Jangan takut bawa pembaharuan - Dr. Mohd Asri
Terkenal dalam melontarkan pandangan serta kritikan yang tajam mengenai sesuatu isu, sehingga kadang kala mencetuskan kontroversi, persaraan beliau mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat yang kebanyakannya menilai ia merupakan satu kehilangan yang besar.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa usaha dakwahnya tidak pernah berhenti dan akan terus memperjuangkan Islam selari dengan al-Quran dan sunah. Dr. Mohd. Asri juga menjelaskan mengenai kekeliruan segelintir pihak yang melihat pemikirannya liberal dan tidak selari dengan pandangan ahli agama lain.
UTUSAN : Bagaimana Dr. merumuskan tempoh dua tahun sebagai Mufti Perlis?
MOHD. ASRI: Saya tidak merasakan bahawa saya telah melakukan sesuatu yang begitu sempurna, tetapi seorang yang berusaha sekadar yang termampu. Untuk membawa misi merubah seluruhnya dalam tempoh itu memang diluar kemampuan sesiapa pun melainkan dengan izin Allah SWT. Tetapi saya dapat rasakan adanya anjakan pemikiran, institusi Mufti sendiri pun agak meriah.
Saya cuba buat banyak perkara, tapi saya berseorangan dan Perlis itu sendiri tidak besar serta kakitangannya pun tidak ramai. Tetapi Alhamdulillah, ramai yang memberi sokongan. Media misalnya memberi saya peluang dan ruang untuk menulis, saya juga berpuisi, ada berpidato dan bertemu dengan pelbagai peringkat masyarakat seperti aktivis alam sekitar, artis, ahli politik dan banyak lagi. Pastinya saya tidak berpeluang menggarap semuanya, tetapi saya telah cuba berbuat sesuatu sekadar kemampuan saya.
Saya rasa satu perkara yang saya sangat puas ialah apabila saya berada di mana-mana, pelbagai golongan tidak kira tua dan muda, di kampung dan bandar menegur saya dan menyatakan mereka tidak pernah ketinggalan membaca ruangan saya. Saya sangat berterima kasih kepada Mingguan Malaysia dan sekiranya diberi peluang, saya akan terus menulis.
Adakah Dr. merasakan apa yang cuba Dr. bawakan itu telah tercapai?
Tentunya dalam tempoh itu ada perkara yang tidak sempat saya laksanakan, kerana isu sentiasa ada. Bagaimanapun mesej saya sentiasa jelas iaitu dalam menceritakan tentang Islam kita seharusnya menyampaikannya dengan imej yang baik. Islam mengajar kita untuk menggunakan akal dengan betul supaya jangan dalam sesuatu perkara, kita bertindak di luar kewarasan.
Zaman kini sudah berubah dan manusia sendiri sudah boleh berbicara dengan zaman. Tapi ini tidak bererti kita menyusur keluar daripada dalil, tidak sama sekali. Islam tegak atas dalil. Tiada agama yang berdiri atas pandangan individu, atau adat-istiadat kebiasaan sesuatu kaum seperti Melayu. Itu mesej yang cuba saya sampaikan.
Dalam konteks membawa pembaharuan pula, adalah tidak wajar untuk saya membandingkan dengan tokoh-tokoh ilmuwan yang hebat. Tapi apabila bercakap dalam konteks sejarah, Omar Abd. Aziz misalnya, dalam tempoh dua tahun lebih mengetuai negara, banyak membawa perubahan-perubahan yang besar. Begitu juga dengan beberapa tokoh lain yang berjaya mengetuai pembaharuan negara. Saya mungkin tidak sampai ke tahap itu, tapi tidak mustahil adanya pembaharuan yang dibuat dalam tempoh dua tahun tanggungjawab saya sebagai mufti.
Meskipun tidak merubah secara fizikal tetapi dari sudut jalan berfikir, sekurang-kurangnya dengan menyediakan landasan. Saya memang memerlukan masa kerana masa tak pernah cukup. Kalau boleh saya mengharapkan sepanjang hidup saya untuk meneruskan agenda ini. Insya-Allah kalau dipanjangkan umur dan diberi peluang, selepas pulang daripada cuti sabatikal nanti saya akan datang dengan idea pembaharuan yang lain.
Apa harapan Dr. kepada pengganti Mufti Perlis, atau mungkin kepada mufti lain di seluruh negara?
Setiap mufti yang dilantik ada situasinya yang sendiri. Tetapi mereka kena pastikan peranan mufti itu berfungsi. Berfungsi bukan sekadar mengatakan halal atau haram, sebaliknya membuktikan bahawa kita sebagai mufti menjadi rujukan. Rakyat akan sentiasa melihat pandangan kita. Apabila kita bercakap tentang hukum atau sesuatu perkara tentang Islam, orang akan melihat betapa kukuhnya pemikiran itu.
