Kos sara hidup zaman kemelesetan
Di kota-kota besar di Amerika Utara dan Eropah, kos sara hidup di sana mungkin tidak terbayangkan oleh rakyat Malaysia. Dua botol air mineral seberat setengah liter yang dijual di kedai runcit di Amsterdam, misalnya, harganya 3 euro (RM14) dan bil untuk makan beriani sayur dan air jus epal ialah 15 euro (RM70).
Jika anda mahu makan pasta, jus oren dan secawan kopi, anda kena bersedia membayar 21 euro (RM99).
Di Restoran Ismail di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, harga beriani ayam mungkin sekitar RM8 dan akan lebih murah lagi jika anda sanggup berkunjung jauh ke Restoran Hakim di Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi di kota-kota negara maju, bayangkanlah betapa susahnya kehidupan rakyat di sana apabila berlaku kegawatan ekonomi.
Ekoran kesukaran memperoleh pinjaman antara bank, institusi-institusi kewangan mula berhati-hati dan selektif dalam memberi pinjaman dan langkah itu memburukkan lagi situasi.
Minggu ini dua buah rangkaian perniagaan di United Kingdom telah bankrap. Gedung beli-belah Woolworths kini hampir pasti berada dalam tanggungan dengan risikonya ialah 30,000 kakitangan mungkin kehilangan kerja.
Sebuah rangkaian kedai perabot, MFI, pula bakal bankrap yang akan menjejaskan sekitar 1,200 kakitangan selain begitu ramai pembekal dan pelanggannya.
Perniagaan itu telah pun wujud sejak 1964. Selama lima dekad MFI berupaya berhadapan dengan saat-saat sukar ekonomi, tetapi tidak dapat bertahan dalam menghadapi krisis ekonomi kali ini yang disifatkan antara kemelesetan paling buruk dalam sejarah.
Di United Kingdom, menurut laporan TV Perbadanan Penyiaran British (BBC), ada seorang pelanggan yang telah membuat komitmen untuk membeli perabot dari MFI menjelang perayaan Krismas menyatakan dia bimbang kemungkinan hilang deposit yang telah dibayar.
Mungkin ada pengeksport perabot dan barangan pengguna dari Malaysia turut terjejas dengan apa yang berlaku ke atas Woolworths dan MFI, dan kita kena menunggu limpahan kesan kejatuhan dua perniagaan besar British itu.
Pembekal-pembekal perabot, tekstil dan barangan elektronik di negara-negara pembekal perlu lebih risau lagi. Jika perniagaan syarikat British itu tidak dapat diselamatkan dan terpaksa ditutup, kemelesetan ekonomi di UK akan dieksport ke seluruh dunia.
Setiap pengguna sama ada di Amerika Syarikat, Britain, Belanda mahupun di Malaysia mempunyai masalah kewangan peribadi masing-masing. Apabila mereka terjejas kerana perangkap dan kekangan kredit bank-bank, mereka akan mencerminkannya dalam pola perlakuan tertentu.
Pola perlakuan inilah yang menjerut negara-negara Barat sekarang. Banyak bisnes jatuh berikutan sentimen negatif pengguna yang berhati-hati kerana bimbangkan prospek yang tidak menentu.
Rangkaian kedai barangan pengguna paling merasai tempiasnya. Di UK, sentimen pengguna berada pada kedudukan paling rendah sejak 1995, dengan pembelian rumah-rumah baru dilaporkan merudum ke paras terendah dalam tempoh 30 tahun.
Di Belanda, Organisasi untuk Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang dianggotai kira-kira 3O buah negara yang mempunyai ekonomi termaju di dunia menjangkakan ekonomi negara itu akan merosot sebanyak 0.2 peratus pada tahun 2009.
Inilah kali pertama ekonomi Belanda mengecut sejak 1982, yang kadar kemerosotannya tidak seteruk pertumbuhan negara-negara lain dalam zon Euro yang menguncup sehingga 0.6 peratus.
Krisis kewangan global telah mencetuskan satu suasana yang agak panik di Amerika Utara dan Eropah khususnya ke atas para pengguna.
Musuh utama ekonomi kini ialah tingkah laku majoriti pengguna. Keyakinan pengguna yang bimbangkan situasi kewangan peribadi masing-masing membelit ekonomi global yang sudah sedia lemah.
Mereka menangguhkan pembelian-pembelian besar dan berfikir banyak kali untuk membuat pembelian-pembelian kecil. "Orang yang pesimis kini merupakan golongan majoriti," kata seorang ahli ekonomi Belanda.
Di Malaysia, kita pernah berhadapan dengan suasana ekonomi ini pada tahun 1997-1998, satu pengalaman yang memberikan kita arah dan kebijaksanaan mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan sentimen seumpama itu.
Ketika krisis kewangan Asia melanda negara mengakibatkan nilai ringgit merosot, meningkatkan kos import dan mencetuskan kegawatan ekonomi sedekad lalu, kita diajar dan diminta oleh kerajaan untuk terus berbelanja.
Kita diberitahu bahawa RM10 yang kita bayar kerana membeli barang mungkin akan berpindah tangan kepada 10 orang lain yang membolehkan ekonomi terus dapat bernafas.
Apabila seseorang pembeli membeli satu produk berharga RM10, harga yang dibayarnya membolehkan pemilik kedai membayar gaji pekerja, sewa kedai dan pembekalnya. Pembekal yang mendapat bayaran daripada peruncit pula dapat terus berupaya mengekalkan pengeluaran dan membayar gaji kakitangan masing-masing.
Dengan seluruh dunia bakal menyambut tahun 2009 berbaur perasaan tidak menentu kerana prospek ekonomi dan kewangan yang kelam, sebagai pengguna kita juga bertanggungjawab untuk berbuat sesuatu bagi mengelakkan putaran ganas kemelesetan.
Jika hari ini anda bercadang untuk makan nasi beriani di mana-mana kedai, teruskanlah seperti biasa.
Langkah itu akan membantu ekonomi dan ramai orang akan terhutang budi dengan sumbangan tersebut. Ingatlah, di kota-kota Barat pengguna terpaksa membayar RM70 untuk sepinggan nasi beriani yang sama.
Jadi bersyukurlah dapat makan beriani dan dapat hidup di Malaysia.