Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label sekolah buka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sekolah buka. Papar semua catatan

Pelajar sekolah menengah PdPR 2 minggu mulai 21 Mac 2022

by

 

Pelajar sekolah menengah akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu mulai 21 Mac ini bagi Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pelajar terbabit kemudian akan menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran di sekolah, mulai 4 April depan.

"Pelajar berkenaan meliputi murid berkeperluan khas (MBK), peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa setara," katanya melalui rakaman video dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

Seterusnya bagi sekolah rendah yang mempunyai kapasiti melebihi 600 pelajar, Radzi berkata, hanya murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima perlu hadir ke sekolah secara penggiliran.

Bagi MBK, penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Enam pula, beliau berkata, pelajar perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Ketetapan ini turut diguna pakai di sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah bawah KPM.

"Bagaimanapun, sekolah swasta yang mempunyai enrolmen melebihi 600 pelajar, boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya.

"Bagi sekolah rendah yang mempunyai kurang daripada 600 murid, semua pelajar sama ada di sekolah harian atau swasta, akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya menggalakkan semua pelajar sama ada sekolah rendah atau menengah, untuk memakai pakaian seragam apabila hadir ke sekolah nanti.

"Namun, kita sedar ada anak-anak kita yang pakaiannya (seragam sekolah) sudah tidak sesuai. Oleh itu untuk pelajar ini, kita membenarkan mereka hadir ke sekolah dengan pakaian sopan dan sesuai," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran pelajar ke sekolah, Radzi menjelaskan sebagaimana dilaksanakan sebelum ini, sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

"Namun, ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah, perlu memaklumkan hal itu kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod," katanya.

Seterusnya, Radzi memaklumkan, sebanyak 10 peratus daripada murid sekolah rendah akan menjalani ujian kendiri COVID-19 di rumah.

"Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan kit ujian berkenaan dan murid terbabit perlu melakukannya di rumah serta melaporkan keputusan ujian itu kepada pihak sekolah.

"Kita sudah melaksanakan pendekatan ini pada penggal sebelum ini. Kita akan menggunakan pendekatan sama apabila penggal persekolahan baharu bermula nanti," katanya.

Radzi menjelaskan, pengoperasian sekolah kali ini lebih terbuka dan dapat dilihat hampir keseluruhan pelajar akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Bagaimanapun, beliau berkata, KPM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tarikh sesuai untuk semua pelajar hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Apa yang penting, ketika sesi pembukaan sekolah nanti, KPM berharap ibu bapa, pelajar, guru dan seluruh warga pendidikan ini dapat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sama-samalah kita memastikan sesi persekolahan ini dapat berlangsung dengan selamat serta teratur dan anak-anak kita dapat datang ke sekolah secara bersemuka, seperti sebelum ini," katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

 

Sekolah negeri Fasa 4 PPN akan terima pelajar mulai 3 Oktober 2021

by

 

Sekolah dan seluruh ekosistem pendidikan negeri yang memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah bersedia menerima kehadiran pelajar masing-masing, menjelang sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pada ketika ini sekolah di Langkawi, Labuan dan Negeri Sembilan akan mengikut pengoperasian sekolah Fasa Empat PPN.

"Meskipun kemasukan pertama ini untuk kelas peperiksaan tapi ia akan diikuti murid-murid lain di sekolah rendah juga.

"Jadi, penekanan perlu diberikan supaya persiapan dan persediaan lebih awal dapat dilakukan, walaupun secara umumnya ketika sekolah dibuka pada Fasa Empat ini, hanya ke sekolah adalah pelajar peperiksaan bagi sekolah menengah," katanya dalam kenyataan.

Radzi berkata, pengoperasian sekolah di Langkawi adalah mengikut negeri dalam Fasa Empat PPN dan daerah itu kini berada di bawah pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan yang bermula 16 September lalu.

"Selain Langkawi, Labuan dan Negeri Sembilan akan memulakan sesi persekolahan, maka persediaan itu perlu dibuat dengan rapi," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Pulau Tuba, Langkawi bagi meninjau persiapan dan persediaan sekolah sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula pada Ahad, minggu depan.

Pada lawatan itu, empat sekolah sempat dilawatinya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak, SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior.

Razdi berkata, hasil lawatan itu beberapa perkara boleh ditambah baik terutama dalam konteks pengudaraan di bilik darjah dan bilik khas.

"Misalnya poster dan langsir yang digantung perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan di setiap bilik yang akan digunakan murid ini berada pada tahap terbaik.

"Seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam konteks varian Delta, perkara paling penting adalah pengudaraan bukan saja dalam bilik darjah, tetapi juga membabitkan bilik khas, pejabat dan seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan ada pengudaraan yang baik seterusnya berupaya mengurangkan risiko jangkitan, terutama varian Delta," katanya.

Selain itu, beliau turut meninjau kemudahan asrama bagi memastikan segala panduan yang sudah diberikan dipatuhi dengan baik.

Menjelaskan lebih lanjut, Radzi berkata, persediaan rapi itu perlu dilakukan berikutan sesi persekolahan bersemuka juga akan membabitkan murid berkeperluan khas dan juga murid prasekolah.

"Justeru secara keseluruhannya, seluruh ekosistem di negeri yang menggunakan ketetapan Fasa 4 ini perlu bersedia sepenuhnya sebelum sekolah dibuka," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sesi persekolahan Tahun Satu, Tahun Dua bermula 1 Mac 2021

by

 

Segala persiapan telah diatur bagi menyambut kehadiran murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di sekolah rendah seluruh negara hari ini, selepas ditutup berikutan pandemik COVID-19.

Bagi murid yang belum mempunyai pakaian seragam, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan mereka memakai pakaian biasa ke sekolah dan kebenaran itu diberikan sehingga 26 Mac ini (apabila cuti penggal pertama bermula).

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lepas, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).

Tidak mengambil mudah aspek SOP, KPM mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.

Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri-negeri lain.

Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.

Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak ditangguhkan sehingga 14 Mac disebabkan situasi semasa COVID-19 di kawasan itu.

Walaupun keadaan pandemik COVID-19 masih belum reda di Malaysia dan terdapat juga beberapa negeri yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembukaan semula sekolah dilihat perlu.

Ia bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam persekitaran yang selamat bagi memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran. 

Sumber : BERNAMA

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90