Dalam situasi sekarang, apabila sesuatu perkara itu diputuskan haram, bukan orang tidak setuju ia haram, sebab mereka tahu dalam agama ada halal dan haram. Tapi bagaimana kita mahu sampaikan sesuatu yang haram itu dalam penyampaian kita, sehingga orang akan terima ia sebagai sesuatu yang memang patut diharamkan.
Bila kita menentang sesuatu perkara, masyarakat akan melihat ia memang patut ditentang kerana intelektual yang tinggi digunakan. Itu yang patut dibuat sebenarnya oleh golongan sarjana terutamanya mufti. Supaya masyarakat melihat apabila golongan ilmuwan Islam berbicara mengenai sesuatu isu, ia akan didatangkan dengan alasan-alasan yang kukuh. Kita bukan berada pada zaman 50 tahun lalu, atau sebelum merdeka yang mana apa sahaja yang disampaikan oleh ustaz hanya boleh didengar sahaja dan tidak boleh bertanya. Kita juga bukan bercakap dengan orang zaman dahulu.
Generasi baru sekarang mereka mempertikaikan banyak perkara. Mereka mempertikai orang politik, kelompok agama dan banyak lagi. Mungkin hari ini dalam rasa tidak puas hati termasuk kepada agama, mereka senyap dan tidak meluahkan. Tetapi apabila ada kesempatan nanti, mereka akan bangkit dan menghentam. Ketika itu, sudah tidak ada apa yang boleh dibuat lagi. Ini bukan salah agama, tetapi salah penerangan orang agama.
Apa pandangan Dr. dalam isu pengharaman yoga dan pengkid?
Majlis Fatwa sudah memberi pandangan, begitu juga dengan pihak-pihak lain yang faham dan yang menjalankan kajian. Kemudian kita mengulas dalam konteks itu dan ia boleh diterima. Bukanlah satu syarat bahawa orang yang memberi pandangan itu adalah seharusnya mufti. Kalau ada pakar-pakar senaman yoga, yang datang dengan hasil penyelidikan mereka memberikan pandangan, kita perlu memberikan peluang kepada pandangannya.
Fatwa sepatutnya tidak dibuat tanpa mengambil perkara itu dengan sejelas-jelasnya. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita kena jelas dan ketahui. Sebab itu perlu dibeza-bezakan pandangan. Mungkin yoga yang difahami oleh mufti itu adalah dalam versi yang haram. Tapi yoga dalam erti kata yang sudah diubah-ubah, diasingkan unsur-unsur yang haram mungkin tidak apa-apa, tidak perlu diharamkan.
Tidakkah dengan pandangan itu ia memberi nafas kepada sebahagian umat Islam? Dalam masa sama ia juga mengurangkan kritikan yang sering dihalakan kepada Islam apabila orang bukan Islam melihat Islam itu sentiasa mengharamkan. Ada yang datang jumpa saya dan memberitahu mereka sebenarnya tidak pernah tahu pun tentang mentera-mentera dalam senaman yoga. Mereka buat untuk mengambil kesan positif dari sudut kesihatan sahaja.
Jujur
Mufti juga kena jujur dengan Tuhan. Macam dalam fatwa yoga, sewaktu bersidang semua kata haram, tapi apabila dibawa balik ke negeri, ada yang tarik balik sebab ada yang tak puas hati. Kalau sudah kata haram, maka haramlah, kenapa nak tarik balik. Itu masalahnya yang menyebabkan orang tidak hormat kepada kita. Soal mendapatkan kelulusan itu adalah soal pentadbiran untuk dijadikan fatwa itu negeri atau bukan negeri yang rasmi. Tapi hukum tetap hukum.
Memang negeri-negeri tidak terikat dengan fatwa kebangsaan. Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu hanya untuk pandangan umum negara ini. Negeri-negeri boleh bawa balik pandangan tu dan mereka boleh berfatwa berbeza dengan Jakim. Perbezaan yang timbul ketika ini adalah sama ada fatwa itu nak dijadikan fatwa negeri atau tidak. Adakah ia menjadi pegangan kepada negeri yang mana negeri boleh mengambil tindakan kepada orang menyalahinya. Tapi dari segi hukum kalau haram, maka haramlah.
Macam isu pengkid sebenarnya tidak memerlukan fatwa. Sebab kalau ditanya kepada sesiapa sekali pun apakah hukumnya seorang perempuan menyerupai lelaki, mereka akan tahu. Di sini akan timbul salah sangka di kalangan masyarakat yang melihat adanya diskriminasi gender. Sebab mereka melihat yang ramai ketika ini ialah golongan lelaki-lelaki lembut atau kumpulan ‘saudarai’.
