Strategi pelaburan dalam pasaran tidak menentu

SEJAJAR dengan persekitaran pasaran saham global dan tempatan yang tidak menentu ketika ini, artikel ini menyarankan beberapa strategi yang boleh dipertimbangkan untuk melindungi portfolio pelaburan anda.



Strategi 1: Nilai Semula Pegangan Saham Yang Sedia Ada


Jika anda masih memegang saham yang mempunyai asas yang lemah, anda mungkin ingin menjual saham terbabit. Ramai berpendapat mereka sepatutnya terus memegang saham sebegini tanpa mengambil kira keadaan semasa pasaran saham.

Di sini, anda perlu sedar bahawa anda perlu mengurangkan kerugian. Mungkin anda agak keberatan untuk menjual saham berkenaan memandangkan harga belian asal yang tinggi. Jika anda terus bersikap begini, anda akan terus memegang saham yang tidak berkualiti untuk jangka masa lama dan akan menyesali keputusan anda kerana tidak menjual saham terbabit apabila harga semakin menjunam dan seterusnya membabitkan kerugian lebih besar. Tanggapan sesetengah pihak untuk “Beli rendah! Jual tinggi!” akan bertukar menjadi “Beli tinggi! Jual rendah!



Strategi 2: Imbangi Semula Portfolio Pelaburan Anda

Dalam pasaran saham tidak menentu, sekiranya portfolio anda hanya merangkumi pelaburan saham dan tunai, sebaiknya bahagikan aset anda kepada 80 peratus tunai dan 20 peratus saham. Sebaliknya, jika pasaran saham dalam keadaan baik anda boleh membahagikan portfolio anda kepada 80 peratus saham dan 20 peratus tunai. Bagaimanapun, anda boleh mengurangkan pegangan saham anda sekiranya keadaan pasaran terus menurun.

Sebenarnya anda perlu menyimpan wang tunai yang yang lebih kerana anda tidak tahu bila pasaran saham akan turun ke tahap paling rendah. Dalam keadaan sebegini, menyimpan wang anda dalam simpanan tetap setidak-tidaknya dapat memberikan anda pulangan dalam bentuk faedah, berbanding melabur dalam pasaran saham yang mungkin memberikan anda pulangan negatif.





Strategi 3: Jarakkan Pembelian Anda

Permintaan rendah di pasaran sebenarnya membuka ruang untuk anda membina portfolio pelaburan jangka masa panjang. Anda mungkin ingin mula membeli saham dan membahagi pembelian anda kepada beberapa bahagian.

Sebagai contoh anda boleh membahagikan dana anda kepada lima bahagian. Dalam pasaran saham yang agak lemah, anda boleh melabur bahagian pertama anda (20 peratus daripada jumlah dana anda). Sekiranya pasaran jatuh lagi sebanyak 15 - 20 peratus daripada paras terkini, anda boleh menggunakan bahagian kedua untuk merendahkan purata harga belian anda.

Sentiasa ingat bahawa anda tidak tahu bila pasaran akan pulih. Justeru, bahagian terakhir sepatutnya digunakan apabila pasaran berada pada tahap terendah dan dalam proses pemulihan.

Ada pelabur yang gemar menunggu sehingga pasaran menunjukkan tanda pemulihan sebelum mereka mula membeli. Jika anda tergolong dalam kategori ini, anda mungkin tidak dapat membeli saham pada harga terendah, tetapi setidak-tidaknya fikiran anda tidak akan berserabut memikirkan sama ada pasaran akan naik atau akan terus menurun pada keesokan harinya.

Apabila keadaan pasaran kelihatan lebih positif, bolehlah anda mencari saham yang mempunyai asas yang kukuh tetapi masih belum mencapai momentumnya. Sekiranya pasaran terus pulih, anda boleh mengurangkan simpanan wang tunai dan menambah pegangan saham anda.



Strategi 4: Jangan jual saham yang berkualiti

Jika pegangan saham anda berkualiti, berasas kukuh dan terus memberikan anda kadar dividen yang baik, anda boleh terus memegang saham tersebut. Sekiranya anda perhatikan harga saham yang lazimnya memberikan dividen yang konsisten, akan mengalami kejatuhan peratusan yang rendah berbanding saham lain. Ini kerana pelabur selalunya akan terus memegang saham yang berkualiti ini tanpa mengambil kira keadaan pasaran.

Pelabur yang mempunyai kepentingan dalam saham seperti ini lebih menitik beratkan pendapatan dividen yang diperoleh. Justeru, kejatuhan harga tidak memberi kesan mendalam kepada mereka selagi kadar hasil dividen lebih tinggi daripada kadar faedah yang ditawarkan bank. Sekiranya anda sedang berfikir untuk membeli saham apabila keadaan pasaran menurun, anda boleh cuba untuk melabur dalam saham seperti ini.



Strategi 5: Melabur dengan ilmu

Apa jua tindakan atau reaksi anda dalam pelaburan saham sebenarnya bergantung kepada keupayaan mengambil risiko dan juga pengetahuan anda mengenai industri dan syarikat terbabit. Kita perlu bersedia menghadapi aliran menurun ini.

Sekiranya anda bersedia dan sudahpun menyenaraikan saham yang hendak dibeli apabila harga saham menurun, anda boleh menjadikan arah aliran menurun ini sebagai satu peluang dan bukannya satu krisis.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url