Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label vaksin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label vaksin. Papar semua catatan

Vaksinasi kanak-kanak mulai 3 Februari 2022

by

 

Pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) akan dilaksanakan bermula pada 3 Februari 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak layak menerima vaksin jenis Comirnaty10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari ini melalui PICKids.

"Penghantaran pertama akan tiba pada 28 Januari 2022 dari Belgium dan vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sebagai permulaan pemberian vaksin akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan.

"Pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan pula di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi seterusnya diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

"KKM juga bekerjasama dengan agensi pemegang taruh lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 484,639 kanak-kanak sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksinasi.

"Melalui MySejahtera, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta waktu vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

"Saya ingin mengumumkan Sistem Tempahan Janji Temu melalui aplikasi MySejahtera dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu," katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

 

Ambil dos penggalak sebagai kesiapsiagaan sambut Aidilfitri

by

 

Orang ramai disaran segera mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 sebagai perlindungan diri dan keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah tersebut sebagai satu daripada usaha bagi umat Islam menyambut Hari Raya pada Mei ini.

"Sila dapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk perlindungan diri dan keluarga.

"Ia sebagai satu usaha bersama kesiapsiagaan menyambut Hari Raya nanti, InsyaAllah," menerusi ciapannya di Twitter.

Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak 24 Februari tahun lalu, menyaksikan Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan ketika bencana membabitkan tiga jenis vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun tahun lalu pula memperuntukkan kelulusan sama kepada CanSino dan Johnson & Johnson (J&J), masing-masing jenis satu dos suntikan lengkap.

Vaksin J&J yang mendapat 'lampu hijau' pada 15 Jun lalu diperoleh kerajaan melalui pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX dan berdasarkan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara perbandingan, vaksin J&J atau Janssen yang diluluskan baru-baru ini adalah menerusi perolehan daripada pengilang di Belgium.

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti kesakitan otot, demam atau sakit kepala.

Namun, keadaan tersebut bukanlah satu petanda yang buruk.

"Sedikit ketidakselesaan untuk hasil yang lebih baik, InsyaAllah," katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 19 kes kematian akibat COVID-19 sehingga 7.48 pagi tadi dengan menjadikan jumlah keseluruhan kematian berpunca daripada pandemik itu meningkat kepada 31,781 orang.

Daripada jumlah itu, 31.6 peratus atau enam pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Sumber dari Berita Harian

 

Vaksin CanSino untuk 6 negeri kadar vaksinasi rendah

by

 

Vaksin CanSino dari China akan digunakan untuk meningkatkan kadar pemberian pelalian itu di enam negeri yang merekodkan kadar vaksinasi rendah iaitu kurang 50 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya sudah melakukan pembelian 3.5 juta dos vaksin Cansino yang akan melalui proses pengisian dan pembotolan serta proses berkaitan lain sebelum penghantaran ke enam negeri terbabit dilakukan secara berperingkat.

"Kita rasa bangga kerajaan botolkan vaksin CanSino di sini. Kita akan hantar ke negeri-negeri yang ketika ini masih belum mencapai kadar vaksinasi 50 peratus penduduk dewasa.

"Kita beli dengan CanSino (Biologics Inc) sebanyak 3.5 juta, 'fill and finish' (pengisian dan pembotolan) kita buat tiga juta dos. Sebanyak 500,000 dos 'fill and finish' daripada syarikat pembekal CanSino di China. 

"Baki vaksin akan yang akan dibekalkan secara pukal bakal sampai 10 Ogos depan, membabitkan kumpulan terakhir untuk ujian stabiliti oleh NPRA. Selepas 40 hari sudah boleh buat 'fill and finish'.

"Kita sudah menerima 200,000 dos dan telah dihantar ke Sabah dan beberapa negeri lain yang mana kita perlu capai imuniti kelompok iaitu 50 peratus sehingga September ini. Pada September, kita akan terima lagi 300,000 dos daripada CanSino," kata pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Solution Biologics Group Sdn Bhd, kemudahan pembuatan dan pengilangan vaksin Cansino di Taman Teknologi Malaysia, hari ini.

