Top Ad 728x90

SPRM Tahan 194 Pemberi Rasuah, 140 Penjawat Awam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 194 orang yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam sejak Januari hingga bulan lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mereka yang memberi rasuah kini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, sama seperti penerima rasuah.

Beliau berkata, orang awam yang ditahan kerana kesalahan rasuah juga melibatkan rakyat asing, antaranya dari Bangladesh, Singapura, Vietnam, Sepanyol dan Argentina.

"Antara kesalahan mereka kerana cuba memberi rasuah kerana ketiadaan dokumen perjalanan diri dan ada yang ditahan kerana memberi rasuah kepada anggota polis trafik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Bulan Julai sebagai Integriti Amanahraya' di Wisma Amanahraya di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh yang sama, seramai 140 penjawat awam turut ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Statistik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi-agensi penguatkuasa di negeri ini masih terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Bagaimanapun kini orang awam yang ditahan lebih ramai dari penjawat awam, ini mungkin kerana peningkatan integriti dan kesedaran menjauhi rasuah di kalangan penjawat awam," katanya.

Mengenai aktiviti mencegah rasuah di kalangan pekerja di sesebuah organisasi termasuk sektor awam dan swasta diteruskan, SPRM akan menganjurkan kursus 'Sijil Pegawai Integriti' (CIO) yang akan dimulakan pada bulan ini.

Beliau berkata, kursus pertama itu bakal memberi pengetahuan menyeluruh dan teknik terkini mengenai fahaman integriti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Katanya, kursus bagi kumpulan pertama itu akan dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) selama seminggu pada setiap bulan selama enam bulan.

"Sebelum ini kita meletakkan pegawai kita sebagai CIO di Amanahraya Berhad dan kita dapati langkah itu efektif dalam membudayakan integriti dan meningkatkan sistem perkhidmatan organisasi.

"Justeru kita mengaplikasi langkah itu dengan mengambil dan memilih pegawai-pegawai dari beberapa organisasi termasuk sektor awam dan swasta untuk menjalani kursus tersebut supaya dapat menjadi CIO di organisasi sendiri," katanya.

Beliau berkata, pada pengambilan pertama ini tiada sebarang yuran dikenakan dan kini SPRM sedang meneliti permohonan untuk memilih hanya 30 pegawai dari pelbagai sektor.

Katanya, kursus seumpama itu sudah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90