Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA)
Proses meroboh Stadium Shah Alam bermula semalam, menandakan bermulanya pembangunan projek Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang merangkumi pembinaan tiga fasa sehingga 2029.
KSSA akan menjadi satu-satunya pusat bersepadu gaya hidup baharu dengan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung yang memenuhi aspirasi serta keperluan seisi keluarga serta masyarakat pelbagai peringkat usia.
Seharusnya, banyak perhatian terarah kepada pembangunan Stadium Shah Alam yang kali terakhir digunakan pada 2018 dan bakal berubah wajah menjadi gelanggang bertaraf dunia apabila siap pada akhir 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Ts Saipolyazan M Yusop, berkongsi pandangan mengenai beberapa fokus utama pembangunan KSSA.
Pembangunan Stadium Shah Alam
"Ada yang mempersoal mengapa stadium ikonik yang disiapkan pada 16 Julai 1994 itu tidak dibaik pulih sahaja. Hakikatnya, keadaan dan kerosakan dialami mewajarkan ia dibangunkan semula berbanding dibaik pulih. Kajian terhadap stadium dengan kapasiti 80,372 penonton itu mendapati lebih ideal dibina baharu dengan dilengkapi pusat latihan, kemudahan sukan dan disokong dengan pembinaan hotel, pusat beli-belah serta pejabat.
Ia akan menjadi arena sukan, rekreasi dan komersial bertaraf dunia dan moden di Shah Alam, bersekali pembangunan hab pengangkutan dan ruang niaga komersial.
Pembangunan KSSA adalah penyelesaian terbaik kerana lebih efektif dari segi kos. Banjir melanda Shah Alam pada Disember 2021 yang menenggelamkan bilik elektronik menjadi kemuncak kerosakan stadium yang tidak boleh diperbaiki.
Stadium baharu kelak boleh memuatkan antara 40,000 hingga 45,000 penonton - angka yang lebih ideal dengan perkembangan semasa. Istimewanya, ia berbumbung, berhawa dingin dan setiap tempat duduk mempunyai pemanas dengan suhu selesa."
Kemudahan dipertingkat
"Pembinaan kemudahan dalam dan luar stadium tertutup dengan tempat duduk selesa, sistem bunyi dan pencahayaan lebih baik serta fasiliti moden seperti bilik persalinan lengkap, kawasan rehat kenamaan dan ruang makan eksklusif menjanjikan pengalaman berharga buat keluarga meluangkan masa bersama.
Ruang fleksibel membolehkan stadium disesuaikan dengan pelbagai keperluan acara sebagai tarikan semua peringkat usia termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang rehat keluarga serta aktiviti interaktif dan pendidikan, selain akses bagi warga emas dan orang kurang upaya.
Bazarena (Pasar Ahad) dikekal dan dimodenkan supaya lebih teratur manakala pusat untuk belia menyediakan aktiviti dinamik."
Penyelesaian masalah banjir
"Kita peka dengan banjir yang kerap melanda. Justeru, kita terapkan konsep 'sponge city' menerusi sistem penyerapan hujan secara semula jadi yang berfungsi sebagai tadahan air untuk memperlahankan aliran berlebihan ke sungai utama di kawasan rekreasi, selain pembinaan kolam takungan bawah tanah seluas 4.04 hektar oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Kira-kira 25 peratus kawasan KSSA akan dijadikan kawasan kolam takungan taman mini, sekali gus menangani masalah banjir di sekitar Seksyen 13 ini.
Reka bentuk KSSA meliputi sistem saliran dan pengurusan air yang lebih baik. Teknologi hijau dan sistem saliran efisien akan memastikan hujan dialirkan dengan cepat dan berkesan, mengurangkan risiko banjir."
Reka bentuk, teknologi hijau
"Pembinaan berkemudahan canggih memenuhi piawaian antarabangsa dan KSSA bakal menjadi satu-satunya kompleks yang menawarkan kepelbagaian fasiliti.
Zon rekreasi akan mempunyai ruang untuk aktiviti luar yang ideal bagi keluarga.
