Ukur, timbang dan makan

Agak skeptikal andai mengatakan pengusaha premis makanan tidak pernah mengambil tahu tentang khasiat yang terkandung dalam sajian yang mereka sediakan. Namun, itulah realiti hampir kesemua premis perniagaan yang ada di mana-mana sahaja.

Asalkan makanan yang dihidangkan enak dan mampu menarik pelanggan untuk berkunjung, ia sudah memadai. Dan ada juga yang lebih menyedihkan, soal penjagaan kebersihan turut ditolak ke tepi.

Sebagai pengguna, adakalanya kita tidak mempunyai pilihan lain selain menerima sahaja apa yang dihidangkan. Sudahlah tahap kebersihan agak meragukan, kandungan sesuatu bahan juga boleh mengundang masalah jangka panjang kepada mereka.

Bagi pemilik premis, kalau mahu sedap perlu dilebihkan garam, gula, bahan perasa, minyak dan sebagainya. Kalau dikurangkan kesemua bahan tadi, alamat tidak berselaralah pengunjung menikmatinya.

Kewujudan MyNutri Biz, sebuah restoran yang menitikberatkan konsep makan secara sihat nampaknya memberi satu dimensi baru kepada tabiat makan di luar.

Bagi pemiliknya, KamalBahrin Khamsan, ilham menghasilkan konsep sebegini tercetus sejak beliau bekerja dengan sebuah agensi kerajaan lagi dalam memantau mutu kualiti sesuatu penghasilan produk makanan.

Dari situ, beliau membuat beberapa penyelidikan dan mendapati masyarakat Malaysia menikmati hidangan yang tidak sihat setiap kali mereka menjamu selera di luar.

“Idea untuk menghasilkan sebuah restoran sebegini tercetus sejak 2006 lagi. Dari situ saya membuat kertas kerja dan dihantar kepada Kementerian Kesihatan, kemudian menunggu kelulusan pihak tersebut sehinggalah ia berjaya dilaksanakan pada tahun ini,” ujarnya ketika di temui di MyNutri Biz, yang terletak di Giant, Bandar Kinrara, Puchong, baru-baru ini.

Menurutnya, konsep yang beliau cadangkan ialah menyediakan makanan yang sihat iaitu mengurangkan gula, garam, minyak dan melebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan sejajar dengan kempen kementerian, “Makan Secara Sihat, Amalkan 5M.”

Penyediaan makanan juga diberi perhatian terutama tahap kebersihan dan kesegaran bahan makanan. Selain itu, ia juga menyediakan khidmat sampingan seperti konsultasi pengambilan makanan berdasarkan keperluan individu.

Konsep restoran.

MyNutri Biz merupakan perintis restoran di bawah Projek Kafeteria Sihat dengan kerjasama pintar bersama Cawangan Pemakanan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Objektif utamanya adalah sebagai satu tempat pendidikan visual dan praktikal kepada masyarakat bagi menyediakan makanan halal yang berkhasiat, bersih, selamat serta berkualiti.

Sebanyak 57 resipi sihat telah dibangunkan berpandukan Garis Panduan Diet Malaysia 1999, di mana setiap makanan yang dihidangkan mengandungi fakta nutriennya sendiri melalui ciri-ciri seperti kurang garam, gula, lemak, minyak serta bahan perisa tiruan. Setiap hidangan ini juga ditambah serat serta dilebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Resipi ini terdiri daripada Menu Sihat Individu, Menu Sihat Keluarga dan Menu Sihat Khas (terapeutik untuk pesakit kencing manis, darah tinggi, gout dan yang berkaitan dengannya).

Melalui amalan pemakanan yang baik seperti ini, ia boleh mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, diabetis, tekanan darah tinggi, kardiovaskular dan strok serta penyakit yang berpunca daripada pemakanan.

Semua hidangan yang disediakan di MyNutri Biz mendapat kelulusan kementerian terlebih dahulu. Menurut KamalBahrin, bukan setakat resipinya dirujuk kepada jabatan itu, kesemua bahan yang digunakan juga perlu melalui pemeriksaan yang teliti.

“Misalnya penggunaan sesuatu bahan seperti gula, kicap, bahan perisa, mi dan sebagainya,” ujarnya.

Bahan-bahan yang mengandungi unsur tidak menyihatkan seperti monosodium glutamate (MSG) dan minuman berkarbonat adalah langsung tidak dibenarkan.

Setiap hidangan yang terdapat di sini disertakan sekali dengan fakta nutrien lengkap yang memudahkan pelanggan membuat kiraan sajian mana yang sesuai dengan mereka.

Sebelum menikmati hidangan, pelanggan diminta melakukan ujian ringkas seperti mengukur ketinggian, berat dan seterusnya mengira Indeks Jisim Tubuh (BMI). Kemudian, lemak badan turut diukur. Selepas bacaan diambil, pengunjung akan diberi sedikit konsultasi mengenai kalori dan menu yang sesuai untuk mereka berdasarkan kepada ujian yang dilakukan.

Pengelasan jumlah kategori adalah berbeza berdasarkan jantina, umur, BMI, wanita yang hamil dan juga latar belakang kerja (ringan, sederhana, berat).

