Boikot restoran harga mahal pada kempen pilihan raya

Pengguna diminta memboikot restoran dan kedai makanan di sekitar bandar raya ini yang menaikkan harga makanan secara keterlaluan kepada pengunjung sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokthar berkata, tindakan tersebut wajar kerana perbuatan pengusaha restoran terlibat membebankan pengguna.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan peniaga akan mengambil kesempatan daripada kebanjiran pengunjung semasa kempen nanti.

''Pengunjung tentu ramai dan kedai makanan akan menjadi tumpuan sepanjang kempen nanti.

''Jadi saya harap peniaga memastikan Terengganu menjadi sebuah negeri yang harga makanan murah dan sedap," ujarnya semasa menjawab soalan tambahan Muhamad Ramli Noh (BN-Tepuh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 6 Januari ini manakala 17 Januari hari mengundi.

Mengenai harga jualan ikan tongkol yang dilaporkan mahal di pasaran negeri ini, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku.

Katanya, ini berlaku kerana ikan tongkol atau lebih dikenali sebagai 'ikan aya' menjadi lauk utama bagi juadah nasi dagang yang menjadi makanan popular penduduk di negeri ini.

''Walaupun begitu, harga yang dijual RM10 sekilogram tidak terlalu mahal kerana harga di negeri jiran pun berada pada sekitar itu juga," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url