Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label proklamasi darurat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label proklamasi darurat. Papar semua catatan

Proklamasi darurat perlu dibentang, dibahaskan di Parlimen - Majlis Peguam

by

 

Majlis Peguam Malaysia hari ini berkata, Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Presidennya, AG Kalidas, berkata Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa 'Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu'.

Beliau berkata, peranan Parlimen mendasari nilai-nilai yang diperlukan bagi fungsi demokrasi dan oleh itu, ia harus mematuhi standard integriti yang tinggi apabila melaksanakan tanggungjawabnya.

"Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh Kabinet, Ahli Parlimen dan Speaker Parlimen.

"Justeru, adalah mustahak untuk Kabinet menyalurkan maklumat tepat semasa sidang Parlimen bagi memastikan Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berkesan dan bermakna. Dalam apa keadaan sekali pun, Parlimen tidak boleh dikelirukan lebih-lebih lagi semasa pandemik global yang menjejaskan kehidupan semua orang di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat, sedangkan ia belum lagi diperkenan Baginda.

Katanya, Majlis Peguam berkongsi rasa amat dukacita Seri Paduka berhubung kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen semasa persidangan baru-baru ini. 

Sumber : BERNAMA

 

Agong perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat Parlimen Batu Sapi

by

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatalkan tarikh yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perisytiharan itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150.

Menurut Ahmad Fadil keputusan dicapai setelah baginda memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Dengan pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK itu.

“Maka dengan itu, Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara hari ini.

Menurut beliau, Baginda berpendapat wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” jelas Ahmad Fadil.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen itu, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Sumber : Kosmo!


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90