Berfikirlah sebelum bersedekah kepada 'pengemis'

Laporan akhbar yang menyatakan pengemis mempunyai wang tunai sebanyak RM9,786 dalam tangan benar-benar membuatkan hati saya tersentak dan mata terbeliak mengingatkan betapa kayanya pengemis di negara kita.

Rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap dermawan dan suka menderma tidak bertempat itulah yang telah menjadikan rakyat asing dan mereka yang suka mengambil kesempatan itu menjadikan jawatan mengemis sebagai satu profesion yang mendapat gaji lumayan.

Bayangkan dengan ribuan ringgit yang dapat dikutip oleh para pengemis dari jawatan tidak sah taraf yang mereka sandang itu dan bekerja dalam waktu pejabat dan kadangkala bekerja lebih masa mendapat pendapatan melebihi daripada mereka yang menjawat jawatan eksekutif atau pengurus yang duduk di bilik berhawa dingin.

Pengemis dari luar negara menjadikan kemakmuran hidup rakyat Malaysia ini sebagai lubuk emas dan sanggup menipu, menyamar serta berlakon sebagai orang lumpuh, buta, sakit, orang tua uzur, kanak-kanak merempat dan pelbagai watak lagi semata- mata untuk meraih simpati.

Sesungguhnya kelembutan dan kelemahan hati rakyat Malaysia ini merupakan satu kejayaan bagi pengemis ini untuk terus menipu untuk menjadi kaya.

Memang benarlah kata pepatah 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran' dan senario itulah yang melanda di negara kita dengan pengangguran dan kemelaratan hidup anak tempatan seperti yang tersiar di pelbagai media massa dan elektronik.

Bagaimana kita tegar melihat kesusahan hidup masyarakat kita dan pada masa yang sama kita terus-terusan menderma kepada pengemis yang berlakon sebagai pengemis semata-mata untuk menipu kita.

Membaca laporan mengenai wang ribuan ringgit yang mereka peroleh, telefon bimbit di tangan, tinggal di hotel dan makan dengan mewah serta mampu duduk berbincang mengenai strategi mengemis sambil ketawa sinis dengan kemurahan hati rakyat Malaysia, menjadikan saya berasa diri tertipu kerana saya juga antara ribuan rakyat Malaysia yang mudah sedih hati dan kasihan melihat 'pengemis' berkenaan.

Bagaimana perkara ini boleh terus-terusan berleluasa berlaku di negara kita? Jawapannya sudah tentulah tentang sikap rakyat Malaysia yang 'baik tidak bertempat' dan 'berbahasa tanpa memeriksa' yang menjadikan pengemis sebagai satu profesion yang lumayan dan menjanjikan keuntungan.

Marilah kita membuka mata dan minda kita agar dapat berfikir dengan waras apabila berhadapan dengan 'pengemis kaya'. Janganlah pula suatu hari nanti kita mengemis di negara kita sendiri dan orang asing pula yang sudah kaya hasil profesion mengemis memberi wang hasil dari mengemis kepada kita pula.

Bebaskan Malaysia daripada budaya mengemis. Jika ada duit lebih, dermakan kepada pelbagai persatuan dan badan kebajikan yang sememangnya memerlukan wang untuk membiayai pelbagai lapisan masyarakat yang benar-benar dalam kesempitan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url