Wanita Yakult beri definasi baru peniaga susu
Jika sebelum ini, orang yang menjual susu sambil menjaja dari rumah ke rumah adalah mereka yang dikenali sebagai 'Benggali penjual susu' kerana kebanyakan mereka adalah lelaki berketurunan sikh, kini senario sebaliknya berlaku.
Penjaja susu tidak lagi semestinya lelaki, malah kini terdiri daripada pelbagai kaum dan berpakaian uniform yang segak dipandang.
Misalnya Siti Salimah Misbah, 44 tahun, beliau kini telah menjadi salah seorang penjual susu kultur keluaran Yakult yang dikenali sebaga i Yakult Ladies atau Wanita Yakult.
Tugasannya sebagai Wanita Yakult bermula sebaik beliau selesai melakukan kerja-kerja rumah dan anak-anak telah pergi ke sekolah.
Beliau akan mula memasukkan pek-pek botol susu kultur ke dalam beg penyejut (cooler bag), memakai uniform dan topi sambil menyarungkan kad pengenalan diri syarikat yang diwakilinya.
Siti Salimah kemudiannya mencapai kunci motosikal lalu bersiap untuk memulakan tugasnya sebagai Wanita Yakult yang disandang sejak enam bulan lalu.
Program Wanita Yakult, iaitu wanita menjual minum susu kultur jenama Yakult dari rumah ke rumah, telah diperkenalkan pada 1963 di Jepun bagi memberi peluang kepada suri rumah di negara itu mencari pendapatan tambahan untuk keluarga.
Di kebanyakan tempat di Malaysia, kehadiran wanita-wanita itu mungkin masih terlalu asing. Begitupun, bagi masyarakat di sekitar Kampung Indah, Kuala Langat, Banting, Selangor, mereka sudah semakin serasi dengan wanita gigih ini.
Ini kerana setiap hari (kecuali Sabtu dan Ahad) antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang dan 4 petang hingga 5.30 petang, akan kelihatan kelibat wanita-wanita itu menaiki motosikal dan singgah dari satu rumah ke satu rumah di kawasan kampung-kampung tersebut.
Bagi Siti Salimah, yang dulunya seorang suri rumah dan hanya mengharapkan pendapatan suami, Md. Aziz Harison, 45, sebagai pengawal keselamatan, menjadi Wanita Yakult memberi peluang untuknya mencapai impian mempunyai pendapatan sendiri, sekali gus meringankan beban perbelanjaan keluarga.
Mempunyai lima orang anak yang berusia antara lapan hingga 20 tahun, tentunya memerlukan kewangan yang kukuh. Impiannya akhirnya menjadi kenyataan apabila enam bulan lalu, seorang koordinator minuman susu kultur mencari calon Wanita Yakult bagi daerah Kuala Langat.
Menurut Siti Salimah, pada mulanya dia teragak-agak juga untuk menerima tawaran ini kerana tidak pernah menjalankan perniagaan. Namun atas latihan yang diberi oleh koordinator serta sokongan suami, akhirnya dia akur.
Namun rintangan untuk memulakan usaha tidak dapat dielak.
"Hari pertama menjual, memang agak sukar kerana ramai yang tidak mahu membuka pintu apabila saya datang. Situasi itu adalah lumrah dialami oleh mana-mana jurujual. Cabaran kedua ialah bagi menyakinkan pembeli terhadap produk yang dijual.
''Setiap hari saya belajar daripada pengalaman. Kini dengan purata jualan 50 botol sehari, sedikit sebanyak membantu kehidupan kami sekeluarga. Malah, saya turut mempunyai pelanggan tetap hampir 15 orang yang biasanya membeli dua pek iaitu 10 botol.
''Bahkan ada juga pelanggan yang terus datang ke rumah untuk membeli. Saya percaya menjadi Wanita Yakult memang boleh merubah kehidupan, apatah lagi jika kita rajin.
''Lagi pun kita tidak perlu mengeluarkan sebarang modal, semuanya disediakan oleh pihak pengurusan Yakult. Kita hanya perlu rajin menjualnya sahaja,'' katanya yang berazam untuk menjadi Wanita Yakult yang berjaya.
Bagi kerani kilang batu bata, Jessica Wong, 30, sejak berkecimpung sebagai Wanita Yakult setahun yang lalu, dia kini semakin pandai bergaul, mempunyai ramai rakan di samping mempunyai pendapatan tambahan.
Dengan kereta kompaknya, Jessica akan menjelajah di sekitar kawasan perumahannya iaitu di Kampung Air Panas, pekan Kuala Kubu Bharu dan Kerling, Selangor untuk menjual minuman Yakult.