Ia lawatan sulung Dr Adham selepas dilantik menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir, timbalannya, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu enam negeri yang kadar vaksinasinya rendah, mencapai lebih 50 peratus suntikan menjelang hujung bulan depan, iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan kementeriannya dalam proses akhir penyediaan pelan jangka panjang vaksin yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Mungkin satu atau dua bulan lagi kerana sekarang kita di peringkat akhir," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Wanita hamil boleh dapat vaksin tanpa temu janji MySejahtera

by

 


Wanita hamil boleh mendapatkan temu janji vaksin melalui klinik kesihatan ibu dan anak, tanpa perlu berbuat demikian menerusi aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata arahan serta garis panduan daripada beberapa pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) sudah sedia diperoleh bagi proses vaksinasi ibu mengandung, termasuk penetapan mengenai usia kehamilan di antara tempoh 14 hingga 33 minggu.

Justeru, katanya, golongan terbabit, setakat ini, tidak dimasukkan sebagai golongan yang layak menerima pelalian secara tanpa temu janji (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Panggilan vaksin bagi ibu mengandung adalah di bawah urusan klinik kesihatan ibu dan anak. Mereka boleh mendapatkan temu janji suntikan melalui premis kesihatan ini dan akan dirujuk ke PPV untuk menerima vaksinasi.

"Mereka tidak perlu melalui temu janji di aplikasi MySejahtera dan kaedah ini sebenarnya lebih cepat berbanding 'walk-in'," katanya mengulas cadangan supaya wanita hamil dibenarkan 'walk-in' untuk vaksinasi.

Dr Noor Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan yang mungkin timbul dalam kalangan ibu mengandung susulan kematian penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 36, hari ini akibat COVID-19 ketika sarat mengandungkan anak keempat.

Difahamkan, Siti Sarah ketika hayatnya masih belum mendapatkan pelalian vaksinasi COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan untuk memasukkan golongan ibu mengandung sebagai penerima vaksin secara 'walk-in', namun mungkin hanya akan dilaksanakan selepas urusan vaksinasi warga emas dan golongan komorbid selesai.

Beliau yang ditemui selepas meninjau PPV Dewan Merdeka Lenggong, berkata buat masa ini, vaksinasi secara 'walk-in' masih ditumpukan kepada kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan golongan komorbid.

Mengulas lanjut mengenai kemudahan buat wanita hamil, Dr Noor Azmi berkata, seramai 400 daripada lebih 450 ibu mengandung di daerah Hulu Perak, sudah menerima vaksin. 

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Sudu melekat di lengan bukan kerana vaksin

by

 

 

Fenomena garpu dan sudu besi boleh melekat di bahagian lengan tiada kaitan dengan dakwaan wujud medan magnet selepas suntikan vaksin.

Pengasas laman web pendidikan dikenali sebagai AJAR, Muhammad Haziq Abd. Rahim berkata, ia bukanlah sesuatu yang ganjil dan boleh dijelaskan menggunakan sistem tuas mudah yang lazimnya diajar dalam mata pelajaran Sains pada peringkat sekolah.

“Ia berlaku akibat graviti dan daya geseran yang terhasil antara garpu dan permukaan lengan selain bentuk melengkung pada garpu turut bertindak seperti fulkrum iaitu satu titik tetap yang menghalang garpu daripada terjatuh,” katanya dalam hantaran di laman Facebook AJAR hari ini.

Graduan University of Sheffield, United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal itu berkata, situasi serupa turut berlaku kepada sudu plastik dan ia tidak akan berjaya jika sudu atau garpu yang digunakan dipatahkan pemegangnya.

Perkongsian dalam bentuk video berdurasi 3 minit 18 saat itu tular dalam kalangan pengguna media sosial dan dikongsi lebih 3,700 kali serta mendapat lebih 1,000 komen.

“Saya belum ambil suntikan vaksin. Letak sudu pada lengan memang melekat juga,” komen pemilik akaun Facebook bernama Nu Ha.

“Saya juga belum vaksin. Senduk dan sudip pun melekat. Bukan sudu sahaja,” balas Wan Nur Farahiyani.

“Kalau betul ada daya tarikan magnet, boleh guna magnet lain untuk lekatkan pada badan untuk tengok kutub magnet yang kononnya wujud di dalam vaksin,” ulas Mat Apit.

“Macam-macam mereka ini. Terima kasih akhirnya ada penjelasan mudah mengenai perkara ini. Tidak pandai hendak jelaskan seperti tuan walaupun sudah tahu ia bukan disebabkan daya magnet,” ujar Apool Smith.

