Perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu bersama Tun Mahathir
Kira-kira 1,000 orang membanjiri perhimpunan kontroversi 'Melayu Bangkit' di Stadium Negeri Kuala Terengganu yang dibatalkan sebelum ini, setelah dipertikaikan banyak pihak sebagai perkauman.
Program anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (GERTAK) - gabungan 45 NGO Melayu di Terengganu - yang bermula padajam 10 pagi di stadium negeri itu antaranya dihadiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Kehadiran Ahmad yang tidak pernah dimaklumkan sebelum ini adalah di luar dugaan.
Dalam majlis penuh istiadat Melayu itu, ketibaan kedua-dua tetamu disambut dengan paluang gendang silat dan persembahan pencak silat oleh dua pasangan pesilat lelaki dan wanita.
Antara NGO yang menonjol dalam program itu ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) yang tampil dalam pakaian seragam hijau muda, membawa bendera persatuan dan berlilit kepala bertulis dua kalimah syahadah.
Perhimpunan tersebut berjalan aman tanpa sebarang insiden. Kelihatan hanya kira-kira 10 anggota polis berpakaian seragam mundar-mandir mengawal keadaan dalam stadium tertutup tersebut.
Program tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada aktivis seni daripada Kumpulan Teater Orang Ulu Ibrahim Taib dengan bacaan sajaknya dalam loghat Hulu Terengganu pekat yang mencuit hati.
Sajak tersebut, antaranya menyebut, Melayu perlu kuat dan memimpin dunia supaya dapat "tentukan anggota JKKK (Jawatankuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung) di Israel", "jadikan Obama kelasi kapal" dan "lantik Bush sebagai tok siak di masjid untuk sapu tahi cicak".
Persetujuan nenek moyang
Sementara itu, dalam ucapannya pengasas dan presiden GERTAK Razali Idris mengecam mereka yang mengkritik perhimpunan tersebut - yang pada mulanya dijadual pada 13 Mei lalu - serta kehadiran Dr Mahathir.
"Kita dituduh, difitnah. Ada yang kata Dr Mahathir sebagai rasis. Tuduhlah, tempat tidak penting pada kita. Yang penting adalah ucapan Dr Mahathir.
"Kaum lain tidak perlu risau kerana kita bukan hendak bangkit dengan senjata atau pemusnah tetapi (secara) matang dalam perjuangan," katanya.
Razali mengakhiri ucapannya dengan menggesa mereka yang hadir supaya bangkit mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu.
"Perkara ini sudah dipersetujui sejak nenek moyang kita dahulu," katanya disusul laungan takbir tiga kali, tetapi malangnya tidak disahut orang ramai yang hadir.
Razali hanya berucap ringkas tidak sampai sepuluh minit dalam program itu bagi memberikan laluan kepada Dr Mahathir yang disifatkan sebagai "negarawan" bagi menyampaikan ucapannya.
Antara NGO lain yang bergabung dalam GERTAK ialah PEWARIS, Gerakan Belia 4B, Sahabat Laut Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA).
Dr Mahathir pula dalam ucapannya berkata pembatalan perhimpunan itu pada 13 Mei lalu adalah disebabkan oleh fikiran singkat sesetengah pihak yang bimbang perhimpunan orang Melayu itu diadakan pada tarikh berlakunya rusuhan kaum pada 1969.
Setelah bersurai, kira-kira 50 orang sempat berkumpul pantas bagi melaungkan di perkarangan stadium itu sambil melaungkan slogan anti-Israel yang menyerang flotila pro-Palestin baru-baru ini.
Dr M kesal ''Melayu Bangkit' dikatakan rasis
Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekesalannya terhadap tindakan pihak tertentu yang mengaitkan perhimpunan 'Melayu Bangkit' - yang sepatutnya diadakan pada 13 Mei lalu - dengan perkauman sehingga mendorong ia ditangguhkan.
Katanya tindakan tersebut seolah-olah melupakan sejarah yang seterusnya menyebabkan mereka "mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali".
"(Perhimpunan sebegini) bukan hendak rampas hak bangsa lain. Melayu ini amat pemurah. Kita memberikan tempat dan kerakyatan serta terima orang lain sebagai warganegara, tidak seperti di negara lain di mana Orang Asli dan bumiputeranya tidak sanggup memberikannya," katanya.
Berucap dalam perhimpunan anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (Gertak) di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir turut menyatakan pendapatnya bahawa tragedi rusuhan kaum pada tahun 1969 itu berlaku bukan sahaja disebabkan oleh perbezaaan warna kulit.
"Sebab itu 13 Mei menjadi contoh perpisahan (pemecahan) kaum, ditokok tambah dengan perpisahan (ekonomi) antaranya yang kaya dengan yang miskin," katanya sambil menyifatkanya fenomena itu sebagai 'peperangan antara kelas'.
Setelah ditangguhkan hampir sebulan perhimpunan Melayu Bangkit ditangguhkan, Dr Mahathir hari ini tampil berucap dalam majlis itu, antaranya menegaskan keperluan orang Melayu bersatu supaya tidak menjadi golongan minoriti, sekali gus tidak lagi berkuasa di negara ini.
Katanya, berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana orang Melayu 100 peratus bangun menentang Malayan Union - yang kemudiannya melahirkan Umno - orang Melayu kini berpecah kepada tiga parti.
"(Melayu terbahagi kepada) 20 peratus setiap parti yang lawan sesama sendiri. Ini menjadikan kita sebagai minoriti," katanya merujuk kepada parti yang didominasi orang Melayu, iaitu Umno, PAS dan PKR.
Bercakap di harapan kira-kira 1,000 orang awam dan aktivis daripada 45 NGO di seluruh Terengganu, Dr Mahathir menyeru orang Melayu berubah sebelum negara ini menjadi seperti Singapura di mana kaum itu kini hanya 15 peratus sahaja daripada populasi rakyatnya.
"Melayu di Singapura terbongkok-bongkok di hadapan orang lain," katanya.
"Orang kata bercakap mengenai Melayu ini rasis. Mulanya saya cuba elak bercakap tentang Melayu tetapi saya tak dapat (lakukannya).
"(Keadaan) Melayu sebagai penduduk asal sekarang dalam krisis, genting dan cemas."
- MALAYSIAKINI