Contohi kesabaran Rasulullah berdakwah
Nabi Muhammad SAW dan sahabat berusaha dengan segala penat lelah bagi menyampaikan risalah kebenaran ini. Meskipun Baginda SAW serta sahabat terus ditekan dengan hasutan dan pujukan atau ditindas dengan gertakan dan ancaman, Baginda terus menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia.
Kedua-dua teknik ini, sama ada berbentuk pujukan ataupun gertakan masih lagi dilaksanakan sebahagian manusia terhadap mereka yang cuba membawa kebenaran dan menjunjung amanah yang harus ditegakkan di muka bumi ini.
Natijah daripada usaha melawan segala bentuk hasutan dan penindasan ini dengan penuh kesabaran bakal memuliakan seseorang itu di dunia dan bakal mendapat reda Allah di akhirat kelak.
Mengikut catatan sirah mengenai permulaan dakwah Nabi SAW menunjukkan Baginda berdakwah selama tiga tahun secara rahsia. Baginda berjaya mengislamkan kaum kerabat dan sahabat yang terdekat dengan Baginda.
Antara mereka memeluk Islam ialah Khadijah, 'Ali bin Abi Thalib, anak perempuan Baginda, Zaid bin Haritsah, Abu Bakar, Bilal, Abu 'Ubaidah, Abu Salamah dan al-Arqam. Hal ini seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan berilah peringatan kepada keluarga kamu yang terdekat." (Surah al-Syu'ara, ayat 214)
Selepas peringkat itu, Baginda SAW mula berdakwah secara terang-terangan dengan menyeru kepada seluruh penduduk Makkah supaya beriman kepada Allah dan mengakui bahawa Baginda adalah nabi terakhir diutuskan.
Namun, seruan itu ditolak penyembah berhala di Makkah. Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi Nabi Muhammad dan sahabatnya dalam usaha itu.
Walaupun demikian, dakwah itu akhirnya berjaya membawa masuk Umar bin al-Khattab serta Hamzah bin Abdul Muttalib yang dikenali begitu tegas serta berani di kalangan masyarakat Makkah.
Situasi itu memaksa pemimpin Musyrikin Makkah supaya lebih berhemah dalam usaha memujuk Nabi Muhammad dan penganut Islam lain kembali kepada anutan nenek moyang mereka.
Mereka terpaksa melakukan segala bentuk hasutan dan tipu daya bagi mengembalikan kehidupan kaum Muslimin kepada amalan dan kepercayaan masyarakat jahiliah yang lampau.
Bagi mereka itu adalah usaha terbaik dalam memelihara adat dan juga struktur masyarakat supaya tidak diubah dan digantikan dengan sistem peraturan baru yang menjejaskan penguasaan dan kezaliman mereka.
Antara tipu daya mereka dalam usaha itu adalah berjanji untuk memeluk Islam tetapi dengan syarat beberapa hukum dalam Islam perlu ditukar dan diubah menurut kemahuan mereka hingga diturunkan firman Allah yang bermaksud: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini. Janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati kami serta menurut hawa nafsunya dan keadaan mereka itu sudah melampaui batas. Katakanlah: Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan barang siapa yang ingin (kufur) biarlah dia tetap dalam keadaan kufur." (Surah al-Kahfi, ayat 28-29)
Ayat itu menceritakan bagaimana sebilangan pembesar Musyrikin memujuk Nabi SAW menerima syarat supaya Nabi SAW hanya bergaul dengan mereka saja tanpa mempedulikan golongan hamba dan orang miskin.
Golongan bawahan dan tidak setaraf dengan diri mereka seperti Bilal, 'Ammar, Suhaib, Khabbab, dan Ibn Mas'ud. Setiap majlis yang diperbincangkan perlu didahulukan golongan kaya dan bangsawan, manakala golongan terakhir adalah kelompok miskin, fakir dan juga hamba.
Lalu Allah turunkan ayat itu yang mengajak Nabi SAW terus bersabar dalam menempuhi segala cabaran. Allah memerintahkan Baginda sering berinteraksi dengan golongan kafir dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini."
Situasi ini sama dengan apa yang berlaku hari ini. Sesetengah golongan agama lebih memilih untuk memberikan dakwah kepada golongan terpelajar, berpangkat dan berjawatan besar atas alasan orang kampung atau masyarakat luar bandar tidak mampu menerima ilmu dakwah atau berfikiran terlalu kolot. Mereka meminggirkan golongan ini dengan meninggalkan mereka di kampung lantas bertumpu di bandar besar untuk mendampingi golongan elit dan bangsawan.
Inilah kesabaran yang harus dilalui mereka yang menurut jejak langkah Baginda SAW yang tidak mampu ditanggung sebahagian besar manusia.
Mereka hanya mengharapkan neraca timbangan al-Quran dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Begitu juga berpandukan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Boleh jadi orang yang tidak terurus dan selekeh yang ditolak di muka pintu, jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya diperkenankan." (Hadis riwayat Muslim)
Kesabaran dalam meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan isi dakwah tidak perlu dilihat pada sisi pandangan materialistik semata. Jangan sesekali pendakwah atau golongan agama menilai manusia berdasarkan zahir.
Mereka adalah golongan memikul tanggungjawab menjernihkan kembali senario sosial umat manusia.
Usaha berdakwah untuk mendekati golongan terpinggir diharap dapat mengajar masyarakat memahami, menghayati dan mengamalkan konsep ajaran agama Islam yang tidak memandang taraf dan kedudukan.
Dakwah itu pada dasarnya adalah usaha membawa umat dan golongan terpinggir menghadapi cabaran hidup dan menyelesaikan permasalahan itu secara Islamik sehingga mereka merasakan Islam itu satu rahmat. Laksanakanlah yang terbaik demi mengharapkan keredaan Allah.