keselamatan mengikut modus operandi penipuan terkini dan mengenal pasti dan membekukan akaun perbankan yang dikaitkan dengan penipu dan pemegang akaun keldai.

Ia berkata, sejak Julai 2023, industri perbankan telah melaksanakan lima langkah utama untuk menangani penipuan, termasuk menggantikan SMS OTP dengan kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan peraturan pengesanan penipuan; melaksanakan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama akses perbankan dalam talian; membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan dan membolehkan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan.

Katanya, pelanggan yang telah menjadi mangsa penipuan harus segera menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di 997 atau talian hotline perkhidmatan pelanggan 24/7 bank untuk mendapatkan bantuan.

"Bagi mencari talian hotline perkhidmatan pelanggan untuk mana-mana bank dan mengetahui cara mengenal pasti taktik penipuan terkini, pelanggan boleh melayari www.JanganKenaScam.com.

"Bagi segera menyahaktifkan akses perbankan dalam talian mereka atau menyekat kad kredit/debit yang terbabit dalam transaksi penipuan, pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan ciri Kill Switch melalui platform perbankan dalam talian atau aplikasi perbankan mudah alih," katanya.


63,000 kes tipu babit kerugian lebih RM1.3 bilion kurang tiga tahun

by

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 63,000 kes bagi lima jenis penipuan yang paling kerap dilaporkan di negara ini dalam tempoh kurang tiga tahun.

Ia membabitkan kes Macau Scam, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud (PTW), penipuan pelaburan dan love scam.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Komputer/ Internet/ Harta Intelek/ Cakera Optik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Superintendan Madhavan Nair Unnikrishnan, berkata sebanyak 63,267 kes penipuan berkenaan direkodkan antara 2020 hingga Ogos 2022.

Katanya, semua kes dalam tempoh berkenaan membabitkan jumlah kerugian melebihi RM1.39 bilion.

"Lima jenayah berkaitan siber paling banyak menyumbang pada jumlah kes dan kehilangan wang dalam tiga tahun ini dengan jumlah tertinggi adalah Macau Scam dengan 17,870 kes membabitkan kerugian RM740 juta.

"Ia disusuli penipuan e-dagang yang meningkat ketara ketika pandemik dengan 21,871 kes dilaporkan, dengan jumlah kerugian RM204 juta.

"Kes PTW pula banyak menjadikan mereka yang terdesak dan amat perlukan wang sebagai mangsa, dengan 12,696 kes dilaporkan membabitkan RM138 juta.

"Kes pelaburan pula antaranya membabitkan tawaran pulangan sehingga 200 peratus dalam 24 jam. Ia tidak masuk akal namun tetap ada yang percaya dengan 7,241 kes dan kerugian RM155 juta, selain love scam yang mencatat 3,589 kes dengan kerugian RM155 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia (ICTSO) 2022 di sini, hari ini.

Madhavan memaklumkan masih ramai individu terperangkap dengan taktik penipuan itu meskipun sudah menyedari mengenai kewujudan jenayah berkenaan, termasuk dalam kalangan golongan profesional yang berpendidikan tinggi.

"Ada satu kes love scam membabitkan seorang doktor dengan kerugian RM1.3 juta. Ketika disiasat, beliau akui tahu bawa ada kes penipuan seumpamanya, namun tidak terfikir mengenainya ketika menjadi mangsa," katanya, memaklumkan PDRM sedang meningkatkan program kesedaran mengenai penipuan.

Madhavan meminta orang ramai untuk tidak terpedaya jika menerima panggilan mendakwa daripada PDRM, bank, pejabat pos atau mana-mana agensi yang meminta maklumat peribadi atau sejumlah wang.

"Agensi seperti polis dan lain-lain hanya akan hubungi jika mahu tetapkan janji temu. Jika anda ragu dengan panggilan bank pula, tamatkan panggilan dan hubungi semula atau pergi terus ke bank berkenaan untuk pengesahan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu kehilangan wang dalam akaun, Madhavan menjelaskan kebanyakan kes yang disiasat PDRM mendapati ia berpunca daripada kecuaian pengguna yang mendedahkan maklumat peribadi, sama ada secara sedar atau tidak.

"Daripada pengalaman kami apabila menyiasat mangsa, kes kehilangan wang dalam akaun berlaku kerana kecuaian mangsa yang mendedahkan maklumat peribadi ketika dihubungi penipu atau kaedah lain-lain.

"Dulu ketika ada banyak kes sebegini, PDRM adakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan putuskan supaya bank perkenal fungsi keselamatan yang lebih terperinci dan jumlah kes sebegini menurun.

"Namun, masih ada yang berlaku. Bila disiasat, memang kita dapati mangsa ada dedahkan maklumat peribadi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ramai tertipu taktik bayar wang pendahuluan sebelum pinjaman lulus

by

 


Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan sebarang bentuk pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan sebagai syarat merupakan satu penipuan.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, penipuan yang menggunakan taktik itu merekodkan ramai mangsa dan jumlah kerugian juga meningkat saban tahun.

