Jangan lupa kekejaman komunis dan Chin Peng
Jika ditanya kepada penduduk negara ini terutama yang tinggal di kampung-kampung berhampiran sempadan Thailand sekitar 60-an dan 70-an, mereka tentunya belum lupa pada kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM).
Di beberapa kawasan di Kedah seperti pekan kecil Padang Sanai, Pedu, Nami, Gubir, Belantik dan Baling, ketakutan terhadap gerila komunis dirasai hingga ke akhir tahun 80-an.
Ketika itu nama Chin Peng dan Rashid Maidin sentiasa meniti dari bibir ke bibir penduduk.
Bukan kerana mereka mengagung-agungkan kedua-duanya atau terlalu menghormati bekas Setiausaha Agung PKM itu, tetapi disebabkan gerun dengan imej kejamnya.
Nama Chin Peng dan komunis menimbulkan perasaan gerun di kalangan penduduk hingga ada yang sanggup meninggalkan ladang dan huma.
Disebabkan kegiatan komunis itu, penduduk tinggal dalam ketakutan. Ada yang terpaksa mengabaikan kebun getah dan dusun kerana sering diganggu oleh pengganas komunis pimpinan Chin Peng.
Itu belum dikira harta benda terutama tanaman yang dirosak dan dimusnahkan kerana penduduk enggan bekerjasama dengan kegiatan mereka.
Bagi penduduk Kedah terutama yang tinggal di daerah Sik, Padang Terap dan Baling, mereka tentu tidak dapat melupakan serang hendap oleh komunis terhadap pasukan keselamatan di Gubir yang mengorbankan banyak nyawa.
Cerita-cerita ngeri mengenai anggota pasukan keselamatan yang terkorban kerana bertempur dengan pengganas komunis ini sering dipertuturkan.
Ini semua merupakan imej ganas dan kejam PKM pimpinan Chin Peng yang kesannya masih dirasai hingga ke hari ini terutama oleh mereka yang terlibat secara langsung.
Jangan pula kita lupa bahawa ramai anggota tentera dan polis kita terbunuh ketika bertugas mengawal negara daripada ancaman komunis .
Itu belum kira mereka yang cacat seumur hidup seperti putus kaki dan tangan, buta, hilang ingatan dan sebagainya akibat terkena jerangkap samar pihak komunis.
Malah ada antara bekas anggota keselamatan yang berkorban jiwa dan raga mempertahankan negara dari ancaman komunis pimpinan Chin Peng ini, kini hidup terlantar dan terbiar.
Sesetengahnya pula yang cacat seumur hidup terus menderita kerana tidak mendapat pembelaan daripada sesiapa. Termasuk daripada parti-parti politik yang kini cuba tampil menjadi hero untuk membela nasib Chin Peng.
Ini adalah fakta sejarah. Sebab itu sebarang keputusan untuk membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini perlu mengambil kira aspek sejarah ini.
Walaupun dia dilihat sebagai tidak lagi mengancam keselamatan negara, namun perbuatan lampaunya masih dirasai.
Memang ideologi komunis di seluruh dunia kini telah berubah. Namun ramai juga bekas pemimpin komunis di seluruh dunia yang dihukum kerana jenayah perang. Ada yang dijatuhkan hukuman mati macam Pol Pot di Kemboja.
Chin Peng juga banyak melakukan jenayah dan banyak berdosa kepada rakyat negara ini. Sehingga kini dia terlepas daripada berdepan dengan hukuman walaupun terlibat dengan segala tindakan kejam sewaktu menjadi pemimpin PKM.
Sebab itu apabila mahkamah pada 30 April lalu menolak permohonannya untuk kembali dan menetap di negara ini, ia tentunya dibuat setelah mengambil kira kesan jika bekas Setiausaha Agung PKM dibenarkan kembali.
Mungkin ada yang bersimpati dengan nasib Chin Peng yang kini sudah berusia 85 tahun dan ingin kembali ke Malaysia.
Tetapi bagaimana pula sensitiviti dan sentimen mereka yang pernah menjadi mangsanya dan kini masih hidup?
Kenapa tidak diambil kira perasaan hampir 2,000 bekas anggota tentera yang cacat dan masih hidup serta keluarga mereka masih menanggung trauma akibat pertempuran dengan komunis dahulu?
Adakah nyawa kira-kira 5,000 anggota keselamatan yang gugur ketika ketika mempertahankan negara daripada ancaman komunis pimpinan Chin Peng itu tidak ada nilai apabila hari ini tiba-tiba kita mahu memberi layanan istimewa kepadanya?
Persoalan-persoalan sensitif ini perlu dijawab sebelum sebarang cadangan memberi layanan istimewa kepada Chin Peng dikemukakan.
Lagi pula aktiviti komunisme di negara ini meninggalkan pelbagai kisah duka dan sedih selain dendam yang mendalam.
Sepatutnya Chin Peng diheret ke mahkamah dan dibicarakan atas segala keganasan dan pembunuhan yang dilakukannya. Layanan ke atasnya perlu sama seperti Pol Pot dan ramai lagi pemimpin Khmer Rouge yang kini dibicarakan oleh tribunal antarabangsa di Kemboja.
Meminjam soalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani: "Apa faedahnya kepulangan Chin Peng kepada negara?"
bukan tahun 60an dan 70an saja...saya terlibat secara langsung dengan peperanagan diantara komunis dan askar kita di kampung saya..kampung legong....ramai askar terkorban...yang paling menyayat hati seorang ibu dalam pantang ditembak di kepala dengan anak kecil di sebelahnya....saya tengok banyak darah...saya berlari dicelahan peluru....saya berlindung di sebalik kubu yang kami bina sendiri...bagi mereka yang sokong dengan cheng peng, sila jumpa saya dulu...saya nak hadiah penerajang 18 das...untuk sedikit kisah saya ketika zaman getir tersebut sila lawat http://jasasikin.blogspot.com/2009/01/terkenang-kisah-dulu-2-ancaman-parti.html