Padang boleh alih di stadium akan memudahkan penyelenggaraan padang dan membolehkan acara sukan lain seperti badminton, hoki dan tenis diadakan tanpa merosakkan padang."
Kelestarian dan gaya hidup
"Selari konsep 'Semua Dalam Satu', KSSA menerapkan komponen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik) melalui penggunaan tenaga solar atau tenaga boleh diperbaharui serta peralatan cekap tenaga.
Juga SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) iaitu fasiliti boleh akses dan mesra alam dan SDG 13 (Tindakan Iklim) iaitu usaha mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan teknologi hijau dan bahan binaan mesra alam."
Pulangan ekonomi
"KSSA bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Shah Alam. Fasiliti sukan bertaraf dunia pasti menarik lebih banyak acara sukan yang dengan sendirinya memacu sektor peruncitan dan perkhidmatan.
Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam jangka panjang, meningkatkan ekonomi tempatan serta memberi peluang KSSA berdikari menjana pendapatan bagi membiayai kos penyelenggaraan keseluruhan kompleks.
Rekaan moden dan inovatif KSSA akan menjadi daya penarik serta muncul sebagai ikon baharu Selangor dan negara, sesuai dengan lokasi strategik dan potensi menarik acara sukan dan pelancongan antarabangsa."
Fasa pembinaan
"Fasa pertama membabitkan pembinaan stadium, plaza parkir dan terminal bersepadu yang dijangka siap akhir 2026 yang boleh terus digunakan.
Fasa kedua merangkumi pembangunan komersial seperti sayap sukan, sayap belia. teater tertutup, ruang niaga dan kawasan rekreasi yang bakal siap pada 2028.
Fasa ketiga adalah kemudahan tambahan sebagai pelengkap seperti hotel yang dijangka siap pada akhir 2029."
Turut dibangunkan sebagai komponen KSSA di kawasan seluas 68.8 hektar (170.2 ekar) itu ialah hab pengangkutan awam bersepadu, hotel, ruang letak kenderaan lebih besar dan taman dalam persekitaran kawasan hijau yang menitikberatkan aspek alam semula jadi secara lestari.
Semua komponen itu akan dihubungkan dengan laluan pejalan kaki tiga hala yang memudahkan pengunjung, sekali gus memelihara aspek alam sekitar kerana meminimumkan penggunaan kenderaan.
Ibarat serampang dua mata, ada bahagian KSSA boleh dijadikan pusat perlindungan sekiranya berlaku bencana alam yang menjejaskan penduduk setempat.
Kepelbagaian sedemikian cukup untuk menceritakan ketelitian pembangunan dirancang bagi menjadikan KSSA lokasi persinggahan yang memenuhi keperluan masyarakat, selain mampu menarik kehadiran pengunjung dari luar Selangor.
Ciri futuristik
Bakal memukau ramai, stadium baharu bercirikan futuristik dan dilengkapi pelbagai elemen moden demi keselesaan pengunjung, khususnya penyokong tegar skuad Merah Kuning.
Keadaan padangnya kelak lebih terjaga kerana bercirikan padang boleh alih untuk diganti dengan platform bersesuaian bagi keperluan berbeza - yang pertama seumpamanya di negara ini.
KSSA tidak akan pernah sunyi daripada kerancakan aktiviti. Dari pagi hingga ke malam, segenap lapisan usia mempunyai tarikan masing-masing untuk berada di persekitarannya.
Anak muda yang minat bersukan atau aktiviti bersesuaian usia semestinya bertumpu kepada kemudahan riadah manakala peminat seni dan budaya boleh meluangkan masa menyaksikan persembahan di teater tertutup.
Semua itu membuka peluang luas bagi pengendali premis perniagaan, terutamanya golongan belia, menjana pendapatan secara konsisten, dengan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pembinaan laluan pejalan kaki yang lebih teratur dan sistematik akan turut memudahkan pengunjung, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat.
Bermulanya pembangunan KSSA adalah bukti kesediaan dan kesungguhan Selangor memenuhi komitmen memberi yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, demi #Kita Selangor.
Sumber : Berita Harian