Memikirkan risiko tinggi dijangkiti COVID-19, pastinya wanita hamil
dan yang menyusukan anak mahu mengambil suntikan vaksin sebagai perisai
diri daripada ancaman pandemik itu.
Bagaimanapun, terdapat kekeliruan kerana ramai menyangka mereka
dilarang terus daripada mengambil imunisasi itu kerana dikhuatiri
mendatangkan kesan sampingan terhadap diri mereka, kandungan dan anak
yang sedang menyusu.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham
Abdullah, berkata yang sebenarnya, buat sementara waktu golongan itu
tidak disyorkan mengambil suntikan itu kerana ketiadaan data yang
mencukupi.
"Tanpa mengira trimester kandungan, mereka tidak disyorkan mengambilnya setakat ini," katanya ringkas ketika dihubungi.
Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam ruangan
soalan lazim yang dikemas kini mengenai vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech
dikenali sebagai COMIRNATY, wanita hamil dan yang menyusukan anak
diminta berhubung dengan doktor masing-masing untuk mengenal pasti jika
mereka penerima yang sesuai bagi vaksin itu.
"Ujian klinikal Vaksin COMIRNATY tidak melibatkan wanita yang hamil atau sedang menyusukan anak.
"Memandangkan tiada data keberkesanan dan keselamatan penggunaan
vaksin ini bagi populasi itu, pengesyoran tidak dapat dibuat sehingga
maklumat terkini diperoleh," menurut NPRA.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr
Ashar Abdullah pula berkata bagaimanapun, jika mereka petugas barisan
hadapan, mereka sepatutnya diberikan vaksinasi memandangkan mereka
berdepan risiko yang lebih tinggi dijangkiti COVID-19.
"Buat masa ini, yang menjadi masalah ialah tiada data yang cukup
untuk menyokong vaksinasi rutin kepada wanita hamil dan yang menyusukan
anak. Namun dari apa yang saya tahu, tiada risiko tambahan untuk
golongan ini, sama seperti orang lain," katanya.
Beliau berkata bagaimanapun, saranan itu hanya untuk menangguhkan
pengambilan suntikan vaksin sehingga data mencukupi diperoleh dan bukan
bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung.
Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Perubatan Mikrobiologi,
Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib, berkata
keperluan untuk petugas barisan hadapan yang mengandung untuk mengambil
vaksin adalah tinggi tetapi bergantung kepada tempoh kandungan.
Bagaimanapun, pengambilan suntikan untuk petugas barisan hadapan yang
hamil tetap perlu membabitkan persetujuan, perbincangan dan rujukan
kepada data serta fakta.
"Untuk ibu mengandung yang lain, perbezaan dari segi tempoh kandungan
sama ada trimester pertama, kedua atau ketiga juga diambil kira untuk
menetapkan waktu yang sesuai untuk pengambilan vaksin.
"Perbincangan bersama pakar yang terbabit seperti ahli neonatologi,
pakar sakit puan serta hospital ibu dan anak tentang keperluan
pengambilan vaksin perlu dari segi keselamatan dan risiko setiap seorang
kerana faktor kesihatan seseorang dan pekerjaan mungkin berbeza,"
katanya.
Niazlin berkata, sekiranya seorang ibu hamil itu tidak mempunyai
risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19, misalnya tinggal
di kawasan zon hijau dan keluarga tidak bekerja sebagai petugas barisan
hadapan, keperluan untuk vaksin lebih rendah serta boleh menunggu
sehingga persetujuan atau garis panduan dikeluarkan.
Katanya, garis panduan pengambilan vaksin yang dibina akan berubah
mengikut aliran bukti-bukti keselamatan, keberkesanan dan kepentingan
pengambilan berdasarkan risiko seseorang terhadap jangkitan COVID-19.
"Beberapa pertubuhan kesihatan di dunia juga telah menyemak semula
kepentingan vaksinasi dalam kalangan mereka kerana mereka dianggap
antara yang berisiko apabila menghidapi COVID-19," katanya.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr
Zainal Ariffin Omar juga berpendapat meskipun pengambilan vaksin itu
tidak disyorkan kepada golongan itu, beliau menyarankan agar mereka
mendapatkan pandangan pakar terlebih dahulu dan tidak membuat tafsiran
sendiri.
"Ibu mengandung secara umumnya tidak boleh ambil tetapi ada pakar
berpendapat kalau pada trimester ketiga vaksin boleh diambil kerana
pembentukan bayi sudah lengkap. Sebab itu, apa jua ubat kita tidak beri
ketika tiga bulan pertama.
"Sebab itu kita tidak boleh samakan semua yang mengandung. Lebih baik
berbincang dengan doktor bagi mendapatkan kepastian, itu lebih baik,"
katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Pfizer memulakan ujian
klinikal vaksin COVID-19 itu di Amerika Syarikat baru-baru ini ke atas
4,000 ibu mengandung bagi menguji keselamatan dan keberkesanannya.
Sumber : BERNAMA