‘Cucu Krakatau’ muncul di Selat Sunda

 


Kawasan perairan sekitar Gunung Anak Krakatau di Lampung Selatan, Indonesia kembali mencuri perhatian dunia apabila sebuah daratan baharu seluas kira-kira 30.3 hektar dilaporkan muncul secara bertahap di antara pulau gunung berapi aktif itu dan Pulau Sertung.

Fenomena tersebut mengundang pelbagai spekulasi hangat dalam kalangan netizen di media sosial, sehingga ada yang menggelar daratan misteri itu sebagai bakal “cucu Krakatau” atau petanda awal kelahiran sebuah gunung berapi baharu.

Ketua Pos Pemantauan Gunung Anak Krakatau, Suwarno bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa daratan tersebut tidaklah muncul secara mengejut.

Sebaliknya, ia terbentuk hasil daripada pengumpulan material vulkanik yang dimuntahkan semasa siri letusan tegar gunung itu, terutamanya selepas status amaran dinaikkan kepada Tahap III (Siaga) pada Julai lalu.

“Ya, ini adalah hasil mendapan daripada siri letusan sebelum ini, dengan keluasan dianggarkan mencecah 30.3 hektar. Walaupun ada desas-desus mengatakan ia bakal menjadi ‘cucu Krakatau’, setakat ini belum ada sebarang asas saintifik yang kukuh untuk membuktikannya,” katanya ketika dihubungi media tempatan.

Menurut pakar vulkanologi, biarpun Gunung Anak Krakatau mempunyai sistem saluran magma bawah tanah, tiada sebarang pergerakan magma baharu dikesan menghala ke kawasan daratan berkenaan buat masa ini.

Pun begitu, pihak berkuasa Indonesia tetap mengeluarkan amaran tegas kepada orang awam, nelayan dan pelancong supaya tidak mendekati atau melakukan sebarang aktiviti dalam radius dua kilometer dari kawah aktif atas faktor keselamatan.

Sebelum ini, letusan kuat Anak Krakatau pada awal September sempat mencetuskan kebimbangan mengenai sebaran gas sulfur dioksida, namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan ruang udara Malaysia langsung tidak terjejas ekoran corak angin yang bergerak ke arah Lautan Hindi. 

Sumber: Agensi

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url