Kenapa yang tiba-tiba keluar ialah pengharaman pengkid? Kita membuka peluang kepada orang untuk menghentam kita. Cuba kalau kita cakap fatwa itu secara umum iaitu Islam mementingkan ketulenan gender, lelaki mesti kekal sebagai lelaki dan perempuan mesti kekal sebagai perempuan. Bila saya bagi pandangan ada yang marah. Saya bukan mahu membangkitkan kemarahan orang, tetapi melihat kepada tindakan kita itu supaya sentiasa kelihatan kemas dan smart (bijak). Sehingga orang mengiktiraf kesarjanaan, kematangan dan ketajaman pemikiran ilmuwan Islam dalam menganalisis dan memberikan pandangan. Itu akan menyebabkan bukan Islam melihat sarjana Islam hebat.
Apabila memberi pandangan sangat mantap dan mereka berasa gugup untuk berdiri di hadapan sarjana-sarjana kita. Kita kena kembali memberikan imej Islam sebenar seperti zaman Nabi.
Justeru apakah cara yang terbaik untuk menunjukkan kekuatan pemikiran Islam?
Mufti adalah platform terbaik. Tetapi adakah mufti sekarang memainkan peranan seperti itu, biarlah rakyat yang menilainya. Saya ingat ada negeri yang rakyatnya tidak kenal siapa mufti mereka. Sama ada rakyat cuba berkenalan dengan mufti atau mufti memperkenalkan diri mereka.
Saya menunggu-menunggu kalau mufti bersidang dalam membincangkan sesuatu isu di Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam dalam beberapa peratus wajib menguasai sektor-sektor tertentu. Misalnya fatwa umat Islam wajib menguasai ekonomi lebih 50 peratus, jika tidak semuanya berdosa sebab ia akan menggadaikan masa depan umat Islam keseluruhannya.
Fatwa wajib bagi umat Islam menolong perniagaan umat Islam yang lain atau fatwa wajib umat Islam sedaya mungkin membeli barangan umat Islam. Fatwa-fatwa seperti itu dilihat betapa ia membela umat Islam dan bukannya membelasah mereka. Jika kita keluarkan fatwa-fatwa seperti itu umat Islam akan berdiri di belakang kita. Satu hari apabila kita keluarkan fatwa melarang beberapa tindakan mereka, mereka tahu bahawa kita sentiasa berfikir tentang kemaslahatan mereka.
Yang penting kita perlu memperkasakan badan Mufti dan menjadikannya hebat. Bukan sekadar meramaikan orang di pejabat Mufti. Alangkah baiknya kalau mesyuarat Majlis Fatwa itu disiarkan juga untuk rakyat tengok. Adakah semua yang hadir itu memainkan peranannya, bercakap dan memberikan pemikiran mereka. Adakah pemikiran itu bernas dan mereka layak duduk di kerusi perbincangan, atau mereka sekadar pemerhati. Semua itu rakyat boleh tengok dan menilai.
Sepanjang tempoh menjadi mufti, Dr. banyak memberi pendapat dan kritikan yang dilihat liberal serta tidak selari dengan ahli agama lain termasuk dalam keputusan Majlis Fatwa mengharamkan yoga dan pengkid. Bagaimana Dr. menilai pandangan itu?
Saya tidak setuju dengan mereka yang menegaskan sesiapa yang bagi pandangan berbeza dengan Majlis Fatwa akan dikenakan tindakan. Sebabnya kita kena iktiraf keilmuan.
Kita tidak dapat menerima orang yang memaki hamun Majlis Fatwa, atau dengan sengaja menimbulkan isu tanpa sebab. Tapi Majlis Fatwa bukan nas al-Quran dan sunah, melainkan perkara yang jelas dalam al-Quran dan sunah. Majlis Fatwa adalah pandangan sekelompok manusia di negara ini yang diberi jawatan.
Dalam Islam ada pandangan majoriti, minoriti dan pandangan sarjana. Hukum pun tidak menyatakan pandangan itu tidak boleh dijawab, tiada masalah.
Bila orang lain bagi pandangan dalam isu yoga misalnya, tetapi pandangan itu juga berasaskan alasan-alasan yang munasabah, kita boleh memakmurkan medan pemikiran ilmiah. Orang akan melihat keterbukaan Islam dan tokoh-tokoh Islam bila berbincang masing-masing mengemukakan alasan dan fakta yang bernas. Yang menjadi masalahnya apabila kita membuat keputusan, sesiapa pun tidak boleh menyanggah keputusan itu. Tidaklah kita sentiasa menghalang pandangan kedua. Kalau pandangan pertama itu salah, bagaimana?
Perbincangan ilmiah yang makmur dalam bentuk bermanfaat dan harmoni patut digalakkan. Baru orang bukan Islam melihat Islam itu hebat, semua pemikirnya memberi pandangan dari sudut kematangan ilmiah.
