Top Ad 728x90

, ,

Surat cinta 24 muka Prof Muhaya


Pertemuan kali pertama di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor, pada April 1976 merupakan detik bersejarah buat pasangan Profesor Dr. Muhaya Mohamad, 52, dan Dr. Azmi Jamion, 54.

Ini kerana, pertemuan tersebut bukan sahaja menyatukan kedua-dua pasangan tersebut malah ia cinta pandang pertama buat mereka.

Ternyata kedua-duanya menyimpan perasaan antara satu sama lain dan tanpa diduga teguran pertama daripada Dr. Azmi mengeratkan lagi persahabatan mereka.

Menurut Dr. Muhaya yang merupakan Pengerusi Persatuan Oftalmologi MMA dan Pengarah Pusat Mata dan LASIK, Pusat Perubatan Prince Court, pertemuannya dengan Dr. Azmi adalah secara kebetulan dan mereka tidak mengenali antara satu sama lain sebelum itu.

“Dr. Azmi ke Sekolah Tun Fatimah menghadiri Pertandingan Perbahasan Piala Perdana Menteri yang mana sekolah saya menjadi tuan rumah ketika itu.

“Buat kali pertama saya terpandang Dr. Azmi sewaktu dia berada di padang menonton pertandingan bola tampar yang diadakan semasa itu.

“Ketika itulah hati saya terdetik ‘hensemnya dia’, dan saat itu juga saya jatuh cinta pandang pertama padanya,” ujarnya sambil tersenyum ketika ditemui di kediamannya di Country Height, Kajang baru-baru ini.

Mengimbas memori tersebut, baik Dr. Muhaya atau Dr. Azmi, masing-masing menyatakan, peristiwa tersebut tidak pernah luput daripada ingatan kerana sememangnya peristiwa tersebut merupakan detik terindah yang ingin kenang sampai bila-bila.

Tanpa diduga Dr. Muhaya, dia tidak bertepuk sebelah tangan kerana tanpa pengetahuannya, Dr. Azmi juga ada menyimpan perasaan terhadapnya.

Ujar Dr. Azmi, dia yang merupakan pelajar matrikulasi ketika itu memberanikan diri menegur Dr. Muhaya sewaktu isterinya itu berjalan dibelakangnya dan soalan pertama ditanya ialah, “Form berapa?”

Selepas Dr. Muhaya menjawab soalan Dr. Azmi, mereka seterusnya berjumpa untuk berbual-bual dan sebelum ‘berpisah’, mereka saling bertukar-tukar alamat.

Jelas Dr. Azmi, dia yang memulakan dahulu perkenalan yang lebih serius dengan menulis surat pertama kepada Dr. Muhaya yang berada di Terengganu.

Menurut Dr. Muhaya, surat pertama yang dikirim Dr. Azmi amat menggelikan hatinya kerana kandungan surat tersebut bertanyakan cita-citanya.

‘‘Bayangkan, surat pertama isi kandungannya bertanyakan cita-cita saya dan balasannya sudah pasti saya beritahu saya ingin menjadi seorang doktor.

‘‘Susulan itu, Dr. Azmi beritahu dia juga bercita-cita ingin menjadi seorang doktor dan apa kata kita sama-sama mengejar cita-cita menjadi doktor dan terus jadi steady.

“Pandai Dr. Azmi ni dan saya pun terima kerana dia (Dr. Azmi) merupakan teman lelaki pertama saya dan terakhir, insya-Allah,” katanya lagi sambil ketawa.

Akhirnya setelah berkawan hampir tiga tahun, mereka mengikat tali pertunangan pada 15 November 1979.

Berbicara lanjut mengenai hubungan mereka, ujar Dr. Muhaya, seperkara lagi yang pasti menjadi kenangan sampai bila-bila ialah rekod kiriman surat antara mereka kerana ia tidak pernah putus dan setiap kali mendapat surat, balasan pasti dipos keesokan harinya.

Surat yang paling panjang pernah diterima Dr. Muhaya ialah 24 helai dan beliau sendiri tidak mengingati apa yang ditulis oleh Dr. Azmi ketika itu sehingga ia menjadi begitu panjang.

Walaupun dilihat Dr. Azmi merupakan seorang yang begitu ringkas tetapi ternyata anak kelahiran Ulu Tiram, Johor ini romantik dan penyayang.

Ini dibuktikan apabila Dr. Muhaya menerima kiriman surat sebaik sahaja melangkah keluar dari dewan peperiksaan ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan itu sahaja malah Dr. Azmi pernah mengirimkan surat dan juga kaset yang mengandungi lagu yang dimainkan dengan gitar dan dinyanyikan sendiri olehnya.

Sebelum mengakhiri zaman bujang, Dr. Muhaya pernah menyuarakan hasrat memutuskan persahabatan atas alasan ingin menyambung pelajaran ke Kaherah, Mesir selama tujuh tahun.

Bagi Dr. Muhaya, tempoh itu terlalu panjang dan tidak mungkin dapat menunggu Dr. Azmi.

Bagaimanapun, sudah tertulis jodoh kedua-duanya, akhirnya Dr. Muhaya membatalkan hasrat menyambung pelajaran kerana selain kasihankan Dr. Azmi, bapanya juga tidak mengizinkan.

“Saya teruskan pelajaran ke tingkatan enam sebelum masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Seterusnya setelah bertunang enam bulan, kami diijab kabul pada 11 Mei 1980 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata,” katanya.

Kini, pasangan yang gemar berkaraoke dan menonton drama Korea ini telah pun bergelar datuk.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90