Kejadian Kiamat
Kedatangan kiamat mempunyai tanda sama ada kecil atau besar. Antara tanda kecil ialah zina berleluasa, muzik bermaharajalela, berlaku banyak kekejian, ramai orang memutuskan hubungan kerabat dan wujud hubungan tidak baik dengan jiran tetangga. Tanda besar yang dapat dilihat seperti berlaku gempa bumi sama ada di Timur atau Barat.
Walaupun tanda itu sudah ada, kita belum pasti bilakah berlaku kiamat. Kita mungkin hanya boleh mengandaikan, namun hakikatnya bilakah waktu terdekat atau lama lagi, sesuatu yang tidak mampu kita tentukan.
Mengapa Allah merahsiakan berlaku kiamat? Hikmahnya ialah Dia ingin menguji sejauh mana keteguhan dan keutuhan iman hamba-Nya. Jika manusia mengetahui tarikh berlakunya kiamat, tentu akan terganggu urusan harian kerana mereka menumpukan persediaan kehadiran hari itu.
Rahsianya hari penentuan itu sehingga orang yang paling disayangi Allah pun tindak mengetahui kedatangannya. Firman Allah yang bermaksud: “(Jika ditanya bilakah azab itu? Maka) Katakanlah, Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.” (Surah al-Jin, ayat 25)
Apabila berlaku kiamat, Allah menerangkan bahawa langit akan terbelah, bintang kehilangan cahayanya dan gunung-ganang hancur menjadi debu.
Kemusnahan alam dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “(Sumpah demi sumpah) sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu tetap berlaku. Oleh itu, apabila bintang (binasa dan) hilang lenyap, dan apabila langit terbelah dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan.” (Surah al-Mursalat, ayat 7-10)
Dalam surah at-Takwir dari ayat 1 hingga 13, Allah menerangkan ketika berlaku kiamat, matahari akan digulung, bintang berjatuhan dan gunung-ganang dihancurkan, unta yang bunting ditinggalkan, lautan dipanaskan, roh dipertemukan, bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah dia dibunuh, cacatan amalan manusia dibuka, langit dilenyapkan, api neraka dinyalakan dan syurga didekatkan. Apabila perkara itu berlaku, manusia akan teringat segala perbuatan mereka di bumi sama ada yang baik mahupun buruk walaupun sebesar zarah. Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu hari manusia akan mengingati, apa yang telah diusahakan.” (Surah an-Naazi’at, ayat 35)
Bagi mereka yang berbakti kepada Allah, tempatnya adalah syurga. Mereka mendapat kenikmatan besar dan abadi seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin (yang berhias) sambil melihat (segala kemuliaan dan keindahan yang disediakan untuk mereka di situ. Engkau dapat melihat pada muka mereka cahaya nikmat yang mereka peroleh. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termetri bekasnya.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 22-24)
Ibn Kathir menjelaskan, mereka dapat memandang Allah dari tempat tidur. Mereka cukup senang dan selesa di sana kerana dilimpahi kemuliaan, kebahagiaan, kehormatan dan kenikmatan yang sangat luar biasa. Mereka diberi minum dari khamar syurga bernama ar-Rahiq.
Bagi mereka yang derhaka kepada Allah, tempatnya adalah neraka dan mereka terhalang daripada melihat Allah seperti dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang daripada melihat Rabb mereka. Kemudian sesungguhnya, mereka benar-benar masuk neraka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 15-16)
Imam Syafie menjelaskan bahawa melihat Allah pada hari itu adalah puncak segala kebaikan. Namun yang mereka derhaka, diharamkan melihat Allah. Kederhakaan mereka disebabkan kekufuran dan pelbagai maksiat yang mereka lakukan.
Marilah kita muhasabah diri. Jika ada kekurangan dalam melakukan ibadah kepada Allah, hendaklah kita berusaha memperbanyakkannya. Jika ada perkara maksiat yang kita lakukan, hendaklah segera bertaubat dengan sebenar-benar taubat.
Bagi yang melakukan banyak kebaikan, teruskanlah, tanpa menoleh ke belakang dan seru juga kepada orang lain kerana sesungguhnya sudah pasti kita ingin merasai kenikmatan syurga dan kekal di dalamnya seperti janji Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa.