Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label rentas negeri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rentas negeri. Papar semua catatan

Boleh merentas negeri mulai 11 Oktober 2021 untuk individu lengkap vaksin

by

 

Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

"Bagaimanapun, data terkini akan dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini," katanya pada sidang media.

Serentak itu, katanya, Keluarga Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.

"Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat seperti saya sebutkan di peringkat awal tadi, kita terpaksa tegas dari segi soal rentas negeri ini. Seperti dijanjikan, mulai esok bolehlah rakyat Malaysia melakukan pergerakan rentas negeri.

"Saya percaya ramai tunggu pengumuman ini kerana terlalu ramai yang sudah terlalu rindu untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa, keluarga dan sebagainya. Jadi Keluarga Malaysia sudah bebas lakukan perjalanan pulang ke kampung.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas

kerjasama diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong

kempen imunisasi COVID-19," katanya sidang media khas, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.

"Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi dan persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

"Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak yang belum divaksin juga dibenarkan untuk menikmati kelonggaran rentas negeri walaupun belum menerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata, ia selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.

Selain itu, katanya, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.

"Kita lihat kepada purata keseluruhan di seluruh negara apabila capai 90 peratus. Ada negeri (kadar vaksinasi) yang lebih 100 peratus dan ada yang masih kurang.

"Bagaimanapun, tiada SOP baharu akan diperkenalkan (bagi negeri yang belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi).

"Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa merekalah yang sepatutnya tidak membawa mereka ke tempat perhimpunan ramai dan mereka boleh untuk rentas negeri," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Pastikan virus Covid-19 tak ikut balik kampung

by

 

“Jalani ujian air liur, pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung”. Itu antara peringatan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kepada rakyat Malaysia yang sudah tidak ‘sabar-sabar’ untuk merentas negeri sebaik sahaja kerajaan membenarkannya tidak lama lagi.

Pesanan itu dimuat naik menerusi ciapan Twitter beliau supaya rakyat Malaysia mengambil tindakan proaktif memastikan tidak membawa jangkitan Covid-19 kepada orang tersayang di kampung.

Sedikit masa lagi rakyat Malaysia akan dibenarkan merentas negeri untuk balik kampung dan melancong. Tetapi ingin diperingatkan agar kita ambil tindakan proaktif untuk jalani ujian air liur RTK Ag kendiri supaya kita dapat pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung,” menurut ciapan beliau.

Beliau turut membalas pertanyaan seorang individu yang menaip, “Asyik sikit masa lagi je. Berapa sikit lagi ni? Saya dah packing baju”.

Dr. Noor Hisyam berkata, rentas negeri akan dibenarkan apabila negara sudah mencapai 90 peratus populasi dewasa divaksinasi. Kita bergantung kepada maklumat data bukan tarikh. Terkini 88.4 peratus rakyat dewasa telah pun lengkap divaksinkan. Apabila kita mencapai 90 peratus rakyat dewasa lengkap divaksinkan maka merentas negeri akan dibenarkan.

Individu yang berada di kawasan berisiko tinggi terdedah jangkitan Covid-19 dinasihati menjalani ujian kendiri secara berkala sebelum bersedia balik kampung.

Ingatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu lebih-lebih lagi apabila pergerakan rentas negeri sudah hampir dibenarkan dengan 1.6 peratus sahaja diperlukan bagi kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Sumber : Kosmo!

Kebenaran rentas negeri diumum 3 minggu lagi

by

 

Kerajaan menjangkakan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan tiga minggu lagi.

Ia selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa diambil dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh itu.

Katanya, antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM ialah menggerakkan lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pendalaman.

Beliau berkata, ATM juga diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

"Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.

"Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

"SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan `dalam beberapa minggu lagi'.

Ismail Sabri dilaporkan berkata ini kerana sehingga Rabu lalu (22 September), 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.

"Insya-Allah, sabar. Tunggu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, disiplin orang ramai akan menjadi elemen paling penting apabila kebenarkan rentas negeri diberikan.

"Adalah mustahil untuk kerajaan pantau dan laksanakan SOP menjaga setiap rakyat yang diberi kebenaran merentas negeri.

"Sebab itu disiplin orang ramai amat penting apabila menikmati kelonggaran yang bakal diumumkan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Kes tidak turun, tiada rentas negeri

by

 

Ketetapan termasuklah untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ziarah sempena Aidilfitri pada tahun ini akan ditentukan selepas 28 April.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tempoh sekarang sehingga tarikh tersebut orang ramai perlu mengikut peraturan sedia ada.

“Saya sudah beritahu kita masih lagi hadkan rentas negeri kecuali ada keperluan. Bagi negeri yang terlibat dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) ke PKP boleh jika ‘travel bubble’ ada surat majikan juga kebenaran polis.

“Negeri di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan PKP tidak boleh kecuali mereka terpaksa. Pihak polis juga telah buat kenyataan tiga keadaan boleh dibenarkan rentas negeri termasuklah kematian, sakit tenat dan disebabkan pekerjaan.

“Jadi untuk dua minggu ini sehingga 28 April masih ikut peraturan sedia ada. Untuk 28 April hingga next two weeks atau one month itu kita tengok keadaan kedudukan kes,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Program Ketuhar Raya Wanita Umno Tenggara Bersama Kolej Komuniti Bandar Tenggara di Kolej Komuniti Bandar Tenggara, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita Umno Bahagian Tenggara, Datin Salasiah Idris; Adun Panti, Hahasrin Hashim; serta Pengarah Kolej Komuniti Bandar Tenggara, Khairul Anuar Ab Wahab.

Adham berkata, bagi gelombang kali ini kes telah melonjak dari 900 kes naik ke 1,000 lebih, 2,000 kemudian sehingga 3,000 kes dalam satu masa, namun hari ini kes menurun kepada 2,195 setelah dua hari merekodkan angka 2,551 dan 2,331 kes.

“Jadi kes sudah ‘spike’ dia akan turun balik. KKM cadangkan sekiranya kes tidak turun rentas negeri semasa raya Aidilfitri tidak dibenarkan. Bagaimanapun perkara ini akan dibawa ke MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk ditetapkan,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

KKM cadang rentas negeri sambut Aidilfitri ditangguh

by

 

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan merentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, ditangguhkan susulan situasi penularan COVID-19 masih membimbangkan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia berikutan rungutan dan rayuan pelbagai pihak supaya kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

"Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 28 April ini.

"Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan.

"Program vaksinasi (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku 'Malaysia Health Sector Response to COVID-19: Perspectives From The Field', di pejabatnya, hari ini.

Malaysia mencatat 1,889 jangkitan baharu COVID-19, semalam, meningkat berbanding 1,767 kes, kelmarin.

Ditanya kemungkinan mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 dibenarkan untuk merentas negeri pula, Dr Adham berkata, pihaknya masih menunggu dapatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebelum keputusan berkaitan dibuat.

"Kita masih menunggu dapatan itu untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikesan di beberapa lokasi bazar Ramadan seluruh negara.

Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius perkara itu dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan akan ditutup jika wujud kluster baharu yang dipercayai daripada aktiviti bazar.

"Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan melakukan siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan punca yang tepat. Mudah bagi kita mengesan punca atau tempat bermula jangkitan.

"Jika penganjur didapati tidak bertanggungjawab, kita tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun," katanya.

Mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun terhadap individu yang gagal mematuhi SOP, beliau berkata, lantikan bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu bertujuan memastikan tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah tinggi.

Berkuat kuasa semalam, KKM menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan bawah Akta 342, termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan. 

Sumber : BERNAMA

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90