''Saya perlu mencari satu pendapatan tambahan bagi menyara keluarga kerana kehidupan sekarang memerlukan banyak perbelanjaan. Sekolah anak, makan minum, perbelanjaan rumah dan lain-lain menjadikan saya berusaha untuk membantu suami dan meningkatkan pendapatan saya sendiri.
''Walaupun penat di sebelah pagi bekerja, saya puas hati dengan pekerjaan tambahan ini kerana memberi pulangan lumayan.
''Saya akan memulakan tugas sebagai Wanita Yakult dari 5 hingga 7 petang. Hampir 50 botol sehari boleh dijual kerana telah mempunyai 100 pelanggan tetap yang akan membelinya setiap kali kunjungan,'' katanya.
Menurut Jessica, menjadi Wanita Yakult memerlukan kesabaran setiap kali berhadapan dengan pelanggan. Senyuman juga harus tidak lekang di wajah setiap kali bertemu pelanggan.
''Ramai pelanggan yang memuji program Wanita Yakult ini kerana ia menyenangkan mereka tanpa perlu ke kedai untuk mendapatkannya,'' kata isteri kepada seorang mekanik.
Di samping itu, bagi Pua Bee Choon, 38, dari Tanjung Karang, Selangor, pula berterimakasih kepada pihak pengurusan Yakult kerana memberi peluang kepadanya melawat sambil belajar ke Jepun dua tahun lalu.
Bee Choon merupakan Wanita Yakult Malaysia pertama terpilih menghadiri Konvesyen Wanita Yakult di Yakult Honshu Inc, Tokyo, Jepun kerana pencapaian jualannya yang cemerlang.
''Itu adalah kunjungan saya yang pertama ke luar negara. Tidak disangka pula sebagai seorang suri rumah yang menjalani kehidupan secara sederhana dan setiap hari bergelumang dengan kerja-kerja rumah, akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke luar negara.
''Pada lawatan itu, saya sempat berkenalan dengan Wanita Yakult dari seluruh dunia dan berkongsi pengalaman bagi digunakan semasa melakukan jualan apabila balik ke Malaysia,'' ujarnya yang bersyukur kerana Yakult telah banyak membantunya terutama dalam perbelanjaan keluarga.
Menurutnya, dengan pendapatan tambahan ini, dia telah boleh menghantar anak-anak ke pusat tuisyen.
Pencarian rezeki wanita ini bermula seawal 8.30 pagi setiap hari. Dengan mengalas beg penyejuk dan menaiki motosikal, beliau menjaja susu kultur yang telah menjadi pilihan utama di kawasan perumahan di sekitar Tanjung Karang.
Sambil membunyikan hon, Bee Choon akan singgah dari rumah ke rumah sehinggalah pukul 12 tengah hari. Selesai sesi pagi, dia akan terus ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari untuk keluarga.
Sesi jualan akan bersambung dari pukul 4.30 hingga 7 petang. Purata satu hari jualannya hampir mencecah 200 botol.
Ditanya berapa pendapatan yang diperoleh, Bee Choon ingin merahsiakannya. Namun katanya, sekiranya seseorang Wanita Yakult dapat menjual 200 botol sehari, mereka boleh memperoleh hampir RM2,000 setiap bulan.
Bee Choon turut ditanya rahsia bagaimana dia boleh menjadi Wanita Yakult yang cemerlang.
''Senyuman amat penting. Selain itu, setiap kali berjumpa dengan pelanggan, penerangan mengenai khasiat minuman tersebut akan diberi. Malah ada juga pelanggan yang mengucapkan terima kasih kerana selepas meminum susu kultur kesihatan semakin bertambah baik. Biasanya saya juga akan memberi minuman contoh kepada pelanggan yang pertama kali ingin mencuba," katanya.
Kelebihan Wanita Yakult
Wanita Yakult adalah antara penggerak kejayaan Yakult Honsha Co. Ltd., syarikat pengeluar produk minuman berasaskan probiotik terkemuka dunia, Yakult, sejak ia diperkenalkan di pasaran Jepun pada tahun 1935.
Ia diasaskan oleh Dr. Minoru Shirota, seorang doktor perubatan yang menemui sejenis bakteria asid laktik iaitu lactobacillus casei yang dapat memberi kebaikan kepada kesihatan manusia. Beliau juga adalah pengasas syarikat Yakult Honshu.
Mengikut sejarah syarikat, program Wanita Yakult telah diperkenalkan pada 1963 dengan memberi peluang kepada suri rumah di Jepun mendapatkan pendapatan tambahan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Idea ini timbul ekoran masyarakat Jepun pada masa itu hidup dalam kemiskinan dan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para suami, isteri-isteri mereka diberi peluang mendapatkan pendapatan tambahan dengan menjadi jurujual.