Mempertikai
Dalam sejarah kegemilangan Islam mencatatkan Imam Abu Hanifah lahir dengan ketokohannya. Kemudian lahir pula Imam Malik. Tidak pernah umat Islam pada ketika itu mempertikai siapa Imam Malik? Kemudian lahir pula Imam Shafie yang menuntut dengan Imam Malik yang turut memberikan pandangan-pandangan yang berbeza. Tidak pernah juga umat Islam ketika itu mempertikaikan mengapa Imam Shafie mahu memberi pandangan sedangkan mereka sudah ada Imam Malik. Malah, umat Islam ketika itu juga tidak pernah menyatakan semua sarjana itu salah. Bahkan mereka mengatakan semua sarjana itu memakmurkan dunia Islam dengan pemikiran mereka.
Di Malaysia, masalah yang besar ialah apabila golongan agama kadang-kadang tidak tahu sesuatu perkara tetapi mengambil tindakan berani dengan melarang orang lain berfikir. Apabila mereka memberi pendapat dan orang lain bertanya seolah-olah dijawab ‘jangan bertanya, barang siapa yang banyak bertanya maka lemahlah imannya’.
Sedangkan dalam al-Quran sendiri pun banyak ayat-ayat yang menekankan kepentingan bertanya seperti surah alBaqarah ayat 219 yang bermaksud ‘‘Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘‘ Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.” Dan mereka bertanya pula kepadamu: ‘‘Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: ‘‘(Dermakanlah) Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.”
Kemudian kita menegaskan pula Islam itu adalah agama ilmu, agama yang menyuruh umatnya menuntut ilmu dan agama yang membela ilmu. Di mana sebenarnya? Kita tidak pernah kenal Islam versi yang seperti ini pada zaman Nabi Muhammad SAW. Melainkan Nabi mengharam soalan-soalan bodoh, soalan yang tidak ada manfaat. Tapi benda yang beri manfaat dibenarkan.
Adakah mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan Dr. itu tidak mudah untuk menerima pembaharuan?
Mereka yang berkepentingan dan konservatif memang takut kepada pembaharuan kerana mungkin akan menyebabkan terkorbannya beberapa kepentingan mereka sendiri. Tapi golongan yang tiada kepentingan ini adalah majoriti. Mereka tidak takut kepada pembaharuan. Mungkin kelompok itu tidak mahu berubah sebab takut kuasa mereka akan diambil oleh orang lain. Tapi rakyat kebanyakan ingin berubah.
Sekarang ini saya sedang mengkritik pandangan fatwa. Kalau dulu orang melihat yang selalunya mengkritik biasanya Mufti Perlis sahaja. Tetapi tidak ketika ini kerana ramai sebenarnya yang mengkritik. Kalau saya secara individu mengkritik dan rakyat tidak menyokong, maka dari pusingan pertama lagi saya sudah tumbang. Tetapi apabila pandangan yang saya utarakan sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan disokong oleh pelbagai pihak, apa jawapannya?
Kerana perkara itu sudah ada dalam perasaan mereka, cuma mereka tidak berani meluahkan dan menunggu seseorang mengepalai untuk bersama-sama meluahkan perasaan itu. Sebab itu penting untuk diketahui oleh orang agama di negara ini sama ada kita berubah atau kita yang akan diubah. Bila kita menghalang orang, orang akan jadi agresif. Agresif itu mungkin kadang-kadang terbabas daripada pemikiran yang waras.
Islam bukan satu perkara yang manusia tidak boleh fikir. Adakah apabila mufti bercakap dan kita tidak memahami mengenainya, kita tidak boleh bertanya? Sejak bila golongan agama ini telah memaksumkan diri mereka? Kalau hujahnya itu kelihatan tidak cerdik, maka kita boleh pertikai. Tapi kita mahukan perbincangan itu berlaku dalam nada harmoni. Sesuatu yang biadap, kurang ajar, maki dan mencarut, itu tidak dibenarkan sama sekali. Majlis Fatwa memberi pandangan, saya memberi pandangan dan orang lain juga memberi pandangan dengan alasan-alasannya, maka rakyat menilai.
Umpamanya dalam fatwa yoga. Satu pandangan kata yoga diharamkan keseluruhannya, satu pandangan lain kata buang yang mana tak sesuai dan amalkan senaman yang baik untuk kesihatan. Adakah masyarakat tidak boleh menilai?
Islam itu haramkan arak, tapi membenarkan pelbagai minuman lain. Islam haramkan judi dan rasuah, tapi membenarkan hadiah dan sedekah. Islam haramkan zina, tapi membenarkan kahwin. Islam haramkan menilik nasib, tapi mengajarkan sembahyang stikharah. Jadi bila kita mengharamkan sesuatu, cadangkanlah sesuatu yang lain sebagai alternatifnya.
- Utusan