Laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 dari Kuala Terengganu - Telemung - Ajil ke Bukit Besi dibuka secara terus
Sebahagian Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dari persimpangan bertingkat Ajil ke persimpangan bertingkat Telemung di Terengganu dibuka kepada semua lalu lintas mulai pukul 10 pagi, 18 Mei 2012 (Jumaat).
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh berkata pembukaan jajaran sepanjang 21 kilometer itu membolehkan pengguna menikmati perjalanan terus ke Kuala Terengganu dengan had laju 110 kilometer sejam, tanpa henti ke Persimpangan Bukit Besi di Dungun.
"Ini secara tidak langsung memendekkan tempoh perjalanan dari 1 jam 30 minit kepada 40 minit," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pembukaan sebahagian lebuhraya LPT 2 itu juga dapat mengurangkan kadar kesesakan di Jalan Persekutuan 14 pada waktu puncak dan musim perayaan serta cuti persekolahan.
Ismail berkata ia juga memberi alternatif kepada pengguna untuk perjalanan lebih cepat dan selesa selain menjana ekonomi di Pantai Timur.
Sementara itu, laluan Persimpangan Kijal (Pakej 5A) hingga Persimpangan Kerteh (Pakej 6) juga turut dibuka kepada awam, namun perasmian pembukaan oleh Pengarah Pembinaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 akan diadakan pada Jun depan.
Untuk makluman, tiada tol akan dikenakan kepada pengguna lebuhraya bagi laluan ini sehinggalah keseluruhan lebuhraya ini disiapkan. Pasukan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 menasihati pengguna agar berhati-hati semasa memandu dan mematuhi setiap peraturan-peraturan papan tanda di lebuhraya ini.
Laluan 1 : Persimpangan Ajil (Pakej 10) ke Persimpangan Telemung (Pakej 10
Laluan 2 : Persimpangan Kijal (Pakej 5A) hingga Persimpangan Kerteh (Pakej 6)
- BERNAMA