“Sepanjang 2019, sebanyak 5,039 kes telah dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM48,428,531.93.

“Kes meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian RM62,397,559.35 pada 2020 manakala 4,784 kes dengan kerugian RM50,604,323.67 pula direkodkan pada 2021.

“Bagi 2022 sehingga April ini, sejumlah 903 kes telah dicatatkan membabitkan kerugian RM8,849,603.14,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, analisis pihaknya mendapati satu-satunya cara pihak sindiket mendapatkan wang mangsa adalah melalui bayaran pendahuluan yang kononnya perlu dibayar oleh mangsa sebelum pinjaman diluluskan.

“Pelbagai alasan digunakan untuk mendapatkan bayaran pendahuluan antaranya bayaran guaman, bayaran perjanjian, bayaran insurans, bayaran kenaikan kredit, Sistem Maklumat Rujukan Semakan Kredit (CCRIS)/bayaran CTOS, bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran pengaktifan akaun dan sebagainya.

“Hakikatnya, perkara itu adalah bertentangan dengan kaedah pinjaman wang yang tidak dipraktikkan oleh institusi perbankan atau syarikat pinjaman wang berlesen yang mana sebarang wang proses atau yuran yang perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati. Sebarang nasihat berkaitan jenayah komersial orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-2610 1599.

Sumber : Kosmo!

Macau Scam dikesan curi wang akaun Tabung Haji

by

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 65 kes kehilangan wang dalam akaun Tabung Haji membabitkan nilai RM3.59 juta berlaku dalam kalangan mangsa sindiket penipuan Macau Scam, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata kebiasaannya mangsa dihubungi melalui panggilan telefon oleh ahli sindiket Macau Scam yang menyamar.

"Mereka menakutkan mangsa dengan mendakwa terbabit dalam kegiatan jenayah, mempunyai tunggakan kad kredit dan sebagainya sebelum meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka.

"Terbaharu, sindiket Macau Scam ini dikesan berjaya membuat pengeluaran wang dari akaun Tabung Haji yang dipautkan dengan akaun bank komersial milik mangsa," katanya 

Jelas beliau, kemudahan fasiliti perbankan internet oleh Tabung Haji dan bank konvesional lain membolehkan perkara itu berlaku.

"Akibatnya, bukan sahaja wang di dalam bank komersial mereka hilang, malah wang dalam akaun Tabung Haji yang dipautkan bersama akaun bank itu turut hilang.

"Setakat ini, 65 kes sebegini dikesan membabitkan kerugian RM3.59 juta," katanya.

Katanya, walaupun orang ramai sudah terlalu kerap diingatkan agar jangan sesekali memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali, masih ramai yang menjadi mangsa penipuan .

"Justeru, pesanan sedemikian akan terus disampaikan dalam usaha mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

"Untuk mendapatkan sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Kes penipuan jualan barangan kemas secara online catat peningkatan

by

 

Sebanyak 37 laporan melibatkan kejadian penipuan penjualan barangan kemas tidak wujud secara online telah diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini melibatkan kerugian mencecah RM239,530.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah tersebut dilihat mencatatkan peningkatan berbanding 21 kes pada 2019 melibatkan kerugian RM148,444.20 dan 44 kes dengan kerugian RM261,945 pada 2020.

“Perkembangan teknologi dan komunikasi telah mewujudkan peluang perniagaan secara online dan akses yang mudah serta tanpa had khususnya dalam situasi negara yang berdepan penularan pandemik Covid-19 telah menjadikan platform e-dagang sebagai pilihan pengguna.

“Bagaimanapun, perkembangan ini (platform e-dagang) juga turut mewujudkan jenayah penipuan penjualan barangan tidak wujud,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, pihaknya telah mengambil langkah efektif serta berkesan bagi membanteras aktiviti berkenaan namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan dan orang ramai digesa untuk sentiasa berhati-hati juga berwaspada dalam urusan jual beli barang kemas secara online.

“Jangan mudah percaya dengan tawaran jualan barang kemas yang lebih murah daripada pasaran semasa terutamanya apabila tawaran tersebut dibuat oleh pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sentiasa membuat semakan ketulenan transaksi selain memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah yang diperakui.

“Orang awam boleh membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga boleh menghubungi CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/ 1599 jika mempunyai sebarang keraguan.

 

Tertipu urusan beli kenderaan Singapura

by

 

 

Hasrat seorang kontraktor di Pekan, Pahang hendak memiliki kenderaan terpakai dari Singapura lebur apabila ditipu penjual yang dikenali melalui laman Facebook.

Akibat daripada urusan jual beli berkenaan, mangsa kerugian RM14,412 selepas memasukkan wang ke dalam dua akaun bank dimiliki individu berlainan.

Kejadian bermula selepas lelaki berusia 53 tahun berkenaan terlihat iklan jualan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang ditawarkan dengan harga RM36,000 pada 3 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi suspek melalui nombor telefon yang tertera dalam iklan untuk memulakan urusan jual beli.

