Top Ad 728x90

,

Maklum balas diperlukan sebelum mansuh UPSR, PMR

Memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan kini diperkatakan semula.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan ada kewajaran untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan peringkat sekolah itu kerana melihat aspek pembelajaran sekarang lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Kementerian Pelajaran sejak tahun lalu telah membangkitkan perkara ini. Sekarang, perkara yang sama dilontarkan.

Muhyiddin yang melontarkan cadangan itu menyatakan mungkin peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Dari satu aspek, UPSR diperlukan untuk proses pemilihan dan penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh, manakala PMR untuk proses penentuan aliran tertentu di sekolah.

Kerajaan tidak akan gopoh dan tergesa-gesa membuat perubahan dalam sistem persekolahan negara ini.

Sebab itu ibu bapa masyarakat dan badan bukan kerajaan digalakkan memberi pandangan atau buah fikiran sama ada patut atau tidak dua peperiksaan ini dikekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam seperti di peringkat SPM sahaja?

Hujah Muhyiddin, dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan. Jika difikirkan, cadangan itu ada asas yang patut disokong.

Sejak merdeka, corak dan sistem peperiksaan telah menghantui pelajar kita daripada sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Percambahan pusat-pusat tiusyen atau kelas-kelas tambahan di sekolah-sekolah termasuk pada musim cuti adalah kerana semua pelajar, guru dan ibu bapa mahu anak-anak mereka berjaya dalam akademik.

Akibat terlalu fokus kepada akademik, aspek pelajaran dan pengajaran pembetukan sahsiah diri dengan nilai-nilai moral yang baik telah terpinggir.

Kita sudah lihat kesan apabila ibu bapa, pelajar dan sekolah berlumba-lumba mahu pelajar menjadi yang terbaik dalam kurikulum. Tetapi ada aspek yang menjadi korban.

Apabila orientasi peperiksaan diagung-agungkan, banyak pelajar cemerlang kurang aktif dan arif dalam kepemimpinan dan aktiviti kokurikulum.

Jika cadangan memansuhkan UPSR dan PMR disokong oleh semua pihak maka bolehlah tumpuan untuk mengembangkan bakat dalam kepemimpinan dan aktiviti kokurikulum sekolah dijalankan.

Zaman sudah berubah. Sejak tiga dekad lalu UPSR dan PMR bukan lagi tiket untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah atau ke tingkatan empat - semua pelajar layak.

Malah untuk mendapatkan pekerjaan sekarang pun sekurang-kurangnya seseorang pemohon perlu mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sijil UPSR dan PMR kurang diberi keutamaan.

Tetapi, kerajaan juga perlu fikirkan sejauh mana pemansuhan ini boleh menjamin mutu pendidikan negara ditingkatkan jika sistem pengajaran masih di takuk lama?

Sebab itu, kerajaan amat memerlukan maklum balas daripada guru, ibu bapa dan badan bukan kerajaan dalam melakukan perubahan besar terhadap sistem pelajaran kebangsaan.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90