“Kasihan cikgu, terpaksa buat eksperimen mudah untuk menjawab tuduhan puak antivaksin,” komen Muzahfar Akmal Nurazlan. 

Sumber : Kosmo!

Kelonggaran jika liputan vaksin 40 peratus

by

 

Kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah mendapat pelalian lengkap wajar diberikan selepas tahap liputan vaksin mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, berkata keputusan mempertimbang kelonggaran dan pengecualian pergerakan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Katanya, hal itu kerana keadaan semasa di negara lain seperti Israel dan Kesatuan Eropah yang memperuntuk kelonggaran sama menyaksikan mereka berdepan dengan peningkatan semula kes COVID-19.

"Kita kena ambil iktibar negara lain yang walaupun sudah mencatatkan liputan vaksin secara meluas, mereka kini meneliti kembali keputusan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kerana dikatakan diberi terlampau awal.

"Kerajaan dan KKM kini mengambil pendekatan berhati-hati, dengan membincangkannya pada peringkat tertinggi mengenai apa bentuk kelebihan yang boleh diberikan kepada individu sudah divaksin.

"Tetapi, kelonggaran seperti ini perlu ada prasyarat. Antaranya liputan vaksin perlu mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus," katanya pada sidang media.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dilaporkan berkata kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19 secara lengkap akan diumumkan, sama ada hari ini atau esok.

Kelonggaran itu meliputi pergerakan rentas negeri atau daerah, ziarah keluarga dan pasangan jarak jauh, selain membabitkan sektor sosial makan di premis perniagaan.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan kegusaran dalam kalangan pakar kesihatan awam dan epidemiologi yang berpendapat peningkatan kadar jangkitan semasa, mencecah 20,000 kes bakal mengundang risiko gelombang penularan baharu, sekiranya kelonggaran sedemikian diberikan.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, sebanyak 34.2 peratus daripada individu dewasa di seluruh negara sudah mendapat suntikan pelalian lengkap, manakala dari segi perbandingan jumlah penduduk, hanya 24.5 peratus.

Mengakui asas di sebalik kebimbangan itu, Dr Hishamshah berkata, pematuhan SOP perlu terus diamalkan walaupun liputan vaksin mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, sejak kebelakangan ini.

"Ini kerana varian membimbangkan (VOC) sekarang seperti Delta lebih mudah menular. Kita masih kena jaga SOP, dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, tidak berkumpul dalam jumlah ramai," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Vaksin Moderna diberi kelulusan bersyarat - KKM

by

 

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberikan kelulusan bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi vaksin COVID-19, jenis Moderna di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata kelulusan pendaftaran bersyarat berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat PBKD kali ke-362 yang bersidang, hari ini.

Katanya, kelulusan sedemikian memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat berbanding risiko bagi produk-produk vaksin kekal positif.

"KKM juga sentiasa komited dalam meningkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelulusan bersyarat dikeluarkan PBKD untuk menggunakan pelalian jenis Moderna, sekali gus menyaksikan ia vaksin kelapan yang diiktiraf di Malaysia dan dimasukkan dalam portfolio Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Vaksin Moderna atau Spikevax 0.2 miligram bagi setiap mililiter, menggunakan teknologi mRNA ini dari pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

Tujuh vaksin yang diberikan kelulusan sama sebelum ini ialah Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, CanSino dan Sinopharm, selain dua pelalian jenis Johnson & Johnson (J&J) masing-masing menerusi pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX serta pengilang dari Belgium.

Sumber : Berita Harian

 

 

Lapor polis jika terima suntikan kosong

by

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta penerima vaksin yang mengesyaki menerima suntikan kosong vaksin COVID-19 tampil membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya akan membuka kertas inkuiri bagi menyiasat aduan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, PDRM masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima vaksin COVID-19.

"Bagi penerima vaksin yang merasa diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin, mereka boleh membuat ujian 'COVID Neutralizing Antibody Test' di makmal perubatan yang berlesen.

"Ujian ini boleh dibuat sebulan (30 hari) selepas menerima suntikan dos kedua iaitu mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata orang ramai juga boleh membuat laporan polis bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian (online) atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Bagi kes ini siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

"Sehingga kini PDRM masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya," katanya.

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90