Pemimpin baik mampu bawa kesejahteraan rakyat
Ketika mengetahui perubahan tempat madu, Khalifah Ali bertanya kepada Qanbar dan mendapat keterangan bahawa Hussein sudah mengambil setakar untuk tetamunya.
Khalifah Ali amat marah dan kemudian mengingatkan puteranya, mengapa dia berani mengambil madu sebelum tiba waktu pembahagiannya. "Kami juga mempunyai hak dan bahagian. Kalau aku nanti menerima bahagianku, madu itu pasti akan ku ganti," jawab Hussein.
Ali berkata: "Walaupun engkau punya hak dan bahagian daripada madu itu, engkau tidak boleh mengambil terlebih dulu sebelum orang Islam lainnya.
"Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu (kerana amat menyayangi), engkau pasti aku pukul kerana perbuatanmu."
Pada waktu lain, Aqil, saudara Khalifah Ali, datang untuk meminta bantuan. Maksudnya agar dia diberi kebenaran oleh khalifah untuk mengambil sedikit bahan makanan dari perbendaharaan negara. Aqil berbuat demikian kerana dia tahu bahawa khalifah Ali hidupnya sederhana.
Khalifah Ali lalu memerintahkan saudaranya itu untuk datang pada malam harinya. Ketika Aqil datang ke rumah Ali, dengan dipandu oleh anak-anaknya kerana sudah tua dan buta, dia langsung disambut oleh saudaranya yang juga penguasa tertinggi umat Islam itu. "Hanya inilah untukmu," kata khalifah Ali.
Ketika Aqil menghulurkan tangannya untuk menerima pemberian yang dikiranya makanan, ternyata yang diberikan khalifah Ali adalah sebatang besi panas. Sambil menjerit kepanasan, Aqil melemparkan besi itu.
Khalifah Ali dengan tenang berkata, "Itu baru besi yang dibakar dengan api dunia. Bagaimana kelak bila engkau dan aku dibelenggu dengan rantai yang dibakar di neraka? Daripadaku engkau tidak akan memperoleh lebih daripada hakmu yang sudah ditetapkan Allah bagimu."
Daripada peristiwa sejarah ini, menegaskan bahawa kekuasaan dan jabatan adalah amanah rakyat yang mesti dilaksanakan secara jujur dan saksama.
Dalam menjalankan kekuasaan, khalifah Ali tidak pernah membezakan antara keluarga, kerabat dan rakyat kebanyakan.
Jadi jika untuk memberi rasa aman kepada masyarakat sekarang ini, kita perlu berteladan kepada khalifah Ali seperti dinyatakan di atas.
Saling berlumba untuk merebut kedudukan atau jabatan kini makin marak di mana-mana. Penyakit itu menimpa semua golongan dan lapisan. Tokoh agama melawan tokoh agama, tokoh politik melawan tokoh politik dan sebagainya.
Pada hal kurniaan Allah begitu banyaknya, sehingga tidak akan habis kalau direbutkan secara telus.
Allah berfirman bermaksud: "Andai kata kamu menghitung nikmat Allah, sesungguhnya kamu tidak akan mampu menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nahl, ayat 18).
Mengenai perebutan kedudukan ini, barangkali ada baiknya bila disemak kembali dialog antara Khalifah Harun ar-Rasyid dengan seorang penasihatnya. Suatu ketika, Harun ar-Rasyid yang dikenal dekat dengan ulama, mengunjungi seorang penasihatnya.
"Tuan", kata Harun, "Sudah banyak ulama lain memberi peringatan, dan tidak sedikit pula yang menyampaikan khabar gembira, tetapi sepatah pun belum pernah saya dengar daripada Tuan. Hati saya belum puas rasanya."
Ulama yang arif itu terdiam, selepas berfikir sejenak lalu menjawab, "Bolehkah saya minta air kosong dulu, secawan untuk saya dan secawan untuk Tuan Khalifah?"
Permintaan itu membuat Harun ar-Rasyid kehairanan. Namun segera dia menyuruh pelayan menyediakan dua cawan air kosong. Selepas tersedia di meja, ulama itu menyuruh Harun meminumnya.
Tetapi tiba-tiba, sebelum cawan tadi menyentuh bibir khalifah, penasihatnya mencegah dan bertanya, "Maaf, Amirul Mukminin. Tahan sebentar, jawab dulu pertanyaan saya. Andai kata di suatu padang pasir gersang, matahari seolah-olah di atas ubun kepala, sedangkan Tuan tidak mempunyai persediaan air, sehingga tidak berapa lama lagi bakal mati sengsara, apa yang Tuan lakukan apabila mengetahui ada seorang musafir menawarkan air dengan syarat mesti Tuan bayar berupa singgahsana dan kekayaan Tuan?"
Tanpa berfikir panjang, Harun ar-Rasyid menjawab, "Dalam keadaan seperti itu, separuh kerajaan pun akan saya serahkan."
Ulama itu tersenyum. "Ya, minumlah air di cawan itu sampai habis." Ar-Rasyid menurut.
Kemudian ulama meneruskan, "Air itu sudah masuk ke dalam perut Tuan. Selepas itu Tuan mendapat kesulitan besar, kerana tidak boleh buang air kecil sampai berhari-hari. Seandainya dalam kesakitan itu ada yang mampu mengubati dengan syarat Tuan mesti menyerahkan separuh kerajaan yang tertinggal, apakah Tuan bersedia?"
Tanpa ragu-ragu Harun menjawab, "Biarlah saya menjadi rakyat biasa tanpa kekuasaan asalkan sihat walafiat." Ulama itu pun tersenyum. "Kerana itu saya hairan, mengapa orang bijaksana selalu menasihatkan agar tidak merebut kerusi kepemimpinan, apakah jabatan lebih penting daripada kehidupan?"
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Allah menguji hamba-Nya dengan musibah, sebagaimana seseorang menguji kemurnian emas dengan api.
"Jika yang terlihat emas murni, itulah orang yang dilindungi Allah daripada keraguan.
"Jika mutunya kurang daripada itu, petanda ia orang yang bimbang dan ragu. Jika yang terlihat seperti emas hitam, itulah orang yang benar-benar ditimpa fitnah dan musibah." (Hadis riwayat Tabarani).
Seseorang hamba yang beriman, tidak bebas daripada pengujian Allah. Memahami pengujian iman adalah memahami kekuasaan Allah. Kesedaran yang paling puncak ialah ketika kita memahami al-Quran adalah kepasrahan kepada Allah.
Iman dan ujian itu saling keduanya memandang. Memang ujian itu hal terbesar dalam menempuh lautan iman seseorang. Sebenarnya apapun nasib seseorang, ia layak bersyukur kerana nasib itu Allah sendiri yang memberikannya.
Tidak saja wujud musibah, pengujian itu juga berwajah keuntungan daripada Allah. Allah Maha Mengetahui atas seluruh makhluk-Nya.
Bahkan ketika seseorang dikurniakan kekuasaan, sebagai seorang pemimpin atau penguasa, sebenarnya sedang berada dalam pengujian Allah. Begitu besar sesungguhnya tanggungjawab dan pengujian yang dibebankan seorang pemimpin atau penguasa.
Menjadi pemimpin yang baik atau sebaliknya, iman dan ketakutan, pengujian dan sebagainya sering seperti jalin menjalin dan berkaitan antara satu sama lain. Pemimpin yang berjaya dapat membawa rakyatnya kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.