Saman tali pinggang keledar mula 16 Disember

Saman olok-olok akan dikeluarkan terhadap penumpang di tempat duduk belakang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar bermula 16 Disember depan sebagai peringatan terakhir sebelum peraturan itu dikuatkuasakan 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh, berkata polis serta pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman olok-olok itu bagi memberi kesedaran kepada penumpang tempat duduk belakang kenderaan supaya jangan mengambil ringan terhadap peraturan baru itu.

"Saman olok-olok itu adalah amaran terakhir... ia cuma amaran dan tidak dikenakan denda. Tetapi bermula 1 Januari depan, penumpang yang tidak memasangnya akan dikenakan saman," katanya kepada pemberita sebelum melancarkan kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya anjuran bersama JKJR dan Toyota di Plaza Tol Plus, Sungai Besi di sini, semalam.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang itu bagaimanapun tertakluk beberapa perkara yang sudah dipersetujui dengan semua syarikat pengeluar kenderaan.

"Kita memperkenalkan undang-undang ini berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang mendapati penggunaan tali keledar belakang mampu mengurangkan kadar kematian jika terbabit dalam kemalangan.

"Daripada jumlah kematian direkodkan sepanjang tahun lalu (6,282 kematian), sejumlah 366 nyawa mungkin dapat diselamatkan dan 1,000 membabitkan kecederaan dapat dielakkan sekiranya mereka menggunakan tali keledar belakang," katanya.

Beliau berkata, walaupun undang-undang itu dikuatkuasakan awal tahun depan, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan JKJR memberikan tempoh selama tiga tahun kepada pemilik kenderaan persendirian memasang tali keledar belakang.

Kita juga sudah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Proton, Perodua dan Honda untuk membekalkan dan memasang tali keledar belakang secara percuma kepada pelanggan mereka," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url