Top Ad 728x90

PDRM, hospital antara terbanyak terima aduan

Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen adalah antara 10 agensi atau jabatan kerajaan yang paling banyak menerima aduan pada tahun lalu.

Turut tersenarai ialah Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pelajaran negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata jumlah aduan yang diterima 10 agensi itu ialah 3,553 kes atau 41 peratus daripada sejumlah 8,694 kes.

Beliau menjawab soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).

Koh berkata, agensi yang berurusan secara langsung dengan rakyat lebih berpotensi menerima lebih banyak aduan berbanding agensi lain yang skop tanggungjawabnya lebih terhad.

"Dalam konteks ini PDRM adalah agensi kerajaan yang menerima aduan tertinggi berbanding agensi yang lain," katanya.

Beliau berkata, sebagai pelanggan kepada kerajaan, rakyat berhak untuk mengemukakan aduan terhadap sebarang perkhidmatan yang diberikan jika mendapati ia silap, kurang cekap, adil, sesuai atau memuaskan.

Katanya, Biro Pengaduan Awam (BPA) yang memudahcara proses menerima dan menyelesaikan aduan daripada orang awam kini meneruskan usaha merapatkan hubungan antara kerajaan dengan orang ramai melalui pelbagai saluran termasuk laman web, perjumpaan, program pro-aktif serta urusan surat menyurat untuk mengemukakan pertanyaan, cadangan dan maklum balas.

"Hasil daripada inisiatif untuk menggalakkan pengaduan, jumlah aduan yang diterima BPA telah meningkat daripada 8,066 kes pada tahun 2008 kepada 12,683 kes pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan jabatan menunjukkan peningkatan prestasi dalam menyelesaikan aduan-aduan yang diterima.

"Senario ini menunjukkan jabatan dan agensi telah memberikan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk menyelesaikan aduan-aduan yang diterima selaras dengan komitmen dalam gagasan 1Malaysia iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," katanya.

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90