Umat Islam perlu elak terpedaya sandiwara kehidupan dunia
Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukan sesuatu yang baru didengari. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang. Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukan bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati supaya tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.
Allah menyuruh kita berhati-hati terhadap dunia dan perhiasannya serta berpesan supaya memanfaatkannya sekadar perlu saja dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian." (Surah al-Furqan, ayat 67)
Yang perlu diingat ialah, jika kita diberi rezeki melebihi keperluan dan tanggungan sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dan membutakan mata tidak mengambil endah terhadap tanggungjawab sesama manusia.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tetapi aku khuatir jika dibentangkan dunia untuk kamu seperti yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu seperti mereka dulu dibinasakan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut jika kita tertipu dengan dunia yang dihiasi dengan isi bersifat sementara, yang semuanya hanya penyebab untuk kita ke neraka dan itulah juga penyebab kita ke syurga jika bijak membuat pilihan.
Sedangkan cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat menyedari bahawa moral sekecil itu boleh memberi untung besar kepada agama.
Tetapi hari ini ramai suami mengabaikan tanggungjawab kepada isteri kerana tipu daya dunia terutama wanita cantik, arak dan judi, hiburan melalaikan, kehidupan sosial yang tiada siapa peduli, memungkinkan mereka memilih jalan tidak halal dan mengakhiri kehidupan sementara dengan iman tidak teguh kepada Pencipta.
Bahkan ada yang kehilangan nikmat dikurniakan Allah kepada mereka di dunia iaitu seorang wanita sebagai isteri dan cahaya mata yang tidak Allah kurniakan kepada semua melainkan mereka yang terpilih kerana tertipu dengan kesesatan dunia.
Begitu juga wanita yang bijak, apa juga peranan mereka di dunia, sama ada sebagai isteri, ibu, kakak, adik, ketua, pemimpin dan pekerja sekalipun, mereka perlu bertanggungjawab terhadap amanah. Jangan sesekali lupa bercermat dalam segala tindakan kerana impak wanita dalam pembangunan agama dan negara terlalu besar.
Pastinya umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika punya wang, tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, lalu mereka bazirkan semuanya tanpa rasa bersalah. Akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun akhirat.
Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata, "Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah. Abu Bakar menjawab: Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja."
Rasulullah SAW dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat supaya menjadi ikutan umat Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.
Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut dijauhi kerana ia amalan syaitan. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berbuat membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya." (Surah al-Israa', ayat 27)
Alangkah indah jika umat Islam hidup dengan penuh sederhana, harmoni dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)
Nik Salida Suhaila Nik Saleh
-Penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom dan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)