“Penjual tersebut meminta gambar kad pengenalan, lesen memandu, salinan sijil syarikat (SSM) serta penyata bank terkini bagi tujuan membuat pinjaman kenderaan.

“Suspek meminta RM2,500 sebagai deposit pembelian kenderaan. Pada 5 Oktober, mangsa membuat bayaran melalui mesin sebanyak RM6,100 ke dalam dua akaun berlainan,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau lagi, mangsa turut diminta memindahkan wang sebanyak RM5,812 sebagai bayaran cukai jalan serta RM2,500 untuk pendaftaran kenderaan secara sah di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Mohd. Wazir menambah, sesudah semua bayaran dibuat, suspek memaklumkan kenderaan tersebut akan dihantar menggunakan khidmat trak tunda.

“Suspek memberi nombor telefon pemandu trak tunda. Apabila dihubungi, pemandu trak tersebut memberi banyak alasan sehingga menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber : Kosmo!

Macau Scam hanya satu daripada banyak penipuan

by

 

 

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara

Kami berpendapat kes Macau Scam yang sedang disiasat sekarang oleh pihak SPRM harus mengingatkan semua pihak ini hanya satu kes scam (penipuan) yang berleluasa di negara ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 730 akaun bank membabitkan wang berjumlah RM80 juta, serta merampas wang tunai kira-kira RM5 juta kerana disyaki terbabit dalam sindiket Macau Scam.

Terlalu banyak peringatan melalui media mengenai kes penipuan yang diulang lapor mengenai mangsa dan tangkapan serta pendakwaan pelbagai kes membabitkan pelbagai skandal.

Malangnya, kes penipuan terus berlaku yang membabitkan jutaan ringgit. Penipuan akan sering dicuba oleh pelbagai pihak yang mahu meraih keuntungan lumayan.

Penipuan yang kerap berlaku ialah apabila nombor telefon pengguna sangat mudah diperoleh dan kemudian disalahguna untuk pelbagai sindiket.

Kes mengguna nombor telefon untuk mengugut juga menyebabkan ramai menjadi mangsa.

Berdasarkan statistik 2018, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), mendedahkan jumlah kerugian akibat penipuan jenayah itu meningkat 55.5 peratus seluruh negara berbanding 2017.

Peningkatan itu membabitkan kerugian melebihi RM224.6 juta dengan 4,965 kes direkodkan berbanding tahun sebelumnya, iaitu RM99.9 juta dengan 4,178 kes akibat penipuan Macau Scam.

Penipuan Macau Scam ini menjadi 'popular' sekarang dan jenayah tanpa sempadan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja

Penipuan yang mensasarkan pengguna itu berpunca dari orang awam masih tidak memahami pelbagai jenis dan strategi penipuan terutama dalam era perdagangan elektronik.

Pengguna perlu memahami modus operandi penjenayah yang menyamar sebagai pegawai daripada PDRM, mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi berkaitan dengan tujuan menakutkan mangsa.

Dalam masa yang sama tahap keupayaan pihak berkuasa untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang adalah juga faktor kenapa penipuan seperti Macau Scam kerap berlaku.

Mekanisme Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan Akta 778 yang dikuatkuasa pada Januari 2017 berkaitan mengawal selia aktiviti pengumpulan dana melalui tawaran kepentingan kepada awam perlu diperkukuhkan untuk memastikan penipuan dapat dibanteras.

Pengguna harus memaklumatkan diri untuk mengesan sama ada ada unsur pelanggaran Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 bila ada pihak yang memperkenalkan sesuatu skim.

Sikap yang kritikal terhadap sebarang tawaran pelaburan perlu diperhati dengan teliti kerana terlalu banyak kes pihak-pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna yang kurang peka dan mudah diperdaya dengan tawaran yang lumayan atau ugutan yang mengguna maklumat palsu.

Kami berpandangan sangat perlu semua pengguna tidak mudah terperangkap dengan skandal yang kini sangat agresif mencari mangsa.

Sindiket yang mahir mencuri maklumat diri mangsa seperti nombor kad pengenalan, akaun bank dan maklumat kenderaan , memungkinkan operasi yang licik memerangkap pengguna.

Kesedaran pengguna supaya mengelakkan diri daripada terpengaruh kepada tawaran atau ugutan perlu ditingkatkan.

Kini dalam era komunikasi yang sangat pantas dan mudah mensasarkan setiap pengguna, pelbagai pihak yang mengguna strategi yang sangat halus untuk memancing mangsa kerap berlaku.

Malangnya, kebiasaannya banyak pengguna menjadi mangsa walaupun sudah ada kes penipuan dilaporkan berkali-kali.

Dengan segala undang-undang yang ada dan ratusan individu yang didakwa di mahkamah, pengguna masih tidak berhati-hati malah ada yang turut menjadi ejen kepada sindiket yang beroperasi.

Kami mengesa pihak penguat kuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit jika jelas melanggar undang-undang yang sedia ada.

Sumber : Berita Harian

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90