Berdasarkan pengiraan yang dibuat, pengunjung akan diberi penerangan mengenai jumlah kalori yang patut mereka ambil untuk sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Maklumat akan disimpan dalam buku khas yang mana setiap kali pengunjung menikmati hidangan di sini, mereka akan dapat mengakses kepada maklumat sedia ada.

“Peralatan ujian disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan menariknya, setiap fakta yang direkodkan boleh diakses setiap kali pengunjung mendapatkan khidmat perubatan di mana-mana hospital milik kerajaan.

“Dengan cara ini pengunjung akan lebih berhati-hati dengan pengambilan makanan mereka,” ujarnya.

Konsep yang diterapkan di sini juga sesuai bagi mereka yang sedang dalam proses menguruskan badan di mana proses perubahannya boleh dilihat dan dipantau dengan mudah.

Bercerita mengenai penerimaan pelanggan kata KamalBahrin, pada mulanya ia memang sesuatu yang sukar diterima dan kebanyakan pelanggan tidak mahu mengikuti ujian pemeriksaan asas.

“Ada yang takut untuk mengetahui status kesihatan mereka seperti peratus lemak yang terkandung dalam badan, tetapi selepas diterangkan dengan terperinci, ramai yang boleh menerimanya,” ujarnya.

Penyediaan makanan di MyNutri Biz juga diberi penekanan yang mana dapur khas dibina bagi memastikan tahap kebersihan berada di paras optimum.

Bukan ‘makanan hospital.’

Ramai yang beranggapan kalau mahu sedap perlu dilebihkan garam, lemak, bahan perisa, gula dan sebagainya. Andainya kurang bahan-bahan yang disebutkan tadi, maka pasti hidangan itu menjadi tawar dan tidak enak. Jadi bagaimana rasa hidangan yang disediakan di MyNutri Biz?

Ulas KamalBahrin, pada mulanya ada juga pelanggan yang ragu-ragu mengenai rasa masakan yang disediakan di sini kerana beranggapan makanan sihat bak ‘makanan hospital’ yang mana kurang garam, gula dan lemak.

“Kalau yang bertanya soalan begini, saya syorkan mereka rasa dahulu. Sebenarnya makanan yang enak bukan bergantung kepada perisa yang digunakan, tetapi lebih kepada bahan asas yang terbaik dan segar,” terang beliau yang turut dibantu pakar nutrisi, Nurul Nadia Latiff dalam memberi konsultasi kepada pelanggan.

Jelas beliau lagi, kurang gula bukan bermakna tidak manis namun pihaknya menggantikan ia dengan pemanis buah-buahan semula jadi yang rendah kalori dan disahkan selamat oleh pihak kementerian.

Saat pesanan disiapkan, pengunjung akan diberi segelas air kosong dan beberapa potong buah segar seperti betik.

Kata KamalBahrin, setiap hidangan dimasak sejurus pesanan diterima bagi mengekalkan kesegarannya. Bahan-bahan segar seperti sayur dan buah juga tidak dibeli dalam kuantiti yang banyak bagi mengelakkan ia menjadi layu.

“Untungnya kami beroperasi di kompleks membeli-belah yang menyediakan bahan segar setiap hari. Jadi tidaklah sukar untuk mendapatkan bekalan setiap hari,” katanya.

Sistem My Healthy Eating.

Melalui kerjasama pintar yang dijalankan, perisian komputer My Healthy Eating adalah satu ciptaan inovatif Kementerian Kesihatan Malaysia yang disediakan bagi membantu pengunjung merancang serta mengawal pengambilan makanan

Setiap fakta seperti kandungan nutrien dalam makanan yang dipesan disyorkan mengikut keperluan nutrien harian setiap individu berdasarkan umur, jantina, tahap aktiviti dan status fisiologi.

Pendekatan ini secara tidak langsung dapat membantu pengunjung dalam memilih makanan secara teori dan praktikal melalui pendedahan berkenaan pemakanan sihat.

Melalui sistem ini, mereka boleh mengetahui pelbagai perkara berkaitan pemakanan seperti jumlah keperluan kalori dalam sehari untuk individu serta maklumat pemakanan (kandungan karbohidrat, protein, lemak, kalsium dan zat besi) untuk setiap makanan yang diambil.

Sistem yang dibangunkan ini merupakan antara yang pertama seumpamanya di dunia yang dapat mengintegrasikan secara komprehensif komponen teknikal (pemakanan) dengan teknologi secara efisien dan berkesan. Ia menyokong aplikasi kerajaan elektronik (e-Government) dengan pengunaan kad pengenalan berteknologi tinggi (smart card) sebagai salah satu kaedah pengenalan diri pelanggan.

Konsep untuk semua.

Secara kesimpulannya, konsep MyNutri Biz sangat sesuai untuk diaplikasikan di semua restoran termasuk kantin sekolah.

Dalam keadaan masyarakat yang semakin sibuk mengejar masa, diakui penyediaan makanan sendiri di rumah agak merumitkan terutama bagi golongan yang bekerja.

Dengan wujudnya restoran sebegini, diharapkan ia dapat membantu masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup sihat melalui kesedaran dan pilihan pengambilan makanan yang seimbang.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url