Lelaki paling gemuk dibawa bersiar
Seorang lelaki seberat 310 kilogram yang sebelum ini pernah dianggap lelaki paling gemuk di dunia, keluar dari rumahnya buat pertama kali sejak lima bulan dengan bantuan kenderaan jentera pengangkat dan trak pengangkut, kelmarin.
Manuel Uribe dibawa melawat pinggir tasik di utara Mexico tanpa meninggalkan katil khasnya.
Jentera pengangkat mengangkat katil bersama Uribe ke trak yang kemudian menariknya ke tasik terbabit.
Dia turut menikmati hidangan ikan, sayur dan bergurau dengan pengendali bot tempatan di tasik itu.
Melihat bot kecil milik pengendali bot berkenaan, Uribe bergurau: "Sayang sekali saya tidak dapat menaikinya, jika saya naik ia akan tenggelam."
Uribe pernah dianggap lelaki paling gemuk di dunia oleh Guinness Book of Records apabila berat badannya mencapai lebih separuh tan iaitu 560 kilogram tetapi selepas dua tahun mengamalkan diet, berat badan lelaki itu turun kepada 310 kilogram, Jun lalu.
Walaupun cuaca panas, Uribe kelihatan gembira dapat keluar dari rumah.
Dia tidak dapat berjalan malah rancangan asalnya bersiar pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan apabila pelantar trak untuk membawa katilnya tersekat kerana terlalu berat dengan beban.
Kali terakhir dia keluar dari rumah adalah pada Mac 2007 apabila enam orang menolak katil besi beroda Uribe keluar di kawasan jalan dengan diiringi kumpulan muzik dan penduduk yang meraikannya. Sebelum itu, dia tidak pernah keluar rumah selama lima tahun.
-AP