Kini, program itu telah telah merebak di luar Jepun seperti di Korea Selatan, Thailand, Filipina, Brazil, Mexico, Argentina dan Malaysia.
Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Jualan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada berkata, syarikat tersebut telah beroperasi di negara ini hampir lapan tahun dan memulakan khidmat penghantaran ke rumah sejak tahun 2007 dengan melantik seramai enam orang sebagai percubaan.
Sehingga kini lebih 200 orang telah dilantik sebagai Wanita Yakult dan dijangka mencecah 300 orang menjelang akhir tahun.
Di Malaysia, Wanita Yakult boleh ditemui di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka. Syarikat tersebut merancang untuk melaksanakan program Wanita Yakult ke seluruh negara khususnya di bandar-bandar kecil dan luar bandar pada masa akan datang.
Menurut Hiroshi, ternyata program ini mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan. Walaupun terdapat kecurigaan pada permulaannya, namun ia semakin dapat diatasi atas usaha gigih golongan wanita yang terbabit.
''Pada permulaannya, orang ramai agak meragui perkhidmatan ini kerana ada banyak agen jualan yang mencurigakan selalu melawat rumah-rumah untuk menjual barangan atau memperdayakan mangsa-mangsa yang tidak peka.
"Bagaimanapun, selepas mengenali Wanita Yakult dan produk-produk kami, tanggapan orang ramai berubah menjadi positif.
''Walaupun Yakult dijual di kedai-kedai, sambutannya baik kerana ia memberikan satu kemudahan kepada pengguna. Mereka boleh mendapatkan produk segar terus daripada pengilang dan ia dihantar terus ke rumah tanpa sebarang caj tambahan,'' katanya yang baru enam bulan menetap di negara ini.
Ditanya bagaimana Yakult menarik minat wanita di negara ini untuk menjadi jurujual beliau memberitahu, Malaysia mempunyai budaya dan kehidupan yang berbeza dengan Jepun. Oleh itu, cara untuk mempromosikan Wanita Yakult ini turut berbeza.
''Kami mencari Wanita Yakult menerusi koordinator jualan dan laman web www.yakult.com.my. Kami faham, jualan dari rumah ke rumah terutamanya susu agak tidak popular di kalangan masyarakat negara ini. Maka pelbagai strategik telah dijalankan. Nampaknya, sambutan agak memberangsangkan.
''Jabatan Perhubungan Awam dan Sains syarikat juga turut memberi sokongan kepada perniagaan Wanita Yakult sebagai sebahagian daripada aktiviti perhubungan awamnya.
"Contohnya, pegawai perhubungan awam memberikan ceramah kesihatan dan mengadakan tayangan video berbentuk pendidikan di sekolah-sekolah dan untuk komuniti di kawasan-kawasan kejiranan Wanita Yakult,'' jelasnya.
Paling penting dalam sistem ini, kata Hiroshi, tiada sebarang pelaburan permulaan yang diperlukan. Jadi sesiapa pun boleh memulakan menjadi Wanita Yakult pada bila-bila masa.
''Pendapatan yang diperoleh Wanita Yakult dibayar secara bulanan dan dikira berdasarkan purata bilangan botol dijual setiap hari dalam bulan tersebut. Untuk mereka yang menjual secara purata 200 botol sehari, mereka boleh memperoleh hampir RM2,000 setiap bulan.
''Setiap dua tahun, beberapa orang yang menunjukkan prestasi terbaik akan dipilih untuk menghadiri Konvesyen Wanita Yakult di Jepun yang ditaja sepenuhnya. Di sini, usaha keras mereka akan diberi penghargaan. Lawatan ini juga termasuk lawatan pelancongan untuk menikmati dan mengenali budaya Jepun secara lebih dekat," katanya.
- UTUSAN
Saya Norhayah bt Husin.sebelum ni saya tak pernah dengar tentang wanita yakult sehingga lah saya menonton nona hari ini.saya nak tanya...mcmana caranya nak mulakan perniagaan ni.Saya menetap di kajang.
Saya Halimahton bt Mohamad. Saya nak tanya...mcmana caranya nak mulakan perniagaan ni.Saya menetap di Kulim Kedah.
Saya Rogayah binti Mohammed berminat untuk menjadi ladies yakult..bagaimana caranya..saya tinggal di Ampang, Selangor
Masytah BT Abdul Mutalib
Saya berminat sangat nak jd egen yakult dan VITEGEN ni tapi tak tahu cara .blh tak wssp sy 0195159352