Gempa bumi landa Asia Tengah


Satu gempa bumi kuat melanda kawasan pergunungan Asia Tengah di selatan Kyrgyzstan menyebabkan 72 penduduk terbunuh dan lebih 100 bangunan musnah, kata pasukan kecemasan, semalam.

Beberapa gempa bumi juga menggegarkan wilayah Xinjiang dan Tibet, selepas gegaran melanda Kyrgyzstan.

Gempa di Tibet berukuran 6.6 skala Richter dan melanda pada 4.30 petang waktu tempatan kira-kira 80 kilometer dari ibu kota, Lhasa.

Laporan terbaru menyatakan, 30 terbunuh dan ada lagi yang tertimbus di Gedar, daerah Damxung, barat Lhasa.

Di Bishkek, jurucakap Kementerian Keadaan Kecemasan, Abdusamat Payazov, berkata gempa berhampiran sempadan Kyrgyzstan-Tajikistan itu kuat melanda kampung terpencil, Nura sehingga mencederakan 80 orang.

Katanya, pusat gempa adalah di Tajikistan, iaitu kira-kira 350 kilometer di selatan ibu negara Kyrgyzstan, Bishkek dan gegaran dirasai sehingga ke wilayah Osh.

Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat pula melaporkan gempa berukuran 6.6 skala Richter itu berpusat di Kyrgyzstan.

Satu gempa susulan berukuran 5.1 skala Richter berlaku beberapa jam selepas gempa pertama, semalam.

Payazov berkata, sebahagian mangsa yang cedera turut tenat dan pihak kementerian serta tentera menghantar lebih banyak pasukan penyelamat dan doktor ke sebuah kampung yang musnah sama sekali.

"Perkampungan itu dilaporkan mempunyai 1,000 penduduk. Presiden Kurmanbek Bakiyev akan mengunjungi Nura hari ini," kata pegawai kerajaan.

Kedutaan Russia di sini berkata, Moscow akan menghantar bantuan kemanusiaan ke negara itu.

Gempa bumi sering melanda Asia Tengah yang terletak di antara Afghanistan, Iran, Russia dan China.

Pada 1966, ibu negara Uzbekistan, Tashkent, musnah selepas dilanda gempa bumi 7.5 pada skala Richter yang menyebabkan beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url