Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label rtm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rtm. Papar semua catatan

Saluran Sukan RTM dilancar, Angkasapuri dinaik taraf ke Bandar Media

by


 

Bersempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75, sebuah stesen televisyen khusus untuk rancangan sukan dilancarkan iaitu saluran Sukan RTM.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan saluran sukan ini sekali gus dapat mencapai hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat melalui aktiviti sukan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Katanya lagi, ia juga membuka peluang kepada syarikat-syarikat penerbitan tempatan yang berpotensi untuk menghasilkan kandungan program sukan untuk RTM.

“Tidak kurang pentingnya juga ialah saluran ini dapat memainkan peranan sebagai agen perpaduan nasional menerusi semangat kesukanan.

“Promosi kesihatan rakyat melalui aktiviti sukan ini membolehkan golongan muda mengisi masa dengan perkara yang berfaedah,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mendedahkan kompleks penyiaran Angkasapuri kini sedang dinaik taraf kepada sebuah kompleks berkonsepkan Bandar Media atau Media City sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan standard penyiaran digital antarabangsa.

Beliau berkata, pembangunan projek ini mengambil contoh beberapa projek pembangunan Media City yang berjaya dilaksanakan di bandaraya seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); di Sydney, Australia dan di Manchester, United Kingdom.

“Projek pembangunan ini dilaksanakan secara kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta, dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan dapat menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras, dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

“Kompleks penyiaran Media City ini bukanlah semata-mata projek pembangunan fizikal malah juga merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran. Kerajaan berharap projek ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif serta membuka lebih banyak ruang dalam bidang penerbitan penyiaran,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bersempena ulang tahun ke-75 RTM, saluran TV1 dan TV2 akan disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) menerusi platform Astro.

“Siaran ini akan memastikan pengguna perkhidmatan satelit Astro boleh menonton saluran-saluran tersebut dalam HD serta menerima audio dan visual yang tepat dan jelas. Semoga kerjasama strategik di antara RTM dan Astro ini dapat memastikan siaran RTM menjadi lebih luas penerimaannya dalam kalangan penduduk Malaysia,” katanya.

Sumber : Utusan

 

RTM Umum Saluran TV5 ganti TVi

by


Menjelang pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya semua siaran televisyen tempatan percuma pada 1 Jun 2018, Jabatan Penyiaran Malaysia melancarkan stesen baharu dikenali sebagai TV5.

Saluran tersebut dipancarkan secara percuma dan digital yang beroperasi 24 jam itu memulakan siarannya pada 1 April 2017 sempena menyambut detik bersejarah ulang tahun penubuhan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-71.

Saluran itu sebenarnya merupakan penjenamaan semula kepada stesen asalnya dikenali sebagai TVi yang dilancarkan pada 10 April 2011 lalu.

Namun apa yang menariknya, TV5 juga dapat diterima secara percuma ke udara atau Free-To-Air dalam format Digital Video Broadcasting Second Generation Terrestrial (DVB T2) menerusi antena jenis tetulang ikan biasa.

Menggunakan slogan ‘Inspirasiku’, stesen ini juga dapat ditonton pelanggan perkhidmatan satelit berbayar Astro dan NJoi di saluran 109 selepas dipindahkan daripada asalnya 180, manakala menerusi MYTV pula di saluran 110.

TV5 dari segi sejarah bermula pada 2000 dengan nama RTMi sebagai siaran ujian untuk projek pendigitalan RTM, sekali gus menyaksikan semua stesen televisyen tidak lagi menggunakan frekuensi analog mulai tahun depan.

Ia pernah dijenamakan kepada Muzik Aktif pada 2009 sebelum TVi dua tahun kemudian. Melalui projek itu, TV1 dan TV2 juga bakal beralih kepada HD (High Definition) daripada SD (Standard Definition) mulai September ini.

Sumber memaklumkan bahawa, RTM turut dijangka memperkenalkan beberapa lagi saluran baharu berdasarkan kepada format tema tertentu apabila operasi gelombang analog dipadam sepenuhnya menjelang Jun tahun depan.

Difahamkan menerusi inisiatif projek pendigitalan penyiaran nasional, penonton di seluruh negara bakal menikmati sebanyak 80 saluran televisyen dan 40 saluran radio teresterial dengan kualiti digital.

RTM beralih kepada siaran TV digital sepenuhnya pada 2018

by

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyasarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) beralih kepada siaran televisyen (TV) digital sepenuhnya pada tahun 2018. Timbalan Menteri, Datuk Jailani Johari, berkata ketika ini, RTM sedang merangka beberapa program untuk tujuan peralihan itu.

"Pihak kementerian dalam program pendigitalan RTM, kita sedang merangka beberapa program terutama apabila kita merangka dari segi migrasi (beralih) analog kepada digital dengan sasaran pada sekitar tahun 2018. "Syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd yang dilantik telah melakukan siaran percubaan membabitkan kawasan-kawasan di pantai timur termasuk Sabah dan Sarawak.

Dengan ada pendigitalan ini, liputan (siaran televisyen) akan bertambah baik dan proses migrasi diharap dapat berjalan seperti tarikh yang ditetapkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai siaran televisyen digital berikutan siaran stesen televisyen berbayar Astro sering mengalami gangguan dan langkah kementerian bagi mengawal harga perkhidmatan syarikat penyiaran berbayar itu yang dilihat seolah-olah tiada kawalan sehingga membebankan pengguna.

MYTV adalah syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan 'Label Pengguna Alat Penerima DTTB' sebagai usaha melaksanakan penghijrahan sistem penyiaran nasional daripada analog kepada digital.

Mengenai caj yuran Astro, Jailani berkata, syarikat itu perlu memaklumkan cadangan kenaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana kali terakhir caj dinaikkan ialah pada 2014. Beliau berkata, pihak SKMM perlu menyiasat kewajaran cadangan kenaikan harga tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan mengikut seksyen 198 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Selepas itu, Menteri KKMM dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah seksyen 199 AKM 1998 bolehlah menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi kepentingan orang ramai," katanya. Ketika ini, katanya kadar yang dikenakan oleh Astro adalah serendah RM42.35 sebulan bagi pakej asas dan setinggi RM241.68 sebulan bagi pakej premium.

Di samping itu, katanya, Astro juga menawarkan pelan tanpa langganan yang dikenali sebagai NJOI bermula awal tahun lalu yang diperkenalkan bagi membolehkan pelanggan menikmati 22 saluran TV dan 20 stesen radio dengan hanya membayar RM328 pada permulaan tanpa bayaran bulanan. "Dengan julat yang luas dan kepelbagaian dalam pakej dan harga langganan, ia memberi peluang kepada pengguna untuk membuat penyesuaian berdasarkan kemampuan mereka untuk melanggan," katanya.

- BERNAMA


Norashikin Abdul Rahman - Setia walau berjauhan

by

Rumah tangga yang dibina tanpa adanya sifat saling percaya mempercayai di antara satu sama lain tidak akan membawa kepada kebahagiaan. Sebagai suami atau isteri, seseorang itu harus mempercayai pasangannya bagi mengelakkan timbulnya perselisihan faham.

Banyak perselisihan faham yang kecil boleh merebak menjadi hangat jika hati sentiasa dibakar dengan sikap cemburu.

Bagi suami atau isteri, jangan terlalu mengongkong pasangan kerana ini boleh menyebabkan timbulnya kebosanan dan muak dengan perangai pasangan.

Kadang-kadang pasangan kita memerlukan ruang untuk dirinya sendiri, begitu juga dengan diri kita. Justeru kita harus menghormati perasaan dan memahami pasangan kita.

Inilah pegangan dan prinsip yang diamalkan oleh pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman, 40, dan suaminya, Mustapha Kamal Halim, 48, yang bertugas sebagai seorang juruterbang dengan Etihad Airlines, Abu Dhabi.

Norashikin dan Mustapha Kamal cukup bersyukur kerana rumah tangga yang dibina selama 13 tahun tetap bahagia sehingga ke hari ini tanpa diuji dengan masalah atau perselisihan faham.

"Kami berkawan lama sebelum berkahwin iaitu lapan tahun tetapi hubungan kami tidaklah serius, setakat kawan biasa sahaja. Hubungan kami cuma rapat setahun sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga," ujar Norashikin yang ditemui di banglo yang baru tiga bulan didiami di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun pertemuan hari itu tidak dapat disertai oleh Mustapha Kamal kerana sehari sebelum itu beliau perlu kembali bertugas ke Abu Dhabi. Namun sebelum pertemuan tersebut, penulis sempat menitipkan beberapa soalan kepada beliau mengenai rumah tangganya.

Menurut Mustapha Kamal, baik dirinya mahupun Norashikin mempunyai perangai yang sama, iaitu amat memahami, tidak cemburu buta dan tidak mengongkong.

"Susah jika isteri yang terlalu cemburu dan mengongkong kerana kita tidak akan dapat bekerja dengan tenang dan fikiran akan terganggu lebih-lebih lagi bagi kami yang memang berjauhan kerana saya di Abu Dhabi dan isteri di sini.

"Saya benarkan dia bekerja kerana sekurang-kurangnya dia tidak bosan dengan ketiadaan saya. Dalam masa yang sama, saya tahu dia boleh menjaga diri sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak kami, Nur Amanda, 12, dan Adam Salleh, sembilan tahun," kata Mustapha Kamal yang telah enam tahun bertugas di Abu Dhabi.

Sementara itu, kata Norashikin yang juga bekas pramugari MAS, apabila berjauhan, sifat cemburu memang mengganggu fikirannya namun apabila difikirkan dengan waras, dia tidak mahu memperbesarkan perkara remeh-temeh yang boleh mencetuskan pergaduhan.

"Saya tidak suka berprasangka. Asalkan dia baik, tidak mengabaikan tanggungjawabnya dan melayan kami dengan baik, itu sudah cukup bagi saya. Saya tidak mahu benda-benda kecil diperbesarkan kerana ini boleh menjadi punca kepada keretakan rumah tangga.

"Masa mula-mula dia pindah ke sana dulu, terasa susah juga hendak menyesuaikan diri tanpa suami. Namun setelah enam bulan segalanya kembali seperti biasa.

"Bila tidak bertugas, saya sendiri akan menghantar anak-anak ke sekolah di Sekolah Sri Tenby, Setia Alam dan jika ada masa lapang di waktu pagi, saya akan berjogging di kawasan rumah," jelas wanita yang tinggi lampai dan masih jelita ini.

Selain bertugas secara sambilan sebagai pembaca berita, Norashikin turut aktif sebagai pengacara di majlis-majlis.

- Utusan 19 November 2011

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90