Hati-hati kurus badan

Berjaya menurunkan berat badan dalam masa singkat memang membanggakan, terutama bagi wanita pertengahan umur. Namun ada perkara perlu diambil perhatian kerana penurunan berat badan dengan cara mudah, iaitu melalui sekatan makan atau mengambil produk tertentu tanpa perlu bersusah payah bersenam, boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan tulang.

Memang diakui semakin bertambah usia, makin sukar mengurangkan berat badan. Jadi ramai wanita mengambil pendekatan menggunakan kaedah mudah tanpa perlu mengeluarkan peluh.

Kajian disiarkan dalam Jurnal Metabolisme dan Endokrinologi Klinikal mendapati, penurunan berat badan yang banyak di kalangan wanita sebelum menopaus boleh menyebabkan kehilangan jisim tulang.

Perkara ini meningkatkan risiko wanita mengalami masalah osteoporosis atau tulang rapuh selepas menopaus. Berbadan kurus dan kecil antara faktor utama osteoporosis dan ia dipercepatkan jika tidak mengamalkan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat, termasuk bersenam.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna wanita gemuk atau berlebihan berat badan perlu kekal gemuk kerana ia mengundang pelbagai penyakit lain.

Cara terbaik untuk kekal sihat dan cergas ialah bersenam secara tetap sekurang-kurangnya tiga kali seminggu yang diselang-selikan dengan senaman mengangkat beban (dan menaiki tangga), mengamalkan pemakanan seimbang, termasuk mengambil makanan kaya kalsium serta mendapat cukup vitamin D (terutama daripada sinaran matahari pagi) setiap hari.

Secara purata, keperluan kalsium harian wanita ialah antara 800 hingga 1,000 miligram sehari (untuk wanita muda) dan 1,200 miligram bagi golongan berumur 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun dalam soal selidik pada 2005 mendapati, 61 peratus wanita di negara ini hanya mengambil antara 300 hingga 500 miligram kalsium setiap hari.

Ini bermakna seorang daripada dua wanita (50 peratus) yang berumur 50 tahun ke atas mempunyai risiko tinggi mengalami masalah kesihatan tulang atau osteoporosis. Osteoporosis tiada tanda dan biasanya ia hanya disedari apabila berlaku keretakan tulang.

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengetahui kesihatan tulang ialah menjalani imbasan tulang terutama bagi wanita berumur 65 tahun ke atas dan 75 tahun bagi lelaki, kata Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Siti Harnida Md Isa.

Beliau turut menyenaraikan golongan berisiko tinggi yang disaran menjalani pemeriksaan imbasan tulang iaitu:



Wanita yang menopaus awal (kurang dari 45 tahun)


Mengalami masalah kekurangan hormon seks


Pesakit yang mengambil ubat steroid (termasuk pesakit artritis reumatoid)


Mempunyai sejarah osteoporosis dalam keluarga


Mengalami masalah kelenjar tiroid


Badan tidak dapat menyerap nutrien dengan baik


Pesakit aneroksia nervosa (gangguan pemakanan yang menyebabkan seseorang kurus kering)

Kalau dulu masalah aneroksia nervosa banyak berlaku di negara Barat, tetapi kini ia mula menular di negara kita. Malah sejak akhir-akhir ini beliau menerima ramai pesakit wanita, dengan yang paling muda berumur 13 tahun.

Ia senario membimbangkan kerana pada umur begini proses pembinaan tulang berjalan rancak sebelum mencapai kematangan optimum pada umur 25 hingga 30 tahun.

Jika proses ini terganggu akibat ketidakcukupan zat, tulang yang terbentuk jauh lebih lemah dan rapuh. Apatah lagi secara genetik, kepadatan jisim tulang wanita Asia lebih rendah berbanding wanita Barat.

Sesetengah wanita boleh kehilangan sehingga satu pertiga struktur tulang apabila berumur 75 tahun ke atas. Kadar kehilangan jisim tulang pada wanita dua kali lebih cepat berbanding lelaki pada umur sama.

Risiko keretakan tulang meningkat dengan peningkatan umur. Dianggarkan satu daripada tiga wanita berumur 80 tahun ke atas akan mengalami masalah ini, terutama di pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.

“Dua jenis rawatan boleh diberi kepada wanita yang alami osteoporosis iaitu anti reseptif (ubat hormon seperti terapi penggantian hormon atau terapi estrogen) yang berfungsi mengelak kehilangan jisim tulang berterusan dan terapi pembentukan tulang,” katanya dalam Kongres Umum Tulang dan Sendi anjuran Yayasan Artritis Malaysia.

Bagi wanita yang mengalami osteoporosis, antara perkara penting perlu diberi perhatian dan paling utama ialah sentiasa berjaga-jaga supaya tidak jatuh.

Pada usia begini, banyak faktor boleh menyebabkan mereka jatuh seperti masalah penglihatan, kehilangan keseimbangan, otot menjadi lemah, kasut licin, pengambilan alkohol dan lemah serta cepat letih akibat kurang zat.

Faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada perkara ini ialah cahaya malap di dalam rumah, alas lantai yang mudah bergerak serta masalah kesihatan, termasuk artritis, kencing manis dan pening apabila bangun daripada duduk.

“Jika umur panjang, setiap wanita akan memasuki fasa menopaus dan berisiko mengalami osteoporosis. Justeru, ambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko ini dengan mengekalkan berat badan ideal dan tidak terlalu kurus, sentiasa aktif (melakukan senaman mengangkat beban atau melawan tarikan graviti seperti mendaki bukit atau menaiki tangga).

“Selain itu, berhenti merokok dan kurangkan pengambilan alkohol kerana kedua-dua faktor ini menjejaskan penyerapan kalsium, amalkan pemakanan seimbang dengan mendapat cukup kalsium serta vitamin D dan dapatkan rawatan jika ada masalah kesihatan yang boleh menyebabkan osteoporosis,” katanya.

Justeru, sempena sambutan Hari Osteoporosis Sedunia bulan ini, wanita yang biasanya meletakkan keutamaan diri di tempat terakhir selepas anak dan suami perlu mengubah kedudukan itu supaya sebaris dengan kepentingan keluarga. Jika anda sebagai tonggak rumah tangga jatuh sakit, seluruh urusan keluarga akan tergendala dan huru hara.



>Risiko tinggi

> Wanita yang menopaus awal (kurang dari 45 tahun)

> Mengalami masalah kekurangan hormon seks

> Pesakit yang mengambil ubat steroid (termasuk pesakit artritis reumatoid)

> Mempunyai sejarah osteoporosis dalam keluarga

> Mengalami masalah kelenjar tiroid

> Badan tidak dapat menyerap nutrien dengan baik

> Pesakit aneroksia nervosa (gangguan pemakanan yang menyebabkan seseorang kurus kering)
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url