Obama terima banyak 'mel maut'

Bakal Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi Presiden terbanyak menerima ancaman, termasuk ugutan bunuh berbanding pemimpin sebelumnya.

Pasukan Perkhidmatan Perisikan bagaimanapun enggan mengulas atau memberikan butiran mengenai bilangan kes siasatan berhubung ancaman berkenaan.

Bagaimanapun sejak berakhirnya pemilihan Presiden pada 4 November lalu, pegawai keselamatan mengakui menerima banyak aduan berhubungan ancaman dalam bentuk tulisan, paparan di internet dan kegiatan seumpamanya yang ditujukan kepada Obama yang muncul Presiden kulit hitam pertama negara itu.

"Apa yang pasti, Obama menjadi Presiden paling banyak menerima ancaman berbanding Presiden sebelumnya," kata pegawai yang enggan dikenali atas alasan isu keselamatan Presiden sememangnya sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.

Awal minggu ini, pihak Perkhidmatan Perisikan menyiasat kes membabitkan ancaman dalam bentuk papan tanda diletakkan pada sebuah pokok di Vay, Idaho.

Ia antara lain memaparkan nama Obama, lengkap dengan tawaran menggantungnya di depan khalayak ramai.

Di Carolina Utara, pegawai hak asasi awam, turut membuat aduan mengenai tulisan menghina Obama yang ditemui dalam sebuah terowong dekat kampus Universiti North Carolina State.

Di sebuah pasar raya Maine, wartawan agensi berita Associated Press (AP), mendakwa melihat satu papan tanda mempelawa orang ramai bertaruh bilakah tarikh Obama menjadi mangsa dibunuh pembunuh upahan.

Malah, papan tanda itu turut memaparkan nilai taruhan sebanyak AS$1 (RM3.20 sen) bagi tekaan tarikh 'The Osama Obama Shotgun Pool,' yang secara terang-terangan mengaitkan Obama dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

"Wang ini akan dimenangi mereka yang dapat meneka tarikh serangan ke atas Obama. Semoga kita ada pemenangnya kelak," kata papan tanda itu yang sudah dialihkan.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url